Ahad, 14 Julai 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Piya kemuka surat tunjuk sebab

Posted:

Piya kemuka surat tunjuk sebab

Piya kemuka surat tunjuk sebab

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

BADHRI (kiri) bersama penolong pengurus Kelantan, Wan Badri Wan Omar (kanan) memeriksa surat tunjuk sebab dan laporan perubatan sebelum berlepas ke Kuala Lumpur di LTSIP, Pengkalan Chepa di Kota Bharu semalam.


KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi tidak mahu kegagalannya melaporkan diri ke kem latihan skuad Harimau Malaya sejak Khamis lalu disalaherti oleh mana-mana pihak.

Bagi mengelakkan sebarang salah faham, Badhri atau lebih senang disapa Piya mengambil keputusan untuk melaporkan diri bagi mengikut kem latihan Harimau Malaya semalam.

Piya turut membawa surat tunjuk sebab serta laporan perubatan sebagaimana yang dikehendaki Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Piya, surat tunjuk sebab serta laporan perubatan berkenaan akan diserahkan kepada FAM sebaik dia melaporkan diri ke kem latihan tersebut.

"Saya akui wujud sedikit salah faham dalam isu ini. Kegagalan melaporkan diri ke kem latihan, bukan bermakna saya ingkar kepada jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dan pasukan.

"Saya berharap FAM dapat menerima surat tunjuk sebab serta laporan perubatan dan membuat keputusan seadilnya berhubung isu ini," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengakalan Chepa di Kota Bharu semalam.

Piya berharap keputusannya untuk melaporkan diri ke kem latihan semalam mampu menepis segala tohmahan yang mengatakan dia enggan menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya.

Kosmo! semalam melaporkan Piya bersedia menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan FAM berhubung kegagalannya melaporkan diri pada sesi latihan Harimau Malaya yang bermula Khamis lalu.

Piya berkata, dia akan mengemukakan laporan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh doktor di Kota Bharu, Kelantan sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super menentang Lions XII pada 6 Julai lalu.

Ditanya sama ada dia bersedia menggalas tugas untuk mengemudi jentera tengah skuad negara, perancang tengah Kelantan itu memberitahu: "Saya bersedia dengan tugas tersebut dan berjanji memberikan aksi terbaik bersama Harimau Malaya.

"Jikalau ada peluang memimpin jentera tengah negara, saya bertekad memberikan aksi terbaik bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih.

"Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada jurulatih. Saya selaku pemain yang memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang," kata Piya.

Piya antara tujuh pemain Kelantan termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim, Azizi Mat Rose, Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani yang dipanggil menjalani kem latihan Harimau Malaya.

Teck Zhi julang nama Malaysia

Posted:

Teck Zhi julang nama Malaysia

Teck Zhi julang nama Malaysia

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa.lakawa@kosmo.com.my

TECK ZHI memasang impian bergelar juara remaja dunia selepas mengungguli Kejohanan Asia Bawah 19 di Kota Kinabalu semalam.


ARENA badminton tanah air kembali bersinar selepas pemain remaja negara, Soo Teck Zhi mengesahkan statusnya sebagai jagoan muda rantau ini dengan kejayaan muncul juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Asia Bawah 19 100Plus semalam.

Berbekalkan sokongan padu penyokong sendiri, Teck Zhi jelas berada pada kelas tersendiri untuk menumpaskan bintang sensasi Korea Selatan, Jeon Hyuk Jin pada aksi final di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan, pemain berusia 18 tahun kelahiran Selangor itu menang 21-17, 13-21, 21-15 ke atas Hyuk Jin dalam permainan yang berlangsung selama 55 minit.

Menurut Teck Zhi, kejayaan yang dilakar di bumi Kota Kinabalu itu adalah permulaan kepada misinya bergelar juara remaja dunia.

"Sebenarnya saya patut beraksi pada kejohanan ini (Kejohanan Remaja Asia) sejak tahun lalu lagi, namun terpaksa dilupakan ekoran komitmen pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Asia.

"Justeru, saya menggunakan segala peluang yang ada tahun ini dan hari ini (semalam), saya berjaya melakukannya apabila muncul juara perseorangan lelaki," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah semalam.

Teck Zhi turut melahirkan rasa bangga apabila dia menjadi satu-satu produk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berjaya muncul juara remaja Asia.

"Seharusnya saya berterima kasih dengan sokongan peminat di stadium ini yang banyak membantu kejayaan hari ini (semalam).

"Kini, dengan persiapan rapi yang dilakukan di bawah kendalian jurulatih, saya yakin dapat mengulangi pencapaian ini untuk bergelar juara remaja dunia," ujarnya.

Lebih manis, kejayaan yang dilakar Teck Zhi itu berjaya mengulangi pencapaian gemilang pemain negara, Zulfadli Zulkifli yang muncul kejohanan yang sama di India dua tahun lalu.

Sebagai rekod, antara jaguh badminton dunia yang pernah bergelar juara remaja Asia termasuklah trio China - Lin Dan, Chen Jin dan Chen Long selain pemain Jepun, Kenichi Tago dan Park Sung-Hwan dari Korea Selatan.

Kejohanan Remaja Dunia Bawah 19 dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 23 Oktober hingga 3 November depan.

Ramlan sudah sebati bersama ISN

Posted:

Ramlan sudah sebati bersama ISN

Ramlan sudah sebati bersama ISN


RAMLAN (kiri) bergambar kenangan bersama Muzli Mustakim (dua dari kiri), penembak negara, Nur Suryani Mohamed Taibi (dua dari kanan) dan Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid (kanan) pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.


IBARAT sirih pulang ke gagang.

Itu perumpamaan paling tepat untuk menggambarkan tentang situasi yang berlaku terhadap 'orang kuat' Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz, 53, apabila beliau kembali menerajui ISN selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sejak 17 Jun lalu.

Sebagai rekod, bermula 16 Ogos 2012, Ramlan telah bertugas sebagai Penasihat Hal Ehwal Sains dan Perubatan Sukan kepada Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ketiadaan Ramlan di ISN telah diganti oleh Ahmad Shapawi Ismail yang kini dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan yang baharu.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melantik semula Ramlan menerajui ISN berkuat kuasa 17 Jun lalu.

Memiliki kelulusan Sarjana Sains dan Perubatan Sukan, University of London serta pengalaman lebih 22 tahun dalam bidang perubatan dan sains sukan, pelantikan semula Ramlan dilihat mampu memantapkan lagi fungsi ISN.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Kosmo!, MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI dan NOR AZIRAN YUNUS bersama Ramlan bagi merungkai pandangan beliau terhadap peranan serta perkembangan institusi itu dalam pembangunan industri sukan tanah air.

KOSMO!: Tahniah Datuk, selepas hampir setahun 'meninggalkan' ISN apabila dilantik sebagai penasihat kepada bekas Menteri Belia dan Sukan, kini Datuk kembali menerajui ISN. Jadi apa yang Datuk boleh katakan apabila sekali lagi diberi tanggungjawab untuk memartabatkan ISN.

RAMLAN: Sudah tentu saya sangat gembira apabila diberi peluang kembali ke sini (ISN) kerana ini adalah kepakaran saya (pakar klinikal perubatan sukan). Sebelum ini pun, saya bermula dalam bidang sains sukan dan saya ialah pakar klinikal perubatan sukan. Jika hendak dikira setakat ini, sayalah yang paling tua dalam bidang ini.

Dalam konteks memberikan perkhidmatan kepada para atlet, sebenarnya kita masih baharu dalam bidang ini dan menyedari hakikat itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu menggunakan kepakaran serta pengalaman saya dalam bidang sains sukan ini dengan sebaik mungkin.

TERNYATA kepakaran Datuk masih ditagih bagi menerajui ISN khususnya dalam bidang sains sukan. Namun masih ada juga pihak mendakwa negara masih lagi ketinggalan dalam aspek sains sukan. Pada pandangan Datuk, sejauh manakah program-program sains sukan yang diaplikasikan oleh ISN untuk meningkatkan lagi mutu sukan negara kita?

SEPERTI kita sedia maklum, ISN merupakan pusat khidmat sokongan bagi atlet. Ia bukan sekadar pusat sokongan sampingan tetapi ia berfungsi sebagai pusat sokongan teras kepada prestasi semua atlet.

Bagi menjayakan objektif penubuhan ISN, kami perlu sentiasa menjalin kerjasama erat antara atlet dan jurulatih bagi menjadikan matlamat utama dalam pencapaian atlet tercapai. Selain itu, objektif utama pihak ISN kini adalah untuk mengembangkan kemahiran ke tahap kepakaran.

Dalam pada itu, saya juga perlu mengakui perkembangan sains sukan di negara ini juga semakin meningkat berbanding sebelum ini.

JIKA dibuat perbandingan dengan negara-negara maju seperti di Eropah atau negara-negara Asia seperti Jepun, China dan lain-lain, adakah teknologi sukan perubatan di negara ini agak ketinggalan?

UNTUK membuat perbandingan dengan negara lain memang kita agak ketinggalan kerana mereka telah bermula lebih awal.

Walaupun idea untuk membangunkan sebuah institut sukan negara ini sebenarnya telah disuarakan sejak 1972 lagi, namun akibat pelbagai kekangan pada masa itu menjadikan ia tertangguh sehingga tahun 1984.

Pada 1994, Bahagian Sains Sukan telah ditukar namanya kepada Institut Sukan Negara sehingga kini. Pada pendapat saya, jika dilihat prestasi atlet negara yang tidak menentu ketika ini jawapannya adalah mereka tidak terdedah dengan amalan pendidikan sains sukan sejak awal lagi.

Mungkin di peringkat Asia kita agak ketinggalan tidak seperti Jepun atau China tetapi di Asia Tenggara, negara kita antara yang terbaik.

DATUK mungkin mempunyai sasaran atau perancangan untuk membangun atau 'memperbesarkan' lagi fungsi ISN. Kalau tidak keberatan, boleh Datuk berkongsi sedikit perancangan untuk masa akan datang atau adakah ISN akan memberikan khidmat kepada orang awam pula pada suatu hari nanti.

SEBENARNYA tidak ada istilah besar atau kecil mengenai ISN. Keutamaan kami ialah mengkaji keperluan para atlet dan jurulatih, kemudian kami dapat memastikan keperluan-keperluan mereka dipenuhi.

Pada masa sama, ISN perlu melakukan tugas-tugas ini dengan lebih efisien supaya kami menjadi lebih cekap tanpa meningkatkan perbelanjaan. Dari segi pengurusan pula, kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada unsur-unsur kewangan daripada kerajaan sahaja.

Pada tahun 2005 hingga 2006 iaitu ketika saya menjadi Ketua Pengarah MSN, kami membuka perkhidmatan ini kepada orang ramai dan keuntungan ketika itu mencecah RM90,000 dalam tempoh setahun.

Begitupun, ia dihentikan kerana kami tidak mahu orang ramai keluar masuk sesuka hati di sini (MSN) kerana ketika itu kontinjen negara sibuk membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.

Bagaimanapun, kami tidak boleh lari daripada tujuan asal penubuhan ISN iaitu mengutamakan atlet-atlet kebangsaan.

SELEPAS dilantik semula sebagai CEO, adakah Datuk akan melakukan perubahan drastik atau idea-idea baharu yang akan diterapkan dalam ISN.

TIDAK ada banyak perubahan yang dilakukan oleh Shapawi... hanya perubahan-perubahan kecil daripada segi pengurusan, jadi kalau ada perubahan pun tidak besar.

Begitupun, menjadi penasihat kepada Menteri (Ahmad Shabery) merupakan satu pengalaman yang menarik dan amat berharga kerana saya berpeluang mengembangkan lagi hubungan saya dengan pegawai-pegawai daripada pelbagai bidang di Kementerian Belia dan Sukan seperti Rakan Muda, Sukan Untuk Semua dan sebagainya.

KEKUATAN mental juga penting bagi semua atlet, jadi apakah pandangan Datuk apabila ada atlet elit kita memberikan alasan mental mereka lemah dan telah hilang fokus selepas tewas dalam sesuatu kejohanan?

BAGI saya alasan seperti itu sangat memalukan. Sebagai seorang pemain profesional, mereka tidak seharusnya menggunakan alasan tersebut. Perkara ini sepatutnya tidak dipersoalkan kerana ia alasan paling lemah.

Saya tanya anda, sudah berapa lama mereka menjadi atlet negara? Tidak mungkin mereka masih gagal mengawal tumpuan mereka ketika beraksi atas gelanggang.

Dalam sains sukan, kekuatan mental terletak kepada mereka dan pemain harus pandai mencari motivasi yang selalunya akan hadir daripada jurulatih. Jika (sukan) basikal trek, kita boleh tengok bagaimana Mohd. Azizulhasni Awang mendapat motivasi daripada jurulatihnya (John Beasley).

Kami memang boleh tolong tetapi kami hanya memberikan latihan kepada mental dan selebihnya para pemain perlu mengamalkan sendiri. Latihan seperti ini penting untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan tumpuan.

WALAUPUN ISN memberikan latihan kepada para atlet untuk mengawal emosi dan menguatkan mental ketika menghadapi kejohanan tetapi kita masih lihat perkara yang sama sahaja berlaku. Jadi mengapakah ia masih berlaku?

APA yang berlaku sekarang ialah mereka tidak mengamalkan apa yang diajar. Mungkin sebab sudah terlambat dan tidak biasa kerana selepas temasya Sukan Malaysia (Sukma) baru hendak memulakan latihan-latihan ini.

Seperti badminton, sebenarnya pemain-pemain tidak boleh terlalu memikirkan perkara-perkara yang telah berlaku atau akan berlaku ketika mereka sedang beraksi.

Tumpuan mereka sudah pasti kepada pukulan bola pada ketika itu mereka harus memikirkan strategi untuk menerima bola dan membalas semula, ia penting kerana setiap pukulan harus diberikan tumpuan.

Begitupun dalam sukan-sukan lain, saya dapat rasa ada peningkatan seperti memanah dan menembak serta sukan-sukan lain yang sangat memerlukan konsentrasi.

DATUK juga merupakan Ketua Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), jadi bagaimanakah Datuk membahagikan masa dengan dua jawatan tersebut?

JAWATAN itu merupakan tanggungjawab tambahan, memang dibenarkan dalam akta untuk CEO diberikan jawatan tambahan oleh Menteri. Tugas yang diberikan ini saya perlu jalankan dan apa yang paling penting, setiap tugas tidak bercampur aduk.

Sebelum ini, ADAMAS merupakan satu unit dalam ISN, walaupun dipisahkan tetapi masih banyak hubung kait antara ADAMAS dan ISN kerana pemantauan sains sukan dengan lebih kerap dan lebih mendalam boleh mencegah sedikit sebanyak amalan doping.

ATLET kita juga tidak pernah terlepas dengan isu doping. Paling mendapat perhatian sebelum ini ialah isu doping melibatkan skuad olahraga pada Sukan SEA 2011 di Indonesia sehingga menyaksikan jurulatih dan atlet digantung. Dalam hal ini, Datuk anggap siapakah sebenarnya yang harus bertanggungjawab?

MENGENAI masalah doping, bagi saya ia merupakan kesalahan spesifik serta masalah sikap. Atlet dan jurulatih sudah sedia maklum tentang masalah doping itu kerana sejak daripada mula perkara tersebut sudah begitu jelas.

Kalau kita hendak kata mereka tidak tahu mengenai peraturan memang tidak betul kerana sejak daripada peringkat awal lagi iaitu pada Sukan Malaysia kami telah melakukan ujian doping, malah mereka juga telah diberikan ceramah dan pendedahan supaya mereka faham dengan perkara-perkara yang melibatkan isu doping.

Bagi jurulatih pula, dalam kursus kejurulatihan mereka juga belajar mengenai peraturan-peraturan doping dan bagi saya ini bukan masalah kurang pendedahan tetapi isu ini timbul disebabkan oleh kepincangan sikap mereka sendiri dan kes-kes seperti ini membuktikan mereka tidak mempunyai sikap yang profesional.

Atlet juga mempunyai hak untuk mempersoalkan mengenai ubat-ubatan atau suplemen yang diberikan kepada mereka. Mereka tidak dipaksa untuk mengambil ubat-ubat ini tetapi disebabkan oleh sikap mereka yang tidak ambil peduli mereka jadi begitu. Bagi mereka... 'biarlah kalau dia yang buat dia yang tanggungjawab sebab dia yang cucuk kita' tetapi dalam hal ini, mereka tidak sedar siapa yang benarkan doktor memberikan suntikan dan siapa yang telan pil.

Saya rasa jika semua atlet begitu, mungkin bukan olahraga sahaja tetapi jika mereka tidak mempunyai sikap yang profesional semua acara sukan juga akan melakukan perkara yang sama.

AKHIR sekali, apakah pesanan atau nasihat Datuk kepada barisan atlet negara.

Saya hanya berharap setiap atlet yang membawa nama negara mampu menggalas tanggungjawab yang diberi dengan sebaik mungkin. Baik atlet, jurulatih mahupun pegawai sukan, masing-masing mempunyai amanah yang diberikan, jadi jalankan amanah dan tanggungjawab itu sebaiknya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved