Ahad, 14 Julai 2013

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Tunjuk perasaan diteruskan

Posted:

Tunjuk perasaan diteruskan

Tunjuk perasaan diteruskan

AHLI-AHLI Ikhwanul Muslimin dan penyokong Morsi berkumpul di Dataran Rabaa Adawiya, Kaherah untuk meneruskan protes mereka.


KAHERAH - Puluhan ribu penyokong Mohammed Morsi berarak di Kaherah pada Jumaat untuk meneruskan protes atas tindakan tentera menggulingkan bekas Presiden Mesir itu pada 3 Julai lalu.

Para penyokong Ikhwanul Muslimin memenuhi Jalan Ramses, dekat Dataran Tahrir dan jambatan tempat pertempuran sengit dengan kumpulan anti-Morsi tercetus minggu lalu.

Di Dataran Tahrir, ribuan rakyat yang menuntut Morsi meletak jawatan berkumpul beramai-ramai. Jarak yang hanya beberapa ratus meter antara kedua-dua kumpulan itu mencetus kebimbangan mengenai kemungkinan keganasan berlaku lagi.

Jumaat minggu lalu, pertempuran di seluruh Mesir antara kedua-dua belah pihak menyaksikan 35 maut dan beratus-ratus yang lain cedera.

Tiga hari kemudian, tentera menembak mati 53 orang penyokong Ikhwanul Muslimin di hadapan ibu pejabat Pengawal Republikan, lokasi Morsi ditahan.

Tuntutan Ikhwanul Muslimin yang mahu kuasa Morsi dikembalikan nampaknya tidak akan dilayan.

Dalam perkembangan berkaitan, Washington buat pertama kalinya menggesa pihak tentera membebaskan Morsi.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jeneral Psaki memberitahu, AS setuju dengan permintaan Jerman sebelum ini yang mendesak Morsi dibebaskan.

Washington mahu halangan pergerakan Morsi ditamatkan. Jerman pula mencadangkan satu badan yang dipercayai seperti Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah diberi akses untuk berjumpa dengan Morsi. - Agensi

Polis Indonesia teruskan operasi buru 131 banduan

Posted:

Polis Indonesia teruskan operasi buru 131 banduan

Polis Indonesia teruskan operasi buru 131 banduan


PASUKAN polis membuat sekatan jalan untuk memburu saki-baki banduan yang melarikan diri dari penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia kelmarin.


MEDAN - Polis Indonesia semalam memperluaskan operasi memburu 131 banduan termasuk empat militan yang melarikan diri dari sebuah penjara semasa tercetusnya rusuhan yang mengakibatkan lima orang terbunuh.

Sejumlah banduan dikatakan mula mengamuk di Penjara Tanjung Gusta di Medan, Pulau Sumatera pada Khamis lalu.

Mereka juga mencetuskan kebakaran dan membaling botol ke arah pengawal penjara kerana berang berhubung gangguan bekalan air dan elektrik di pusat tahanan itu.

Penjara tersebut terbakar serta mengorbankan tiga banduan dan dua kakitangan penjara yang terperangkap di dalam pejabat.

"Kami meningkatkan usaha dengan mengarahkan semua anggota polis di Pulau Sumatera untuk menjalankan operasi memburu secara besar-besaran," kata jurucakap polis Sumatera Utara, Heru Prakoso.

Prakoso memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menawan kembali penjara tersebut pada petang Jumaat lalu dan menahan semula 81 daripada 212 banduan yang melarikan diri.

"Tahap keselamatan di semua pintu masuk sempadan wilayah Sumatera Utara telah dipertingkatkan," katanya sambil menambah pasukan elit antikeganasan Indonesia, Detasmen 88 turut terlibat dalam operasi itu.

Terdahulu, polis menyatakan banduan yang melarikan diri terlibat dalam latihan militan untuk serangan ala-Mumbai terhadap individu berprofil tinggi di Indonesia.

Mereka juga dikaitkan dengan rompakan bank untuk membiayai kegiatan keganasan.

Sebanyak 1,000 anggota polis dan tentera dikerah untuk mengawal pusat tahanan berkenaan. - AFP

Kereta api tergelincir di Paris, enam maut

Posted:

Kereta api tergelincir di Paris, enam maut

Kereta api tergelincir di Paris, enam maut


SEKUMPULAN pegawai polis menyiasat lokasi sebuah kereta api yang tergelincir di sebuah stesen di Bretigny-sur-Orge, selatan Paris semalam.


BRETIGNY-SUR-ORGE, Paris - Sebuah kereta api yang membawa beratus-ratus penumpang tergelincir dan merempuh sebuah stesen di selatan Paris semalam, membunuh sekurang-kurangnya enam orang.

Kementerian Dalam Negeri berkata, kemalangan itu juga menyebabkan berpuluh-puluh yang lain cedera termasuk sembilan orang berada dalam keadaan kritikal.

Insiden di stesen Bretigny-sur-Orge adalah yang paling dahsyat di negara berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Presiden Perancis, Francois Hollande turut bergegas ke lokasi kejadian.

Sejumlah gerabak kereta api dilaporkan meluncur ke arah stesen hingga meranapkan bahagian bumbung di platform terbabit.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, seramai 300 anggota bomba, 20 petugas perubatan dan lapan helikopter dikerahkan untuk menyelamatkan beratus-ratus penumpang.

Seramai 190 orang dirawat kerana cedera atau trauma.

Jurucakap syarikat kereta api SNCF, Guillaume Pepy menganggap kejadian itu sebagai 'malapetaka'.

SNCF berkata, kereta api berkenaan membawa 385 penumpang semasa ia tergelincir pada pukul 5.15 petang waktu tempatan kelmarin.

Stesen Bretigny-sur-Orge berada sekitar 20 kilometer (km) di selatan Paris. - AP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved