Khamis, 4 Julai 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Perjuangan seorang cendiakawan Melayu

Posted:

Perjuangan seorang cendiakawan Melayu

Perjuangan seorang cendiakawan Melayu

PROF. Datuk Dr. Nik Safiah Karim cukup mengenali lelaki itu. Mereka pernah sama-sama menuntut di Fakulti Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) sekitar awal tahun 60-an.

Beliau mengakui, biarpun menuntut di fakulti yang sama, mereka tidak begitu akrab. Hanya bertemu sekali- sekala, itu pun jika ia melibatkan aktiviti-aktiviti di fakulti.

Sungguhpun begitu, Nik Safiah amat mengagumi lelaki itu. Beliau bukan sahaja pelajar cemerlang malah seorang yang aktif dengan pelbagai aktiviti dan persatuan di universiti.

Bagaimanapun, pada pagi Isnin lalu, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh telah pergi untuk selama-selamanya pada usia 79 tahun.

Selepas lapan tahun terlantar akibat strok dan beberapa penyakit lain sebelum ini, Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya.

Beliau meninggalkan balu Puan Sri Salmah Abu Bakar, 69, dan tujuh anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan.

Mengimbau kenangan bersama ketika di zaman universiti, Nik Safiah berkata, ketokohan dan bakat kempimpinan Awang Had sudah terserlah apabila beliau menjawat beberapa jawatan penting termasuk menjadi Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

"Di bawah kepimpinan beliau, PBMUM menjadi sebuah persatuan pelajar yang aktif dalam memperjuangkan bahasa Melayu dan bidang sastera di negara ini.

"Selain berkemampuan memimpin, beliau juga cukup berbakat dengan menghasilkan pelbagai karya dan penulisan sastera yang bermutu tinggi," katanya ketika dihubungi Kosmo!

Tambah Nik Safiah, selepas tamat pengajian mereka membawa haluan masing-masing.

Beliau meneruskan kerjayanya sebagai tutor di Jabatan Pengajian Melayu, UM sementara Awang Had pula menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Rakan setugas

Bagaimanapun sekitar tahun awal tahun 70-an, mereka mula menjadi rakan setugas apabila Awang Had dilantik sebagai Penolong Pensyarah di Fakulti Pendidikan, UM.

Jelasnya, Awang Had merupakan seorang cendekiawan Melayu yang banyak memberi sumbangan menerusi bidang penulisan kreatif termasuk cerpen, novel, drama dan puisi.

Novel pertamanya, Biru Warna, terkenal dengan bahasa yang indah dan puitis sesuai dengan keperibadiannya yang lemah-lembut dan berhemah ketika berbicara.

Beliau juga pernah menulis buku-buku untuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kegiatan menulis kertas kerja ilmiah dan rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan diteruskan sehingga akhir hayat termasuk ketika menjadi penulis jemputan.

"Beliau seorang penulis yang tiada tolok bandingnya. Setiap karyanya bukan sahaja sempurna tanpa kesalahan bahasa, malah mempunyai kata-kata indah yang lahir daripada jiwa.


SUMBANGAN Awang Had dalam bidang pendidikan mendapat pengiktirafan pelbagai pihak di dalam dan luar negara.


"Malah sepanjang mengajar di UM, saya turut menggunakan beberapa karya beliau sebagai sumber rujukan dan pengajaran kepada pelajar," ujarnya yang memberitahu, pemergian Awang Had merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Dilahirkan pada 24 Jun 1934 di Balik Pulau, Pulau Pinang, Awang Had mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pulau Betung.

Pada tahun 1956, beliau telah bertugas sebagai guru di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga 1959 sebelum menyambung pengajian di UM dalam bidang sastera dan seterusnya di peringkat kedoktoran dalam bidang pendidikan di Universiti Stanford, Amerika Syarikat.

Berkhidmat di UM sehingga tahun 1978, beliau telah memegang pelbagai jawatan termasuk penolong pensyarah, pensyarah, profesor madya dan akhirnya profesor.

Dari segi pentadbiran pula, beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Pendidikan dan kemudiannya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.

Tidak cukup dengan itu, Awang Had juga pernah dilantik sebagai Pengarah Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dari 1978 hingga 1980 dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1980 hingga 1984.

Malah beliau juga bertanggungjawab membangunkan Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika dilantik menjadi Naib Canselor yang pertama dari 1984 hingga 1989.

Pada Julai 2000, Awang Had dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Sementara itu, seorang rakannya, Datuk Dr. Baharudin Zainal, berkata, selain cemerlang sebagai ahli akademik dan pentadbir universiti, Awang Had juga merupakan seorang pejuang bahasa Melayu yang sukar dicari ganti.

Pernah bersama-sama menuntut di UM satu ketika dahulu, Baharudin atau lebih dikenali dengan nama penanya, Baha Zain memberitahu, mereka pernah berjuang bersama-sama dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

"Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa beliau merupakan antara mereka yang terawal memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan ketika itu," katanya.


BIARPUN sibuk dengan pelbagai komitmen, Awang Had (tengah) tetap meluangkan masa menyertai forum atau persidangan yang berkaitan bahasa Melayu dan sastera.


Tambahnya, biarpun sibuk dengan pelbagai komitmen dan jawatan yang disandang sama ada di peringkat universiti atau kerajaan, Awang Had tetap meluangkan masa untuk melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan sastera di negara ini.

Secara tidak langsung usaha gigih yang dilakukan beliau dan rakan-rakan seangkatannya berjaya memartabatkan bidang sastera melalui pelbagai aktiviti, forum dan sebagainya.

Mencintai ilmu

Berpengalaman sebagai seorang guru, tidak hairanlah jika Awang Had begitu mencintai ilmu sehingga akhir hayatnya.

Perkara itu diakui sendiri oleh menantunya, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Katanya, walaupun sudah bersara daripada bidang pendidikan dan mempunyai ijazah kedoktoran, bapa mertuanya itu gigih mempelajari pelbagai bidang ilmu untuk mengisi masa lapang.

"Beliau menganggap ilmu perlu dituntut sehingga akhir hayat. Tidak hairanlah ketika masih sihat dahulu beliau sanggup mengambil pengajian jarak jauh dalam bidang lukisan kerana minat melukis," ujarnya dalam satu temu ramah bersama sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Tambah Abdul Rahman, satu perkara yang paling dikagumi tentang bapa mentuanya ialah beliau amat menitikberatkan soal pendidikan dalam keluarga.

"Setiap kali pulang dari luar negara beliau akan membelikan hadiah bahan bacaan buat cucu-cucunya kerana baginya jika diajar mengenali buku sejak kecil, mereka akan menghargai buku sehingga dewasa.

"Kata-kata itu ternyata ada kebenarannya, sampai sekarang anak-anak saya tidak boleh tidur jika tiada buku. Itu yang membuatkan saya kagum," jelasnya.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa-jasa dalam bidang pendidikan, beliau telah dikurniakan pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1982.

Selain itu, beliau juga turut menerima pelbagai anugerah akademik dari dalam dan luar negara. Antaranya, Anugerah Kehormat ABE, United Kingdom pada 1983, Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Brock, Kanada; Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada UKM dan Profesor Emeritus daripada UUM.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved