Isnin, 3 Jun 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Dunia Baharu David Beckham

Posted:

Dunia Baharu David Beckham

Dunia Baharu David Beckham

Susunan HAFIZ AHMAD

AKSI tangkas dan lincah jejaka berusia 38 tahun ini di atas padang telah sampai ke titik penamat apabila dia mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak yang telah menjadi sandaran rezeki, juga popularitinya sejak 20 tahun lalu.

Apakah langkah seterusnya yang bakal disusuri oleh David Beckham? Umum mengetahui kelibat anak watan Leytonstone, London, England itu sering kelihatan dalam lembaran-lembaran fesyen dan menghadiri pertunjukan fesyen pereka ternama. Malah, dia juga menjenamakan dirinya sebagai satu produk yang boleh melariskan perniagaan.

Mungkinkah kita bakal melihat Beckham menguasai dunia glamor fesyen seperti dilakukan oleh sang isteri, Victoria Beckham yang sudah memateri nama sebagai antara pereka busana terkenal dunia?

Andaian itu turut dipersetujui oleh mantan pengurus kelab bola sepak Manchester United (MU), Alex Ferguson yang percaya bekas anak didiknya itu bakal menceburi aliran fesyen sebagai satu kerjaya baharu kepada Beckham.

"Keupayaan Beckham dalam meluaskan pengaruh dan mengukuhkan nama ke seluruh dunia merupakan sesuatu yang menakjubkan.

"Apabila dia berpindah ke Amerika untuk bermain bersama kelab LA Galaxy pada tahun 2007, tiada siapa menyangka dia mampu membina karier di sana.

"Situasi sama juga berlaku ketika dia bermain di negara-negara Eropah. Semua orang menerima Beckham, malah dia terus mendapat perhatian media antarabangsa," kata Ferguson kepada media antarabangsa baru-baru ini.

Tambah Ferguson, dari sudut kesukanan, Bec- kham merupakan seorang atlet yang mempunyai tahap stamina tinggi. Dalam usia menghampiri 40-an, dia sentiasa menjadi pilihan untuk terus berada di padang bermain dalam perlawanan bola sepak.

Beckham menyertai MU ketika berusia 11 tahun dan telah bersama dengan kelab gergasi dunia itu selama 11 tahun di bawah kendalian Ferguson. Ketika bermain untuk MU, dia menjulang kejuaraan Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara sebanyak enam kali.

"Dia masih muda lagi. Saya membayangkan fesyen akan menjadi pilihan Beckham selepas persaraannya," kata Furgeson yang juga telah bersara pada bulan Mei lepas.


VICTORIA menjadi individu yang bertanggungjawab mengubah penampilan Beckham sehingga menjadi ikon lelaki metroseksual.


Pesona diri yang tampan dan berketrampilan menarik menjadikan Beckham sebagai duta pelbagai produk dan rumah fesyen. Dia telah menghiasi beberapa kempen antarabangsa termasuklah Emporio Armani, Breitling, Adidas, Police, Gillette, Samsung dan Pepsi.

Pakar penjenamaan meramalkan jumlah kekayaan Beckham bakal meningkat berlipat kali ganda selepas persaraannya kerana mempunyai masa untuk fokus kepada peluang komersial.

"Beckham adalah ikon gaya hidup. Dia tidak memakai baju sukan dalam kempen iklan, malah hanya menyarungkan persalinan kasualnya sendiri," ujar Pengarah Komunikasi Korporat Vodafone, Michael Caldwell.

Rupa paras dan lagak persis seorang model melayakkan Beckham mendapat tajaan dan jemputan daripada pereka fesyen antarabangsa.

Kontrak H&M

Syarikat pakaian kasual dari Sweden, H&M bakal menyambung kontrak bersama ikon metroseksual itu untuk musim luruh akan datang. Dia yang pernah mengeluarkan dua koleksi pakaian dalam istimewa untuk lelaki akan terus menyumbangkan idea terbaharu kepada jenama tersebut.

"Beckham adalah seorang ahli sukan dan mempunyai cita rasa fesyen yang baik. Pihak kami tidak sabar untuk berkolaborasi sekali lagi untuk koleksi musim luruh akan datang," ujar jurucakap H&M kepada media baru-baru in.

Wakil agensi pengurusan Beckham, Simon Fuller's XIX Entertainment tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai persaraan legenda bola sepak itu. Bagaimanapun, mereka mengesahkan yang Beckham akan meneruskan kontrak bersama beberapa jenama seperti Sky, Sainsbury's, Adidas dan juga H&M.

Penggunaan selebriti sebagai jurucakap atau duta sudah menjadi tradisi dan ikutan seluruh dunia. Ia memberi pulangan lumayan kepada mereka kerana setiap kontrak yang ditandatangani bernilai jutaan ringgit untuk satu tempoh masa.

Namun begitu, ia juga memberi risiko, terutamanya kes-kes penyalahgunaan nama selebriti dalam produk atau syarikat yang tidak bertanggungjawab. Beckham juga tidak terkecuali apabila imej dan namanya telah digunakan tanpa kebenaran untuk satu iklan penerbangan tambang murah, EasyJet.

Isu terpencil itu tidak menggugat kekayaan Beckham, malah menurut majalah kewangan, Forbes, dia merupakan atlet kelapan mendapat bayaran tertinggi iaitu sebanyak RM142.39 juta pada tahun 2012 yang merangkumi gaji dan bayaran sebagai jurucakap.

Kembara baharu


BECKHAM bersama tiga orang anaknya (dari kiri) Brooklyn, Cruz dan Romeo James,


Mengulas mengenai persaraan suaminya, Victoria menggambarkan Beckham sebagai seorang ahli sukan dan idola yang memberi inspirasi kepada jutaan peminat seluruh dunia.

"Saya dan anak-anak sangat berbangga dengan Beckham. Ia merupakan perjalanan hidup yang menakjubkan apabila menyaksikan sendiri dia bermain sepanjang karier bola sepaknya. Kami bersama-sama berkongsi kegembiraan ketika pasukan Beckham menjadi juara, dari MU sehingga ke Paris Saint-Germain.

"Ia bukan keputusan yang mudah untuk dilakukan tetapi kami teruja untuk meneruskan langkah bersama," ujarnya dalam kenyataan kepada media.

Beckham pula berkata, tiada apa-apa yang dapat menggantikan kecintaannya kepada dunia bola sepak. Seperti Victoria, dia mula menyukai kembara baharu dalam hidupnya dan tidak sabar untuk menjelajah kerjaya yang bakal diteroka kelak.

"Saya sangat bertuah kerana diberi peluang yang banyak sepanjang karier bola sepak dan sekarang tiba masanya untuk menyumbang sesuatu kepada mereka yang memerlukan," kata Bec- kham yang turut aktif dalam badan kebajikan.

Dia telah menyertai beberapa persatuan dan badan kebajikan yang membuatkannya sibuk setiap masa. Salah sebuah organisasi yang diketuai oleh Beckham ialah Malaria No More UK Leadership Council, Help for Heroes dan Victoria and David Beckham Charitable Trust.

Nilai sehelai jersi

Posted:

Nilai sehelai jersi

Nilai sehelai jersi

Oleh ALIF ABU BAKAR

PEMBELI boleh memilih jersi futsal mengikut cita rasa masing-masing.


BARANGKALI masa untuk rakyat Malaysia mula mengagungkan pasukan bola sepak tanah air sudah kembali.

Ia berikutan kebangkitan mutu dan populariti sukan bola sepak negara yang kian membanggakan sejak kebelakangan ini telah menarik lebih ramai anak muda menyemai nilai patriotisme terhadap pasukan bola sepak tempatan.

Tambah menarik apabila setiap pasukan tanah air tampil dengan pelbagai rekaan jersi menarik. Di atas padang, para pemain bola sepak tampak bergaya dan stailo menggayakan jersi masing-masing.

Ramai anak muda khususnya pengumpul jersi tegar tertanya-tanya bagaimana mahu mendapatkan jersi-jersi pasukan bola sepak tempatan? Kebanyakan butik sukan di negara ini lebih mengutamakan jersi kelab bola sepak antarabangsa.

Menerusi butik Futbol Haus, pencinta bola sepak tempatan mampu memenuhi keinginan mereka. Jersi-jersi pasukan bagi tiga liga utama di Malaysia boleh didapati di butik yang telah beroperasi hampir empat bulan itu.

Rare items like no other, menjadi moto Futbol Haus. Jersi pasukan-pasukan bola sepak tanah air itu juga disediakan bagi perlawanan di tempat sendiri dan tempat lawan. Rangkaian jersi pada musim yang lepas juga boleh diperoleh di butik tersebut.

"Kami juga menawarkan jersi-jersi pasukan bola sepak Liga Thailand dan setakat ini sambutan yang diterima amat menggalakkan. Pembeli juga boleh membeli jersi kosong dan menetapkan rekaan bagi nama dan nombor pada bahagian belakang jersi.

"Kami turut menyediakan variasi jersi futsal untuk mereka yang mempunyai pasukan futsal sendiri," jelas pemilik Futbol Haus, Ridzuan Yang ketika ditemui Kosmo! di butik Futbol Haus, Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi jersi Liga Malaysia, ia dijual pada harga RM70 sehingga RM130. Pembeli juga tidak perlu khuatir dengan kualiti jersi di butik itu kerana semua jersi yang dijual adalah asli.

Serlah imej dalam berpakaian

Posted:

Serlah imej dalam berpakaian

Serlah imej dalam berpakaian

Oleh MOHAMMAD HAFIZ AHMAD

SELARIKAN warna dengan pilihan senada bagi penampilan bergaya.


KESUNTUKAN masa sentiasa dijadikan alasan oleh sesetengah wanita untuk tampil ala kadar ke acara-acara yang dihadiri mereka. Apa sahaja yang tercapai oleh tangan, disarung ke badan tanpa mempedulikan konsep fesyen yang betul.

Mungkin ia agak sedikit remeh dan leceh, tetapi sudah menjadi naluri seorang wanita untuk kelihatan anggun dan mendapat pujian daripada suami tercinta. Ketepikan alasan kesibukan mengurus rumah tangga atau kerja-kerja yang tidak pernah habis, dandan diri anda dengan persalinan cantik dan mengikut syariat yang ditetapkan.

Jika tidak punya masa untuk memilih atau membeli baju baharu, penuhkan dada dengan mempelajari konsep suai padan yang nyata tidak memerlukan wang ribuan ringgit. Cukup sekadar bijak memilih ketika membuat pembelian.

Menurut salah seorang pemilik Busy Mommy Boutique, Nur Asma' Ahmad Safyan, 36, warna memainkan peranan penting dan merupakan asas utama untuk konsep suai padan.

Kombinasi warna

"Hitam, biru gelap, coklat dan kelabu merupakan warna-warna asas yang perlu ada untuk setiap pakaian wanita muslimah supaya ia dapat disesuaikan mengikut majlis. Kombinasi warna ini jika pandai digayakan, dapat memberi lebih banyak pilihan untuk digayakan ke majlis formal mahupun kasual," ujarnya ketika sesi fotografi bersama Stailo di Studio Utusan, baru-baru ini.

Tambahnya, warna polos merupakan pilihan selamat dan mudah dipadankan dengan warna kontra atau bercorak. Sebagai contoh, jika baju bercorak atau berbunga, pemilihan hijab polos dengan warna senada boleh menimbulkan aura keayuan kepada si pemakai.

Konsep suai padan memberi banyak pilihan kepada wanita kerana tidak perlu membeli busana atau aksesori baharu setiap kali menghadiri acara-acara besar. Padankan busana yang sedia ada dengan aksesori tambahan bagi memberi kelainan dalam penampilan.

"Apa yang penting, mereka perlu pandai suai padan aksesori tambahan seperti cincin, gelang, kasut atau beg yang berbeza setiap kali menghadiri majlis atau ke pejabat," ujar Asma'.

PADANAN tudung corak flora menambah seri ketika menghadiri acara bersama si dia.


Perkara yang paling mudah dan ringkas ialah menggayakan tudung dan aksesori berbeza dengan busana yang sedia ada. Seluar palazzo atau skirt labuh berwarna gelap boleh dijadikan salah satu pilihan untuk suai padan.

Beliau mengusahakan butik yang terletak di Bandar Seri Putra, Bangi itu bersama Shahrul Azra Anuar, 34. Butik itu menyediakan pelbagai pilihan kepada wanita bekerja dan ibu yang tidak punya masa untuk membeli-belah.

"Busy Mommy Boutique bukan sahaja memenuhi cita rasa pelanggan tetapi memberi khidmat nasihat fesyen bagi pelanggan yang mahukan penampilan berbeza, namun masih mengekalkan identiti mereka dan mengikut syariat," jelas Shahrul Azra.

Bagi memastikan setiap busana yang ditawarkan oleh butik mereka mengikut syariat, Busy Mommy Boutique menawarkan pakaian yang longgar dan tidak melekap pada tubuh.

"Busana mestilah tidak jarang, tidak panas dengan menggunakan fabrik kapas atau lycra yang berkualiti tinggi kerana ia mudah dijaga dan selesa," kata Shahrul Azra.

Imej ringkas menjadi pegangan kepada mereka, namun masih mengekalkan gaya anggun dalam penampilan. Warna-warna lembut dan pastel melatari kebanyakan busana kerana ia menaikkan seri dan kesopanan seseorang wanita.

"Setiap wanita perlu kreatif dalam menyuaipadankan persalinan mereka. Tidak perlu terlalu mengikut aliran fesyen semasa kerana yang paling penting ialah keselesaan," ujar Asma'.

Untuk koleksi akan datang, Busy Mommy Boutique akan mengeluarkan koleksi kanak-kanak dan busana lelaki yang bakal dikeluarkan pada bulan Ramadan.

"Selain itu, kami bercadang untuk mengeluarkan pakaian ibu mengandung dan ibu menyusu yang bersesuaian untuk wanita muslimah," kata Asma'.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved