Isnin, 3 Jun 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Fokus kerjaya, buang cinta

Posted:

Fokus kerjaya, buang cinta

Fokus kerjaya, buang cinta

BAGI yang mengikuti kisah percintaan antara Sharnaaz Ahmad dan Shila Amzah, mungkin ramai yang beranggapan bahawa ia seperti perjalanan cerita sebuah drama atau telemovie.

Tambahan pula dengan rentetan kontroversi yang membelenggu hubungan kedua-duanya, tetapi akhirnya takdir telah menentukan ikatan cinta yang terjalin antara Sharnaaz dan Shila menemui titik noktahnya.

Berkesempatan bertemu Sharnaaz ketika pelancaran filem terbaharu arahan Bade Haji Azmi iaitu Sindiket minggu lalu, dia meminta supaya kisah cintanya yang lepas tidak perlu diungkitkan lagi.

Bagaimanapun, sesuatu yang wajar dipuji apabila pelakon itu tetap tenang dan ceria menjawab setiap soalan yang diajukan serta sanggup meluangkan sedikit masa untuk ditemu bual wartawan, meskipun terpaksa bergegas kerana mempunyai urusan lain.

"Biarlah apa yang berlaku dahulu menjadi satu pengajaran yang paling bermakna buat diri saya. Kalau boleh saya tidak mahu lagi bercerita tentang kisah cinta saya yang sudah berlalu.

"Sekarang ini saya mahu memberi fokus kepada kerjaya lakonan sahaja. Saya bersyukur kerana tawaran berlakon yang diterima makin banyak dan perlu menghargai peluang yang telah diberikan ini," ujarnya yang mengambil pendekatan untuk tidak mahu mengulas panjang.

Menurut pelakon kelahiran Pulau Pinang itu, segala kontroversi yang pernah melanda dirinya sebelum ini langsung tidak menjejaskan kariernya sebagai seorang pelakon.

Ujarnya, dia percaya dengan menunjukkan kesungguhan dan komitmen terhadap tanggungjawab yang diberikan, ia menjadi bukti kepada penerbit dan pengarah yang dia sememangnya bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam bidang lakonan.

"Sudah tentu saya tidak perlu fikir lagi dan lupakan sahaja semua masalah yang pernah berlaku. Lagipun dengan peluang yang diberikan ia tidak seharusnya disia-siakan dan kini lebih gembira dengan kehidupan sekarang," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada dia masih lagi berhubung dengan bekas kekasihnya itu atau tidak, Sharnaaz menyatakan mereka tidak lagi berhubung kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Menurutnya, biarpun sudah tidak lagi mempunyai sebarang ikatan percintaan, tetapi ia tidak bermakna mereka perlu bermusuhan kerana sudah ditakdirkan memang tiada jodoh antara mereka berdua.

Terus berkisar tentang cinta, pelakon tersebut juga diminta mengulas desas-desus yang mengaitkannya dengan seorang pelakon wanita kelahiran Singapura iaitu Elfaeza Ul Haq.


SHARNAAZ berharap agar kontroversi kisah cintanya bersama Shila Amzah tidak diungkit.


Ujar Sharnaaz, dia agak terkejut kerana memang tiada sebarang hubungan istimewa yang terjalin bersama Elfaeza. Sebaliknya, mereka berdua bergandingan bersama-sama dalam drama bersiri Mukhlis baru-baru ini.

"Demi Allah saya dan Elfaeza tidak menjalinkan hubungan cinta seperti yang diperkatakan. Rasanya semua orang tahu yang saya ini bukanlah jenis individu yang suka berahsia.

"Sebelum ini pun saya tidak pernah merahsiakan kisah percintaan dengan Shila dahulu. Kalau betul kami ini bercinta, saya akan berterus terang kepada semua orang," jelasnya yang kini masih belum menemui pengganti.

Ujarnya, biarpun kini tidak lagi mempunyai kekasih, ia tidak bermakna dia sudah menutup pintu hatinya kepada wanita lain, namun dia merasakan lebih baik sekiranya dia fokus kepada kerjaya terlebih dahulu.

Masalah selesai

Selain kisah cintanya yang menjadi tumpuan ramai, Sharnaaz turut terpalit dengan sebuah lagi kontroversi tentang persengketaannya dengan penerbit filem Darah Panas iaitu S. Baldev.

Persengketaan tersebut terjadi apabila dia dikatakan telah meninggalkan lokasi penggambaran dan bergaduh dengan salah seorang kru produksi sehingga dikenakan tindakan saman.

Mengulas mengenai perkara berkenaan, pelakon itu menjelaskan bahawa persengketaan yang terjadi sudah pun selesai dan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.

"Menerusi perbincangan yang dilakukan kami mengambil keputusan menerusi win-win situation (situasi menang-menang) dan berpuas hati dengan apa yang telah diputuskan.

"Jadi, saya anggap perkara ini sudah selesai dan berakhir dengan cara baik dan pada bulan Julai ini saya akan terbabit dengan proses dubbing untuk filem itu," jelasnya.

Selain itu, Sharnaaz telah meluahkan hasratnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mengaitkan dirinya dengan penggunaan nama Lan Todak di laman Twitter yang dikatakan telah memaki keluarga Shila Amzah.

Tegas Sharnaaz, dia langsung tidak ada kena-mengena dengan nama itu dan beranggapan ia dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan namanya.


SHARNAAZ bersyukur kerana masih mempunyai banyak tawaran berlakon walaupun ditimpa pelbagai gosip negatif tentang dirinya.


"Ia merupakan satu fitnah kalau ada yang beranggapan nama Lan Todak dalam Twitter itu adalah saya. Sudah tentu saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya kepada mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab itu," ujarnya.

Turun padang

Berkenaan dengan kes buli yang telah berlaku baru-baru ini, Sharnaaz meluahkan rasa kesalnya apabila ada pelajar yang terpengaruh dengan wataknya sebagai Lan Todak dalam filem Juvana The Movie yang ditayangkan pada awal tahun lalu.

Ujarnya, dia sangat terkejut dan tidak sangka watak Lan Todak itu telah memberi impak negatif terhadap segelintir pelajar sehingga dikaitkan dengan kes buli.

"Saya melihat penayangan filem-filem yang berkaitan dengan kenakalan pelajar-pelajar sekolah ini dapat memberikan pengajaran yang berguna kepada masyarakat.

"Sebaliknya, masalah lain pula yang berlaku dan secara peribadi saya ingin meminta maaf kepada semua pihak sekiranya watak yang saya bawa itu memberi kesan buruk," ujarnya.

Menyedari bahawa kes buli yang berlaku itu merupakan satu masalah yang cukup besar, Sharnaaz menyatakan kesudiannya untuk turun padang memberi ceramah dan motovasi kepada pelajar-pelajar sekolah tentang buli.

"Kalau ada mana-mana pihak yang berminat mahu memanggil saya memberikan ceramah, saya tidak kisah sekiranya ada kelapangan dan berharap supaya tidak ada lagi pelajar sekolah yang terpangaruh dengan filem tersebut," ujarnya.

Najwa Latif mahu jadi pensyarah

Posted:

Najwa Latif mahu jadi pensyarah

Najwa Latif mahu jadi pensyarah

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


NAJWA kini muncul dengan single terkini berjudul I Love You.


SETELAH mengambil keputusan untuk berehat selama beberapa bulan kerana menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, kini penyanyi Najwa Latif semakin ligat membuat persembahan.

Menerusi laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram, penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Muka Buku itu kerap mengemaskini tentang aktiviti seninya termasuk lokasi dia mengadakan persembahan.

Ketika ditemui semasa majlis penutup Program IP Summer Camp 2013 di Sekolah Sri Puteri, Cyberjaya minggu lalu, Najwa menyatakan jadual nyanyiannya sekarang cukup padat dengan pelbagai tawaran yang diterima.

Menariknya, penyanyi yang telah mendapat keputusan 4A dalam peperiksaan SPM beberapa bulan lalu mendedahkan dia baru sahaja mendapat tawaran belajar dalam bidang muzik.

Kosmo!: Bagaimanakah dengan perkembangan terbaharu kerjaya Najwa sekarang?

Najwa: Selepas berehat panjang pada tahun lalu, kali ini barulah saya berpeluang untuk aktif menyanyi semula dan sekarang ini saya sibuk mengadakan siri jelajah showcase di beberapa buah negeri seperti Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Selangor.

Selain itu, saya sedang mempromosikan single terbaharu saya iaitu I Love You dan ia merupakan lagu kelima dalam album saya yang pertama. Saya juga sudah memuat naik teaser lagu tersebut di laman YouTube untuk tatapan peminat.

Boleh ceritakan sedikit tentang lagu I Love You itu?

Lagu berkenaan merupakan ciptaan saya sendiri dan liriknya pula dihasilkan oleh kakak saya iaitu Ika Latif. Ia menceritakan tentang kisah seorang wanita yang memendam perasaan terhadap seorang lelaki, tetapi takut untuk meluahkannya.


NAJWA LATIF memberitahu dia mahu melanjutkan pelajaran dalam jurusan Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), bukan dalam bidang muzik.


Sepanjang bergelar penyanyi, Najwa dilihat selalu berkolaborasi dengan kakak dalam penciptaan lagu. Adakah Najwa tidak berminat menyanyikan lagu daripada komposer yang lain?

Buat masa ini saya memang lebih selesa bekerjasama dengan kakak memandangkan kami agak rapat dan selalu bersama. Lagipun pada usia kami yang tidak jauh berbeza, dia lebih memahami cita rasa dalam menghasilkan lirik yang sesuai.

Namun begitu, saya tidak menolak menyanyikan lagu daripada komposer lain sekiranya bersesuaian dengan saya, malah sudah ada beberapa komposer yang berjumpa dengan saya dan memberikan lagu mereka.

Memandangkan kemasukan pelajar baharu ke institut pengajian tinggi (IPT) akan bermula, adakah Najwa tidak mendapat sebarang tawaran melanjutkan pelajaran ke mana-mana IPT?

Kira-kira dua minggu lalu saya sudah membuat semakan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan saya mendapat tawaran dalam jurusan Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), tetapi masih belum buat keputusan sama ada mahu menerima tawaran tersebut atau sebaliknya.

Mengapakah tidak terima sahaja tawaran itu memandangkan sekarang Najwa memang terbabit dalam bidang muzik?

Sebenarnya saya lebih berminat mengikuti pengajian dalam bidang Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) kerana bercita-cita mahu menjadi seorang guru atau pensyarah Bahasa Inggeris.

Lagipun bidang nyanyian ini sebenarnya lebih kepada hobi sahaja dan rasanya lebih baik saya menyambung pelajaran dalam bidang yang diminati untuk kebaikan masa hadapan.

Sorakan gamat bukti awal Mior juara

Posted:

Sorakan gamat bukti awal Mior juara

Sorakan gamat bukti awal Mior juara

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


MIOR belum mempunyai perancangan untuk membelanjakan wang kemenangan yang berjumlah RM50,000. Namun dia berhasrat untuk aktif membuat persembahan bersama kumpulannya, Sixth Pack.


PESERTA yang terkenal dengan imej rock, Mior Yazid Ahmad, akhirnya dipilih sebagai juara Kilauan Emas musim ketiga yang berlangsung di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada malam Rabu lalu.

Mendendangkan dua buah lagu iaitu Purnama daripada kumpulan Search dan juga lagu baharu ciptaan Sri Wirama Adnan Abu Hassan, Sampai Di Sini, peserta berusia 44 tahun itu berjaya memenangi hati juri dan penonton apabila mendapat sorakan serta tepukan gemuruh daripada penonton di auditorium.

Itu petanda awal bahawa Mior bakal dinobatkan sebagai juara pada malam itu. Ternyata tekaan itu benar apabila peserta yang berasal dari Selangor itu berjaya mengetepikan tiga peserta lain dan mendapat undian tertinggi sebanyak 29.5 peratus daripada juri profesional yang mewakili 70 peratus markah, manakala penonton sebanyak 30 peratus.

Juri profesional Datuk Shake memberitahu, suara Mior sangat hebat malah, dia juga mampu menyanyikan bahagian lagu Purnama yang bernada tinggi dengan baik.

Seorang lagi juri profesional iaitu Ziana Zain, menyifatkan Mior sebagai seorang penyanyi rock tegar kerana kekuatannya dalam menyanyikan lagu-lagu rock tidak boleh disangkal lagi.

Mengulas mengenai kemenangannya, ungkap Mior, sorakan gamat daripada penonton yang diberikan sewaktu dia membuat persembahan tidak membuktikan dirinya juara Kilauan Emas musim ketiga sehingga namanya diumumkan.

"Sorakan gamat penonton bukan petanda diri saya sebagai juara. Saya tidak menjangka kemenangan ini dan syukur Alhamdulillah saya dipilih sebagai juara," ujarnya teruja.


KONGSI kemenangan. Dari kiri pemenang tempat ketiga, Silahuddin Ali, Mior Yazid Ahmad (juara) dan Idris Mohd. Shabidin sebagai naib juara.


Mior berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM50,000 dan sebuah kereta Nissan Livina X-Gear sumbangan Astro yang bernilai RM90,000.

Mior turut membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000 apabila dipilih sebagai pemenang Anugerah Khas Juri pada malam itu.

Ditanya apakah yang ingin dilakukan dengan duit kemenangan tersebut, bapa kepada tujuh orang anak itu masih belum mempunyai sebarang perancangan.

Begitupun, dia berhasrat untuk meneruskan kariernya bersama kumpulan yang ditubuhnya sejak 25 tahun lalu iaitu Sixth Pack.

"Perancangan untuk membelanjakan duit kemenangan bernilai RM50,000 masih belum ada. Cuma saya berharap dapat bergerak aktif bersama kumpulan Sixth Pack selepas ini," ujarnya yang mengakui masih belum terlambat untuk aktif dalam bidang nyanyian.

Sementara itu, tempat kedua pertandingan Kilauan Emas musim ketiga dimenangi oleh peserta dari Kedah iaitu Idris Mohd. Shabidin, 51, dan dia membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000 berserta trofi.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh peserta dari Johor iaitu Silahuddin Ali, 52 dan dia memenangi wang tunai bernilai RM15,000 berserta trofi.

Dalam pada itu, peserta yang pernah menjadi tumpuan sebelum tersingkir pada konsert separuh akhir, Ros menerima anugerah khas, Personaliti Polident dan membawa pulang wang tunai RM10,000.

Kesemua peserta diadili oleh tiga juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Shake dan Ziana Zain.

Komposer Adnan dan Siti Hajar pula bertindak sebagai guru vokal kepada para peserta.

Kilauan Emas akhir yang dihoskan oleh Raja Azura turut diserikan dengan persembahan daripada Datuk Shake, Ziana Zain, Ali Norpiah (Juara Kilauan Emas musim pertama) dan Fuad (Juara Kilauan Emas musim kedua).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved