Jumaat, 8 Mac 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Gimnasium untuk Hawa

Posted:

Gimnasium untuk Hawa

Gimnasium untuk Hawa

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
berita@kosmo.com.my

KELAS aerobik selama sejam setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu antara yang paling menarik minat kaum wanita.


BENTUK tubuh yang langsing dan menarik sememangnya menjadi idaman hampir setiap wanita.

Tubuh yang langsing bukan sahaja memastikan wanita sentiasa tampil jelita, bahkan penting untuk kesihatan tubuh dan menambahkan keyakinan diri.

Selain faktor pemakanan, senaman adalah satu lagi elemen penting dalam mengekalkan bentuk tubuh yang langsing.

Namun, tidak semua wanita sanggup untuk pergi bersenam di pusat rekreasi atau pusat kecergasan kerana dihantui perasaan malu ketika bercampur dengan kaum Adam. Apatah lagi bagi wanita muslimah yang mementingkan aurat serta keselamatan, lokasi terbuka atau gim uniseks merupakan satu halangan.

Berbekalkan hasrat untuk melihat wanita mempunyai tubuh badan yang ideal, Azlinda Mat Isa, 30, membuka sebuah pusat gimnasium khusus untuk golongan Hawa yang terletak di Persiaran Bandar Baru Mergong, Kedah.

Idea suami

Azlinda berkata, biarpun menyedari kesedaran rakyat Malaysia kebelakangan ini terhadap aktiviti kecergasan di gim, namun dia hanya tergerak untuk mengusahakan LZ Lady Fitness N Gym selepas dicadangkan suaminya, Mazfazizan Muhammad, 36.

"Sewaktu sedang bersenam di gim mini di rumah, suami ada bertanyakan kepada saya, tidak berminatkah untuk membuka gim khusus untuk wanita bagi memudahkan aktiviti bersenam dilakukan tanpa diperhatikan lelaki.


AZLINDA (kanan) memberi nasihat teknik mengggunakan peralatan dengan betul kepada seorang pengunjung.


"Jadi dari situlah saya mula terfikir lalu mengambil idea tersebut untuk membuka sebuah gimnasium yang turut menyediakan ruang untuk aerobik," katanya.

Ternyata idea itu tepat pada masanya, apabila LZ Lady Fitness N Gym mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan wanita termasuklah mereka yang berkerjaya. Mereka biasanya datang ke gimnasium selepas waktu pejabat.

LZ Lady Fitness N Gym bukan sahaja menyediakan ruang dan peralatan untuk bersenam, malah pelanggan juga dapat berkongsi tip yang betul bagi memiliki tubuh badan cantik serta sihat.

Serba lengkap

Pusat kecergasan yang telah beroperasi sejak tiga tahun itu menyediakan khidmat jurulatih wanita kepada pengunjung untuk mengendalikan peralatan senaman dengan betul.

Azlinda berkata, jurulatih yang disediakan tidak hanya membantu pengunjung menggunakan peralatan senaman dengan betul, malah mereka turut memberikan input kesihatan tanpa mengenakan sebarang bayaran.

"Saya tidak mahu pengunjung yang datang ke sini hanya bersenam, tetapi saya juga mahu mereka tahu bagaimana cara senaman yang betul dan bagaimanakah cara pengambilan makanan yang baik untuk sihat.

"Bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik untuk pelanggan, saya juga menyediakan program kurangkan berat badan secara persendirian dengan menyediakan seorang jurulatih khusus untuk peserta yang berkemampuan membayar caj tambahan," katanya.


LZ Lady Fitness N Gym lengkap dengan pelbagai kemudahan peralatan kecergasan khusus untuk kaum wanita.


Selain menggunakan peralatan seperti basikal dan trademill, pelanggan turut disediakan ruang khas untuk melakukan aerobik yang dikendalikan seorang tenaga pengajar berpengalaman.

Azlinda berkata, kelas aerobik yang diadakan selama sejam bermula pukul 6 petang setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan.

Katanya, disebabkan pelanggannya terdiri daripada pelbagai profesion, kemudahan seperti bilik persalinan turut disediakan bagi memudahkan mereka menyalin pakaian pejabat kepada pakaian sukan.

"Kita mahu pelanggan yang datang berasa selesa dengan persekitaran di sini bukan sahaja sewaktu bersenam, malah sebelum dan selepas aktiviti dijalankan," katanya.

Bayaran yang dikenakan kepada pelanggan yang berkunjung ke LZ Lady Fitness N Gym secara walk-in adalah RM8.

Ia beroperasi secara dua sesi pada setiap hari kecuali Isnin dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan pukul 3 petang hingga 10 malam.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai LZ Lady Fitness N Gym bolehlah menghubungi Azlinda di talian 04-7251 189.

Fiesta pamer kehebatan silat

Posted:

Fiesta pamer kehebatan silat

Fiesta pamer kehebatan silat


ILMU persilatan yang ditunjukkan daripada setiap perguruan menjadi kenangan terbaik buat pengunjung fiesta.


DI SEBUAH kawasan lapang, kelihatan dua lelaki sedang beradu tenaga. Kedua-duanya kelihatan sama hebat, saling berbalas tumbukan dan sepakan. Aksi mereka menjadi tumpuan orang ramai yang berada di situ.

Sesekali terdengar teriakan, pertarungan bertambah sengit dan hanya berakhir apabila salah seorang daripadanya tumbang.

Aksi kedua-dua lelaki berkenaan, sebenarnya merupakan salah satu acara yang dipersembahkan pada Fiesta Pencak Silat Beradat di Dataran Lapang Bonzai, Bandar Tenggara, Kulaijaya, Johor, baru-baru ini.

"Program ini bagi memartabatkan kembali seni persilatan selain mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Ia juga bagi memberi peluang kepada golongan remaja untuk aktif dalam memperjuangkan seni budaya Melayu," kata pengerusi program, Alwee Shamrin.

Penyertaan

Program tersebut menarik penyertaan lebih 400 pesilat dari sembilan perguruan seni silat dari Kulaijaya, Kota Tinggi, Johor Bahru, Singapura dan Indonesia.

Antara perguruan seni silat tersebut termasuk Panglima Bugis, Gayong Malaysia, Sendeng Hang Tuah, Jawa, Seligi Tunggal, Tapak Suci, Lok 9, Lintau dan Abjad Asli Malaysia.

Salah seorang pesilat dari Perguruan Seni Silat Jawa dari Bandar Tenggara, Md. Yusri Jafri, 37, berkata, seni silat telah sebati dengan dirinya sejak mempelajari ilmu mempertahankan diri itu sejak berusia 19 tahun.


IRINGAN muzik daripada instrumen tradisi memeriahkan suasana pertunjukan silat.


"Keindahan seni dan ketangkasan gerakan dalam pencak silat membuatkan hati saya terpaut untuk mempelajari seni mempertahankan diri ini.

"Namun, minat semata-mata tidak cukup kerana perlu ada sifat kecintaan terhadap ilmu yang dipelajari, barulah dapat menghayati seni mempertahankan diri ini," katanya yang turut mempelajari silat kampung dan silat gayong.

Nilai-nilai murni

Pesilat daripada Perguruan Seni Silat Tapak Suci, Achmad Radian Syah Ramdhani, 37, berkata, banyak perkara atau ilmu boleh dipelajari menerusi seni silat.

Menurutnya, setiap gerakan silat dikaitkan dengan ibadat yang kita lakukan seharian. Ia bukan sahaja aktiviti yang lasak tetapi dapat mendekatkan diri kita dengan Maha Pencipta.

"Pada masa yang sama, ia menerapkan nilai-nilai murni dengan mendidik diri untuk mengatur waktu, taat kepada ketua dan menghormati orang yang lebih tua," kata bapa kepada tiga orang anak berasal dari Jakarta Barat, Indonesia itu.

Anak bongsu daripada tiga beradik dari Singapura, Hidayu Hassim, 21, berkata, mempelajari silat adalah bukan semata-mata untuk mempertahankan diri malah dapat mengisi waktu lapang dengan perkara yang berfaedah.


ADAT istimewa Melayu dan warisan keakraban rantau Nusantara dapat disaksikan sepanjang berlangsungnya Fiesta Pencak Silat Beradat.


"Selain untuk mempertahankan diri dan kesihatan, mempelajari silat turut merapatkan hubungan antara ahli apabila kerap berlatih bersama," katanya yang berharap ilmu persilatan akan terus berkembang dan terus kekal sebagai warisan Melayu yang tidak ternilai.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Kulai 1, Nor Asyraf Haikal Nor Azam, 12, berkata, dia meminati silat sejak usia lapan tahun kerana ketangkasan serta kehebatan seni mempertahankan diri itu.

Katanya, silat bukan sahaja sebagai dinding pertahanan diri tetapi juga aktiviti sampingan pada waktu lapang.

Rakannya, Nor Amirah Balqis Abdul Rauf, 12, berkata, dia gembira kerana ibu bapanya memberi galakan untuk mempelajari ilmu persilatan yang amat diminatinya itu.

"Mereka turut memberi sokongan selain membenarkan saya mengikuti latihan di gelanggang pada sebelah malam," katanya yang mengikuti Perguruan Seni Silat Seligi Tunggal yang telah menjadi seni warisan keluarganya. – FARIK SALLEH

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved