Jumaat, 8 Mac 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Ruang membentuk fizikal dan minda kanak-kanak

Posted:

Ruang membentuk fizikal dan minda kanak-kanak

Ruang membentuk fizikal dan minda kanak-kanak

Oleh NURUL IZZA ROSLY

IBU BAPA tidak perlu risau mengenai keselamatan anak-anak mereka kerana Kizsports & Gym amat menitikberatkan aspek tersebut.


MELANGKAH masuk sahaja ke Kizsports & Gym, sudah kedengaran tawa riang kanak-kanak bermain di taman permainan yang terletak di tingkat dua pusat beli-belah Great Eastern Mall, Jalan Ampang.

Sedang mereka bermain, kelihatan ada ibu bapa memantau dari jauh sambil berbual mesra antara satu sama lain tanpa perlu bimbang akan keselamatan anak masing-masing.

Di satu sudut lain pula, kelihatan kanak-kanak berusia dalam lingkungan tiga dan empat tahun khusyuk melukis dan mewarna.

Sementara itu, di bilik-bilik lain, ada yang sedang belajar membaca, menari balet dan sibuk mencalit warna pada hasil kraf dengan bimbingan tenaga pengajar.

Sudah namanya anak kecil, bukan mudah untuk memenangi hati mereka jika tidak kena caranya. Sewaktu mahu mengambil gambar, ada yang nampak sedikit resah kerana aktiviti 'eksklusif' mereka didekati orang dewasa.

Begitupun, lebih ramai yang kelihatan ceria dan ramah saat lensa kamera dihalakan ke arah mereka, seolah-olah mahu berkongsi keseronokan yang sedang dialami.

"Beginilah keadaan setiap hari di sini, sentiasa dimeriahkan dengan kehadiran kanak-kanak yang hadir sama ada untuk bermain atau mengikuti pelbagai program yang ditawarkan di sini.

"Kebanyakan kanak-kanak di sini ditemani ibu bapa. Sungguhpun begitu, ada juga ibu bapa yang meninggalkan anak-anak mereka di sini sementara mereka membeli-belah atau melakukan urusan lain," kata Penolong Pengurus Pusat Kizsports & Gym Ampang, Ng Su Khiam.

WALAUPUN masih kecil, kanak-kanak ini memberikan komitmen tinggi untuk belajar tarian balet.


Pemantauan

Menurut Su Khiam, ibu bapa yang meninggalkan anak-anak mereka di sini tidak perlu bimbang kerana staf Kizsports & Gym akan sentiasa memantau dan menjaga anak-anak mereka tetapi caj tambahan akan dikenakan bagi setiap jam.

Kanak-kanak yang dihantar ke sini oleh ibu bapa mereka bukan sekadar meluangkan masa bermain semata-mata, malah ada yang mengikuti pelbagai program dan kelas.

Antara program popular ditawarkan oleh Kizsports & Gym ialah Early Learning Academy (prasekolah), Early Fitness Academy (prakecergasan), kelas membaca, kelas seni dan kraf, taekwando, karate dan balet.

"Early Learning Academy akan bermula pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bagi kanak-kanak bermula usia dua tahun ke atas.

"Bagi program-program yang lain, ia diadakan berdasarkan jadual yang telah ditetapkan kecuali kelas seni dan kraf yang dijalankan pada bila-bila masa," ujarnya yang dikenali sebagai Uncle Eric oleh pengunjung-pengunjung cilik di situ.

Kebiasaannya, pihaknya akan bertanya kepada ibu bapa yang datang, sama ada mereka membawa anak-anak untuk bermain sahaja atau berminat bagi mengikuti program-program yang disediakan.

Andai ada dalam kalangan ibu bapa yang berminat, Eric akan mencadangkan beberapa program yang bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak mereka.

"Kita galakkan ibu bapa menjadi ahli Kelab Kizsports & Gym kerana selain anak-anak mereka datang untuk kelas-kelas tertentu, mereka boleh bermain di sini dengan percuma. Jika datang pada hari tiada kelas, ibu bapa dapat masuk bermain dengan kadar istimewa.

Kizsports & Gym yang mempunyai empat cawangan iaitu di Bangsar Village II, Great Eastern Mall, Empire Shopping Gallery dan Desa Parkcity tidak pernah sunyi dengan kunjungan si kecil lebih-lebih lagi pada hujung minggu," ujarnya sambil memberitahu setiap program yang ditawarkan diajar oleh tenaga-tenaga pengajar berpengalaman dan bertauliah.

Kizsports & Gym bertambah meriah pada hujung minggu kerana ada sahaja pelanggan yang mahu mengadakan parti hari lahir di premis tersebut.


KIZSPORTS & GYM bukan sahaja tempat untuk bermain dan belajar, malah menjadi tempat untuk mencari kawan baharu.


Selain daripada parti hari lahir, Kizsports & Gym juga sentiasa mengadakan sambutan acara istimewa seperti Parti Krismas, Parti Tahun Baru Cina, dan Parti Halloween

Misi Kizsports & Gym adalah untuk menjadi sebuah pusat pusat sehenti bagi pembangunan kanak-kanak baik dari segi fizikal dan mental dengan cara yang menyeronokkan.

Menyentuh mengenai aspek keselamatan, Eric memberitahu bahawa Kizsports & Gym merupakan pusat sehenti rekreasi yang sesuai untuk kanak-kanak kerana ia selamat.

"Setiap daftar masuk dan keluar direkodkan dengan teliti bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Pintu keluar masuk dikunci dan dikawal oleh kakitangan bertugas," katanya sambil memberitahu, seseorang yang mahu menjadi staf Kizsports & Gym perlu ada sifat kasih sayang dan sukakan kanak-kanak.

Memahamkan Pelajar Isu Kepenggunaan

Posted:

Memahamkan Pelajar Isu Kepenggunaan

Memahamkan Pelajar Isu Kepenggunaan


PROGRAM Kids@Kepenggunaan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik.


MENYEDARI kepentingan ilmu berkaitan kepenggunaan dan cetak rompak amat penting, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil inisiatif menganjurkan Program Kids@Kepenggunaan di sekolah rendah baru-baru ini.

Bertempat di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor,seramai 1,500 murid-murid di sekolah itu didedahkan dengan isu-isu kepenggunaan.

Pelancaran pertama program yang sama diadakan di Sekolah Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur pada bulan November lalu.

Dalam program berkenaan, pelbagai aktiviti telah disusun bagi membolehkan murid-murid memahami isu kepenggunaan dengan lebih jelas.

Antaranya, ceramah pendedahan asas kepenggunaan, kesan penggunaan barangan tiruan, cara-cara mengenali barangan tiruan, tulen dan memeriksa harga barang serta tarikh luput sebelum membeli sesuatu produk.

Menerusi program yang sama itu, murid-murid turut diberi peluang bertanya soalan kepada wakil KPDNKK berkaitan isu-isu kepenggunaan.

Pelaksanaan aktiviti yang menggunakan pendekatan secara santai nyata menarik minat murid-murid berkenaan selain memahami isu kepenggunaan dengan mudah.

Seorang murid, Nuratiqah Abdul Rahman, 10, mengakui dia sebelum ini membeli makanan ringan tanpa melihat tarikh luput.

"Saya tidak tahu, tarikh yang tertera di belakang plastik makanan ringan memberitahu pengguna ia boleh dimakan sehingga tempoh itu sahaja.

"Selepas mendengar ceramah, barulah saya memahami fungsi tarikh yang terdapat pada produk-produk makanan," jelasnya.

Bagi Muhammad Azri Muhammad Azam, 9, pula dia tertarik dengan pameran produk penapis minyak tiruan dan tulen.

"Kedua-dua produk itu nampak sama tetapi hakikatnya terdapat perbezaaan dari segi warna," ujarnya.


SALAH satu aktiviti susun suai gambar menuntut ketelitian yang tinggi.


Turut hadir, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Selangor, Khasanah Ibrahim.

Sementara itu, Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu bertujuan untuk memberi kesedaran di peringkat awal tentang keburukan kegiatan cetak rompak dan membeli barangan tiruan.

"Pendidikan kepenggunaan perlu ditanam dalam diri kanak-kanak agar mereka menolak barangan tiruan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya telah mewujudkan Kelab Pengguna Sekolah (KPS) dan Kelab Koperasi Sekolah di sekolah-sekolah.

Bagaimanapun, pada masa ini KPS secara dasarnya hanya ditubuhkan di sekolah menengah.

"Begitupun, KPDNKK sentiasa mengalu-alukan sekolah rendah yang berminat untuk menubuhkan KPS.

"Bagi sekolah rendah yang menubuhkan KPS, mereka akan diberi geran bantuan kewangan sebanyak RM500 bagi menganjurkan program-program kesedaran berhubung isu-isu kepenggunaan," ujarnya.

Estrogen pendinding kesihatan wanita

Posted:

Estrogen pendinding kesihatan wanita

Estrogen pendinding kesihatan wanita

Oleh SUHANA VERU


PENGGUNAAN krim atau losen pelindung matahari yang kerap digunakan wanita menjauhkan mereka daripada barah kulit.


MENJADI seorang wanita bukan mudah tetapi mereka sebenarnya mempunyai banyak kelebihan.

Mengikut kajian penyelidik mengenai jangka hayat penduduk dunia mendapati golongan wanita mempunyai umur yang lebih panjang berbanding kaum lelaki.

Percaya atau tidak, dari 190 negara yang terdapat di dunia ini, hanya lima buah negara yang mencatatkan tempoh hayat lelaki melebihi wanita.

Jangka hayat panjang kaum Hawa juga turut dikaitkan dengan kekuatan sistem tubuh wanita yang kebal daripada serangan penyakit.

Berikut merupakan kajian yang dilakukan membabitkan golongan wanita yang mempunyai kurang risiko menghidap beberapa jenis penyakit:

Penyakit Parkinson

Berdasarkan kajian dari Universiti Virginia, Amerika Syarikat (AS) mendapati golongan lelaki lebih cenderung menghidap penyakit Parkinson kerana penghasilan estrogen melindungi wanita daripada gangguan neuro degeneratif.

Dalam kajian yang sama juga mendapati, bagaimanapun jika seseorang wanita itu menghidap penyakit Parkinson gejalanya lebih besar kerana mereka akan mengalami keletihan yang kronik.

Kanser hati

Menurut laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS wanita kurang berisiko menghidap penyakit kanser hati.

Statistik pada tahun 2010 menunjukkan kadar insiden yang melibatkan golongan lelaki adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada wanita.

Penyelidik dari Universiti Bologna, Itali telah membuat kajian terhadap 417 pesakit.

Barah kulit

Menurut Institusi Kebangsaan Kanser AS kira-kira 68,000 penduduk di negara itu disahkan menghidap penyakit melanoma (barah kulit yang berbahaya).

Daripada jumlah itu, hampir 39,000 atau 57 peratus ialah lelaki. Salah satu punca kurangnya pesakit dalam kalangan wanita adalah disebabkan golongan itu sentiasa mengambil langkah pencegahan melindungi kulit mereka.

Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap 31,428 penduduk di negara itu mendapati hampir 11 peratus golongan wanita memberitahu mereka berteduh daripada sinaran matahari berbanding enam peratus lelaki.

Sementara itu, penyelidik dari Universiti perubatan Texas pula mendapati, kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit itu merupakan golongan yang berpendapatan tinggi kerana mereka sentiasa mendedahkan diri dengan cahaya matahari.


JUMLAH lelaki yang menghidap barah hati adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding wanita.


Penyakit esofagus

Menurut penyelidik dari Universiti Perubatan Texas wanita juga dilihat kurang menghidap penyakit esofagus iaitu kerosakan akibat asid dalam perut.

Perkara itu disebabkan hormon seks wanita boleh melindungi wanita daripada menghidap penyakit itu.

Walau bagaimanapun, para pengkaji memberitahu kajian selanjutnya perlu dijalankan untuk mendapat keputusan yang sebenar.

Kanser kepala dan leher

Satu pertiga wanita dilihat berkemungkinan menghidap penyakit kanser kepala dan leher.

Bagaimanapun, kajian yang dijalankan Institusi Kebangsaan Kanser AS mendapati, penyakit itu lebih cenderung menyerang perokok lelaki berbanding perokok wanita.

Penyelidik membuat kesimpulan ia disebabkan hormon estrogen dan progesteron yang tinggi dalam tubuh wanita menyebabkan mereka kurang berisiko menghidap penyakit itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved