Sabtu, 30 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Sekolah tahfiz flat Kampung Baru

Posted:

Sekolah tahfiz flat Kampung Baru

Sekolah tahfiz flat Kampung Baru

KEBANYAKAN pelajar berasal dari Vietnam, Bangladesh, Filipina dan Selatan Thailand.


MUNGKIN ramai tidak menyedari Kampung Baru, Kuala Lumpur kini berusia lebih 100 tahun.

Uniknya kampung yang terletak di tengah-tengah ibu kota itu merupakan satu-satunya ikon penempatan utama masyarakat Melayu.

Malah, perkampungan ini sarat dengan keunikan tersendiri terutama tradisi memasak dan mengagih bubur lambuk oleh Masjid Jamek, Kampung Baru sepanjang bulan Ramadan.

Mengunjungi kampung ini ibarat anda pulang ke kampung halaman. Walaupun dikelilingi pencakar langit namun pandangan mata pasti hinggap ke rumah tradisional.

Bagi penghuni Blok A, Flat PKNS, Kampung Baru, Jalan Raja Muda Musa, Kuala Lumpur, mereka tegar melakukan urusan seperti biasa.

Flat lebih 20 tingkat ini sama seperti flat-flat lain cuma sering kelihatan kelibat kanak-kanak, remaja dan lelaki dewasa memakai jubah putih lengkap berserban.

Alunan suara mereka membaca kitab suci al-Quran di tingkat 4 dan 18 flat tersebut jelas kedengaran memberikan satu persepsi berbeza di kawasan ini.

Sebenarnya terdapat sebuah sekolah pondok tahfiz beroperasi di bangunan itu sejak 1995.

Individu yang menjadi nadi penggeraknya ialah Ustaz Fadzil Ahmad.

Kru Jurnal Khamis lalu berkesempatan menemubual lelaki berjanggut lebat yang yang mahir berbahasa Arab itu.

Mengimbau kembali kisah lama, Fadzil yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah menghabiskan masa lebih 10 tahun merantau demi mendalami ilmu agama.

"Sebaik sahaja habis sekolah menengah saya mendalami ilmu agama Islam di Selatan Thailand, Bangladesh, Pakistan dan Yemen. Saya tidak ditaja oleh mana-mana pihak.

"Cuma di Yemen saya mendapat tajaan penuh sehingga menamatkan pengajian dalam bidang fiqh. Teringat pesanan guru meminta saya mempraktikkan perkara yang sama di negara sendiri," cerita Fadzil.


TIADA kos pengajian dikenakan kepada pelajar cuma dengan syarat terus menyebarkan syariat Islam.


Niatnya, cuma satu iaitu untuk berdakwah.

Tambahnya, ilmu yang dipelajari sekiranya tidak disebarkan hanya sia-sia.

Menariknya, para pelajar yang belajar di Madrasah Al-Yamani yang diasaskannya di Kampung Baru ini tidak dikenakan sebarang bayaran malah kos penginapan serta makanan semua ditanggungnya.

Penyebaran ilmu

Kebanyakan pelajarnya terdiri daripada golongan miskin, anak yatim dan mangsa peperangan.

Bukan itu sahaja, majoriti pelajar Fadzil berasal dari Bangladesh, Vietnam, Filipina dan Selatan Thailand.

"Memang ramai yang pelik kerana zaman moden kini tiada istilah percuma tetapi syukur rezeki yang Allah SWT berikan saya mampu bertahan.

"Sebenarnya, ramai yang menyumbang wang sama seperti individu persendirian, korporat dan masyarakat sekeliling. Selain itu, kami juga membuat jualan amal untuk mengumpul dana," cerita Fadzil.

Beliau juga ditanya mengapa pusat penyebaran ilmu yang diasaskannya terletak di flat.

Tegasnya, bagi seseorang yang menuntut ilmu, soal lokasi bukan persoalan utama tetapi kesungguhan untuk mempelajarinya dan menyebarkan kepada orang lain.

"Tempat hanya sekadar wasilah tetapi mereka yang harus fokus.

"Jika persekitaran dan teknologi moden serta canggih kesungguhan belajar tidak terlalu ketara kerana dibuai zon selesa," katanya berfalsafah.

Terang Fadzil, beliau bersyukur dengan penerimaan masyarakat sekeliling.

"Kami sering dijemput untuk mengetuai bacaan tahlil, doa selamat selain menjadi imam surau serta masjid sekitar Kampung Baru.

"Pelajar-pelajar juga aktif membantu dalam majlis perkahwinan dan gotong-royong anjuran komuniti flat," ujarnya.

Salah satu perbezaan ketara komuniti flat sejak kewujudan madrasah ini ialah pemakaian penduduk flat yang terdiri daripada golongan wanita tidak begitu menjolok mata selain perkara sumbang tidak dilakukan secara terbuka.

"Kini sudah berkurangan mungkin kerana segan dengan pelajar pondok dan tahfiz," kata Fadzil tersenyum.

Lelaki ini menyewa dua rumah di tingkat 4 untuk 37 orang penuntut tahfiz manakala tiga rumah lagi di tingkat 18 untuk penginapan serta lokasi pelajar dewasa mengikuti pengajian pondok.

Umur para pelajar sekitar tujuh hingga 40 tahun.

Tempoh pengajian bagi pengajian pondok selama tujuh tahun manakala bagi tahfiz pula selama tiga tahun.

Bermain bola

Kebiasaannya, penuntut yang mendapat keputusan cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian Islam di universiti sekitar Yemen dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti.

Lelaki berusia 46 tahun ini bersyukur kerana terdapat enam orang pembantu yang membantunya menyelia madrasah.

"Para pelajar sendiri tidak dibenarkan keluar dari flat walaupun untuk berada di tingkat bawah. Selain itu jadual dipenuhi dengan sesi pengajian bermula selepas sarapan pagi hingga 11.45 malam.

"Malah, mereka tidak dibekalkan dengan komputer atau televisyen selain tidak boleh membawa telefon bimbit. Bukan untuk meminggirkan kepentingan teknologi cuma berharap mereka fokus dengan pelajaran.

"Tetapi, setiap Ahad mereka bercuti dan kesempatan itu boleh digunakan untuk menelefon keluarga. Cuti jangka masa panjang pula pada awal Ramadan sehingga Hari Raya Aidilfitri," jelas Fadzil.


MAJORITI pelajar tahfiz berasal daripada keluarga miskin.


Tambahnya, kebanyakan pelajar sekolah pondok dan tahfiz akan bermain bola sepak di padang berhampiran setiap Ahad.

Bagi Ahmad Yusuf, 25, yang berasal dari Ho Chi Minh, Vietnam, dia menuntut di madrasah itu sejak dua tahun lalu.

Ahmad agak mahir berbicara bahasa Melayu walaupun pekat telor Vietnam sehingga tersasul mendakwa umurnya sudah 50 tahun.

"Saya bersyukur kerana dapat belajar di sini kerana di Vietnam kurang pusat pengajian Islam.

"Suasana di sini agak meriah kerana terdapat ramai rakan-rakan dari negara lain seperti Thailand, Kemboja, Bangladesh dan Filipina," terangnya.

Pendapat Ahmad turut dikongsi Abdul Karim Abdul Rahman, 24, yang berasal dari Kepulauan Moro di Filipina.

"Di negara saya sendiri agak kurang sekolah tahfiz dan sekolah pondok secara formal. Kebanyakan kami belajar ilmu agama secara persendirian.

"Madrasah ini lengkap dengan sistem pembelajaran dan pengajian yang sempurna termasuk buku-buku terkini.

"Waktu yang diisi dengan padat membuatkan kami agak sibuk.

"Kesibukan itu sendiri sebenarnya agak baik untuk menghalang kita melakukan perbuatan yang tidak berfaedah," katanya.

Bagi Omar Ashabk, 17, yang berasal dari Kazakhstan, dia bangga negara ini subur dengan pusat-pusat pengajian Islam.

"Di Malaysia terlalu banyak institusi berkaitan pengajian agama Islam termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

"Pentingnya individu itu sendiri yang ingin belajar. Kami di Kazakhstan masih baru untuk mengenal Islam lebih mendalam kerana tekanan semasa penjajahan Soviet dahulu," katanya.

Omar juga ingin membuka pusat tahfiz di negaranya sebaik sahaja tamat pengajian kelak.

Ahmad Uwais Qarni, 16, yang berasal dari Bachok, Kelantan telah empat tahun belajar tahfiz di madrasah ini.

"Seronok kerana persekitarannya cukup berbeza iaitu belajar di dalam flat sehingga sering dipanggil ustaz oleh penduduk sekeliling," katanya sambil tersenyum.

Tahi lembu jadi pewangi

Posted:

Tahi lembu jadi pewangi

Tahi lembu jadi pewangi

Oleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN


PEWANGI tahi lembu akan menambah lagi kepelbagaian produk pewangi di pasaran.


BAYANGKAN, sisa buangan daripada lembu, boleh menjadi pewangi udara. Secara logiknya, mana mungkin najis haiwan herbivor ini boleh menjadikan udara di sekeliling kita menjadi nyaman dan segar.

Biasanya, tahi lembu yang berbau busuk ini lebih banyak digunakan sebagai baja organik oleh petani-petani di negara ini.

Bagi negara India pula, mereka menggunakan tahi lembu sebagai bahan bakar. Tahi lembu juga dijadikan ketulan mampat yang digunakan untuk membina rumah.

Namun, kajian yang dilakukan oleh dua orang pelajar daripada Sekolah Tinggi Indonesia, Dwi Nailul Izzah dan Rintya Aprianti Miki berjaya menghasilkan pewangi udara daripada tahi lembu.

Dua pelajar ini akan mewakili Indonesia ke pertandingan The International Environment Project Olympiad (INEPO) yang akan berlangsung pada Mei ini di Istanbul, Turki.

Mereka merupakan peserta pertandingan Projek Sains Olympiad Indonesia yang berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

Pertandingan disertai oleh hampir 1,000 orang peserta di seluruh Indonesia.

Syarat untuk menyertai pertandingan ini ialah, para peserta perlu menggunakan bahan yang mudah didapati di semua negara dan tidak bermusim.

Jadi, kedua-dua pelajar itu telah memilih tahi lembu sebagai bahan asas penyelidikan mereka.

Pewangi yang dicipta oleh dua pelajar daripada Sekolah Menengah Agama Muhammadiyah ini sangat mesra alam dan berbau seperti herba.

Menurut Nailul, haruman yang dihasilkan mereka mempunyai bau semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan.

"Haruman ini mempunyai bau tumbuhan tulen yang menjadi makanan lembu dan bukan kerana bantuan bahan kimia untuk menjadikannya wangi," ujarnya.

Nailul dan Rintya melakukan kajian dari aspek pemasaran untuk mengetahui potensi produk yang mereka hasilkan itu boleh dipasarkan.


SEBAHAGIAN besar penduduk India membina rumah menggunakan najis haiwan ini. - Gambar hiasan


Proses

Rintya berkata pewangi tahi lembu ini sangat berpotensi untuk dipasarkan kerana kosnya adalah sangat murah, iaitu RM6.70 untuk setiap pek 225 mililiter.

"Selain harganya yang murah, pewangi ini juga tidak mengandungi bahan kimia seperti benzo acetat yang berbahaya untuk manusia," jelas Rintya.

Proses untuk menghasilkan pewangi ini dimulakan dengan mengumpul tahi lembu untuk proses penapaian. Tahi lembu berkenaan diambil dari ladang lembu yang terletak di Rempit Kabupaten, Jawa Timur.

Tahi lembu yang dikumpulkan akan ditapai selama tiga hari. Air yang terhasil daripada proses penapaian ini akan diambil dan dicampurkan dengan air kelapa.

Air yang sudah bercampur berkenaan akan diekstrak melalui proses penyulingan secara berperingkat selama tujuh hari.

Proses tersebut dilakukan untuk membuang bahan kotor yang terdapat dalam sisa buangan lembu ini.

Hasil daripada proses ini, air tersebut berbau seperti rumput segar.

Nailul memberitahu bahawa mereka akan mendaftarkan ciptaan mereka ini di bawah Hak Harta Intelek (IPR) kerana tiada lagi produk yang sama didaftarkan.

"Jadi, kita ada peluang yang besar untuk mendapatkan hak cipta," jelas Nailul.

Baju buluh tahan busuk

Posted:

Baju buluh tahan busuk

Baju buluh tahan busuk

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


PRODUK berasaskan buluh semakin dikenali.


MIANG pokok buluh boleh menyebabkan kegatalan jika tidak kena cara memegangnya.

Namun, tumbuhan yang banyak terdapat di negara ini sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat tersembunyi yang bermanfaat untuk manusia.

Malah, buluh yang sama keluarga dengan rumput itu turut enak jika rebungnya dimasak gulai. Bagi orang Melayu di Negeri Sembilan, Perak dan Pahang, hari raya pasti tidak lengkap tanpa lemang.

Bukan itu sahaja tarikan tersendiri tumbuhan ini. Buluh digunakan secara meluas untuk pembinaan jambatan, rumah selain akar dan daunnya didakwa berkhasiat untuk merawat beberapa penyakit.

Ironi, buluh digunakan secara meluas sebagai bahan utama Jambatan Sinchuan, China yang kini berusia lebih 1,000 tahun.

Selain itu, kediaman yang diperbuat daripada buluh tidak mudah roboh atau musnah apabila dirempuh gempa bumi kerana sifat elastiknya.

Kini, terdapat lebih 1 billion penduduk di seluruh dunia menggunakannya untuk membina rumah.

Namun, bagi dua adik-beradik, Shazila dan Shahiza Ghazi, mereka memaksimumkan buluh dengan cara tersendiri dengan diterjemahkan dalam bentuk produk fabrik seperti pakaian, tuala, alas lantai serta tudung.

Malah, syarikat milik mereka iaitu Bamboo Malaysia Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 2009 menjadi tempat dua wanita ini bereksperimen dengan buluh sehingga dijadikan pakaian dalam lelaki dan juga wanita.

Bertempat di Plaza Mont Kiara, kedua-dua wanita ini teruja menceritakan erti buluh kepada kru Jurnal.

Menurut Shazila yang tampil menarik memakai baju-T berwarna merah yang bahannya diperbuat daripada 70 peratus buluh. Idea itu mula dijana dalam bentuk komersial oleh ayahnya, seorang bekas senator, Datuk Ghazi Ramli.

"Ayah menubuhkan Yayasan Inovasi Alam Sekitar Global (GIEF) pada 2010 yang memberi tumpuan kepada pembangunan kreativiti dan inovasi berasaskan buluh.

"Menerusi GIEF, beliau mewujudkan Dunia Bambu yang menekankan kepada penggunaan buluh untuk produk makanan, perlindungan, pakaian, hiburan dan pengangkutan," cerita Shazila dengan nada teruja.

Tambahnya, dia dan adiknya, Shahiza memperkembangkan idea ayah mereka pula dalam bentuk produk tekstil dan cenderamata.

Baju buluh

Salah satu keunikan 'idea' mereka ialah baju-T berasaskan buluh.

"Baju berasaskan buluh teksturnya agak lembut, selesa dipakai selain mudah dibasuh. Selain itu, anda tidak perlu menggunakan pelembut kain kerana pakaian itu sememangnya lembut dan ringan.

"Malah, baju ini juga tidak perlu digosok dengan seterika kerana sifatnya yang elastik," ujarnya.

Shazila juga mendakwa baju itu tidak akan berbau hapak walaupun lencun terkena peluh berhari-hari.

Adiknya, Shahiza tampil mencelah dengan mendakwa dia menggunakan baju itu selama tiga hari dan nyata masih berbau harum kerana disembur dengan minyak wangi.


BAJU batik yang menggunakan buluh direka oleh dua orang adik-beradik ini.


"Saya sebenarnya malas untuk menggosok baju menggunakan seterika jadi ini satu perkara yang agak praktikal," katanya.

Tambah Shahiza, buluh bercirikan anti bakteria, lembut serta teguh.

"Sebenarnya, produk tekstil berasaskan buluh telah digunakan secara meluas di China, Australia, Taiwan, Korea dan Jepun.

"Mereka menganggap pakaian sedemikian lebih menjaga alam sekitar selain selesa digunakan," ujarnya.

Cuma kos untuk produk berkaitan buluh 20 peratus lebih mahal berbanding kapas.

Malah, jenis buluh yang sesuai digunakan ialah moso yang hanya terdapat di China, Korea Selatan dan Jepun.

Pakai sendiri

Shazila memberitahu, sambutan rakyat negara ini masih belum meluas kerana tidak banyak produk berkaitan buluh terdapat di pasaran.

Setakat ini, produk mereka hanya dijual secara online atau pameran dan ekspo tertentu.

Namun, pelbagai cerita lucu dan komen yang mereka terima daripada pelanggan.

"Ramai yang bertanyakan adakah memakai baju atau tuala buluh akan menyebabkan kegatalan dan miang pada tubuh badan.

"Selain itu, ada pelanggan yang bertanya sama ada mereka tidak menemui cebisan buluh baju, tudung dan sapu tangan serta tuala," katanya sambil ketawa.

Cerita Shazila lagi, ada juga pelanggan lelaki yang segan untuk membeli seluar dalam.

"Biasanya kami hanya meletakkan kotak seluar dalam lelaki di rak pameran. Sekiranya mereka ingin membelinya baru kami akan memberikan bersama isi.

"Cuma mereka akan berasa malu-malu untuk bertanya apa perbezaan berbanding seluar dalam berasaskan kapas dan getah," ujarnya.

Wanita yang masih bujang ini juga bersyukur kerana keluarga, saudara-mara dan rakan-rakannya banyak membantu melariskan jualan produknya.

"Tidaklah sampai memaksa mereka membelinya cuma ingin mempromosikannya tanpa sebarang paksaan," katanya.

Harga bagi setiap produk antara RM5.90 hingga RM600.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved