Sabtu, 30 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Bertudung penuh atas kerelaan sendiri

Posted:

Bertudung penuh atas kerelaan sendiri

Bertudung penuh atas kerelaan sendiri

DATUK SITI NURHALIZA mula memakai tudung secara sempurna pada sambutan ulang tahunnya yang ke-34 pada 11 Januari lalu.


Sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza sudah acap kali dikritik ramai terhadap penampilan bertudungnya yang kelihatan belum sempurna memandangkan tidak menutup keseluruhan mahkota berharga miliknya itu.

Namun begitu, penyanyi yang dilahirkan di Temerloh, Pahang itu telah membuat kejutan apabila mengambil keputusan untuk bertudung penuh pada tahun ini.

Ternyata transformasi yang dilakukan oleh Siti itu disambut positif oleh para peminat, cuma terdapat segelintir pihak yang seolah-olah cuba mempertikaikan keputusan yang dibuatnya itu.

Antaranya, dia dikatakan mahu bertudung penuh setelah tragedi yang menimpa suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Disember tahun lalu.

Berkesempatan menemui Siti semasa sesi percutian bersama pengguna SimplySiti ke sebuah taman tema di Johor kelmarin, penyanyi itu menegaskan keputusan yang dibuatnya itu adalah atas kerelaan sendiri.

"Memang ada yang beranggapan bahawa keputusan saya ini berpunca daripada tragedi yang melanda suami, tetapi saya ingin nyatakan bahawa ia langsung tidak berkaitan.

"Hasrat bertudung memang sudah lama saya pendam sejak mengerjakan ibadah haji pada tahun 2008. Cuma saya lakukan secara berperingkat-peringkat dan akhirnya keputusan bertudung penuh dibuat ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 11 Januari lalu," jelasnya.


Siti bersama cenderamata potret dirinya yang diberikan pihak pusat taman tema sebagai tanda kenangan.


Menurut Siti, dengan penampilan baharunya itu dia merasakan ia bukanlah satu masalah yang besar untuk beraksi di pentas dan turut gembira kerana peminat telah memberikan sokongan yang pada terhadap dirinya.

"Apabila semakin menginjak usia, saya rasa sudah tiba masanya untuk membuat perubahan ini. Selain itu, saya anggap semua yang berlaku ini merupakan doa daripada para peminat yang sentiasa menyokong saya," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai ikon wanita bertudung yang menjadi pilihan dirinya, Siti menyatakan, dia cukup minat dan tertarik dengan gaya muslimah yang ditampilkan oleh Hana Tajima.

Menurut Siti, dia menjadikan Hana sebagai salah satu contoh untuk imej bertudungnya sekarang ini memandangkan gadis itu dilihat pandai berfesyen, meskipun memakai tudung.

"Setiap wanita yang bertudung tidak semestinya sukar untuk bergaya dan itu yang ditonjolkan oleh Hana Tajima. Saya akui telah menjadikan dia sebagai panduan terutamanya mencari idea tentang cara pemakaian tudung," ujarnya.

Berkenaan dengan penerimaan Datuk K terhadap perubahan penampilan yang dilakukannya itu, Siti menyatakan suaminya merupakan individu yang paling gembira.

"Suami saya begitu memahami kemahuan saya dan dia yang banyak memberikan sokongan kepada saya. Apa yang menariknya, sesekali dia juga pernah memberikan idea kepada saya untuk memilih tudung yang sesuai," jelasnya.


SITI melayan para peminatnya yang berpeluang bercuti bersamanya di sebuah taman tema di Johor, baru-baru ini.


Datuk K semakin pulih

Bercerita lebih lanjut mengenai keadaan terkini kesihatan suaminya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa bulan lalu, Siti memberitahu Datuk K kini sudah beransur pulih.

Bagaimanapun, ketika ini suaminya itu masih lagi mendapat rawatan susulan seperti menjalani fisioterapi untuk menyembuhkan kecederaan bahu dan tangan yang dialaminya itu.

"Saya sangat bersyukur dengan keadaan kesihatan suami saya sekarang yang dilihat semakin pulih, malah kalau ada kelapangan dia juga akan pergi ke pejabat.

"Selain itu, saya sangat mengagumi ketabahan yang dilaluinya untuk pulih. Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamed menziarahi suami saya, beliau ada memberitahu bahawa menjalani fisioterapi memerlukan tahap kesabaran yang sangat tinggi," ujarnya.

Ujarnya, Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Queenstown, New Zealand pada akhir tahun lalu ketika menunggang motor berkuasa tinggi dijangka pulih sepenuhnya pada April ini.


SITI gembira kerana tahap kesihatan suaminya, Datuk K semakin memberangsangkan.


Album baharu

Setelah kali terakhir melahirkan album Melayu iaitu Tahajud Cinta pada tahun 2009, Siti memberitahu, dia bakal muncul dengan album baharu pada tahun ini.

Menurutnya, ketika ini dia masih lagi dalam proses pemilihan lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album tersebut dan akan mula memasuki studio rakaman pada bulan Mei ini.

"Untuk album baharu ini saya akan kembali semula dengan konsep pop memandangkan dua buah album saya sebelum itu berkonsepkan irama tradisional dan kerohanian.

"Setakat ini beberapa orang komposer seperti Aubrey Suwito dan Adi 6ixth Sense sudah menyerahkan lagu ciptaan mereka. Namun begitu, saya masih lagi mempertimbangkan sama ada mahu menghasilkan mini album atau album penuh," jelasnya tentang perkembangan terkininya sekarang.

Ujar Siti, untuk album terbaharunya itu juga bakal memuatkan dua buah lagu baharu hasil ciptaannya sendiri sebagai hadiah kepada para peminatnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasratnya yang mahu kembali membuat persembahan di Royal Albert Hall, London pada tahun hadapan, Siti sekadar menyatakan, ia masih dalam peringkat perancangan awal dan berharap ia dapat direalisasikan.

Lentera Hati ST12

Posted:

Lentera Hati ST12

Lentera Hati ST12

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


KEMBALI berjuang. ST12 yang terdiri daripada (dari kiri) Koko, Pepep, Ridho dan Indra.


NAMA band kelahiran Indonesia, ST12 bukanlah asing dalam industri muzik di Indonesia mahupun industri tempatan sendiri. Bagaimanapun, sememangnya telah diketahui umum, ST12 sudah lama menyepikan dan dibubarkan kerana ketiadaan vokalis mereka, Charly.

Akui Ilham Febry selaku pemain drum yang juga pengasas band ST12, kehilangan empat tahun band itu dalam industri muzik, memang dirindui oleh peminat tegar ST12. Ujarnya yang lebih mesra disapa sebagai Pepep, ada yang menangis kerana mengetahui tentang pembubaran band tersebut.

Cintanya terhadap muzik membuatkan Pepep kembali meneruskan perjuangan band ST12 dengan menjalankan uji bakat selama satu setengah tahun bagi mencari vokalis yang sesuai untuk menggantikan Charly.

Hasilnya, remaja berusia 16 tahun, Ridho Tuah berjaya mengharungi uji bakat yang dihadiri oleh lebih 500 orang peserta yang bertempat di markas ST12 di Bandung, Indonesia.

"Pemilihan Ridho sebagai vokalis baharu ST12 adalah kerana dari segi keunikan vokalnya sendiri. Oleh kerana umur yang masih muda, suaranya juga kedengaran muda dan justeru ia menampilkan kesegaran.

"Tidak mungkin saya akan mencari penyanyi yang serupa dengan Charly. Ini kerana, bagi saya setiap orang yang berbeza dan begitu juga Ridho," jelas Pepep yang ditemui ketika sesi fotografi di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Selasa lepas.

Namun, walaupun dilihat mempunyai anggota band yang baharu secara keseluruhannya, jelas Pepep, ST12 masih akan menggunakan konsep muzik yang dibawa sebelumnya, iaitu Pop Melayu.

Bicara jejaka kelahiran Sumatera ini, sejak penubuhan band ST12i, mereka telah berjaya dengan konsep muzik Pop Melayu, jadi tiada salahnya mereka masih ingin memperjuangkan genre yang sama walaupun telah bertukar anggota terutamanya vokalis.

"Mengapa tidak berbangga dengan budaya Melayu kita sendiri, seperti Barat contohnya yang sentiasa mengetengahkan budaya mereka tidak kira dalam apapun baik muzik mahupun filem. Tidak perlu untuk membawa aliran muzik Barat. Walhal pada hakikatnya, bukan semua masyarakat yang dapat menerima muzik yang mereka bawa," tegas Pepep yang ingin pertahankan muzik Pop Melayu melalui band ST12.

Album kelima

Mungkin kini peminat ST12 boleh menarik nafas lega kerana mereka kini kembali memeriahkan semula industri muzik Indonesia mahupun tempatan. Empat tahun telah dimanfaatkan sebaiknya oleh kesemua anggota apabila akhirnya mereka tampil dengan sebuah album terbaharu yang diberi judul Lentera Hati.

Kehilangan ST12 dalam industri muzik tidak sama sekali meruntuhkan populariti yang dibina band ini sejak tahun 2004 lagi. Buktinya, single pertama yang berjudul Putih Putih Melati, daripada album kelima berjaya menambat hati peminat.

Lentera Hati mengandungi 10 buah lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Pepep serta sebuah lagu yang dinyanyikan olehnya yang berjudul ST Setia.

"Lagu yang berjudul ST Setia merupakan lagu yang sangat istimewa. Ini kerana dalam lagu tersebut, ia menggabungkan setiap emosi saya bersama ST12 sebelum in termasuk perasaan saya saat berhadapan dengan dugaan serta pembubaran band ini," katanya yang masih berkawan dengan Charly walaupun tidak lagi bersama.

Lentera Hati sudah mula dipasarkan ke seluruh Asia Tenggara oleh Universal Music dan Rumpun Records.

Hidup baharu Salwa Razak

Posted:

Hidup baharu Salwa Razak

Hidup baharu Salwa Razak

SALWA RAZAK kini muncul dengan single terbaharu berjudul Hidup Baru.


PENJENAMAAN baharu yang menghasilkan nama Salwa Razak daripada nama terdahulu Arora Salwa merupakan permulaan kehidupan baharu pemilik nama itu.

Tegas penyanyi yang sebelum ini popular dengan lagu Ahmad, nama Salwa Razak adalah kebangkitan semula daripada kegagalan.

"Imej baharu dan pendekatan yang lebih terkini diharapkan menjamin sebuah karier yang lebih kukuh dan stabil.

"Saya kira, perlu untuk saya menukarkan imej yang lebih feminin dengan nama dan aliran muzik yang baharu," katanya ketika sidang akhbar pelancaran single terbaharu berjudul Hidup Baru di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lagu Hidup Baru menampilkan vokal Salwa Razak yang lebih lantang menerusi genre balada, malah liriknya juga mengandungi makna tersirat bagi penyanyi itu.

"Balada adalah jiwa saya dan bersama pasukan baharu ini, saya diberi kepercayaan untuk memilih sendiri genre lagu yang saya mahukan. Gagal atau berjaya, saya serahkan kepada peminat untuk menilai," tambahnya yang kini bernaung di bawah JJS Partners Solution Sdn. Bhd.

Salwa yang memulakan karier sebagai penyanyi pada tahun 2010 pernah tampil menerusi single berentak catchy berjudul Ahmad dan Kau Tak Menarik Lagi sepanjang bernaung di bawah label Sony Music dari tahun 2010 hingga bulan Oktober tahun lalu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kisah kontroversi percintaan yang pernah melibatkan Salwa dan anggota kumpulan Max 24:7, Alloi, penyanyi itu bertegas mahu melupakan kisah silam.

"Saya seorang manusia yang tidak lari daripada melakukan kesilapan.

"Saya harap selepas ini tidak akan ada lagi kontroversi mengenai saya dan jika ada perbuatan yang tidak patut saya lakukan, tegurlah saya secara peribadi dan saya akan menerimanya dengan positif. Segalanya baharu buat saya sekarang dan perkara lepas adalah ujian bagi saya.

"Kontroversi menyebabkan karier tercemar dan mungkin saya sendiri ada membuat kesilapan pada masa lampau. Tapi sekarang saya lebih matang untuk belajar tentang kehidupan," getusnya.

Salwa juga enggan dikaitkan dengan mana-mana pihak malah dia juga enggan menerima komen daripada pihak lain mengenai dirinya.

"Pihak yang bercerita mengenai diri saya tanpa usul periksa adalah kurang bijak dan orang seperti itu tidak boleh melihat kejayaan orang lain. Bertindak dan berfikirlah secara positif.

"Suka hatilah dia mahu buat apa, bagi saya ibaratnya masuk telinga kiri keluar telinga kanan," katanya.

Dikecewakan cinta bukan bermakna harus mengalah selamanya. Kata Salwa, dia tidak serik bercinta malah dia kini bersedia untuk kembali cinta baharu.

"Bukan serik dan saya juga tidak pernah berhenti mencari cinta baharu tapi pendirian saya sekarang adalah mengikut arus yang ada di hadapan saya.

"Kalau ada jodoh maka adalah. Saya kena memilih dan enggan pisang berbuah dua kali. Buat masa sekarang saya tiada sesiapa dan saya berkawan dengan semua orang.

"Kalau ditanya mengenai kisah cinta sebelum ini, saya sudah maafkan dia, tapi saya tidak akan melupakan perkara yang telah berlaku," tegas Salwa. – KHAIRUL AMRI HASSAN

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved