Sabtu, 30 Mac 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


EV pertama dijual di Malaysia

Posted:

EV pertama dijual di Malaysia

EV pertama dijual di Malaysia

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

i-MIEV yang berwarna-warni ini milik Masaharu Iwata yang bertugas di Mitsubishi Corporation, Kuala Lumpur.


PENGEDAR kenderaan jenama Mitsubishi di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri apabila menawarkan pasaran tempatan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) iaitu Mitsubishi i-MiEV (Mitsubishi Innovative Electric Vehicle).

Pelancaran rasmi kenderaan tersebut diadakan di pusat EV pertama MMM, SAG Star yang terletak di Jalan Chan Sow Lin, Cheras Kuala Lumpur. i-MiEV ditawarkan pada harga RM136,118 seunit (di atas jalan, tidak termasuk insurans) dan hadir dalam dua pilihan warna iaitu putih dan dua tona putih merah.

Untuk makluman, projek EV Mitsubishi Motors Corporation (MMC) bermula seawal tahun 1969 menerusi model MINICAB EV. MMC kemudian meneruskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) model EV dengan memberi perhatian khusus kepada aspek motor dan bateri.

Pada tahun 2006, MMC membangunkan i-MiEV.

Sebenarnya, i-MiEV bukanlah model yang terlalu asing. Dibina berasaskan kepada model kompak (dipanggil kei kar di Jepun) Mitsubishi i, MMC giat menguar-uarkan tentang jentera tersebut sejak empat tahun lalu.

i-MiEV dilancarkan pada Julai 2009 buat pertama kalinya di Jepun. Sejak itu, kereta comel tersebut mula mendapat perhatian dunia. Dalam tempoh beberapa tahun itu juga i-MiEV mengalami perkembangan yang memberangsangkan, sebelum ia diperkenalkan di pasaran Eropah pada akhir 2010 dan ke Amerika Utara setahun kemudian.

Di pasaran Eropah, i-MiEV tampil sebagai Peugeot iOn serta Citroen C-Zero, hasil kolaborasi antara MMC dan PSA Peugeot Citroen. i-MiEV yang khas untuk pasaran Amerika Utara, dikenali sebagai Mitsubishi i dikatakan bersaiz lebih besar dan memiliki banyak ciri berbanding i-MiEV standard.

i-MiEV terus mencatat pencapaian signifikan apabila Mitsubishi i berada di ranking pertama dalam senarai Garis Panduan Bahan Api Tahunan yang dikeluarkan oleh pihak Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat pada tahun 2011.


ATAS: i-MiEV turut dikenali sebagai Peugeot iOn dan Citroen.


Mitsubishi i menjadi kenderaan paling cekap bahan api yang pernah dinilai oleh EPA, sebelum ia dikalahkan oleh model Honda Fit EV pada Jun 2012.

Sumber kuasa i-MiEV datang daripada pek bateri lithium-ion yang menggerakkan satu unit motor elektrik. Bateri berkapasiti 330V itu diletakkan di dek bawah lantai. Sementara motor elektrik diletakkan di bahagian bawah ruang kargo.

Motor elektrik berkenaan mampu menghasilkan kuasa mencecah 49kW dan tork 180Nm. Kelajuan maksimumnya ialah 130 kilometer sejam. Boleh tahan juga lajunya.

Meninjau bahagian kabin, i-MiEV dilengkap sistem hiburan double DIN dengan skrin sentuh bersama navigasi GPS.

Penjimatan Signifikan

Sehinga kini, MMC telah menghasilkan kira-kira 33,000 unit EV, selain membentuk kerjasama dengan 107 syarikat swasta dan awam di seluruh dunia. Kerjasama itu melibatkan pelbagai inisiatif seperti ujian bersama dan aktiviti pendidikan mengenai keperluan infrastruktur EV.

Kenapa anda perlu membeli i-MiEV? Alasan utama adalah penjimatan. Pertamanya dari segi kos minyak yang dapat dikurangkan dengan signifikan. Sebabnya, untuk mengecas penuh i-MiEV, caj yang dikenakan cuma RM3.50 berdasarkan kepada tarif elektrik semasa.

Dengan RM3.50 jarak yang boleh dicapai adalah sejauh 150 kilometer. Jadi, kosnya hanya 3 sen bagi setiap kilometer. Tidak cukup? Baiklah, cukai jalan untuk i-MIEV hanya RM10 setahun. Jumlah itu diperoleh selepas perbincangan dibuat antara MMM dan bahagian teknikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

MMM juga menyatakan bahawa syarikat insurans tidak ada masalah untuk menawarkan perlindungan insurans buat i-MIEV. Hasilnya, ia hanya dikenakan caj seperti kenderaan bersesaran 660cc. Memang murah!

Bagi memberi ketenangan fikiran buat pemiliknya, i-MiEV hadir dengan pakej penyelenggaraan percuma selama lima tahun. Selain jaminan selama lima tahun atau jarak perbatuan sehingga 100,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).


ODA (tiga dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada pemilik pertama i-MiEV di Malaysia, saudara Iwata.


"Penyelenggaraan akan dilakukan pada setiap 20,000 kilometer dan apa yang ditukar cuma penapis pendingin hawa dan minyak brek. Itu sahaja. Selebihnya melibatkan pemeriksaan diagnostik bagi memastikan semua komponen elektronik dapat beroperasi dengan baik," kata Perunding Teknikal MMM, Francis Tan.

Selain pembeli individu, MMM menyasarkan i-MiEV kepada syarikat korporat yang menggunakan kenderaan dalam jarak yang pendek dan peka terhadap alam sekitar.

Menyentuh tentang insentif cukai terhadap kenderaan hibrid dan elektrik yang akan tamat pada Disember 2013, Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tetsuya Oda yakin bahawa kerajan faham bahawa EV bukan lagi kenderaan untuk tujuan ujian. Tetapi sudah boleh ditawarkan kepada orang ramai secara meluas. Justeru, kerajaan pasti akan menimbang untuk meneruskan insentif tersebut.

Harus tahu juga bahawa harga yang ditawarkan untuk memiliki sebuah i-MiEV juga termasuk dengan pemasangan poin pengecasan.

"Kami bukan sekadar menjual kereta tetapi turut perlu memastikan poin pengecasan yang selamat. Jadi, setakat ini, lokasi pengecasan terbaik adalah di pusat EV.

"Bagi proses mengecas di rumah pula, ia mungkin agak sukar untuk mereka yang tinggal di kondominium atau atau pangsapuri. Melainkan anda mendapat persetujuan daripada pihak pengurusan kondo untuk menyediakan satu tempat mengecas khas," kata Ketua Pemasaran dan Produk MMM, Shoen Saito.

Saito juga memberitahu, perancangan untuk mewujudkan stesen pengecasan pantas memang ada. Malah pihaknya sudah berbincang dengan beberapa pihak di Malaysia.

Sebagai permulaan, SAG Star menjadi pusat EV yang pertama dan menawarkan kemudahan mengecas secara percuma untuk semua pemilik EV dengan keutamaan diberikan kepada pemilik i-MiEV.

MMM merancang untuk menambah pusat EV kepada lima dalam tahun kewangan tahun ini. Dengan kos RM250,000 setiap satu, lokasi pusat EV itu bakal tertumpu di kawasan Lembah Kelang.

Persoalannya, adakah rakyat Malaysia sudah benar-benar bersedia untuk mengadaptasi teknologi ini sepenuhnya? Sama-sama kita nantikan.

BMW Motorrad tawar dua model enduro

Posted:

BMW Motorrad tawar dua model enduro

BMW Motorrad tawar dua model enduro


JENTERA ini dikuasakan oleh unit enjin 798cc yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.


BMW Group Malaysia (BMW Malaysia) menerusi BMW Motorrad baru-baru ini memperkenalkan dua model motosikal enduro baharu ke pasaran tempatan.

Dua model yang menjanjikan kepuasan tunggangan untuk para peminat jentera off-road itu ialah BMW F 700 GS dan F 800 GS.

BMW F 700 GS merupakan produk baharu yang diperkenalkan bagi menggantikan model sedia ada iaitu F 650 GS.

BMW F 700 GS disasarkan kepada mereka yang kurang berpengalaman dalam tunggangan off-road. Tetapi mahukan sebuah jentera berprestasi tinggi serta ekonomikal untuk kegunaan harian.

BMW F 800 GS pula merupakan model yang ditambah baik daripada model sebelumnya. F 800 GS mengabungkan keupayaan jelajah dan kualiti tunggangan di laluan off-road.

Konsep reka bentuk kedua-dua model tersebut turut berubah daripada karakter urban kepada lebih maskulin dan kontemporari.


BMW F 700 GS menjadi pilihan golongan yang gemar menunggang dalam jarak jauh.


Kedua-duanya dilengkapi enjin dua silinder bersesaran 798cc dengan sistem penyejukan cecair. Bahan api diperoleh menerusi sistem pancitan kawalan elektronik. Kotak gearnya ialah enam kelajuan.

Biarpun begitu, ledakan kuasa bagi kedua-dua model itu agak berbeza. F 700 GS berupaya menjana output maksimum sebanyak 75hp @ 7,300rpm dengan kuasa kilas setinggi 77Nm @ 5,300rpm.

Untuk F 800 GS pula, ia lebih berkuasa apabila kuasa maksimumnya mencecah 85hp @ 7,500rpm. Sementara torknya pula sebanyak 83Nm @ 5,750rpm.

Sistem brek antikunci (ABS) didatangkan sebagai ciri standard bagi kedua-dua model berkenaan. Ciri lain yang turut ditawarkan termasuklah Automatic Stability Control (ASC) dan Electronic Suspension Adjustment (ESA).

BMW F 700 GS ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu kelabu, merah dan perak. F 800 GS pula didatangkan dengan pilihan warna tembaga, biru dan putih.

Harga jualan atas jalan tidak termasuk insurans bagi F 700 GS ialah RM79,800 dan F 800 GS pula dijual pada harga RM89,800. Ia boleh didapati menerusi semua pengedar sah BMW Motorrad di seluruh negara.

Penerus legasi lagenda!

Posted:

Penerus legasi lagenda!

Penerus legasi lagenda!

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


ACCORD generasi kesembilan sarat dengan teknologi keselamatan tercanggih.


SEPERTI kita sedia maklum, Honda ialah nama besar dalam industri automotif. Produknya pelbagai, bukan hanya setakat kereta dan motosikal. Bahkan bermula daripada sekecil generator pasar malam hinggalah ke pesawat peribadi.

Nilai kejuruteraan yang ada pada syarikat itu sangat besar dan berjaya pula dalam memasarkan produk-produk mereka. Jika Honda mempunyai universiti, saya yakin ramai juga yang ingin belajar di sana.

Produk kenderaan mereka sebenarnya banyak, ada yang kecil dan besar. Cuma untuk pasaran global, hanya beberapa model sahaja yang dikenali umum. Antara model-model tersebut ialah Jazz, Civic dan Accord.

Civic dan Accord misalnya sudah berpuluh tahun berada dalam pasaran dan merupakan model pembuka jalan untuk pasaran Amerika Syarikat (AS). Senang kata, kedua-dua model tersebut merupakan bread & butter untuk Honda.

Baru-baru ini di Thailand, Honda telah memperkenalkan kepada umum Accord generasi kesembilan. Model serba baharu itu menampilkan reka bentuk elegan sebagai refleksi kepada citarasa pelanggan.

Ia bagi memenuhi kehendak pasaran yang mahukan kereta dengan ciri-ciri mewah, selesa, ada gaya dan sofistikated. Dengan reka bentuk baharu sepenuhnya, Accord turut didatangkan dengan teknologi pemanduan pintar untuk prestasi yang lebih responsif, selamat dan cekap bahan api. Semuanya bagi memenuhi agenda hijau yang merupakan arus perdana dalam dunia automotif hari ini.

"Sejak pengenalannya pada tahun 1976 hingga penghujung 2012, Honda Accord telah berjaya menambat hati konsumer global dengan jualan terkumpul sebanyak 19 juta unit di 160 buah negara seluruh dunia. Jualan di Thailand pula adalah sebanyak 138,229 unit sejak tahun 1984 hingga penghujung 2012," jelas Naib Presiden Eksekutif, Honda Automobile (Thailand) Co. Ltd., Pitak Pruittisarikom.

Dengan adunan ideal yang terdiri daripada kemewahan, elegan, reka bentuk sporty serta ciri-ciri aerodinamik yang ditambah baik, Accord baharu tampak lebih kemas, garang dan elegan.


RUANG kabin nampak mewah dengan kemasan dan tempat duduk berwarna gelap.


Mewah dan selesa

Gril hadapannya diperkemas, manakala lampu belakang LED pula nampak kontemporari dan korporat. Bahagian dalaman pula nampak seperti ingin meraikan pemandu dan penumpang dengan keselesaan dan kemewahan.

Kerusi yang besar memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang. Kabin yang lebih luas didatangkan dengan kerusi bersama kontur rekaan semula. Tempat duduk pemandu boleh dilaras secara automatik dengan lapan pergerakan dan fungsi ingatan (memory seat). Kerusi sebelah penumpang juga boleh dilaras secara automatik dengan empat pergerakan.

Kemudahan lain ialah Active Noise Control (ANC) yang menawarkan pemanduan senyap, kawalan suhu automatik dua zon, Adaptive Cruise Control (ACC) yang mampu mengawal kenderaan secara automatik mengikut kenderaan hadapan dan One Push Ignition System.

Sistem multimedia pula terdiri daripada skrin berwarna bersaiz sembilan inci (Multi-Information Display 9i-MID) dan sistem navigasi. Dengan antara muka pintar, pemandu boleh mengawal sistem audio dan Bluetooth telefon bebas tangan menggunakan On-demand Touch Panel.

Menguasakan Honda Accord serba baharu ialah enjin 2.4 liter i-VTEC berkuasa 174hp dengan tork 225Nm. Enjin 2.0 liter i-VTEC pula berkuasa 155hp dengan tork 190Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi lima kelajuan automatik.


BAHAGIAN tengah papan pemuka dihuni oleh sistem multimedia dengan skrin berwarna bersaiz sembilan inci.


Melalui Accord baharu ini juga, Honda memperkenalkan sebaris teknologi keselamatan terkini yang biasanya terdapat pada kereta mewah buatan Eropah. Antara teknologi yang dipakejkan ialah Collision Mitigation Brake System (CMBS). Ia berfungsi memberi amaran kepada pemandu jika objek hadapan terlalu dekat, seterusnya cuba untuk membrek bagi mengelak atau mengurangkan risiko kemalangan.

Honda Lane Watch Blind Spot Display pula membantu dalam memerhatikan objek pada sisi kereta. Sementara Active Cornering Lights membantu pemandu sewaktu melalui selekoh pada waktu malam.

Teknologi keselamatan lain ialah lampu LED siang hari, beg udara depan, i-side (sisi), Vehicle Stability Assist (VSA), Motion Adaptive Electric Power Steering (MA-EPS), Hill Start Assist (HSA), ABD, EBD, Emergency Stop Signal (ESS) dan cermin sisi tingkap depan dengan pengalir air serta cermin sisi hydrophilic untuk membantu penglihatan.

Apa yang ditawarkan Honda pada Accord generasi kesembilan ini sangat impresif. Dengan ciri sedia ada pada kenderaan Honda seperti penjimatan minyak dan kos pemilikan yang rendah, kemudian digabungkan pula dengan teknologi yang ditawarkan pada kereta mewah Eropah. Ia seperti kahwin campur antara pasangan Asia dan Eropah seterusnya menghasilkan suatu yang unik.

Paling penting pelanggan tidak perlu lagi berhabis wang untuk menikmati teknologi yang canggih dan selamat. Senang cerita, spesifikasi Eropah tetapi pada harga Jepun.

Tidak sabar rasanya untuk menunggu Accord spesifikasi Malaysia. Jika sama hebat seperti Thailand, nampaknya pengeluar lain dari Korea, AS dan Eropah mungkin agak goyah. Apa guna inovasi dan teknologi jika tidak boleh dinikmati ramai.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved