Selasa, 26 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Siapkan 12,000 batang aiskrim

Posted:

Siapkan 12,000 batang aiskrim

Siapkan 12,000 batang aiskrim

BERNIAGA aiskrim berperisa dalam plastik berbentuk silinder atau lebih dikenali sebagai aiskrim Malaysia bukanlah impian sebenar Raja Rozlinda Raja Abdullah, 48. Sebaliknya, dia membuat aiskrim itu semata-mata memenuhi permintaan anak-anaknya yang amat menyukai aiskrim.

Bermula secara suka-suka tiga tahun lalu, aiskrim Malaysia Raja Rozlinda juga diminati kanak-kanak di sekitar kawasan kediamannya di Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

"Anak-anaklah yang menjadi tukang promosi. Jadi, kanak-kanak lain pun datang membeli dan saya terpaksa buat dalam kuantiti yang banyak supaya dapat dijual," kata ibu kepada empat anak itu.

Raja Rozlina menyediakan 11 perisa aiskrim Malaysia. Antaranya termasuklah asam boi, Milo, bandung, strawberi, anggur, oren dan tebu. Namun, anak-anak Raja Rozlinda lebih meminati aiskrim berperisa asam boi dan Milo. Dengan resipi yang ringkas, Rozlinda menggunakan air masak, gula dan perisa bagi menyediakan bancuhan aiskrim Malaysia. Air yang telah diberi perisa dimasukkan ke dalam plastik aiskrim sebelum dibekukan.

Hakikatnya, aiskrim yang pernah popular sekitar tahun 70 dan 80-an itu masih mempunyai penggemarnya hingga kini.

Dibantu keluarga

Selain diminati oleh kanak-kanak di sekitar taman perumahannya, Raja Rozlinda juga mendapat tempahan untuk acara sukan, hari keluarga dan sebagainya.

Sejak dua tahun lalu, beliau mendapat tempahan daripada sebuah syarikat korporat yang memesan sehingga 12,000 batang aiskrim Malaysia untuk acara tahunan mereka.

"Sebagai seorang wanita bekerja, tidak mungkin saya mampu melakukannya bersendirian, jadi saya meminta bantuan ahli keluarga untuk menyiapkan tempahan," kata pegawai tadbir di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak itu yang menyiapkan tempahan tersebut antara empat hari hingga seminggu.

Anak bongsu Rozlinda, Putera Muhammad Mukhlis Solihin, 8, asyik mencuba setiap aiskrim air tangan ibunya. "Saya suka aiskrim Malaysia. Biasanya saya makan aiskrim ketika cuaca panas," katanya yang akan menggosok gigi selepas makan aiskrim.

Dia gemar menikmati aiskrim Milo dan berperisa coklat. Kerja-kerja memasukkan bancuhan aiskrim biasanya dibantu oleh anak-anak Raja Rozlinda iaitu Muhammad Irfan Syafiq, 19, Puteri Nur Irdina Syazwani, 16, dan Puteri Nur Liyana Amani, 13.

Menyentuh tentang harga, Rozlinda mengakui dua dekad lalu aiskrim Malaysia dijual sekitar 0.5 sen atau 0.10 sen sebatang, kini harga aiskrim tersebut meningkat sehingga 0.40 sen sebatang, manakala aiskrim perisa Milo dan bandung, 0.50 sen sebatang.

Menjadi pencuci mulut ketika waktu berkualiti bersama keluarga, suami Raja Rozlinda, Ruze Ismail, 49, berkata, menikmati aiskrim Malaysia turut mengimbau memori mereka sekitar tahun 70-an.

Diangkat sebagai makanan paling popular dan diminati oleh penduduk seluruh dunia, aiskrim menjadi pilihan bagi individu atau kumpulan sasaran perniagaan. Kini, majlis-majlis seperti kenduri perkahwinan, hari jadi, ulang tahun sesebuah syarikat, perjumpaan dan sebagainya mula menempah aiskrim sebagai sebahagian daripada menu pencuci mulut.


SAMSUDEEN (tiga dari kanan) dan keluarganya menjadikan aiskrim lembut sebagai menu pada majlis ulang tahun anak mereka.


Ulang tahun

Bagi pasangan Mohamed Samsudeen, 29, dan isteri, Hajarah Ismail, 31, yang tinggal di Putrajaya, mereka mahu menyambut hari ulang tahun kelahiran anak mereka, Muhammad Daniel, 2, secara meriah. Memandangkan majlis itu meraikan kanak-kanak, menu pencuci mulut, aiskrim menjadi menu wajib.

Mereka telah menempah aiskrim lembut dalam kon daripada Suka Aiskrim yang dikendalikan oleh Abd. Hakim Hamzah dari Shah Alam. Kehadiran Hakim bersama adiknya, Mohd. Zakiuddin Hamzah, 25, ke kediaman Samsudeen disambut penuh teruja oleh kanak-kanak yang berada di rumah Samsudeen.

Hakim membawa sebuah mesin berbentuk segi empat di atas troli dan sebuah lagi peti. Sebaik tiba di kediaman Samsudeen, Hakim terus membuka peti yang mengandungi cecair berwarna putih dan coklat lalu dimasukkan ke dalam dua bekas berasingan dalam mesin tersebut.

"Cecair aiskrim ini saya sediakan mengikut tempahan. Saya akan tiba dua jam awal sebelum majlis. Cecair tadi saya akan masuk ke dalam mesin ais untuk diproses menjadi krim. Dalam masa setengah jam, airkrim sedia dihidang kepada tetamu," kata Hakim.

Lembut dan berkrim, aiskrim perisa vanila dan coklat yang dihidangkan Hakim menjadi rebutan kanak-kanak yang menunggu lama.

Hakim berkecimpung secara sambilan dalam perniagaan aiskrim selepas melihat potensi perniagaan itu daripada rakannya.

"Pada waktu itu saya tiada modal untuk membeli mesin, tetapi sangat berminat. Jadi saya mencari tawaran yang sesuai dengan bajet ketika itu," katanya.

Tambah Hakim, selepas setahun kini, jadual tempahan aiskrimnya penuh sehingga bulan Julai. Kini, dia memiliki empat buah mesin membuat aiskrim.

"Saya berniaga pada hujung minggu bergantung pada tempahan," kata pendidik itu.

Menempah 300 aiskrim pada majlis hari jadi anaknya, Samsudeen mengakui Suka AisKrim menawarkan harga yang berpatutan dan rasanya enak.


HAKIM sentiasa memastikan mesin aiskrim bersih dan cermat supaya pengendaliannya lancar.


Selain aiskrim kon yang dijual pada harga RM1 satu, Suka AisKrim juga menyediakan aiskrim roti pada harga RM1.50 satu dan aiskrim cawan, RM2 satu.

Selain aiskrim tempatan, pelbagai jenama aiskrim mewah membanjiri pasaran. Antaranya termasuklah Baskin Robins, Tutti Frutti, New Zeland Natural, Haagen Dazs dan aiskrim separa mewah daripada rangkaian restoran makanan segera seperti McFlurry, Walls dan Nestle.

Stickhouse, aiskrim dari Itali membawa konsep aiskrim yang berbeza. "Ia bukan aiskrim biasa tetapi gelato. Aiskrim gelato dibuat tanpa memberi ruang kepada udara. Tanpa udara menjadikan gelato berdensiti padat, kaya berperisa dan mengekalkan kandungan semula jadinya," kata Pengarah Urusan Malaysia, Hu Sau Keong, 35.

Aiskrim Stickhouse menggunakan bahan semula jadi tanpa pewarna tiruan, pengawet, mempunyai kandungan seperti inulin dan ekstrak sayuran.

Menurut Sau Keong, dengan penampilan berbeza, ais tersebut dicucuk pada batang. Ia dijual pada harga antara RM4.90 hingga RM8.90 sebatang. Stickhouse menawarkan aiskrim berperisa sorbet, yogurt dan premium. Kios Stickhouse boleh didapati di pusat beli-belah terpilih seperti di Sunway Pyramid.

Thailand bergelut kehamilan remaja

Posted:

Thailand bergelut kehamilan remaja

Thailand bergelut kehamilan remaja


PENDIDIKAN seks yang diajar di sekolah kebangsaan kurang berkesan menangani kehamilan remaja Thai.


KETIKA Mallika memberitahu keadaan dirinya yang sedang mengandung, ibu bapa Mallika telah menghentikan persekolahannya. Dia kemudian diarah berkahwin dengan lelaki yang telah menyebabkan dia berbadan dua. Usianya ketika itu 17 tahun.

Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak pernah terjadi, dan Mallika menjaga bayi perempuan itu sendirian.

"Saya menyayangi anak saya, tetapi ketika itu saya menyembunyikannya kerana malu," kata Mallika yang kini sudah berusia 23 tahun dan bekerja sebagai penjual pakaian buatan China di pasar minggu di Bangkok, Thailand.

Dia yang tinggal di sebuah apartmen di pinggir bandar Bangkok menambah, pada masa itu, keluarga lelaki berkenaan menawarkan wang bagi menutup mulut selain meminta tidak mengganggu mereka.

Ibu remaja

Situasi yang dihadapi Mallika bukanlah sesuatu perkara yang luar biasa. Jumlah remaja perempuan mengandung di Thailand merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara selepas Laos, menurut laporan Biro Kesihatan Reproduktif di Kementerian Kesihatan Awam Thailand.

Meskipun, kadar keseluruhan kelahiran di negara Gajah Putih itu jatuh, namun dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan. Daripada 1,000 kelahiran, 54 merupakan ibu remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun. Peratusan tersebut lebih tinggi daripada Amerika Syarikat dan 10 kali ganda lebih tinggi daripada Singapura.

Malah, jumlah tersebut naik mendadak. Bilangan kelahiran hidup bagi ibu remaja Thailand berusia antara 15 hingga 18 tahun meningkat kepada 43 peratus antara 2000 hingga 2011, berdasarkan laporan tahunan kesihatan awam Thailand.

Terdapat banyak faktor penyumbang, namun pakar kesihatan menyalahkan faktor budaya sebagai penyumbang utama. Isu-isu berkaitan gender turut merumitkan keadaan.

"Wanita diminta menjaga kesucian diri mereka tetapi lelaki Thai yang melakukan hubungan seks dengan ramai wanita dipandang hebat," kata Visa Benjamano, pesuruhjaya di Majlis Hak Asasi Manusia Kebangsaan Thailand (NHRC).

"Jika lelaki meniduri ramai wanita, imejnya tidak terjejas seperti yang dialami wanita. Wanita secara umumnya lebih takut membincangkan hal berkaitan hubungan seks secara terbuka," kata Benjamano.

Walaupun, pendidikan seks merupakan sebahagian daripada kurikulum sekolah kebangsaan, namun ia kurang berkesan. Menteri Pelajaran mengehadkan masa pelajaran kepada lapan jam setahun meskipun berlaku perubahan sikap golongan remaja terhadap seks.

Satu laporan pada tahun 2011 oleh Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Lembangan Pembangunan Sosial dan Ekonomi Thailand (NESDB) menunjukkan bilangan wanita yang dimasukkan ke hospital berkaitan pengguguran meningkat lebih 16 peratus antara 1994 dan 2009, mencecah 60,000 pada tahun 2009.

Melakukan pengguguran dilarang di Thailand kecuali kes berkaitan rogol atau sumbang mahram, menyelamatkan nyawa, fizikal atau faktor kesihatan wanita dan berumur bawah 15 tahun.

Pengguguran haram

Di bawah undang-undang Thai, hukuman sekiranya melakukan pengguguran haram ialah penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum 10,000 bath (RM1,000). Bagaimanapun, klinik dan pengguguran haram tetap meningkat.

Pada 2010, polis Thai menjumpai 2,000 janin di kawasan kuil Buddha Bangkok dipercayai dihantar oleh klinik-klinik pengguguran haram.

Penemuan itu membuatkan masyarakat Thai berada dalam dilema kerana perbuatan itu berdosa di sisi agama Buddha yang dianut oleh 95 peratus rakyat Thailand.

Berbanding Filipina yang kebanyakan berfahaman Katolik, di Thailand alat atau pil pencegah kehamilan dan kondom mudah didapati dan dijual di kaunter-kaunter kedai.

Namun, apabila remaja perempuan cuba membelinya masyarakat memandang serong terhadapnya.

– Reuters

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved