Selasa, 26 Mac 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Impian jadi kenyataan

Posted:

Impian jadi kenyataan

Impian jadi kenyataan

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
shahrulanoor.ishak@kosmo.com.my

NAZIRUL yang akan menyertai Wan Zack dengan kelab Ryukyu FC ditawarkan kontrak selama setahun.


IMPIAN pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim untuk beraksi dalam Liga Bola Sepak Jepun (Liga J) akhirnya menjadi kenyataan.

Dua pemain skuad Harimau Muda itu masing-masing telah mengikat kontrak selama dua dan satu tahun dengan kelab Liga Divisyen Tiga Jepun, Ryukyu FC.

Penghijrahan tersebut dipersetujui, selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpuas hati dengan terma kontrak yang ditawarkan Ryukyu FC kepada dua pemain tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya telah membuat penelitian terhadap tawaran kontrak yang diterima kelmarin bagi membolehkan kedua-dua pemain tersebut beraksi di Jepun.

Jelas Azzuddin, keputusan itu dibuat penuh teliti kerana tidak mahu mengulangi sejarah aksi singkat dua pemain tempatan iaitu Mohd. Nazmi Faiz Mansor dan Fakri Saarani dengan kelab di Portugal, yang membuat kejutan kembali ke tanah air baru-baru ini.

"Kepulangan dua pemain tempatan dari Portugal memberi iktibar kepada FAM supaya lebih teliti sebelum melepaskan Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim.

"Selepas meneliti kontrak yang diterima semalam (kelmarin), FAM memutuskan untuk menerima tawaran tersebut, kerana ia dibuat secara telus dan memberi kebaikan kepada kelab terbabit serta kedua-dua pemain kita.

"Wan Zack akan mengikat kontrak selama dua tahun manakala Nazirul Naim pula setahun bersama Ryukyu FC," katanya kepada pemberita di Kuantan semalam.

Liga Jepun yang baru bermula awal bulan ini menyaksikan Ryukyu FC berada di tangga kedua Divisyen Tiga.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berkenaan perlawanan amal antarabangsa antara Malaysia dengan Palestin yang akan diadakan di Stadium Darul Makmur, Pahang malam ini bagi tujuan mengumpul dana Tabung Perwira Lahad Datu dan Tabung Palestin.

Mengulas lanjut, Aizuddin menambah, beliau telah diminta oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah untuk menemui keluarga Wan Zack Haikal dan Nazirul selepas menerima tawaran kontrak tersebut.

Azzuddin menjelaskan, keluarga kedua-dua pemain itu telah memberi maklum balas positif sebagai dorongan kepada Wan Zack dan Nazirul untuk bermain di Jepun.

Kim Swee puji aksi Harimau Muda

Posted:

Kim Swee puji aksi Harimau Muda

Kim Swee puji aksi Harimau Muda

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


IZZAQ menjaringkan gol penyamaan Harimau Muda pada aksi menentang skuad B-19 Slovakia di Vion, Sabtu lalu.


KEMATANGAN skuad Harimau Muda ketika mengikat skuad bawah 19 tahun (B-19) Slovakia dengan keputusan seri 1-1 di Vion, Sabtu lalu mengundang pujian jurulatih, Ong Kim Swee.

Biarpun 'berguru' di pentas Eropah tanpa kehadiran beberapa pemain utama seperti Nazirul Naim Che Hashim dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang berlepas ke Jepun menyertai FC Ryukyu malam tadi, Kim Swee menganggap keputusan seri itu cukup berbaloi.

"Keputusan seri membuktikan pemain Harimau Muda mampu bersaing walaupun tanpa beberapa tonggak utama.

"Namun, corak permainan konsisten perlu dikekalkan selepas ini kerana ia antara elemen yang penting bagi Harimau Muda menimba pengalaman di Eropah.

"Selain permainan konsisten, pemain juga dituntut mengekalkan persefahaman, sikap positif serta semangat berpasukan," kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.

Dalam perlawanan itu, skuad muda negara terlebih dahulu ketinggalan sebelum bangkit menerusi jaringan penyamaan penyerang tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan.

Hari ini, skuad Harimau Muda bakal menguji skuad B-21 Georgia di Vienna, Austria dan ia merupakan sebahagian daripada perancangan awal Kim Swee bagi mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, Kim Swee turut memberikan kata-kata semangat terhadap Nazirul Naim dan Wan Zack.

"Selamat berangkat ke Okinawa, Jepun buat Nazirul Naim dan Wan Zack.

"Semoga dimensi baharu ini akan memberikan kekuatan dan kesungguhan (kepada kedua-dua pemain itu) untuk lebih berjaya pada masa depan," kata Kim Swee.

Malaysia janji aksi terbaik

Posted:

Malaysia janji aksi terbaik

Malaysia janji aksi terbaik

Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
shahrulanoor.ishak@kosmo.com.my


RAJAGOBAL (kanan) bersalaman dengan rakan sejawatnya dari Palestin, Jamal Mahmoud selepas selesai sidang akhbar di Kuantan semalam.


WALAUPUN sekadar perlawanan amal, Harimau Malaya akan tetap tampil dengan aksi terbaik pada perlawanan menentang Palestin di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal menjelaskan, mereka tetap memandang serius perlawanan tersebut meskipun skuad kendaliannya akan turun tanpa beberapa tonggak utama.

Menurutnya, beliau telah mengingatkan para pemain yang akan beraksi pada malam ini supaya terus berusaha memberi aksi terbaik walaupun perlawanan itu diadakan atas tujuan amal.

"Saya beritahu pemain bahawa semua perlawanan yang disertai amat penting, termasuk perlawanan amal ini kerana ia dianggap sebagai medan terbaik untuk memperbaiki mutu permainan.

"Kita juga akui, pasukan Palestin mempunyai kekuatan tersendiri dan kita akan memberi tentangan yang sengit walaupun ia hanya perlawanan amal.

"Ketiadaan beberapa pemain utama pula bukan bermakna kita tidak akan memberi persembahan terbaik dalam perlawanan ini," kata Rajagobal.

Mengulas ketiadaan beberapa tonggak dalam perlawanan tersebut, Rajagobal memberitahu bahawa sebahagian daripada pemain Harimau Malaya terlibat dengan aksi Piala FA bersama pasukan masing-masing.

Pemain yang terlibat ialah Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Helmi Reneli, Mohd. Shakir Shari dan Mohd. Badhri Radzi.

Selain itu, Rajagobal menambah, pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal Wan Noor juga tidak dapat beraksi kerana sudah berangkat ke Jepun.

"Penyerang kita, Norshahrul Idlan Talaha juga tidak dapat bersama pasukan kerana mempunyai komitmen keluarga.

"Ketiadaan beberapa pemain utama ini tidak menghalang skuad kebangsaan untuk meneruskan momentum cemerlang selepas kejayaan menewaskan Yemen 2-1 pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 minggu lalu," ujarnya pada sidang akhbar di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang semalam.

Hadir pada sidang akhbar tersebut ialah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Azzuddin Ahmad.

Mengulas mengenai penganjuran perlawanan amal tersebut, Aizuddin pula berkata, ia diadakan bagi mengisi Tabung Perwira Lahad Datu serta Tabung Palestin.

"Para peminat bola sepak yang ingin menyaksikan perlawanan malam esok (malam ini) boleh mendapatkan tiket berharga RM20 untuk dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak dan boleh didapati di kaunter Stadium Darul Makmur.

"Selain tujuan amal, ia juga menjadi peluang buat para pemain kebangsaan untuk memperbaiki kelemahan masing-masing," ujar beliau.

Sementara itu, ketua jurulatih Palestin, Jamal Mahmoud semasa sidang akhbar yang sama pula berkata, para pemainnya berasa gembira untuk beraksi menentang skuad Harimau Malaya.

"Kita mengikuti perkembangan serta mengetahui kekuatan pasukan Malaysia dan kami akan cuba untuk mencari kemenangan malam esok (malam ini).

"Pasukan Palestin juga akan turun tanpa beberapa tonggak utama kerana mereka diberi rehat selepas menyertai liga di Maldives," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved