Selasa, 26 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Rockestra Wings di Istana Budaya

Posted:

Rockestra Wings di Istana Budaya

Rockestra Wings di Istana Budaya

WINGS kini sudah bersiap sedia untuk kembali menggegarkan Istana Budaya dari 26 hingga 30 April ini menerusi Konsert Rockestra Wings.


EMPAT pahlawan muzik sedang bersiap sedia dengan senjata masing-masing bagi memasuki gelanggang yang pernah mereka lawati dulu. Sebuah 'istana' yang bakal bergendang, berpalu lagu Wings merupakan singgahan kedua grup tersohor ini.

Sudah tentu, ini bukan ruang untuk meningkatkan mutu persembahan yang pernah kali pertama mereka laksanakan pada dua tahun lalu.

Sudah tentunya juga ini merupakan ruang dan peluang buat pahlawan dengan nama Awie, Joe, Eddie dan Black menempa impak dan momen baharu buat para penggemar tegar mereka. Kelainan yang mereka persembahkan maka perbezaan rasa dan momenlah akan ditempa oleh pencinta mereka.

Acara pencak muzik dengan nama Konsert Rockestra Wings adalah sebuah pengabadian sejarah.

Sudah banyak yang dilakarkan oleh grup yang ditubuhkan pada tahun 1986 ini dan ini salah satunya sejarah yang tertulis dalam portfolio mereka setelah diangkat sebagai persembahan artis solo atau berkumpulan yang mendapat kutipan tertinggi di pentas istana tersebut.

Atas nama klasikal

Ini hentakan kedua mereka yang buat Joe Wings selaku Pengarah Muzik berkonsep lebih klasikal.

Menjadikan konsert anjuran Anggerik Event ini sebagai sebuah atmosfera yang lebih segar untuk tatapan mata dan rasa penggemar Wings.

"Dulu kita hanya menggunakan separuh orkestra tetapi kini kita banyakkan untuk rasa mood orkestra tersebut. Kita menggunakan tenaga dan kepakaran 43 orang pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer.

"Dengan melebihkan string seperti violon, cello dan double bass, kita akan rasa lebih rock dan orkestra. Lebih berat di atas pentas," jelasnya panjang lebar tentang persediaan konsert yang bakal berlangsung pada 26, 27, 28 dan 30 April kelak.

Keluar sedikit daripada aspek teknikal dan bunyi, sentuhan rasa yang mahu dipunyai oleh para peminat Wings juga dititikberatkan.

Kelainan yang diberikan sudah tentu melibatkan repoitaire lagu-lagu yang menjadi congakan umum.

Pertanyaan dan ungkai soal terjawab. Menurut Joe, 80 peratus lagu yang akan dipersembahkan adalah yang jarang malah ada yang tidak pernah mereka mainkan seperti Harapan, Aku Pun Tahu, Dalam Kehadiran Sofiah dan Amok.

SEMANGAT kental. (Dari kiri), Eddie, Joe, Awie dan Black kekal sebagai tunjang nyawa dan hayat Wings.


Pastinya barisan lagu-lagu unik dan pelik untuk pementasan ini sudah lama dinantikan oleh khalayak golongan penggemar tegar.

Bukan mudah untuk Wings sendiri membahagikan rasa dan timbangan untuk membariskan lagu-lagu yang mereka mainkan kelak.

Joe mengambil masa durasi dua bulan untuk memilih lagu-lagu yang bakal dipersembahkan sebelum ditapis lagi bersama Awie, Eddie dan Black dalam tempoh dua minggu.

Usai saringan dan tapisan, baru mereka memilih lagu yang betul-betul sesuai yang disenarai pendek sebanyak 20 buah.

"Lagu-lagu dipilih berdasarkan banyak faktor seperti permintaan peminat iaitu Sayap Wings selain daripada rakan-rakan, saudara-mara dan juga anggota Wings sendiri. Tetapi lagu-lagu wajib seperti Sejati dan Taman Rashidah Utama tidak boleh kami lupakan kerana ia menjadi permintaan ramai," kata Awie.

"Ada juga ikut rasa Wings tetapi kami bagi apa yang umum mahukan. Namun apa yang boleh diberikan bayangan bahawa konsert ini akan dipenuhi dengan lagu-lagu yang di luar jangkaan," tambah Joe.

Bakal mendendangkan lagu-lagu baharu daripada album yang sedang dalam proses pembikinan dengan judul Menakluk Kosmos, Wings sendiri sedar bahawa peminat lebih terarah kepada lagu-lagu lama mereka.

"Sudah 11 tahun kami tidak merakam album baharu selepas Naga Kramat pada tahun 2002. Namun begitu, tawaran persembahan tidak putus. Peminat masih mahukan lagu-lagu daripada album lama seperti Belenggu Irama, Hukum Karma, Teori Domino, Jerangkung Dalam Almari dan Bazooka Penaka yang dirakam antara 20 hingga 27 tahun lalu. Itulah yang indah mengenai Wings," kata Black atau nama sebenarnya Azmi Hashim.

Sudah tawan istana

Istana Budaya merupakan sebuah lokasi idaman. Bukan calang-calang dapat beraksi menunjuk megahnya produk atau bakat mereka.

Namun bagi Wings, peluang kali kedua ini adalah sebuah pembuktian. Bahawa anak dengan jiwa rock juga boleh beraksi di mana-mana dan begitu juga kehadiran para peminat mereka.

Biarpun ada protokol serta disiplin yang perlu dilalui namun itu bukan satu halangan. Malah ujar Eddie, itulah cabaran buat mereka.

"Ruang yang lebih selesa berdinding dan berbumbungkan penghawa dingin masih memberikan mereka rasa enjoy walau berbeza lokasi daripada biasa.

"Impaknya lain, lebih intimasi. Sebenarnya kami ada pelbagai rasa. Kasihan ada, suka pun ada. Kasihan bila melihat para peminat seakan-akan tidak puas di tempat duduk.

"Bergoyang ditahan-tahan dan waktu itu kami acah. Seronok melihat dari atas pentas gelagat mereka," ketawa Awie yang merupakan anggota Wings paling sibuk dengan aktiviti seninya.

"Bila ada protokol dan disiplin yang tinggi, tidak kiralah kerana lokasi dan juga berkolaborasi dengan orkestra, itulah rasa seronok buat Wings. Rasa teruja dan kami juga dapat muncul dengan busana yang lebih kemas dan berlainan daripada biasa," ujar Eddie, si pemain bass.

JOE diberikan tanggungjawab untuk memilih lagu-lagu yang bakal dipersembahkan Wings khusus untuk Konsert Rockestra Wings.


Tambah Black pula, dia menganggap cabaran besar kelak adalah penyatuan ego dan undang-undang orkestra dengan keselambaan jiwa rock mereka.

Buat Wings, ruang dan peluang di Istana Budaya telah mereka tawan. Tiada masalah dalam pemikiran mereka. Juga tiada rungutan daripada pihak Istana Budaya sendiri.

Jiwa rock yang kental dalam naluri mereka membenarkan mereka beraksi di mana sahaja menghiburkan hati mereka dan khalayak dengan lagu-lagu yang sudah sebati dalam jiwa dan sanubari.

Lebih penting, disimpan kemas dalam ingatan peminat bahawa konsert yang akan berlangsung pada pukul 8.45 malam ini secara eksklusif hanya dapat disaksikan di Istana Budaya

Grup ini tidak bercadang untuk merakamkan konsert berkenaan dalam bentuk cakera padat digital (DVD), cakera padat video (VCD) atau cakera padat (CD) kerana merasakan ia tidak boleh mendatangkan keuntungan berikutan pasaran yang kecil.

"Kos untuk membuat rakaman adalah tinggi tetapi keuntungan yang diperoleh dengan penjualan DVD, VCD atau CD tidaklah besar mana.

"Selain itu, konsert ini juga akan jadi lebih eksklusif. Jika mahu menontonnya, datang ke Istana Budaya. Jika terlepas, hanya akan mendengar cerita orang sahaja," kata Joe.

Pelbagai peristiwa dan momen terus menghampiri grup kental ini. Mereka betah bertahan.

Mencecah usia 27 tahun dan terus dihitung adalah bukti survival Wings dan lagu-lagu mereka adalah sejarah yang sebati dalam industri muzik tanah air.

Wings, sebuah grup Malaysia yang bukan hanya pandai menjaga karier mereka dengan sikap dan pengurusan tetapi juga lagu-lagu yang sentiasa jaguh di hati umum.

Tanya Julia Perez sendiri - Murali

Posted:

Tanya Julia Perez sendiri - Murali

Tanya Julia Perez sendiri - Murali

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


MURALI bekerjasama dengan Julia Perez menerusi filem Sentuhan Malam Pertama.


KREDIBILITI Murali Abdullah sebagai seorang pengarah sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi berdasarkan pengalaman yang diraihnya sepanjang 20 tahun mengarah pelbagai drama, telefilem dan filem.

Sementelah, dia pernah lima kali dinobatkan sebagai pengarah Terbaik Anugerah Skrin.

Bagaimanapun, Murali baru-baru ini telah meluahkan rasa kesalnya terhadap situasi yang berlaku dalam industri hiburan sekarang.

Beliau juga turut mengulas tentang isu aktres sensasi dan seksi Indonesia, Julia Perez yang sebelum ini pernah terbabit dalam perang Twitter dengan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan aktor, Zed Zaidi gara-gara komennya dalam Twitter, mengutuk mutu drama Malaysia yang didakwanya ketinggalan berbanding produksi sinetron (drama) Indonesia.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Murali yang ditemui di lokasi penggambaran drama terbaharu arahannya, Wasilah Cinta di Kampung Paya Jaras Dalam, Selangor baru-baru ini.

Kosmo!: Murali sebelum ini pernah mengarah sebuah filem yang diterbitkan berjudul Sentuhan Malam Pertama yang menampilkan pelakon sensasi, seksi dan kontroversi Indonesia. Boleh komen tentang pengalaman anda mengarah Julia yang pernah terbabit dalam perang Twitter dengan Zed Zaidi suatu ketika dahulu?

MURALI: Buat masa ini, saya enggan memberikan komen tentang perkara tersebut. Pada majlis pelancaran filem Sentuhan Malam Pertama nanti yang akan diberitahu tarikhnya kemudian, bakal diadakan suatu sidang akhbar dan ketika itu wartawan boleh bertanyakan tentang isu tersebut kepada Julia Perez sendiri. Saya juga akan menjemput Zed Zaidi untuk menghadiri sidang akhbar tersebut.

Khabarnya juga Murali tidak mahu lagi mengarah drama bersiri? Andai benar, kenapakah anda mengambil tindakan tersebut?

Pertama sekali, saya melihat pembikinan sesebuah drama ketika saya mula-mula mengarah dahulu dan sekarang ini sudah sangat jauh berbeza. Salah satunya berkenaan dengan masa yang diberikan oleh penerbit agak singkat kerana mahu menjimatkan kos semata-mata inginkan keuntungan yang besar sehinggakan para pelakon dan kru produksi seolah-olah seperti kerja kilang.

Apakah impak yang akan terjadi apabila perkara ini berlaku?

Sebagai seorang pengarah sudah tentu saya agak sukar untuk menghasilkan sebuah produk yang bermutu. Bagaimanapun, ada segelintir penerbit yang langsung tidak mengambil kira tentang perkara ini.

Selain itu ada juga penerbit yang suka masuk campur ketika penggambaran sedang dilakukan sehingga mengganggu kerja-kerja seseorang pengarah, sedangkan mereka langsung tidak tahu apa-apa mengenai pembikinan sesebuah drama itu.

Namun begitu, tidak semua penerbit yang bersikap sedemikian kerana masih ada yang memberikan kerjasama yang baik. Misalnya, saya selesa bekerja dengan Suhan Movies kerana Rosyam Nor selaku penerbit memberikan kebebasan kepada saya untuk pembikinan telefilem Wasilah Cinta.

Rosyam ada memberitahu saya bahawa dia mahu kembalikan cara kerja lama yang tidak terlampau mengejar masa sangat dan ia merupakan langkah yang tepat untuk memberikan kebaikan kepada semua pihak. Dengan cara ini sudah tentu tidak ada lagi pelakon atau kru produksi yang merungut kerana terpaksa bekerja sehingga lewat pagi.

Jadi, apakah yang ingin Murali lakukan sekarang?

Saya akui sekarang ini saya sudah serik mahu mengarah drama. Kini, saya mahu memberikan lebih tumpuan kepada mengarah telefilem dan filem. Namun begitu, ia tidak bermakna saya akan terus bersara mengarah drama dan bersedia menimbangkan sebarang tawaran sekiranya ada penerbit yang tidak bersikap mementingkan keuntungan semata-mata.

Adakah Murali tidak kisah sekiranya akan disenarai hitamkan oleh segelintir penerbit selepas ini?

Rasanya saya tidak perlu bimbang jika ada penerbit yang enggan mengambil saya mengarah lagi, malah saya sendiri sudah senaraihitamkan beberapa orang penerbit dan tidak akan bekerjasama dengan mereka.

Apakah projek terbaharu Murali selepas Wasilah Cinta?

Selain filem Sentuhan Malam Pertama yang belum ditayangkan, saya juga sudah menyiapkan produksi Wasilah Cinta. Selepas ini akan berehat selama beberapa minggu dan kemudian saya akan mengarah sebuah filem terbaharu terbitan Nusantara Seni Karya Sdn. Bhd. pada bulan April ini.

Aaron aziz jadi guru

Posted:

Aaron aziz jadi guru

Aaron aziz jadi guru

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


AARON AZIZ dan Lisa Surihani bakal menyertai Zain Saidin bagi memantapkan lagi barisan pelakon siri Oh My English! musim kedua.


TIDAK dinafikan program yang berunsurkan hiburan serta pendidikan, Oh My English! bukan sahaja diminati oleh kanak-kanak, malah ia juga ditonton oleh golongan dewasa.

Melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan pada musim pertama, pihak Astro telah meneruskan keseronokan belajar bahasa Inggeris yang menampilkan 20 episod untuk Oh My English! musim kedua.

Memfokus terhadap gelagat guru-guru dan murid-murid yang belajar bahasa Inggeris dalam kelas tingkatan 3 merah, musim kedua bakal menampilkan dua orang guru serta pelajar-pelajar baharu yang pasti akan menggamatkan lagi suasana.

Empat orang karakter baharu yang diperkenalkan kali ini ialah Aaron Aziz sebagai Cikgu Malik, Tiz Zaqyah (Cikgu Ayu), Shafie Naswip (Azlan) dan Iezahdiyana (Hani).

Berbekalkan barisan pelakon yang mantap dan jalan cerita yang padat dengan jenaka, Oh My English! musim kedua masih lagi menerapkan unsur ilmiah yang menjadi fokus utama program ini.

"Oh My English! telah dilancarkan buat kali pertama pada Mei 2012, dan sejak itu telah menerima respons yang sangat luar biasa bagi sebuah program pendidikan.

"Rancangan ini telah memenangi hati masyarakat Malaysia.

"Bukan itu sahaja, malah tajuk program ini juga telah menjadi ungkapan harian yang popular dalam kalangan golongan belia Malaysia. "Justeru, sokongan peminat ini memberikan kami inspirasi dan menguatkan lagi azam kami untuk menyampaikan kandungan yang lebih baik bagi musim kedua," jelas Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-kanak Astro, Yasmin Megat.

Selain itu, Oh My English! musim kedua juga bakal menampilkan beberapa penampilan khas yang pasti membuatkan penonton lebih teruja. Antara yang bakal muncul ialah Lisa Surihani, Rozita Che Wan, Yus Jambu dan Datuk Aznil Nawawi.

Aaron yang ditemui pada sidang akhbar di Sekolah Wawasan, USJ 15, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini meluahkan rasa keterujaannya dapat bekerjasama dengan kru produksi Oh My English!.

"Saya memang sangat gembira dan apabila ditawarkan, saya tidak pernah terfikir akan diberi watak sebegini. Tidak dinafikan, ia pengalaman yang berbeza dan sangat seronok.

"Maka, saya terus bersetuju kerana tidak dinafikan anak-anak saya juga sangat menggemari program ini. Saya buat ini untuk melunaskan permintaan anak-anak saya dan juga untuk memberi hiburan kepada kanak-kanak di luar sana," beritahu Aaron.

Jangan lupa saksikan tayangan perdana musim kedua Oh My English! pada hari Ahad, 31 Mac ini pukul 7.30 malam di saluran Astro TVIQ (saluran 610) dan Mustika HD (saluran 134).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved