Jumaat, 22 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Sukar cari pasangan hidup

Posted:

Sukar cari pasangan hidup

Sukar cari pasangan hidup

WAN RAJA mengakui ibunya sendiri meragui naluri sebenar dirinya.


FILEM .... Dalam Botol terbitan penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman yang dibintangi Arja Lee dan Wan Raja pernah mencetuskan kontroversi gara-gara memaparkan kisah mengenai kehidupan pasangan gay atau homoseksual.

Biarpun kurang mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan penonton, namun filem berkenaan telah menaikkan nama kedua-dua pelakon tersebut sehingga dikenali ramai.

Salah seorang pelakon utama filem itu iaitu Wan Raja yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Tanah Merah baru-baru ini mengakui masih lagi ramai yang mengenalinya sebagai Ghaus iaitu watak yang dibawakannya dalam ... Dalam Botol.

"Saya sangat berterima kasih kepada Raja Azmi yang telah memberikan saya peluang untuk berlakon dalam filem ... Dalam Botol. Walaupun diberikan watak yang agak berat, tetapi ia telah mencabar kemampuan diri saya sebagai pelakon.

"Pada masa yang sama ia turut melonjakkan nama saya sebagai pelakon kerana berani tampil dalam sebuah filem yang telah mencetuskan kontroversi sebelum ini," jelas pelakon yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Mengakui ia telah memberi impak terhadap kerjaya lakonannya, pelakon itu menjelaskan ia turut memberi kesan yang kurang baik terutamanya kehidupan peribadinya.

Menurut Wan Raja, sehingga kini dia seperti agak sukar untuk mencari pasangan hidup atau isteri gara-gara persepsi sesetengah pihak yang salah sangka mengenai dirinya yang sebenar.

"Pada usia yang sudah mencecah 35 tahun sudah tentu saya ingin berumah tangga, tetapi kebanyakan wanita yang saya kenali telah salah anggap dan menyangka saya memang seorang lelaki gay.

"Selain itu, ibu saya sendiri turut sangsi dengan naluri sebenar diri saya kerana masih lagi tidak berkahwin. Sedangkan saya ini sememangnya seorang lelaki normal. Saya cuma menjadi lelaki gay untuk filem tersebut sahaja," tegasnya.

Bagaimanapun, Wan Raja mengakui memiliki beberapa orang rakan dalam golongan lelaki gay, tetapi dia tidak kisah untuk berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira faktor jantina.

"Selama ini saya tidak pernah memilih untuk menjalinkan persahabatan dengan orang-orang tertentu sahaja. Walaupun saya ada rakan yang mengamalkan kehidupan homoseksual, tidak semestinya saya akan terikut-ikut dengan cara mereka," jelasnya.


WAN RAJA (belakang, dua dari kanan) bersama barisan karyawan drama bersiri Tanah Merah.


Ketika ditanya sama ada dia pernah menerima sebarang tawaran melakonkan watak lelaki gay untuk drama atau telefilem, pelakon itu mengakui ada mendapat tawaran yang sedemikian.

"Memang saya pernah ditawarkan watak yang hampir sama seperti filem ... Dalam Botol, namun saya telah menolaknya dengan cara baik. Saya bukanlah serik atau malu untuk melakonkannya, tetapi sebagai pelakon saya mahu mencuba pelbagai watak yang lain," ujarnya.

Tidak merajuk

Setelah membuat kemunculan sulung menerusi filem ... Dalam Botol, ternyata kelibat Wan Raja di layar perak tidak lagi kelihatan dan dia lebih banyak tampil di kaca televisyen.

Menurutnya, dia bukanlah merajuk gara-gara filemnya itu gagal mendapat sambutan, sebaliknya ada beberapa tawaran berlakon filem yang terpaksa ditolaknya kerana pertindihan jadual.

"Selepas ... Dalam Botol saya ada membintangi dua buah filem iaitu Momok Jangan Cari Pasal dan Balun yang sehingga kini masih lagi belum ditayangkan di pawagam.

"Sebenarnya saya masih lagi mahu aktif berlakon filem terutamanya yang bergenre aksi. Namun begitu, biasanya tawaran yang diterima akan bertindih pula dengan jadual lakonan saya yang lain," jelasnya.

Ujar Wan Raja, setelah muncul dalam filem pertama lakonannya bersama Raja Azmi itu, kini dia akan membintangi filem kedua terbitan penerbit berkenaan yang berjudul Anak Ikan.

"Raja Azmi ada memberikan tawaran secara lisan kepada saya untuk berlakon dalam filemnya itu dan saya telah memberikan persetujuan. Rasanya saya tidak mampu menolak tawaran tersebut kerana terhutang budi dan telah menganggapnya seperti seorang kakak," ujarnya.

Mengenai projek terbaharunya pula, Wan Raja menjelaskan dia ada menerima beberapa lagi tawaran berlakon drama, namun tidak boleh menjelaskan butirannya lebih lanjut kerana masih lagi dalam proses perbincangan.

FIGURA ini bersetuju untuk sekali lagi berkolaborasi dengan penerbit kontroversi, Raja Azmi menerusi filem berjudul Anak Ikan.


Kurang popular

Sudah berkecimpung dalam dunia lakonan sejak tahun 2009, namun Wan Raja seolah-olah kurang popular dan tenggelam dengan pelakon yang sedia ada serta jarang diberikan watak utama untuk drama atau telefilem.

Tidak menafikan berasa agak kecewa dengan keadaan tersebut, pelakon itu menyatakan dia terpaksa akur kerana kebanyakan stesen TV mahu menonjolkan pelakon yang lebih muda.

"Saya terpaksa menerima hakikat bahawa peluang untuk membawakan watak utama agak tipis dengan usia saya sekarang, tetapi itu tidak menghalang saya supaya terus aktif dalam dunia lakonan.

"Apabila saya diberi peluang oleh Khabir Bhatia untuk membintangi drama bersiri Tanah Merah, saya anggap ia satu penghormatan dan telah memberikan komitmen sepenuhnya untuk drama ini," jelasnya yang kali pertama dapat memegang watak utama dalam sesebuah drama.

Dalam drama yang bakal disiarkan menerusi saluran ntv7 bermula pada 4 April ini, Wan Raja yang membawakan watak Ibrahim Iskandar turut bergandingan dengan beberapa pelakon lain seperti Norman Hakim (sebagai Amran), Aishah Hoo (Johanna), Nazeera Sardi (Maryam), Hakim Yazid (Shah), Mior Fareez (Hassan) dan Zara Zya (Hana).

Merupakan sebuah drama genre misteri, ia mengisahkan tentang seorang wartawan bernama Johanna yang ingin menyiasat tentang kematiah bapanya di sebuah lokasi peranginan iaitu Tanah Merah.

Sementara itu, Wan Raja memberitahu ada segelintir pihak yang menyatakan dirinya kurang popular berpunca daripada sikapnya yang tidak gemar menghadiri acara-acara hiburan sehingga dikatakan anti-sosial.

"Ada yang mencadangkan supaya saya perlu selalu hadir ke acara-acara hiburan yang dianjurkan, tetapi saya pula jenis yang tidak akan datang ke sesebuah acara tanpa diundang atau tidak melibatkan kerja saya," tegasnya.

Rita kena ikut cakap suami - Adi Putra

Posted:

Rita kena ikut cakap suami - Adi Putra

Rita kena ikut cakap suami - Adi Putra

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

ADI PUTRA dan Rita Rudaini pernah bergandingan dalam drama bersiri Sehangat Asmara dan filem Balistik.


HEROIN drama bersiri Sehangat Asmara, Rita Rudaini baru-baru ini mendedahkan kepada sebuah portal dalam talian bahawa suaminya, Aidil Zafuan Abd. Radzak pernah melarangnya untuk tidak lagi berlakon bersama seorang aktor kelahiran Singapura.

Susulan kenyataan tersebut, ramai yang menganggap aktor Singapura yang dikaitkan dengan Rita ialah Adi Putra, biarpun Aaron Aziz juga merupakan aktor popular kelahiran negara tersebut.

Ini kerana Adi Putra merupakan gandingan Rita dalam drama tersebut, malah mereka juga turut bergandingan dalam filem Balistik.

Bersua dengan pemilik nama penuh Mohamed Hadi Putera Halim itu pada majlis pelancaran filem Langgar di Restoran Carne y Vino, Radius International Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini, Adi Putra menegaskan dia tidak mempedulikan tentang perkara tersebut.

Malah, ujarnya, hal tersebut sepatutnya tidak menjadi isu yang perlu diperbesar-besarkan memandangkan dia mahupun Rita Rudaini masing-masing sudah mempunyai keluarga.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Adi Putra mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu tersebut.

Kosmo!: Timbul kenyataan daripada Rita Rudaini baru-baru ini bahawa suaminya pernah melarang dirinya daripada berlakon dengan seorang aktor Singapura dan ramai yang mengaitkan aktor itu dengan anda. Komen Adi Putra?

ADI PUTRA: Saya tidak tahu tentang hal ini dan saya tidak mahu ambil tahu kerana itu hal dia dan suaminya. Saya mencari nafkah yang halal menerusi berlakon dan kerja ini ibadah saya untuk menyara keluarga. Kalau suami dia tidak benarkan dia berlakon (dengan saya), jadi dia kena ikut kerana suami adalah khalifah keluarga.

Bercakap mengenai keluarga, mungkin Adi Putra boleh kongsikan kehidupan sebagai seorang bapa sekarang?

Seronok dan anak saya (Zara Adelia Haadi) kini sudah memasuki usia lima bulan dan dia sangat manja. Dari segi jiwa mungkin dia sudah boleh merasakan kasih sayang kami yang tidak berbelah bagi kepadanya. Biarpun sudah mempunyai anak, saya dan isteri tidak putus-putus berusaha untuk mendapatkan zuriat sendiri. Kalau kita sudah berusaha pasti ada cara untuk memperoleh rezeki itu.

Apakah yang membezakan Adi Putra dalam Langgar berbanding filem-filem aksi sebelum ini?

Persediaan saya lebih kepada perwatakan kerana filem genre aksi sudah pasti menuntut kecergasan dan ketangkasan. Kelainan yang saya tonjolkan dalam filem ini adalah karakter itu sendiri dan variasi yang saya berikan kali ini berbeza daripada filem-filem aksi sebelum ini. Watak Nizam iaitu seorang guru sekolah merupakan mangsa keadaan yang ingin menuntut bela terhadap kematian isteri dan anaknya.

Apakah perkembangan terkini Adi Putra?

Saya sedang terlibat dengan penggambaran sebuah drama bersiri TV3 untuk slot Akasia berjudul Teduhan Kasih bersama Nabila Huda. Selain itu saya akan mengarahkan sebuah filem adaptasi novel berjudul Suami Aku Ustaz pada awal bulan April ini di sekitar bandar raya Melaka selama sebulan. Tapi untuk projek ini, pelakon utamanya saya rahsiakan.

Jika di kaca televisyen, Adi Putra lebih banyak melakonkan watak romantik tapi apabila filem genre yang diberatkan lebih kepada aksi. Sejauh manakah kepuasan Adi Putra antara kedua-dua genre itu?

Berlakon tidak pernah puas dan saya tidak meletakkan genre yang saya pilih sebagai satu bentuk kelegaan berkarya. Sekali kita merasa selesa macam-macam boleh berlaku dan disebabkan itu saya tidak meletakkan saya di zon selesa. Saya suka kedua-dua genre itu dan saya sukakan kepelbagaian. Tapi kebanyakan ulasan penonton dan peminat, mereka lebih suka saya memegang watak antagonis.

Survival mek mulung

Posted:

Survival mek mulung

Survival mek mulung

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT


BARISAN karyawan pementasan mek mulung berjudul, Putera Cahaya Bulan yang dipentaskan di Panggung Budaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim pada hari ini dan esok, 23 Mac.


SAMA seperti mak yong, mek mulung juga antara dramatari tradisional yang mempunyai disiplin dan estetika kesenian Melayu yang tinggi nilainya. Jika tidak, masakan ia telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) sebagai warisan negara.

Bezanya, mek mulung berasal dari Kedah dan menggunakan dialek Kedah dalam pementasan manakala mak yong pula berasal dari Kelantan dan dipersembahkan dalam dialek Kelantan.

Antara mek mulung dan mak yong, mek mulung sedikit terkebelakang dari segi pendedahan kepada seluruh masyarakat. Jika ada pun, ia kurang dikenali berbanding mak yong.

"Saya dapat merasakan, sekiranya kesenian mek mulung tidak diberi perhatian dan tercicir daripada sebarang bentuk promosi atau program survival, mek mulung akan pupus dalam tempoh tiga hingga empat tahun dari sekarang.

"Tidak seperti mak yong yang masih ada pelapis contohnya dari dalam kalangan ahli keluarga primadona mak yong terkenal iaitu Allahyarhamah Seniman Negara, Khadijah Awang sendiri.

"Tokoh mek mulung di Kedah iaitu Pak Leh sendiri tiada pewaris. Yang ada cuma Pak Saad Taib di Kampung Tepus, Kedah.

"Dialah satu-satu tokoh mek mulung yang masih hidup ketika ini namun kepakarannya pula lebih kepada muzik," jelas Saipol Bahari Mohd. Iman, ketua kumpulan teater Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (Akrab).

Pada bahu Saipol Bahari kini tersandang sebuah amanah besar. Bersama-sama dengan Kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kedah, Saipol akan mengarahkan persembahan mek mulung berjudul, Putera Cahaya Bulan sepanjang Siri Jelajah Mek Mulung anjuran JKKN.

"Siri Jelajah Mek Mulung ini adalah kesinambungan daripada Eksplorasi Mak Yong Siri Jelajah Kijang Emas pada tahun 2012. Tahun ini, kita bawa mek mulung untuk dihayati oleh masyarakat Malaysia khususnya kepada kumpulan sasar seperti di pusat-pusat pengajian tinggi di seluruh negara.

"Bukan sekadar persembahan, jelajah ini akan diisi juga dengan bengkel lakonan, asas tari dan muzik mek mulung. Ia juga terbuka secara percuma," jelas Rosnan Rahman yang bertindak sebagai ketua bengkel dan persembahan sepanjang siri jelajah berkenaan.

Rosnan yang merupakan Penolong Pengarah Kanan Penyelidikan dan Pembangunan JKKN menjelaskan, siri bengkel itu akan diadakan dari pukul 9 pagi hingga 5 petang sepanjang dua jelajah di setiap lokasi.

Sedikit informasi mengenai mek mulung, dari segi sejarahnya, terdapat pelbagai versi mengenai asal usul seni teater tradisional berkenaan. Sepintas lalu, dramatari mek mulung berasal dari mukim Wang Tepus, Jitra, Kedah.

Nama mek mulung berasal daripada perkataan 'mek' iaitu panggilan bagi gadis-gadis, sementara perkataan 'mulung' pula ialah nama hutan tempat bermulanya persembahan ini.

Sebagai pembukaan Siri Jelajah Mek Mulung 2013, pementasan mek mulung di bawah arahan Saipol Bahari boleh disaksikan pada pukul 8.30 malam di Panggung Budaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak pada hari ini dan esok, 23 Mac.

Selepas di Tanjung Malim, siri jelajah itu akan diteruskan ke Kompleks JKKN Terengganu di Kuala Ibai, Terengganu pada 24 hingga 25 Mei sebelum terbang ke Kuching, Sarawak pula pada 21 dan 24 September nanti.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved