Khamis, 21 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Harga roti naik berganda

Posted:

Harga roti naik berganda

Harga roti naik berganda

SEBAGAI peniaga kedai bakeri, Alif tiada pilihan selain menaikkan harga roti bagi menampung kos bekalan mentah.


DERETAN pastri seperti croissant, baguette dan bagel memenuhi troli logam di sebuah kedai roti yang terletak di pusat bandar Kaherah, Mesir. Mohammed Alif yang bekerja di kedai tersebut memberitahu meskipun makanan masih mencukupi, tetapi keuntungan sukar diperoleh.

Sejak akhir Disember lalu, mata wang Mesir telah susut lebih lapan peratus daripada nilai sebenarnya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Situasi itu dikhuatiri menjejaskan keadaan ekonomi yang berpunca daripada ketidakstabilan politik akibat rusuhan yang sering berlaku di negara tersebut.

Peningkatan umum terhadap harga makanan di seluruh dunia juga secara tidak langsung menyebabkan peniaga kedai bakeri seperti Alif perlu membayar bahan-bahan diimport yang diniagakan dalam dolar sekali gus mengakibatkan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan baharu Mesir.

Inflasi harga makanan melampau didorong kelemahan mata wang Mesir mengundang rasa cemas Presiden Mohamed Mursi yang bergelut dengan pelbagai isu selepas dua tahun mengambil alih pemerintahan daripada Hosni Mubarak.

Pada masa yang sama, ekonomi negara itu juga berdepan kesukaran untuk keluar daripada belenggu kemiskinan yang sekian lama dihadapi.

Menurut Alif, harga gula dan tepung 50 peratus lebih mahal berbanding setahun yang lalu. Keadaan itu menyebabkan pembuat roti tiada pilihan lain kecuali menaikkan harga.

"Saya tidak boleh jual lebih mahal kerana tiada orang akan membelinya," katanya sambil mengisi rak dengan roti yang baru dimasak untuk menarik perhatian pembeli di kaki lima.


SETIAP tahun Mesir mengimport gandum ratusan ribu tan gandum bagi memenuhi keperluan penduduknya.


Pergolakan

Harga yang melambung tinggi mampu menyebabkan pelanggan lari. Malah, terdapat risiko lebih besar menanti. Jika harga naik terlalu cepat atau bekalan mula menipis, besar kemungkinan berlaku pergolakan dalam negara yang pernah mencatat sejarah berlaku rusuhan akibat kenaikan harga roti.

Justeru, ia merupakan salah satu sebab mengapa kerajaan pimpinan Mursi masih mengekalkan bekalan subsidi roti kosong meskipun ia menjadi satu beban yang berat pada bajet negara. Harga roti kosong dijual kurang daripada AS$0.01 (RM0.03) sekeping dan ia disasarkan kepada golongan miskin.

Bagaimanapun, tiada sebarang subsidi untuk produk seperti yang dijual di kedai roti Alif, yang memenuhi keperluan pelanggan golongan pertengahan dan atasan. Sehubungan itu, Alif dan perniagaan lain terpaksa menanggung beban terhadap kenaikan harga.

Sesetengah penjual roti pula telah mula mengurangkan saiz roti dan kek dalam usaha melindungi margin. Data yang dikeluarkan kerajaan minggu lalu menunjukkan, segelintir peniaga telah mula menaikkan harga untuk menampung kos tersebut.

Laporan tahunan inflasi harga pengguna di bandar-bandar besar di Mesir, melonjak kepada 8.2 peratus pada bulan Februari berbanding 6.3 peratus pada Januari. Kenaikan itu mencecah paras tertinggi sejak Mei tahun lalu. Bulan lepas sahaja, harga makanan dan minuman meningkat sehingga 9.3 peratus.

Ahli Ekonomi Standard Chartered di Dubai, Nancy Fahim meramalkan, kelemahan ekonomi Mesir mungkin mengehadkan sebarang peningkatan dalam inflasi keseluruhan. Tetapi, inflasi purata kebangsaan dalam tahun fiskal semasa sehingga Jun, mungkin boleh menjadi lebih rendah berbanding purata fiskal tahun lepas iaitu 8.7 peratus.

"Kombinasi antara inflasi dan peningkatan kadar pengangguran yang tinggi, secara rasmi dianggarkan sebanyak 13 peratus.

"Jumlah ini mampu memberi tekanan kepada kerajaan supaya mengekalkan subsidi walaupun ia akan meningkatkan kos perbelanjaan pada kewangan negara," jelas beliau.

Setiap tahun, kerajaan Mesir membelanjakan lebih AS$5.5 bilion (RM17.17 bilion) untuk subsidi makanan yang merangkumi beras, minyak dan gula.

Pemotongan subsidi roti mengakibatkan rusuhan dahsyat pada tahun 1977 manakala pada tahun 2008, Mubarak berdepan dengan para penunjuk perasaan yang membantah pemotongan subsidi tersebut.

Mata wang susut

Pada tahun 2003, penyusutan mendadak nilai mata wang Mesir telah menyebabkan harga roti tidak bersubsidi meningkat. Keadaan itu menyebabkan ramai rakyat Mesir membeli roti kosong yang lebih murah sekali gus mencetuskan kekurangan bekalan.

Walaupun terdapat kelemahan mata wang, bekalan roti masih mencukupi. Namun, tahun ini import gandum turun mendadak kerana krisis ekonomi menjadikan Mesir sukar untuk mengatur bayaran.

Antara 1 Januari hingga 20 Februari lalu, negara itu membeli 235,000 tan gandum, kira-kira satu pertiga daripada jumlah gandum yang dibeli dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pedagang gandum di Kaherah berkata, Mesir akan melaksanakan stok strategik yang berjumlah hampir 2.3 juta tan bagi mengelak penggunaan pertukaran asing untuk barangan import.

Pada musim menuai di Mesir yang dijangka bermula akhir bulan April, kerajaan menyasar untuk meningkatkan jumlah gandum tempatan yang diperoleh kepada empat juta tan dengan menaikkan harga belian sebanyak lima peratus. Pada tahun-tahun sebelumnya, sasaran adalah antara 2.4 hingga 3.7 juta tan.

Ironinya, kejayaan terhadap strategi ini bergantung pada keadaan cuaca, kecekapan birokrasi dan faktor-faktor lain. Sebagai pembeli gandum terbesar di dunia, Mesir amat bergantung kepada import untuk memenuhi permintaan 84 juta penduduknya. Separuh daripada gandum yang digunakan mereka terdiri daripada gandum import.


KELIHATAN beberapa pelanggan wanita beratur untuk membeli roti di sebuah kedai kaki lima yang terdapat di Kaherah.


Kemiskinan

Menurut statistik Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2010/2011, satu daripada empat rakyat Mesir hidup di bawah garis kemiskinan kebangsaan dengan pendapatan AS$1.65 (RM5.15) sehari. Pakar ekonomi pula mengatakan lebih ramai yang hidup di atas garis kemiskinan.

Bagi Mohammed Ali yang menetap di Kaherah, kenaikan harga sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan kewangan mereka hanya cukup untuk perbelanjaan keperluan asas.

Berdiri di hadapan sebuah gerai roti di jalan yang sibuk di bandar tersebut, Ali berkata, dia tidak mampu memikirkan tentang perbelanjaan untuk barangan mewah atau percutian ke luar negara.

"Harga makanan semakin meningkat, ekonomi pula semakin lemah dan ahli politik hanya duduk di kerusi mereka. Saya hanya mempunyai sedikit duit untuk membeli makanan, tapi tidak yang lain," ujarnya dengan nada sedih sambil membimbit beg plastik kecil yang berisi gulungan roti untuk keluarganya.

Sementara itu, peniaga roti yang biasanya menerima subsidi kerajaan untuk menampung kos rendah roti dan harga bahan api yang lebih tinggi mengatakan, mereka masih belum dibayar seperti sebelumnya.

Kerajaan berhutang pembayaran dengan peniaga roti sejak enam bulan lalu. Ketua persatuan pembuat roti pada bulan Februari lalu menegaskan, mereka tidak teragak-agak melakukan mogok jika masalah itu tidak diselesaikan segera.

Harga di pasar awam turut meningkat. Pemilik Alfa Market, salah satu rangkaian pasar raya mewah Mesir, Mohamad Zada memberitahu, pihaknya terpaksa menaikkan harga barangan beberapa kali sejak dua bulan lalu.

"Harga minyak masak sahaja telah naik tiga kali dalam tempoh tersebut. Terdapat kenaikan antara 20 hingga 30 peratus untuk segala-galanya," ungkap Zada.

Pada masa ini, Zada tidak mendengar sebarang rungutan daripada pelanggan tentang kenaikan harga tersebut. Namun, Alfa Market sangat berhati-hati untuk mengehadkan harga roti yang dijual walaupun produk makanan mampu memberi keuntungan berganda.

"Orang mengatakan, perubahan harga roti merupakan satu jenayah," tegasnya.

Bekas menteri kewangan dan ahli ekonomi Mesir, Samir Radwan berkata, Mesir perlu mengambil pengajaran daripada kesengsaraan masa silam.

"Sejarah pemberontakan di Mesir merupakan sejarah mengenai indeks harga. Saya amat bimbang tentang perkara ini," tutur Radwan memetik corak pemerintahan yang diguna pakai sejak tahun 1919.

Komitmen DBKL atasi kesesakan

Posted:

Komitmen DBKL atasi kesesakan

Komitmen DBKL atasi kesesakan


PROJEK Aliran Transit Massa fasa pertama yang membabitkan Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang dijangka siap akhir tahun 2016.


BILAKAH agaknya jawapan kepada soalan, 'kenapa lambat?' tidak lagi dikaitkan dengan kesesakan lalu lintas oleh mereka yang bekerja di ibu kota. Bilakah masanya petugas dapat tiba awal, dalam keadaan relaks dan ceria ke tempat kerja?

Taraf hidup yang lebih baik dan jumlah kenderaan yang semakin banyak antara faktor penyumbang kepada kesesakan jalan raya. Kemudahan pengangkutan awam juga cuba dipertingkatkan tetapi penggunaannya masih perlu dioptimumkan kerana ketika ini hanya 19 peratus yang mengisi ruang-ruang pengangkutan awam di ibu kota.

Bagi kerajaan kecekapan pengangkutan awam memang diberi perhatian serius dalam usaha mensejahterakan kehidupan warga kota. Ini termasuk penambahbaikan secara komprehensif dan memperkasa perkhidmatan bas, rel yang merangkumi sambungan jajaran monorel serta Aliran Transit Ringan (LRT), integrasi antara mod pengangkutan awam serta rangkaian pengangkutan awam itu sendiri.

Fasa pertama

Kerajaan juga dalam proses melaksanakan projek Aliran Transit Massa (MRT) yang dijangka menjadi antara alternatif menyelesaikan kerumitan masalah kesesakan lalu lintas di ibu kota. Fasa pertama projek itu yang membabitkan Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang dijangka siap mengikut jadual pada akhir tahun 2016. Ia melibatkan kos pembinaan tidak melebihi RM23 bilion.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku Pihak Berkuasa Tempatan yang mentadbir Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut memikul tanggungjawab menjayakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020. Dalam pelan itu, disasarkan pada tahun 2020 nisbah pisah ragam antara pengguna pengangkutan awam dan pengangkutan persendirian ialah 40-60.

Antara inisiatif yang digaris dalam merealisasi matlamat anjakan peraturan penggunaan pengangkutan awam lebih tinggi, kawalan perancangan pembangunan melalui pembangunan berorientasikan sistem rel diberi perhatian.

Ini mengorak kepada peranan DBKL dalam memberi kelulusan kepada mana-mana projek pembinaan pembangunan.

"Kami memberi kelulusan perancangan pembangunan dengan melihat kepada kedudukan, tata letak bangunan itu. Umpamanya, sekarang ini kita mempunyai kawasan yang direntasi kemudahan LRT dan monorel.


MENTERI Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kiri) melihat gambar foto pembinaan jalan selepas merasmikan pembukaan jalan keluar masuk ke Kampung Sungai Penchala melalui jalan Datuk Sulaiman Taman Tun Dr. Ismail sambil diperhatikan oleh Ahmad Phesal.


"Kawasan-kawasan ini akan kami beri tumpuan. Kawalan pembangunan akan tertumpu kepada pembangunan di sekitar koridor rel," kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Tambah beliau, penumpuan pembangunan yang berpusat kepada kawasan koridor rel akan menggalakkan warga kota memilih pengangkutan awam.

Selain itu, konsep Park n Ride turut dilaksanakan untuk memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan di kawasan tertentu dan menggunakan sistem pengangkutan rel atau bas untuk masuk ke pusat bandar.

Setakat ini, dua projek diberi kelulusan untuk pelaksanaannya iaitu di Sungai Besi dan Bandar Tasik Selatan.

Projek Park n Ride di Stesen LRT Sungai Besi telah siap dan dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin baru-baru ini.

Menerapkan elemen mesra pengguna bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), kemudahan setinggi tiga tingkat itu di Stesen LRT Sungai Besi turut dilengkapi 220 parkir, lif, kamera litar tertutup, tandas, gerai makan dan laluan pejalan kaki yang menghubungkannya dengan Stesen LRT Sungai Besi.

Dalam pada itu, kesesakan lalu lintas tidak sekadar difokuskan kepada faktor penjalanan kenderaan keluar masuk ke pusat ibu kota, malahan ia berpunca daripada kelambatan pemanduan semasa carian lot tempat letak kereta.

Menyedari permasalahan itu, DBKL dalam proses merangka sistem maklumat, paparan elektronik yang akan dipasang di sekitar bandar raya ini bagi membekalkan informasi kepada orang awam berhubung lot tempat letak kereta berdekatan yang masih kosong.

Laluan bas

"Sistem tempat letak kereta ini akan memudahkan kami menyelaras laluan bas. Jadi, apabila mereka meletakkan kenderaan di sini, mereka juga boleh menggunakan bas contohnya perkhidmatan Go KL City Bus untuk ke lokasi sekitar laluan bas Go KL," katanya.

Ketika ditanya mengenai konsep Dibenarkan Membelok Kiri di Kuala Lumpur atau Authorised Left Turn yang dilancarkan tahun lalu, beliau berkata pelaksanaannya memberi kesan positif dalam melancarkan perjalanan trafik.

Justeru, DBKL akan menambah bilangan di persimpangan lain dan dijangka lapan lagi persimpangan akan dilaksanakan.

Setakat ini, hanya enam lokasi pelaksanaannya iaitu di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja ke Jalan Parlimen, Jalan Raja Abdullah ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Semarak ke Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Muda Musa Abdul Aziz ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Dalam strategi perancangan DBKL, pusat-pusat pertumbuhan baharu yang terdiri daripada Pusat Pertumbuhan Daerah, Pusat Pertumbuhan Kejiranan dan Pusat Pertumbuhan Tempatan diwujudkan bagi tujuan mengurangkan tekanan tinggi atau kesesakan melampau kepada rangkaian jalan raya di pusat bandar.

Melalui inisiatif ini, pusat beli-belah, bank-bank, institusi pendidikan dan pusat perubatan diwujudkan di kawasan pertumbuhan baharu di luar Pusat Daerah Perniagaan.

"Seperti yang ditetapkan dalam perancangan, usaha supaya kami untuk mewujudkan pusat kejiranan ini ialah sebagai langkah mengurangkan semua urusan tertumpu terus ke pusat bandar. Dengan wujudnya pusat kejiranan ini, orang ramai tidak perlu masuk ke bandar dan inilah satu daripada perkara yang akan kami beri tumpuan," kata Ahmad Phesal. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved