Jumaat, 8 Februari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Nazmi tak menyengat

Posted:

Nazmi tak menyengat

Nazmi tak menyengat

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

PRESTASI Nazmi agak tenggelam ketika beraksi dengan PKNS pada perlawanan persahabatan menentang Johor di Pasir Gudang, Johor semalam.


PEMAIN muda kontroversi, Muhammad Nazmi Faiz Mansor kurang menyengat.

Pengalaman selama hampir enam bulan di bumi Eropah seolah-olah tidak membantu meningkatkan gaya permainannya.

Dia bagaikan hilang sentuhan ketika turun beraksi dengan skuad Selangor PKNS pada perlawanan persahabatan menentang Johor di Stadium Perbandaran Pasir Gudang semalam.

Perlawanan tersebut merupakan penampilan pertamanya sejak kembali ke tanah air, tetapi hanya dimasukkan pada separuh masa kedua sebagai pemain gantian.

Pada perlawanan tersebut, Johor meraih kemenangan 2-0 hasil jaringan pemain import, Juan Muriel Orlando.

Begitupun, Nazmi mengakui memerlukan sedikit masa untuk mendapat rentak beraksi bersama pasukan baharunya, PKNS.

Bekas pemain kelab Portugal, Biera Mar itu berkata, banyak aspek yang perlu dipertingkatkan terutama keserasiannya bersama pemain lain.

"Saya perlukan sekurang-kurangnya tiga perlawanan lagi untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan ini.

"Beri saya sedikit masa, apabila sudah serasi, insya-Allah semua akan bertambah baik," katanya selepas perlawanan semalam.

Nazmi sebelum ini mengejutkan banyak pihak apabila membuat keputusan mengejut pulang ke tanah air dan mengikat kontrak selama tiga tahun bersama PKNS.

Dia bagaimanapun masih tidak mahu mengulas lanjut mengenai kepulangan mengejutnya itu.

Mengulas isu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nazmi yang kini berusia 19 tahun menjelaskan dia masih belum bersedia menghadapi peperiksaan penting itu.

Katanya, banyak perkara yang perlu diselesaikannya terlebih dahulu dan pada ketika ini, dia tidak boleh fokus sepenuhnya terhadap pelajaran.

"SPM bukannya boleh dipandang ringan, ia perlukan persediaan yang rapi. Buat masa ini, saya belum bersedia," katanya.

Sementara itu, dalam perlawanan persahabatan semalam, Johor yang terlebih dahulu memulakan asakan tampak tidak bermaya pada separuh masa pertama apabila gagal menyempurnakan peluang-peluang yang dihasilkan.

Namun, tidak mahu kalah di laman sendiri, asakan demi asakan terus dilakukan Johor dan percubaan mereka hampir berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-30 hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh Orlando, namun tersasar.

Gol pertama Johor bagaimanapun hadir pada minit ke-49 hasil sepakan Orlando, dan 10 minit kemudian, Orlando mengesahkan kemenangan tuan rumah apabila sekali lagi menjaringkan gol hasil hantaran lintang daripada Mohd. Rashid Aya.

'Shahidan masih belum selamat'

Posted:

'Shahidan masih belum selamat'

'Shahidan masih belum selamat'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan tiga pertuduhan yang dihadapi Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd. Razak berkata, pihaknya tetap akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu biarpun Shahidan telah melepaskan jawatannya dalam badan induk itu baru-baru ini.

"Mesyuarat tetap akan diadakan (biarpun Shahidan telah melepaskan jawatan).

"Jika Shahidan tidak mengaku bersalah, beliau boleh mengemukakan sebab munasabah dan jika alasan yang diberi boleh diterima pakai, jawatankuasa akan pertimbangkan kes tersebut," katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada 1 Februari lepas, FAM menghantar surat mengandungi tiga pertuduhan terhadap Shahidan mengikut Artikel 88 Statut FAM yang ditandatangani Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Shahidan berdepan tindakan amaran keras, denda maksimum RM50,000 serta hukuman lain ditentukan Jawatankuasa Tatatertib mengikut Kod Tatatertib FAM kerana membuat kenyataan kepada media berkaitan hal ehwal pentadbiran FAM tanpa kebenaran mengikut Artikel 88 Status FAM.

Untuk pertuduhan kedua, beliau berdepan tindakan gantung keahlian minimum dua tahun dan denda maksimum RM10,000 susulan penyiaran artikel sama dengan mempunyai niat menghina atau mengaibkan, menjatuhkan atau mencemar imej mana-mana pegawai FAM.

Bagi pertuduhan ketiga, Shahidan melalui artikel sama dituduh membuat kenyataan bercanggah, mempertikai, mempersoal atau fakta yang diberikan tidak tepat atau bercanggah atau salah dengan mana-mana keputusan badan persatuan mengikut Artikel 20 Statut FAM 2010-2014.

Bagi pertuduhan itu, beliau berdepan hukuman gantung keahlian enam bulan dan denda RM8,000.

Susulan menerima surat pertuduhan itu, Shahidan mengumumkan untuk meletak jawatan dalam dua jawatankuasa kecil FAM iaitu sebagai Anggota Jawatankuasa Kewangan (AJK) FAM dan AJK Bola Sepak Wanita FAM.

Taufek memberitahu, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang penjelasan rasmi daripada Shahidan berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya tarikh sebenar persidangan itu, jelas Taufek: "Saya masih belum menerima makluman lanjut (daripada FAM) berhubung perkara itu.

"Mungkin ia akan diadakan selepas perayaan Tahun Baru Cina."

Aksi Nwakaeme pikat penyokong Kelantan

Posted:

Aksi Nwakaeme pikat penyokong Kelantan

Aksi Nwakaeme pikat penyokong Kelantan

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

NWAKAEME (kanan) tampil dengan aksi yang bertenaga ketika membantu Kelantan menewaskan Felda United 2-0 di Kota Bharu kelmarin.


PEMAIN import jemputan Kelantan dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, 27, mula meniti di bibir penyokong fanatik skuad tersebut.

Ia ekoran aksi bertenaga yang dipamerkan oleh pemain berkenaan serta kerap kali menguji kekuatan benteng pertahanan lawan ketika turun beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu kelmarin.

Gaya permainannya terus menenggelamkan rentak seorang lagi tonggak import Kelantan, Keita Mandjou yang sedang bergelut untuk mengembalikan prestasinya.

Tanpa berselindung, pengendali Kelantan, Bojan Hodak mengakui Dickson mempunyai kelebihan tersendiri selepas membantu The Red Warriors mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Felda United pada aksi persahabatan itu.

Menurutnya, pemain tersebut mempunyai kelebihan dari segi kawalan bola serta bijak membuka ruang kepada rakan pasukan untuk menjaringkan gol.

"Dia (Dickson) seorang pemain yang hebat serta memiliki gaya kawalan bola yang baik selain mampu melakukan percubaan daripada sudut yang sukar.

"Bagaimanapun, setakat ini, mungkin tidak akan berlaku sebarang perubahan dalam pasukan dan saya serahkan semuanya kepada pihak pengurusan," katanya.

Pada perlawanan tersebut, Kelantan yang beraksi di hadapan 7,000 peminat setia mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-33 untuk memperoleh jaringan menerusi rembatan seorang lagi pemain import jemputan, Salim Arrache.

Pada minit ke-72, Indra Putra Mahayuddin menggandakan jaringan Kelantan selepas rembatan kencangnya gagal diselamatkan oleh penjaga gol Felda United, Mohd. Helmi Eliza Elias.

Kemenangan tersebut menyaksikan Kelantan memperoleh tonik berguna menjelang perlawanan Liga Super menentang Selangor pada 15 Februari ini di Stadium Shah Alam.

Dalam pada itu, Hodak berkata, dua aksi persahabatan yang diharungi oleh pasukannya setakat ini memberikan impak positif buatnya dalam menilai kekuatan dan kelemahan pasukan.

"Ia cukup penting buat kita untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada sebelum saingan Liga Super kembali bersambung.

"Banyak perubahan yang saya dapat lihat terutama persembahan daripada Mohd. Izuan Solahuddin, begitu juga dengan aksi Mohd. Faiz Subri. Kedua-dua pemain ini semakin menunjukkan peningkatan," ujarnya.

Bagi pengendali Felda United, K. Devan, beliau mengakui pasukannya masih mencari pemain terbaik untuk digandingkan dengan penyerang dari Lebanon, Mohd. Ghaddar.

Selain itu, Devan turut merancang untuk mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan berdepan sama ada Pahang atau naib juara Piala FA musim lalu, Sime Darby FC.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved