Jumaat, 8 Februari 2013

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Tembakan maut polis pencen

Posted:

Tembakan maut polis pencen

Tembakan maut polis pencen

Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI
syakir.sazili@kosmo.com.my

GAMBAR rakaman CCTV menunjukkan imej salah seorang perompak yang melarikan diri selepas ditembak Abd. Jalil.


TAIPING – Seorang pegawai polis pencen membuktikan yang dia masih berbisa apabila menembak mati seorang daripada empat penjenayah yang memecah masuk banglo dua tingkat miliknya dalam kejadian di Taman Pegawai Kerajaan, Assam Kumbang di sini semalam.

Abd. Jalil Abd. Wahab, 63, yang merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Kota Setar, Kedah membuktikan pengalamannya sepanjang berkhidmat sebagai pegawai polis sebelum bersara pada 2005 memberinya kekuatan untuk menarik picu sepucuk revolver ke arah perompak dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu.

Bersara dengan pangkat Superintendan, Abd. Jalil memberitahu, kejadian berlaku apabila dia terjaga sebaik mendengar suara anak perempuannya, Jazlina, 28, memanggilnya keluar selepas mengetuk pintu bilik atas.

Katanya, dia yang curiga dengan nada suara anaknya itu kemudian telah membuka monitor kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bilik sebelum terkejut apabila melihat kelibat tiga lelaki berparang dan memakai topeng sedang berdiri di depan pintu. Seorang lagi berada berdekatan.

"Rupanya mereka telah menjadikan anak saya sebagai tebusan dan umpan untuk memanggil saya keluar. Tanpa ragu-ragu, saya mengambil sepucuk pistol yang disimpan di dalam almari.

"Sebaik pintu dibuka dengan perlahan, saya terus melepaskan tembakan ke arah mereka menyebabkan penjenayah bertempiaran lari. Saya kemudian keluar dan melepaskan satu das tembakan lagi ke arah mereka membuatkan mereka terus keluar," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, dia tidak mengejar perompak tersebut kerana hanya memikirkan keselamatan isteri, anak, menantu dan cucu. Semasa kejadian terdapat tujuh individu termasuk Abd. Jalil di dalam banglo tersebut.

Menurut Abd. Jalil, sebelum itu, perompak berkenaan masuk selepas mengumpil besi jeriji pintu utama. Mereka kemudian telah mengikat menantunya, Adi Hafiz Yusop, 34, dan cucunya, Arif Syazwan Mohd. Shariff, 12, yang sedang tidur di bilik bawah.


ABD. JALIL menunjukkan pagar yang dipotong oleh perompak sebelum menceroboh rumahnya di Taman Pegawai Kerajaan, Assam Kumbang, Taiping semalam.


Sementara itu, Jazlina memberitahu, sebaik dikejutkan perompak berkenaan, mereka telah mengikat tangan dan mulut suaminya menggunakan wayar seterika.

Katanya, perompak kemudian membawanya ke bilik anak saudaranya, Arif Syazwan sebelum dipaksa memanggil bapanya.

"Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu dan saya terpaksa kawal untuk mengelakkan keadaan menjadi kecoh.

"Saya bersyukur ayah berjaya menggagalkan usaha perompak berkenaan dan menyelamatkan kami sekeluarga," katanya yang memberitahu perompak hanya berjaya melarikan dua buah telefon bimbit dan seutas jam tangan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohd. Yusof Md. Diah berkata, pihaknya yang menjalankan siasatan kemudian menemui mayat salah seorang perompak berkenaan di dalam kawasan semak kira-kira 150 meter dari banglo berkenaan.

"Mayat itu merupakan lelaki Indonesia berusia lingkungan 40-an. Kita sedang memburu tiga lagi rakannya," katanya.

Tambahnya, perompak masuk ke kawasan banglo mangsa selepas memotong pagar rumah kosong bersebelahan. Rumah itu tidak berpenghuni selepas terbakar pada November tahun lalu.

Apek, Leuniey rancang buka bisnes kecantikan

Posted:

Apek, Leuniey rancang buka bisnes kecantikan

Apek, Leuniey rancang buka bisnes kecantikan

Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

LEUNIEY bersama suaminya, Apek.


KOTA BHARU – Penjaga gawang kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat dan isterinya, Nur Eilunie Natasha Jaafar yang baru melangkah ke alam perkahwinan akhir Disember lalu merancang untuk mengusahakan bisnes penjagaan kulit dan kecantikan.

Nur Eilunie Natasha atau Leuniey, 21, yang merupakan model dan pengusaha butik berkata, dia dan suaminya yang juga dikenali sebagai Apek, 23, merancang untuk menjalankan perniagaan dalam bidang tersebut kerana mereka berkongsi minat yang sama.

"Saya suka cantik dan perkara kecantikan, Apek juga serupa dan dia sangat mementingkan penampilan dari kaki sampai ke rambut. Jadi, kami merancang untuk buat bisnes bersama dalam bidang ini untuk bekalan masa tua kelak.

"Setakat ini ia cuma perancangan dan kami masih berbincang dengan keluarga. Kalau jadi, kami harap ia dapat direalisasikan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ditanya sama ada bisnes tersebut melibatkan pengeluaran produk atau perkhidmatan kecantikan, Leuniey berkata, ia masih dalam perbincangan.

Apek diijabkabulkan dengan Leuniey di kediaman keluarga Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat pada 28 Disember lalu.

Mereka dinikahkan oleh Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib dengan disaksikan oleh kira-kira 2,000 tetamu termasuk ahli keluarga kedua-dua mempelai serta para peminat.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hasrat mereka untuk berbulan madu, Leuniey berkata, buat masa ini mereka perlu 'melupakan sementara' rancangan tersebut kerana kedua-dua mereka masih sibuk dengan karier masing-masing.

"Rancangan itu ada tapi perlu diketepikan sementara kerana belum berpeluang lagi. Saya juga mahu Apek fokus dalam kerjayanya dulu. Kalau ada cuti pun dalam dua tiga hari sahaja, ia sebaiknya digunakan untuk rehat dan fokus tentang perlawanan seterusnya.

"Lebih sebulan melayari bahtera rumah tangga, saya rasa bahagia dan merasakan hidup kini lebih lengkap tetapi saya merasakan kami masih dalam fasa 'percintaan' kerana tidak mempunyai banyak masa bercinta sebelum kahwin dahulu," katanya.

Leuniey juga memberitahu, buat masa ini, belum ada lagi tanda-tanda mereka akan menimang cahaya mata.

"Belum ada rezeki lagi tapi kami berdua memang suka akan kanak-kanak," katanya.

Gelombang Biru Wanita BN dilancar

Posted:

Gelombang Biru Wanita BN dilancar

Gelombang Biru Wanita BN dilancar

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my


NAJIB bersalaman dengan Wanita BN ketika merasmikan majlis pelancaran Gelombang Biru Wanita BN di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri meletakkan harapan yang tinggi kepada jentera Wanita Barisan Nasional (BN) kerana yakin mereka akan menjadi jentera yang sangat penting dalam memastikan kemenangan parti gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau amat menghargai sumbangan jentera Wanita selama ini dan akan membalas jasa mereka yang tanpa jemu menyokong serta bekerja untuk parti.

"Jentera Wanita BN akan jadi jentera yang akan mempengaruhi rakyat dan yakinkan rakyat bahawa kita tepati janji dan kita sudah lakukan perubahan untuk negara.

"Wanita akan turun padang, melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh dan akan 'membirukan' landskap politik tanah air," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Gelombang Biru Wanita BN di sini semalam.

Sementara itu, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini, Najib berkata, seorang daripada tujuh wakil setiap bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO akan dilantik sebagai wakil jawatankuasa disiplin bagi memantau berlaku sebarang unsur sabotaj dalam parti.

Presiden UMNO itu memberitahu, nama-nama ahli itu sedang diproses oleh Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

"Nama-nama ini kita akan umumkan kepada bahagian, maka semua orang tahu setiap yang berlaku di bahagian akan ada wakil jawatankuasa disiplin yang boleh memantau keadaan dan membuat laporan.

"Ini untuk memastikan bahawa tindakan untuk merosakkan parti dan mengkhianati parti diambil tindakan seberapa segera," katanya.

Najib juga berkata, secara keseluruhannya, mesyuarat semalam juga memberi fokus kepada persiapan jentera pilihan raya UMNO dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Dalam pada itu, beliau berharap pembangkang menerima keputusan PRU-13 dan tidak mencari alasan untuk menimbulkan huru-hara sekiranya mereka kalah dalam pilihan raya itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved