Jumaat, 8 Februari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Memulih imej wanita yang tertindas

Posted:

Memulih imej wanita yang tertindas

Memulih imej wanita yang tertindas

DENGAN penampilan ringkas baju-T putih polos, seluar trek hitam dan lengkap berstoking, sekumpulan wanita muda memenuhi salah sebuah dewan di Hotel Imperial, New Delhi, India.

Rambut masing-masing yang panjang mengurai kelihatan kemas apabila diikat tocang satu. Mereka yang merupakan pekerja hotel tersebut begitu bersemangat dan teruja mengikuti kursus mempertahankan diri yang dianjurkan pihak majikan.

Berlangsung selama 12 hari bermula 1 Februari lalu, kursus berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama sayap utama Polis Wanita Delhi sebagai usaha memperkasa kaum Hawa di negara itu.

Ia juga sebenarnya membawa misi tersendiri iaitu melatih dan merekrut lebih ramai anggota polis wanita bagi diserapkan ke dalam jabatan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Sushil Kumar Shinde berkata, India perlu melumpuhkan jenayah terhadap kaum wanita dengan 'tangan besi'.

"Kes rogol hingga mengakibatkan kematian seorang pelajar pada Disember lalu memberi impak yang besar terhadap negara ini. Justeru, sebagai permulaan, kerajaan mahu lebih ramai wanita direkrut sebagai anggota untuk bertugas di setiap balai polis yang terdapat di New Delhi," tegas Shinde.

Berikutan itu, Shinde telah mengadakan satu mesyuarat tergempar bersama pegawai-pegawai penguat kuasa undang-undang dari seluruh India untuk mempertimbangkan kaedah bagi meningkatkan perlindungan terhadap kaum wanita.

Beliau memberitahu perwakilan bahawa keseluruhan sistem perlu dinilai semula.

"Tragedi sebegini dan kemarahan terhadap wanita serta kelemahan penguatkuasaan undang-undang dalam masyarakat, tidak boleh diterima untuk sistem demokrasi yang kita laksanakan. Ia perlu dibendung segera," ujar beliau.


MASALAH kekurangan polis wanita di India perlu diatasi segera bagi membantu mengendalikan kes berkaitan rogol dan kewanitaan.


Kenyataan itu senada dengan kenyataan yang dilontarkan peguam bela Mahkamah Agung, Priya Hingorani yang mengatakan: "Walaupun pendidikan dari semasa ke semasa boleh menggalakkan kesaksamaan gender dan membantu mengubah pemikiran, pada pandangan saya, literasi undang-undang ialah keperluan utama saat ini."

Kemarahan ramai

Dalam tragedi yang menimbulkan kemarahan dunia 16 Disember tahun lalu itu, seorang pelajar malang berusia 23 tahun, Jyoti Badri Singh dirogol dan dibelasah oleh sekumpulan lelaki di dalam bas sebelum dicampak ke jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Selepas dua minggu bertarung nyawa termasuk dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth di Singapura, Jyoti akhirnya menemui ajal. Seluruh dunia meratapi pemergian wanita tidak berdosa itu.

Suspek yang melakukan perbuatan kejam tersebut sedang dibicarakan dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman mati.

Sebelum itu, Shinde mengumumkan bahawa setiap daripada 166 balai polis di seluruh New Delhi akan mempunyai pegawai wanita yang boleh ditemui setiap masa. Selain itu, lebih ramai wanita akan direkrut di seluruh negara untuk bergelar anggota polis.

Buat masa ini, kebanyakan balai polis di bandar tersebut tidak mempunyai wanita sebagai kakitangan mereka. Lantaran itu, sesetengah pegawai berkata, situasi tersebut menyebabkan mereka sukar untuk membantu mangsa wanita.


TUNJUK perasaan dan bantahan terhadap jenayah rogol di India semakin mendapat perhatian masyarakat dunia.


"Dalam hal ini, setiap balai polis perlu memiliki sekurang-kurangnya sembilan pegawai wanita untuk menjadikan mereka lebih prihatin kepada keperluan golongan Hawa," tambah Shinde.

Sementara itu, penganjuran kursus seni bela diri jangka pendek di Hotel Imperial mendapat respons memberangsangkan daripada kakitangan wanita hotel terbabit yang merangkumi pelbagai bidang tugas termasuk pelayan, pengemas bilik dan pegawai atasan.

Menurut wakil polis wanita New Delhi yang mahu dikenali sebagai Snehlata, program sedemikian mampu meningkatkan tahap keyakinan wanita untuk bertindak menyelamatkan diri apabila berdepan perkara negatif.

"Rata-rata peserta kursus yang terdiri daripada kakitangan hotel komited untuk mendalami ilmu berkaitan seni mempertahankan diri. Walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman, mereka tetap menunjukkan kesungguhan untuk mempelajarinya.

"Diharap ini akan menjadi titik permulaan kepada semua wanita India agar berbuat perkara yang sama demi mengelakkan perkara buruk daripada berlaku," ungkap Snehlata sambil tekun menyaksikan latihan yang dilakukan oleh para peserta.

Bangkit melawan

Pendapat Snehlata turut diperakui rakan sejawat, Sunita yang bertindak sebagai tenaga pengajar dalam kursus tersebut yang memerlukan peserta menjalani latihan amali terhadap ilmu-ilmu asas mempertahankan diri.

"Sebagai wanita, kita tidak boleh hanya pasrah dengan keadaan atau situasi yang menimpa. Jika mampu, kita perlu bangkit untuk melawannya daripada membiarkan maruah kaum wanita diperkotak-katikkan dengan mudah.

"Sepanjang kursus ini juga, kami lihat ada peserta yang mempunyai potensi untuk diserapkan sebagai anggota polis. Namun, ia bergantung kepada minat dan persetujuan masing-masing kerana perkara ini tidak boleh dipaksa," tutur Sunita yang memakai kot hitam dan seluar jean biru.


GANGGUAN seksual terhadap wanita India sering berlaku terutama di dalam pengangkutan awam seperti komuter.


Dalam pada itu, pihak berkuasa mengumumkan siri kaedah kawalan keselamatan yang bertujuan untuk menjadikan bandar tersebut lebih selamat.

Ini termasuk melakukan lebih banyak rondaan malam oleh polis, pemeriksaan terhadap pemandu bas dan pembantu mereka serta mengharamkan langsir atau cermin gelap pada kenderaan awam seperti bas.

Kerajaan juga telah menubuhkan satu jawatankuasa seliaan hakim bersara Mahkamah Agung untuk mengesyorkan perubahan pada undang-undang antirogol.

Tidak ketinggalan, satu talian bantuan telah dilancarkan untuk wanita yang berada dalam kesusahan. Ia disambungkan terus ke balai polis di seluruh bandar.

Dalam perkembangan lain, sejak berlakunya kes rogol Jyoti, seorang perunding kecantikan, Geeta Misarvan, 34, mengakui dia akan cuba pulang kerja lebih awal dan melahirkan rasa tidak percaya terhadap keupayaan polis untuk melindunginya.

"Tiada tempat di negara ini yang selamat. Saya bimbang dengan masa depan anak perempuan saya yang membesar di sini. Sudah pasti dia akan berdepan masalah dan risiko sama yang saya hadapi setiap kali meninggalkan rumah," keluh Misarvan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved