Jumaat, 8 Februari 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Rekod keempat dikecapi

Posted:

Rekod keempat dikecapi

Rekod keempat dikecapi

Oleh SHAWKATH AZDE

SEWAKTU kanak-kanak lagi, dia kerap berimaginasi mahu mencipta rekod dunia. Impian mendalam itu kemudian beralih kepada minat sebelum menjadi kerjayanya sehingga kini.

Itulah kisah di sebalik individu yang bernama Rainer Zietlow yang baru-baru ini menjayakan kembara sejauh 23,000 kilometer (km) dari Melbourne, Australia menuju St. Petersburg di Rusia.

Dinamakan sebagai projek Russtralia, Zietlow bersama dua krew iaitu Marius Biela dan Vadim Gagarin mengambil masa selama 17 hari, 18 jam dan 49 minit untuk menyempurnakan pengembaraan tersebut. Justeru, satu lagi rekod Guinness World Record dicipta.

Kembara yang diketuai Zietlow bertujuan menyampaikan sepucuk surat dengan kaedah kuno (menaiki kenderaan) daripada Datuk Bandar Melbourne kepada Datuk Bandar St. Petersburg.

Bermula dari Australia, pasukan itu kemudian menyusuri muka bumi di Timor Timur sebelum menuju Indonesia, Singapura, Malaysia, Thailand, Laos, China, Kazakhstan dan berakhir di Rusia.

Bagi setiap km perjalanan projek Russtralia, sebanyak 10 sen (Euro) dikumpul sebagai sumbangan untuk sebuah pertubuhan kebajikan di Laos iaitu Plan International. Jumlah sumbangan yang berjaya dikumpul adalah sebanyak 2,300 Euro (kira-kira RM9,000).


JENTERA Touareg TDI dengan teknologi Bosch membantu krew Challange4 mengharungi pelbagai bentuk muka bumi dalam ekspedisi kali ini.


Ini bukannya misi kemanusiaan pertama Zietlow. Dia sudah menjayakan beberapa projek kembara untuk kebajikan, alam sekitar dan keperluan bidang sains.

"Ekspedisi yang saya akan ingati selalu adalah di Chile pada 29 Januari 2005. Itu merupakan kembara pertama saya dan perasaan pada ketika itu sememangnya bercampur-baur.

"Kami diselubungi perasaan takut. Namun tetap syukur kerana semuanya berjalan dengan baik," katanya dalam satu temuramah bertulis bersama Kosmo! baru-baru ini.

Ekspedisi yang dimaksudkan Zietlow adalah pendakian gunung berapi tertinggi dunia iaitu Ojos del Salado, Chile dengan memandu sebuah Volkswagen Touareg standard.

Ketinggian Ojos del Salado ialah 6,882 meter. Dia bersama seorang rakan, Ronald Bormann, mengemudi kenderaan hingga paras ketinggian 6,084 meter dengan membawa sebuah mesin seismograf.

Mesin seismograf itu dipasang pada paras tertinggi di gunung berapi tersebut untuk mengukur kekuatan gempa bumi dan pergerakan semasa muka bumi di kawasan berkenaan.

Zietlow yang berkelulusan bidang pentadbiran perniagaan kini memiliki dan mengusahakan Challenge4, sebuah agensi yang mengendalikan acara-acara automotif serta kembara jarak jauh.

"Inilah hobi saya sejak kecil lagi. Saya menjadikannya sebagai kerjaya sejurus sahaja memperoleh lesen memandu ketika berusia 17 tahun.

"Sebelum membabitkan diri dalam aktiviti kembara, saya sebenarnya memantapkan kekuatan mental dan fizikal. Ia penting sebagai persiapan untuk berdepan dengan apa jua situasi yang tidak diduga," katanya.


DARI kiri: Biela, Zietlow dan Gagarin bergambar di Rusia selepas berjaya menyempurnakan kembara Russtralia baru-baru ini.


Berhubung kembara Russtralia, Zietlow berkata, persiapan awal mengambil masa selama lapan bulan untuk memperhalusi segala perkara dalam ekspedisi itu.

Ini termasuk mencari penajaan, kenderaan bersesuaian, barangan keperluan dan memastikan semua laluan yang menggunakan koordinasi GPS adalah tepat.

Jentera Volkswagen Touareg TDI kegunaan pasukan Challenge4 telah melalui beberapa fasa modifikasi seperti pemasangan roll-cage dan kerusi jenis bucket untuk keselesaan pemandu.

Sebuah tangki diesel tambahan berkapasiti 300 liter dan set tayar jenis Continental Cross Contact LX 20 juga telah dipasang pada kenderaan berkenaan.

Jentera dengan enjin 3.0 liter V6 TDI Clean Diesel bersama pengecas lampau itu nyata berupaya membekalkan kuasa yang diperlukan sewaktu menempuh pelbagai permukaan muka bumi.

Tambahan lain membabitkan pemasangan teknologi satelit Inmarsat untuk komunikasi langsung, meskipun berada di kawasan terpencil.


ZIETLOW (baju hitam) sempat bergambar bersama sekumpulan kanak-kanak ketika di Indonesia.


Radiator bocor

Biarpun segala perancangan dilakukan dengan teliti, pasukan yang terdiri daripada tiga individu itu tetap menghadapi beberapa masalah.

Radiator Touareg mengalami kebocoran ketika di Timor Timur yang menyebabkan perjalanan terpaksa ditangguh selama sehari setengah. Tayar kenderaan juga bocor beberapa kali.

Penangguhan kedua berlaku apabila feri yang ditempah untuk membawa kenderaan berkenaan ke Melaka berdepan masalah tanpa dijangka.

"Ketika berusaha untuk mengejar masa yang terbuang gara-gara kerosakan radiator dan tayar bocor, perjalanan kami terpaksa ditunda kerana kapten kapal tidak biasa dengan pelabuhan Dumai, Indonesia. Keadaan bertambah rumit apabila enjin bot itu rosak.

"Kami terpaksa mencari alternatif lain dengan menempah sebuah kapal kayu untuk membawa kenderaan Volkswagen seberat tiga tan itu ke Melaka," tambahnya.

Ketiga-tiga krew secara bergilir-gilir memandu selama lima jam setiap seorang untuk memastikan masa dapat digunakan sepenuhnya dan mendapat rehat secukupnya.

Zietlow menambah, bekalan makanan yang dibawa dalam kenderaan sememangnya cukup sepanjang perjalanan merentasi Australia, Timor Timur, Indonesia, Singapura, Malaysia, Thailand, Laos, China, Kazakhstan dan Rusia.

Mandi? Mereka juga tidak mempunyai banyak masa untuk itu kerana kekangan masa mencipta rekod.

"Kami hanya membersihkan diri dengan air dalam botol sebaik sahaja tiba di Rusia. Itupun kerana mahu kelihatan kemas," ujarnya.

Baru sahaja selesai perjalanan panjang, Zietlow sebenarnya sudah ada rancangan kembara lain.

Kali ini, dia menanti masa untuk memulakan pengembaraan ke Sochi 2014 Winter Olympics di Rusia. Ia akan dilakukan pada tahun ini dan misi ke China (tahun hadapan).

Nisei Week LA

Posted:

Nisei Week LA

Nisei Week LA

Oleh IRWAN ASRI MOHD. NOR


JENTERA Chevrolet ini telah menerima proses ubah suai yang ekstensif.


SEBENARNYA sudah lama saya ingin menulis mengenai perkara ini. Di sebuah daerah kecil di Los Angeles (LA), Amerikat Syarikat (AS) ada satu tempat yang dikenali sebagai Little Tokyo.

Di sana, wujud satu sambutan tahunan yang diberi nama Nisei Week. Sebenarnya, Nisei Week adalah perayaan yang disambut secara turun temurun di sana oleh masyarakat Jepun-Amerika dengan pelbagai aktiviti budaya.

Nisei bermaksud generasi kedua, merujuk kepada generasi kedua Jepun yang lahir di AS. Sementara Isei pula merupakan generasi pertama yang telah menyambut perayaan sama sejak tahun 1934 lagi. Jangan salah sangka pula, maksud saya perayaan budaya, bukannya kereta.

Walaupun namanya Nisei Week, namun acara tersebut tidak lagi hanya tertumpu kepada aspek kebudayaan sahaja. Ada satu acara yang perlu anda tahu iaitu Nisei Showoff.


BARISAN kereta muscle Amerika yang memeriahkan pameran Nisei Showoff setiap tahun.


Nisei Showoff

Nisei Showoff merupakan pameran kereta yang mengumpulkan kereta jalanan terbaik di sekitar LA. Pameran ini sebenarnya bermula secara tidak sengaja apabila festival utama Nisei Week berlangsung.

Beberapa buah kelab kereta dari Selatan California yang terdiri daripada anak-anak generasi kedua Jepun berkumpul sambil lepak-lepak. Kemudian beebrapa orang individu seperti Janet Fujimoto, Duane Tomono dan Joey Lee mula memikirkan idea untuk jadikan acara pamaran kereta itu lebih teratur.

Justeru, mereka telah memilih satu kawasan parkir yang luas pada tahun 2000 untuk merasmikan pameran Nisei Week. Hingga ke hari ni, acara tersebut dijalankan secara tetap pada setiap tahun.

Pameran itu memang unik kerana pengunjung boleh masuk secara percuma. Ia bukanlah pameran yang rasmi sangat pun. Lebih kurang macam pameran Hellaflush Meeting Osaka.

Pameran yang pada awalnya terdiri daripada beberapa buah kelab kereta dan orang persendirian lama kelamaan semakin berkembang serta mendapat perhatian ramai.

Sehinggakan ia berjaya menarik syarikat-syarikat automotif utama, tuner dan bengkel-bengkel yang menghantar kereta mereka untuk dipamerkan.

Kalau anda semua ingin tahu, ada macam-macam jenis perjumpaan di AS yang memang menyeronokkan. Sebagai contoh, Honda Meeting, Toyota Fest, Eibach Meeting dan macam-macam lagi. Bagus betul kalau di Malaysia ada acara macam ini. Sudah tentu saya bawa famili boleh datang tengok kereta. Duit pun tak habis!

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penganjur Nisei memaklumkan bahawa sambutan yang menggalakkan banyak diterima daripada kereta Honda. Jadi pada tahun ini mereka buat seksyen yang dipanggil 'Generation'.


TRAK buatan pengeluar Jepun yang klasik.


Di sini, ia dibahagikan pada kategori 'past', 'present' dan 'future'. Menarik juga idea itu kerana pengunjung boleh melihat secara dekat barisan pengeluaran dan modifikasi yang berbeza pada pelbagai generasi kereta Honda.

Trend Nisei Showoff yang pada asalnya lebih tertumpu kepada perubahan sosial kereta Jepun kepada Japan Domestic Market (JDM) telah mula berubah beberapa tahun kebelakangan ini. Istilah Hellaflush, USDM, Canibeat, Illest mula diguna pakai. Trend begini juga sudah dapat dilihat dengan jelas pada pameran-pameran automotif terbabit.

Apabila digabungkan dengan konsep 'generation' tadi, maka boleh dilihat pengaruh budaya kereta AS yang sangat kuat. Enjin berkilat-kilat, wire tuck, turbo bersih-bersih semua dan mesin K20A itu nampak macam senang sahaja hendak memperolehnya.

Nisei Showoff kini juga tidak tertakluk pada kereta Jepun saja. Kereta muscle AS yang memberi pengaruh besar pada kereta old school Jepun turun dipamerkan. Kereta-kereta klasik begini memang wajib ada sebagai penyeri.

Cuma saya harap dapat melihat lebih banyak model Datsun, Hakosuka, Fairlady dan mungkin pikap lama Jepun. Namun hakikatnya, ini AS. Susah hendak cari kereta sebegitu. Kalau Mitsubishi Evo banyaklah. Evo pergi SEMA sudahlah. Di sini orang lebih menghargai nostalgia dan sejarah.

Vespa LX150 edisi Apple

Posted:

Vespa LX150 edisi Apple

Vespa LX150 edisi Apple

ATAS: Simbol buah epal yang digunakan pada tahun 1969 kini ditampilkan pada bahagian hadapan Vespa moden.




DARI Kiri: Pemangku Naza Premira, Terrence Duncan, SM Faisal dan Naib Presiden Two Wheel Division Kumpulan Naza, Nik Danial Nik Mahmood pada majlis pelancaran model edisi terhad LX150 di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


NAZA Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira) baru-baru ini menambah pilihan produk skuter Vespa sedia ada menerusi pelancaran varian LX150 edisi Apple untuk pelanggan tempatan. Hanya 168 unit jentera jenama Itali itu ditawarkan di Malaysia.

Naza Premira merupakan pengedar rasmi skuter jenama Vespa di Malaysia.

Untuk makluman, LX150 edisi Apple itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat pengeluar gajet dan peranti pintar iaitu Apple Inc.

Edisi Apple itu diperkenalkan bagi memperingati kempen pengiklanan paling popular di Itali pada tahun 1969. Slogan kempen itu dalam bahasa Itali pada ketika itu ialah Chi Vespa mangia le mele (If you ride a Vespa, you take a bite of the Apple).

Buah epal dipilih kerana dikatakan merupakan simbol untuk kesihatan, muda, berkhasiat dan dikehendaki ramai. Individu di sebalik ciptaan slogan itu ialah Gilberto Filippetti daripada agensi pengiklanan Leader di Florence, Itali.

Kempen pengiklanan itu digunakan untuk pengenalan model Vespa 50 Special pada tahun 1969. Ia tepat pada masanya kerana pada ketika itu seramai 16 juta golongan muda di Itali memerlukan sebuah kenderaan untuk mobiliti. Era itu adalah masa peralihan Itali ke arah pembentukan sebuah negara perindustrian.

Malaysia merupakan negara kedua selepas Vietnam untuk menawarkan Vespa LX150 edisi Apple. Produk keluaran kilang di Hanoi, Vietnam itu hanya didatangkan dalam warna putih.

Sentuhan kosmetik membabitkan grafik epal pada kedua-dua sisi skuter dan bahagian hadapan. Pelana jentera bersesaran 150cc itu diberi pengenaan dua tona merah putih beserta satu logo epal kecil.

Lima cawangan baharu

Enjin LX150 jenis empat lejang sejukan udara dengan transmisi automatik itu mampu menghampurkan kuasa sehingga 11.66hp @ 7,750rpm dan kuasa kilas 11.5Nm @ 6,000rpm. Berat kering jentera adalah 110 kilogram dan berupaya mencapai kelajuan maksimum 95 kilometer sejam.

Untuk memberhentikan jentera, kedua-dua roda menggunakan khidmat brek cakera bersaiz 200 milimeter (mm) di hadapan dan drum di belakang (110mm). Ada dua cara menghidupkan Vespa LX150 iaitu sama ada melalui butang pemula atau penendang kaki.

"Vespa merupakan skuter gaya hidup yang digemari di negara ini. Sebanyak 1,000 unit varian Vespa telah dijual pada tahun 2012," kata Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.

Unjuran jualan tahun ini adalah sebanyak 2,000 hingga 3,000 buah. Bagi merealisasikan sasaran tersebut, Naza Premira bakal membuka lima cawangan baharu di Pulau Pinang, Johor, Kelantan, Terengganu dan Sarawak pada tahun ini.

Buat masa ini, terdapat dua bilik pameran Vespa iaitu masing-masing di Petaling Jaya dan Kota Damansara di Selangor.

Vespa LX150 edisi Apple ditawarkan pada harga atas jalan RM11,388 seunit. Sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina, anda kini boleh memiliki sebuah skuter LX150 pada harga RM8,888 sebuah (harga asas). Stok adalah terhad dan promosi hanya sah sehingga 28 Februari 2013.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved