Ahad, 20 Januari 2013

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Dakwah di sebalik lukisan kontemporari

Posted:

Dakwah di sebalik lukisan kontemporari

Dakwah di sebalik lukisan kontemporari

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA

APABILA berbicara mengenai karya-karya seni yang berunsurkan Islam, perkara pertama yang terlintas di minda kebanyakan penggemar dan penggiat seni halus tanah air adalah keindahan kaligrafi khat yang berasaskan ayat-ayat suci al-Quran.

Namun begitu, tidak ramai yang sedar akan kewujudan saluran seni kontemporari lain yang mampu memperlihatkan sisi pengaruh Islam dalam setiap karya yang ingin ditonjolkan.

Bagi artis seni Ramlan Abdullah, 53, karya yang bercirikan Islam tidak semestinya terhad pada satu kategori kerana terdapat banyak cabang seni yang boleh diterokai dalam usaha menyampaikan sesuatu mesej.

"Dalam konteks kesenian Islam, setiap artis seni atau pelukis perlu bijak dalam mengadaptasi mesej dan nilai-nilai murni yang ingin disampaikan kepada orang ramai.

"Salah satu medium yang kurang mendapat perhatian artis seni atau pelukis tempatan ialah pembinaan arca yang dapat memberikan sebuah gambaran dan mesej yang berunsur Islamik kepada penonton.

"Jadi, saya mengambil keputusan untuk menghasilkan sebuah siri arca yang dapat menceritakan sedikit sebanyak mengenai pertembungan dua elemen yang sangat berbeza ini," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Pameran Seni Taman Nurani yang berlangsung di Galeri Petronas KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nilai kemasyarakatan

Memilih unsur cahaya sebagai sumber inspirasi utama dalam penghasilan tiga buah arcanya, Ramlan memberitahu, sifat cahaya yang cerah dan senang terbias itu mampu mewakili kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan dalam diri setiap individu.


HASHIM menggunakan burung sebagai lambang keamanan sejagat.


"Seperti yang kita sedia maklum, agama Islam amat menitikberatkan kepentingan menuntut ilmu dalam kalangan umatnya.

"Apabila seseorang itu sudah lengkap dengan ilmu, dia akan dapat mengenal dan mengtauhidkan Allah SWT sebagai tuhan yang satu, sekali gus dapat mendalami erti kehidupan sebenar di muka bumi ini," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai keistimewaan arca binaanya yang dipamerkan di pameran tersebut, Ramlan berkata, salah satu arcanya yang bertajuk Unity In Diversity mempunyai maksud yang berkait rapat dengan cara hidup berbilang bangsa di negara ini.

"Arca tersebut dibina dengan menggunakan lebih kurang 280 keping besi tahan karat yang bersifat membias cahaya melalui proses pengulangan.

"Kepingan-kepingan besi itu kemudiannya dicantumkan dengan menggunakan skru sehingga membentuk sebuah figura kukuh yang berkilat dan berbentuk bulat.

"Maka, secara keseluruhan, setiap cantuman ini dapat menggambarkan realiti sebenar hidup bermasyarakat serta nilai bersatu-padu yang perlu diamalkan oleh setiap individu pada masa kini," jelasnya.

Unsur budaya dan tradisi

Selain daripada unsur semula jadi, unsur perlambangan dan tradisi juga turut digunakan dalam penyampaian mesej serta pengaruh Islam kepada khalayak pencinta seni.

Unsur-unsur itu biasanya bersifat figuratif dan mempunyai maksud yang tersendiri.

Hashim Hassan, 75, yang menjadikan burung sebagai motif utama dalam karyanya berkata, sifat semula jadi haiwan yang sering terbang bebas itu dapat diterjemahkan sebagai lambang kebebasan orang Melayu dalam proses menimba ilmu pengetahuan.

"Kaum yang berjaya ialah kaum yang bergerak pantas dan bersungguh-sungguh dalam mencari sesuatu yang baharu dan boleh digunakan dalam meneruskan kehidupan sehari-hari.

"Jadi, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa agama Islam turut menggalakkan umatnya supaya sentiasa berusaha dan peka dengan perubahan di sekeliling serta tidak mudah leka dengan kesenangan yang diberikan.


MULIYADI percaya seni kontemporari mampu menjadi medium dalam menyampaikan mesej yang berguna kepada pengunjung.


"Burung juga turut melambangkan habitat semula jadinya, iaitu hutan belantara yang dikurniakan oleh Tuhan kepada manusia sebagai sumber utama kehidupan.

"Perlambangan tersebut dianggap sungguh simbolik kerana pada zaman serba moden ini, hutan dan alam semula jadi sering kali dikaitkan dengan pencemaran serta kerakusan manusia dalam mengejar pembangunan," ulasnya.

Selain daripada simbol kebebasan yang diterjemahkan melalui penggunaan burung, corak batik dan unsur tradisi juga turut diselitkan dalam setiap karyanya bagi memberikan sedikit kelainan.

"Seni warisan dan budaya yang terdapat di negara kita ini sering dilupakan oleh masyarakat terutamanya dalam kalangan remaja.

"Saya berharap, dengan penerapan corak batik tempatan dalam setiap karya seni yang saya hasilkan mampu memberikan kesedaran terhadap orang ramai mengenai kepentingan menghargai khazanah tradisi negara," ujarnya lagi.

Pengalaman

Sementara itu, bagi Awang Damit, 56, dalam usaha mengetengahkan konsep kesenian Islam kontemporari, dia menggabungkan pengalaman masa lampaunya dengan teknik lukisan abstrak yang juga menampilkan teknik tampalan.

"Setiap lukisan mempunyai penceritaannya yang tersendiri. Sebagai contoh, melalui siri Essence Of Culture, saya menceritakan mengenai ayah saya dan kawan-kawannya yang berkerja sebagai nelayan dan petani di kampung halaman.

"Mereka terkenal dengan sifat rendah diri dan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah Mereka juga tidak pernah merungut apabila ditimpa kesusahan," jelasnya.

Menurut Awang lagi, keikhlasan para nelayan dan petani yang diceritakannya melalui siri lukisan itu dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan bersyukur pada sebarang nikmat yang dikurniakan Maha Pencipta.


AWANG memberi kebebasan kepada pengunjung untuk mentafsir sendiri maksud di sebalik karyanya.


"Pada pendapat saya, seni bersifat sangat subjektif. Pemilihan seni abstrak juga dapat memberikan peluang kepada penonton untuk menilai sendiri maksud yang terkandung di dalam sesebuah karya itu.

"Jika ia diinterpretasi dengan cara yang betul, maka ciri-ciri Islamik yang ada padanya dapat disampaikan," simpulnya.

Sejarah, fesyen dan budaya bersatu dalam dekorasi

Posted:

Sejarah, fesyen dan budaya bersatu dalam dekorasi

Sejarah, fesyen dan budaya bersatu dalam dekorasi

Oleh NIZHA PERIASWAMY


ARCA kapal besar diberi nama Sa Chuan dibina siap dengan empat layar di Centre Court Sunway Pyramid.


TAHUN ini, menurut kepercayaan pakar-pakar feng shui, bakal menjadi satu lagi tahun yang membawa kebaikan. Mengikut zodiak kalendar Lunar Cina, tahun ini iaitu Tahun Ular Air, kebanyakan orang akan menikmati lebih banyak kebaikan, walaupun berdepan sedikit kesulitan.

Selain kehangatan ramalan feng shui mengenai Tahun Ular pada tahun ini, sudah menjadi kebiasaan sambutan Tahun Baru Cina dimeriahkan dengan dekorasi indah yang dilakukan oleh kompleks beli-belah di seluruh negara.

Masing-masing menunjukkan keprihatinan dalam membawa semangat sambutan tahun baru dengan melakukan pengubahsuaian khususnya dekorasi di pintu masuk, lobi-lobi utama serta di ruang terbuka pusat beli-belah.

Di sekitar Lembah Klang, kelihatan beberapa pelancaran sambutan Tahun Baru Cina diadakan secara aktif. Masing-masing menampilkan dekorasi berkonsep Tahun Baru Cina yang bervariasi dan kreatif.

Antara pusat beli-belah yang dilihat berbelanja besar untuk menghasilkan dekorasi gah di ruang legar utamanya ialah Sunway Pyramid Petaling Jaya, Selangor.

Pada majlis pelancaran baru-baru ini, Sunway Pyramid mengetengahkan arca kapal laut besar, Sa Chuan dengan empat layar berlatarkan Pelabuhan Bertuah (Fortune Harbour).

"Kami melakukan banyak penyelidikan sebelum tampil dengan idea ini. Ia satu percubaan yang segar dan mempunyai jalan cerita yang menarik dan penuh bersejarah," demikian kata Pengurus Rekaan Kreatif, Sunway Pyramid, Shabri Osman.

Menurut sejarah, kapal laut itu digunakan dalam era emas China ketika urusan import dan eksport melalui jalan laut rancak berlangsung.

Kisah perdagangan

Kapal-kapal itu mengikut sejarah membawa muatan pelbagai jenis barangan perdagangan penting.

Oleh itu, pihak Sunway Pyramid berharap supaya 'pelayaran' setiap pengunjung ke Sunway Pyramid juga akan diiringi tuah seperti kisah kapal laut yang kaya itu.

"Kami memerah otak sejak setahun lalu dalam mengusahakan kapal laut ini dan cabaran paling sukar ialah memasang layar," kata Shabri merujuk kepada layarnya.

Kapal laut di Sunway Pyramid diperbuat daripada logam di bahagian dalam dan luaran pula dihasilkan daripada kayu cengal serta meranti.

"Segala kerja pembuatan dan pemasangan mengambil masa tiga minggu dan pemasangan layar sahaja dua hari," tambah Shabri.

Beliau yang bertanggungjawab mendirikan arca kapal laut besar dibantu oleh ahli krew yang terdiri daripada 40 pekerja am, lapan artis dan dua juruteknik. Pusat beli-belah Sunway Pyramid mengakui telah membelanjakan kira-kira setengah juta ringgit bagi dekorasi itu.

Taman musim bunga

Dalam pada itu, pusat beli-belah The Curve di Damansara Mutiara, Selangor pula memilih untuk membawa latar taman musim bunga klasik Cina. Taman yang dipagari dengan pagar berwarna merah sepenuhnya itu dilengkapi kawasan pavilion, gazebo, bunga-bunga berwarna-warni dan tumbuh-tumbuhan serta tanglung merah.

Semuanya, menurut pengurus pusat beli-belah itu, Jazmi Kamarudin mengambil masa seminggu untuk diatur.

"Ia mula dipamer sejak 11 Januari lalu hingga 13 Februari ini. Sekumpulan krew telah bekerja keras mengatur dekorasi dan ia merupakan satu konsep baharu memandangkan The Curve belum pernah memiliki taman Cina sebelum ini," kata Jazmi yang enggan mendedah kos taman tersebut.

Beliau juga memberitahu, pihak The Curve tidak ketinggalan dalam menyediakan beberapa persembahan dan pameran produk sempena Tahun Baru Cina.

Pada majlis pelancaran, The Curve memikat para pengunjung dengan persembahan tarian naga serta persembahan tarian 12 zodiak haiwan oleh kanak-kanak kecil.

Persembahan hiburan


PENARI kanak-kanak kelihatan comel saat mengenakan kostum pelbagai jenis haiwan.


Bagi pusat beli-belah borong, Kenanga Wholesale City (KWC), Kuala Lumpur pada tahun ini penumpuan lebih banyak diberikan kepada elemen persembahan berbanding dekorasi. Dengan perbelanjaan sekitar RM150,000, KWC menghias seluruh pusat tersebut dengan tema, Mengalu-alukan Tahun Baru Cina dengan Gaya.

"Dekorasi di KWC banyak tertumpu pada kawasan pintu masuk, kawasan Centre Court tingkat bawah tanah dan kawasan sekitar tangga elektrik di setiap tingkat," kata Pengurus Besar KWC, Kenny Chin.

Sementara itu, pusat beli-belah di Bandar Utama, 1 Utama, Selangor pula tidak ketinggalan dalam mempamerkan dekorasi sambutan Tahun Baru Cina mereka tersendiri. Mempunyai reputasi tinggi dalam kalangan pengunjung, 1 Utama tidak mahu tampil dengan dekorasi yang ringkas.

Menggabungkan rekaan yang penuh dengan sentuhan moden dan meriah tetapi dipersembah secara tradisional, pusat beli-belah itu diubah suai menjadi Jalan Emas di bahagian ruang terbuka.

Seolah-olah menempatkan sebuah pekan kecil klasik Cina dengan deretan rumah kedai dua tingkat, replika itu mewakili rumah kedai tradisional Cina yang turut ditemui pada zaman moden.

"Persekitaran yang cuba dihasilkan di sini adalah apabila para pengunjung melalui jalan ini, mereka dapat merasa pengalaman membeli pakaian, makanan dan sebagainya sempena Tahun Baru Cina. Bagi memastikan ia lebih asli, kami mewarnai tingkap bangunan, tangga dan malah menyertakan antena televisyen,"

kata Pengurus Pengiklanan dan Promosi 1 Utama, Patrick So.

Kedai Lonely Planet di KLIA

Posted:

Kedai Lonely Planet di KLIA

Kedai Lonely Planet di KLIA

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA


PELBAGAI cenderamata ditawarkan di rak Lonely Planet KLIA.


SYARIKAT penerbitan yang cukup sinonim dengan aktiviti pelancongan dan pengembaraan, Lonely Planet membuka kedai konsep pertamanya di rantau Asia. Apa yang lebih membanggakan, Lonely Planet memilih Malaysia sebagai lokasi tersebut iaitu bertempat di bangunan satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Setelah mendapat sambutan yang menggalakkan di Sydney, Australia dan Manchester, England, kedai konsep ketiga di bawah seliaan anak syarikat Lagardere Service, LS Travel Retail Asia itu menjanjikan pelbagai barangan menarik buat si pengembara termasuklah buku-buku panduan, peta dan pelbagai jenis cenderamata.

Pegawai Operasi LS Travel Retail Asia, Emmanuel de Place, berkata, kedai tersebut dibuka berdasarkan peningkatan perniagaan yang berteraskan pelancongan di rantau Asia.

Pembukaan kedai konsep dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong bagi mendapatkan bahan rujukan mengenai sesebuah negara.

"Kepelbagaian bahan bacaan yang menarik tersedia di kedai konsep Lonely Planet pasti menggamit para pengembara untuk menjadikan ia sebagai tempat persinggahan pertama sejurus selepas turun dari pesawat.

"Kami juga berasa sangat berbesar hati kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan KLIA bagi merealisasikan pembukaan cawangan kedai konsep baharu Lonely Planet di sini," kata Emmanuel yang ditemui di majlis perasmian kedai konsep Lonely Planet.

Interaktif

Sementara itu, Pengurus Kanan Perkhidmatan Am Perdagangan Lapangan Terbang Malaysia, Faizah Khairuddin memberitahu, hubungan kerjasama yang terjalin antara LS Travel Retail Asia dengan pihaknya mampu menjadikan lapangan terbang sebagai salah satu destinasi gaya hidup pilihan ramai.

"Pembukaan kedai konsep pertama Lonely Planet di Asia diharap dapat memberikan manfaat kepada para pengembara yang mahukan maklumat yang lengkap mengenai sesebuah negara yang ingin mereka tuju.

"Lebih-lebih lagi setiap cawangan Lonely Planet dilengkapi dengan sebuah stesen yang membolehkan para pelanggan berinteraksi secara maya dengan kakitangan Lonely Planet di bandar Sydney dan Manchester.

"Para pengembara dapat berkongsi pendapat dan bertanyakan soalan-soalan lazim mengenai dua buah bandar itu sebelum mereka mengambil keputusan untuk ke sana," jelasnya mengenai kemudahan yang tersedia buat para pelanggan di Lonely Planet KLIA.

Berkongsi ruang dengan jenama pakaian sukan air terkemuka Billabong, kedai konsep Lonely Planet di KLIA mengetengahkan konsep terbuka apabila para pelanggannya bebas menilik setiap barangan yang dipamerkan di sana.

Buku-buku yang padat dengan informasi mengenai percutian dan tempat-tempat menarik disusun secara sistematik mengikut benua dan abjad.

Selain daripada buku dan peta, alatan pengembaraan lain turut di jual di kedai konsep Lonley Planet antaranya sarung tablet iPad, pelindung komputer riba dan bantal leher pelbagai corak.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved