Ahad, 20 Januari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Pemain terhebat negara

Posted:

Pemain terhebat negara

Pemain terhebat negara

CHONG WEI mencipta sejarah tersendiri selepas muncul sebagai pemain badminton terhebat negara ekoran kejayaan meraih gelaran juara buat kali kesembilan pada Terbuka Malaysia semalam. Chong Wei menewaskan Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia pada final di Stadium Putra di Bukit Jalil.


PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei muncul sebagai pemain terbanyak merangkul gelaran juara pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia.

Semalam, Chong Wei membuktikan statusnya selaku pemain terhebat negara apabila merekodkan kejuaraan buat kali kesembilan pada Terbuka Malaysia 2013.

Kejayaan itu hadir selepas dia melakar kemenangan ke atas pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 21-7, 21-8 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil.

Lebih membanggakan, dia berjaya melepasi rekod legenda badminton negara, yang sebelum ini merekodkan lapan kejuaraan pada Terbuka Malaysia.

"Saya sangat bangga dengan kejayaan ini. Terima kasih kepada para penyokong kerana sanggup hadir ke stadium bagi menyaksikan final serta memberi sokongan kepada saya.

"Sebenarnya saya berasa sedikit tertekan kerana harapan yang diletakkan untuk saya bergelar juara kali ini agak tinggi.

"Mungkin orang tidak nampak kenapa saya menang mudah ke atas Sony tetapi itulah yang saya rasakan.

"Mujur, setiap kali Sony melakukan serangan saya boleh mengatasinya. Saya memang mahu menghabiskan perlawanan dengan cepat," kata Chong Wei pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan semalam.

Tahun lalu, Chong Wei telah meletakkan namanya sebaris dengan Peng Soon apabila merangkul kejuaraan buat kali kelapan di gelanggang yang sama.

Sebagai rekod, Chong Wei mula bergelar juara Terbuka Malaysia pada 2004 diikuti 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013.

Ini merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat Chong Wei selepas membuka tirai kalendar 2013 penuh bergaya dengan meraih gelaran juara pada Terbuka Korea 13 Januari lalu.

Menurut Chong Wei, dia akan cuba untuk melakukan yang terbaik untuk bergelar juara Terbuka Malaysia buat kali ke-10 pada edisi tahun depan.

Hasratnya itu adalah untuk menyamai rekod kejuaraan yang dimilikinya selaku juara kebangsaan.

"Saya akan cuba tetapi semua kena sedar bahawa Sirkit Kebangsaan dan Terbuka Malaysia adalah dua kejohanan yang berbeza," kata Chong Wei yang kini akan memberi fokus sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Seluruh England Mac depan.

Chong Wei telah dua kali bergelar juara pada Seluruh England iaitu edisi 2010 dan 2011.

Dengan kemenangan semalam, Chong Wei membawa pulang hadiah wang tunai AS$30,000 (RM90,389).

Fandi berpuas hati

Posted:

Fandi berpuas hati

Fandi berpuas hati

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my


GUIZA (kiri) semakin mempamerkan keserasian beraksi dengan Johor DT dan setakat ini berjaya mencetak gol dalam beberapa perlawanan.


JURULATIH Johor Darul Takzim (Johor DT), Fandi Ahmad tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun gagal untuk mengutip tiga mata penuh ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super, Jumaat lalu.

Jelas Fandi, meskipun sekadar seri 2-2, namun anak-anak buahnya telah menunjukkan perkembangan positif berbanding tiga perlawanan terdahulu ketika menentang Pahang, Perak dan Kelantan.

Untuk rekod, Johor DT tewas 2-3 kepada Pahang di Kuantan sebelum menewaskan Perak 1-0 di laman sendiri, diikuti seri 1-1 ketika berdepan Kelantan di Kota Bharu.

"Kita telah melepaskan dua mata berharga kerana sepatutnya kita boleh memperoleh tiga mata penuh. Kita mendominasi perlawanan pada babak kedua dengan beberapa peluang untuk menambah jaringan tetapi gagal.

"Bagaimanapun saya rasa, buat pertama kalinya pasukan ini telah menamatkan permainan dengan sangat baik meskipun selepas ketinggalan, mereka kembali bangkit dan terus menunjukkan semangat juang yang tinggi. Saya bangga dengan komitmen semua pemain," katanya.

Pada aksi tersebut, Johor DT bermula agak perlahan sehingga membenarkan ATM mendahului seawal minit kelima.

Namun, skuad Harimau Selatan tidak panik, sebaliknya bangkit untuk kembali menguasai perlawanan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-17 menerusi pemain import, Daniel Guiza.

Johor DT kembali ketinggalan apabila skuad kendalian B. Sathianathan menjaringkan gol kedua pada minit ke-39 menerusi tendangan percuma Irwan Fadly Idrus sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha.

Fandi bagaimanapun menuntut anak-anak buahnya agar memperbaiki lagi mutu permainan bagi memastikan mereka mampu meraih kemenangan pada perlawanan seterusnya.

"Pemain telah memberikan satu permainan yang menghiburkan kerana kita tidak terlalu ingin bertahan tetapi kita tidak boleh terus-terusan memberi permainan sebegini. Kita perlu jaringkan gol dan kita perlu menang.

"Kita telah cuba yang terbaik tetapi pemain perlu bekerja lebih keras pada perlawanan akan datang," katanya.

Pada perlawanan seterusnya, Johor DT akan menentang Selangor PKNS di Stadium Shah Alam malam esok.

Bujang Senang makin garang

Posted:

Bujang Senang makin garang

Bujang Senang makin garang

Oleh FIRDAUS HASSAN
firdaus.hassan@kosmo.com.my


PRESTASI Ivan Babic (kiri) ternyata tidak menghampakan skuad Sarawak dan setakat ini memperlihatkan kematangan untuk menyempurnakan setiap peluang yang terhidang.


PASUKAN Sarawak terus mempamerkan persembahan cemerlang dalam saingan Liga Premier apabila mengumpul 10 mata selepas menewaskan Pos Malaysia 2-0 di Stadium Negeri, Petra Jaya Jumaat lalu.

Dengan kemenangan tersebut, skuad yang terkenal dengan gelaran Bujang Senang itu dan kini menghuni tangga kedua liga, hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada perlawanan itu, gol-gol kemenangan Sarawak diledak oleh Ivan Babic dan Azizan Saperi.

Jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, beliau tidak akan menyalahkan para pemain walaupun gagal mengambil peluang pada babak pertama permainan kerana yakin kesemua pemain telah berusaha keras untuk meraih kejayaan.

"Jika diikutkan, memang kita boleh memperoleh lebih daripada lapan jaringan di awal permainan tetapi apa yang penting, sasaran mendapat tiga mata penuh berjaya.

"Kemenangan ini juga membuktikan Sarawak berada di landasan yang betul untuk mencatat sebanyak mungkin kemenangan sepanjang musim ini," katanya.

Untuk rekod, Sarawak telah mencatatkan tiga kemenangan sepanjang saingan liga musim ini dan satu seri ketika menentang pasukan KL SPA Putrajaya sebelum ini.

Hari ini, Sarawak bakal menentang Sime Darby sebelum bertemu Melaka dalam kempen pusingan pertama Piala FA, Jumaat ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved