Ahad, 20 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Cinta tiga dasawarsa Anuar

Posted:

Cinta tiga dasawarsa Anuar

Cinta tiga dasawarsa Anuar

ANUAR ZAIN tidak boleh terlepas daripada soal kahwin namun pada usia 40-an ini dia lebih masih selesa bergelar lelaki solo.


"SAYA sangat seronok walaupun penat. Saya senang dengan setiap sesi terutama bila diminta beraksi secara santai-santai. Ya, ini (Rabu) hari yang paling memenatkan buat saya, hari fotografi paling banyak dalam sejarah yang pernah saya lakukan selama ini," desis pelantun Lelaki Ini itu saat mengizinkan dirinya didasari seadanya.

Anuar Zain lelaki yang mewah dengan senyuman. Seharian beralih dari studio ke studio demi publisiti, dia tegar. Sepetang di Studio Utusan memenuhi sesi fotografi untuk empat penerbitan berbeza, kami selesai sekitar lewat senja. Bersambung pula untuk sesi santai bersama peminat secara maya pada sebelah malam, semuanya mahu Anuar lakukan menjelang hari bahagia yang bakal berkunjung. Detiknya akan tiba selang tak sampai pun satu purnama lagi.

"Saya ialah penghibur para selebriti dan selebriti yang sentiasa terpahat di hati saya ialah peminat yang mahu menikmati momen bahagia bersama-sama nanti," katanya bersantun.

Dalam dada Anuar Zain ada berbilang rasa, separuh teruja, separuh lagi berdebar. Ada tersisip juga perasaan terharu mengenangkan akan tibanya sebuah masa dan segunung rezeki yang tidak disangka-sangka akan turun buatnya dalam waktu terdekat ini.

"Apa yang perlu saya lakukan nanti ialah membuat persembahan, ia bukan setakat nyanyian semata-mata. Ia menjanjikan keseronokan buat semua peminat dan sesiapa sahaja yang akan hadir. Saya juga tidak cuba untuk membuatkan orang berasa kagum tetapi ada sedikit kejutan khususnya kepada peminat yang telah mengikuti kembara saya selama ini," susunnya membuat pengisahan konsert sulung berskala mega, Konsert Anuar Zain 3 Dekad Muzik, Cinta & Sanubari.

Akan berlangsung pada 16 Februari nanti di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hakikatnya konsert itu sendiri diakui penyanyi lagu Sedetik Lebih itu sebagai sejarah terindah yang bakal hadir dan akan kekal menjadi epik kembara seni serta kecintaannya terhadap muzik.

"Ini kerja paling besar yang pernah saya lakukan. Konsert sulung saya ini akan menjadi sejarah buat saya dan sejarah buat peminat," katanya menyifatkan tajuk konsert itu sendiri membawa makna besar kepada dirinya.

Dari segi persiapan muzik sehinggalah rekaan cenderahati sebagai kenang-kenangan untuk dibawa pulang, segala fokusnya kini tertumpu kepada acara yang memberi amanah kepada Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert itu.

Selain Jennifer, nama-nama seperti Mac Chew akan bertindak sebagai pengarah muzik dan Ambri Gina (pengarah artistik) begitu juga dengan Jenny Chin, Aji (gitar) Wan Gigi (gitar), Steve Thornton (perkusi) dan John Thomas (drum) sudah masuk barisan antara tentera muzik Anuar menjelang konsert nanti.

"Alhamdulillah, semua yang bekerjasama dengan saya ialah kawan-kawan yang selalu bersama dengan saya selama ini. Saya bersyukur sebab dapat memanggil nama-nama terbaik dalam industri muzik termasuklah penyanyi latar yang akan mengiringi saya nanti," katanya membuat susunan semula kepada hampir semua lagu yang dipersembahkan nanti.

Tambah Anuar, lagu-lagu yang sudah berbelas tahun mesra di telinga pendengar seperti Bila Resah akan diberi jiwa baharu secara total tetapi untuk lagu-lagu yang masih belum mesra sepenuhnya di kalangan peminat, susunan muziknya masih dikekalkan.

"Tolak tepi segala kepenatan dan adrenalin saya ketika ini ialah untuk bekerja tapi dalam masa yang sama, tahap kesihatan amat penting," ujarnya masih tidak menganggap konsert besar itu sebagai momentum tertinggi sebagai kemuncak karier buatnya.

Kata Anuar: "Saya harap ia bukan kemuncak, selepas ini akan ada lagi album dan album yang seterusnya. Harus ada ada penambahbaikan. Saya kena terus membuat rujukan dan mendengar kemahuan peminat. Penambahbaikan itu pula bukan sahaja dari segi muzik dan nyanyian bahkan dari segi penampilan, harus ikut trend."


ANUAR anggap peminat sebagai selebriti yang harus diraikan, dijaga dan diberi layanan setidak-tidaknya melemparkan senyuman atau sekadar bertanya khabar.


Bukan artis eksklusif

Mengakui bukan kategori artis yang menerima semua kerja sembarangan, Anuar sedar dia hanya melakukan sesuatu perkara yang selesa dengan dirinya. Faktor itu juga diandaikan banyak pihak sebagai rahsia kemasyhuran namanya yang masih berkekalan.

"Kadang-kadang ada program-program yang tidak bagus untuk kemudian hari nanti. Saya tahu pasti ada pihak yang berkecil hati dengan saya tetapi saya percaya satu perkara bahawa keterbukaan melampau boleh membunuh karier," katanya optimis.

Anuar yang tidak terpengaruh dengan laman sosial seperti Twitter mendakwa dia lebih gemar berkongsi apa sahaja di laman Instagram. Dia cuma memiliki akaun rasmi Facebook iaitu www.facebook.com/anuarzainnetwork. Itulah satu-satunya platform yang membuka ruang temu Anuar bersama peminat di laman sosial. Dia seorang yang kemas menyimpan rutin peribadinya daripada pengetahuan ramai.

"Dari segi realitinya, saya masih keluar dengan kawan-kawan cuma saya tidak berkongsi barang-barang peribadi milik saya dengan peminat. Saya akui juga, laman sosial seperti Twitter sangat bagus, untuk kita belajar dan meningkat pengetahuan, tetapi dalam masa yang sama ia boleh jadi kejam," ulas Anuar yang masih boleh ketawa saat ditunjukkan gambar belakang tabir bersamanya yang telah dimuat naik ke dalam Instagram.

Kahwin karier

Masih membujang saat usianya menginjak angka 43 tahun pada tanggal 15 Februari nanti, itu isu wajib yang harus dijawab oleh adik Ziana Zain itu. Seperti tahu soalan tidak akan terlepas daripada jawapannya, jawapan Anuar masih seperti yang diketahui umum.

"Terima kasih atas perhatian yang diberikan. Saya pegang kepada kata-kata, jodoh biarlah ditemukan jangan dicari. Selama ini saya sudah pun berkahwin dengan karier selama 30 tahun yang bahagia dan kecewa. Dahulu saya pernah rasa kecewa dan tak mahu lagi menyanyi, sekitar 16-17 tahun ketika suara saya mulai pecah. Selama 10 tahun saya berhenti menyanyi. Saya bermula semula daripada kosong pada 1995 apabila kembali menandatangani kontrak dan melancarkan album pada tahun 1998," ceria Anuar bercerita tentang susur masa.

Anuar Zain 3 Dekad Muzik, Cinta & Sanubari, kisah itu menjadi dambaan Anuar untuk diberi dan dikongsikan dari puncak kedalaman hatinya untuk peminat. Gema itu harus datang daripada dirinya untuk dirasai seluruh stadium.

"Apabila kita memberi dengan keikhlasan, kita akan menerima semula," katanya mengusung kekuatan yang dikutip daripada peminat untuk merealisasikan rasa cintanya terhadap muzik selama tiga dasawarsa ini.

Rita tetap saman suami

Posted:

Rita tetap saman suami

Rita tetap saman suami


RITA RUDAINI bersama dua orang anaknya lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.


RITA RUDAINI sudah lali biarpun setiap kali muncul di hadapan media, pasti gelora rumah tangganya menjadi bahan bicara. Ibu anak dua itu juga langsung tidak terjejas emosinya saat bercerita tentang drama terbaharu lakonannya, Sehangat Asmara bersama Adi Putra. Dia yang masih dibelenggu isu perebutan hak jagaan anak bersama suami, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

"November lalu saya sudah berjaya membatalkan perintah kembali taat atau nusyuz yang difailkan oleh Aidil (suami). Sekarang ini, saya ada satu lagi saman ke atas Aidil berkenaan bayaran nafkah bulanan diri saya dan anak-anak.

"Tapi, lepas dia gagal dengan tuntutan kembali taat di Petaling Jaya, Aidil ada failkan semula kes baharu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban. Kali ini dia kemukakan permohonan cerai dan penjagaan anak.

"Bagi saya, fail sahajalah kes itu seluruh negara sekali pun, saya akan ikut rentak dia dan pertahankan hak saya. Sebagai ibu, saya akan pertahankan anak-anak saya dan sebagai isteri saya akan pertahankan hak saya. Sebelum ini dia tarik balik permohonan cerai, sekarang dia ingin bercerai pula. Kalau mahu bercerai, saya akan persoalkan apa salah saya. Saya berani sebab saya tahu bahawa saya tidak buat salah," tegas Rita tanpa banyak emosi yang tumpah usai sidang drama Cinta Terhalang di Publika, Mont Kiara, Selalu.

Rita memfailkan tuntutan nafkah daripada Aidil pada 8 November lalu dan kes itu akan disebut semula pada 23 Januari ini (Rabu).

Pada November lalu juga, Rita berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan perintah kembali taat yang difailkan oleh Aidil Zafuan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Krisis rumah tangga Rita dengan pemain bola sepak kebangsaan itu bermula apabila lelaki berusia 26 tahun itu bertindak keluar dari rumah mereka di Damansara, Kuala Lumpur ketika aktres itu pulang ke kampung halamannya di Arau, Perlis bersama anak-anak.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga pihak lelaki sehingga menyebabkan perkahwinan tersebut timbul pelbagai masalah. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang putera iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

Berbalik kepada statusnya kini yang secara rasminya masih bergelar isteri kepada Aidil, Rita tidak pernah menghukum semua lelaki sebagai sama.

"Bukan semua lelaki tidak baik. Pasti ada di luar sana yang bertanggungjawab dan menyayangi isteri masing-masing sepenuh hati. Jika pada masa akan datang ditakdirkan bertemu lelaki lain, orang itu mesti lebih menyayangi anak-anak berbanding diri saya," katanya sambil menyuarakan rasa kagum terhadap karakter Zainal Arief (Adi Putra) menerusi drama Sehangat Asmara yang akan memulakan siaran di saluran Mustika HD bermula esok.

"Walaupun mendapat tentangan keluarga, Zainal sangat cintakan isterinya Kamelia. Dia sanggup tunggu sehingga lapan tahun untuk memenangi semula hati Kamelia. Saya juga mahukan lelaki seperti Zainal Arief," katanya.

Menjadi Kamelia Najwa, Rita melakonkan watak wanita yang berdepan krisis rumah tangga dan berlawan kes perebutan anak dengan suaminya, Zainal. Seolah-olah melakonkan realiti sendiri di kaca televisyen, Rita diasak tentang keterbukaannya itu.

"Saya wanita dan ibu yang mengalami situasi yang dialami Kamelia, sudah tentu ia memudahkan saya untuk menghayati karakter. Bagaimanapun, saya mulanya sedikit kekok dengan Adi. Saya risau takut-takut dilabel gatal pula bila pegang-pegang Adi, manalah tahu," katanya ketawa tanpa menafikan kaitan karakter Kamelia dengan dirinya.

Tambah Rita: "Dalam drama itu, kami cuma bahagia masa bercinta sahaja, masuk episod kahwin, saya terus kena menangis di lokasi."

Dalam perkembangan terbaharu, Rita kini kembali berkongsi lokasi dengan pelakon Lisdawati setelah mereka bergaduh di satu lokasi penggambaran, tujuh tahun lalu. Timbul sedikit isu, apabila Rita dibidas oleh Fauzi Nawawi (suami Lisdawati) sebagai bersifat tidak matang kerana membuat permintaan agar lelaki itu tidak berada di lokasi jika ada penggambaran membabitkan Rita. Dalam drama Kerana Sarah itu, Rita melakonkan watak heroin manakala Lisdawati watak pembantu.

"Pernah ada satu babak, saya dan Lisda kena berlaga bahu. Kami tetap buat sebab Lisda dan saya sudah tiada apa-apa masalah. Masing-masing buat hal sendiri di lokasi. Tentang Fauzi, saya memang tak mahu dia ada di lokasi ketika saya ada," tutup Rita enggan membuka kisah lama.

Saleem sudah lupakan dadah

Posted:

Saleem sudah lupakan dadah

Saleem sudah lupakan dadah


JULIA BACHOK menjadi pendamping yang setia dan sumber kekuatan Saleem untuk terus berjuang dengan nyanyian di persada seni.


BUKAN mudah buat penyanyi bersuara unik, Saleem untuk terus relevan dalam dunia hiburan tanah air. Karier muziknya tidak tidak semudah rakan seangkatan, tetapi dia tetap gagah meniti kerjaya dan semua itu berkat sokongan isterinya, Juliana Bachok.

Saleem pernah mengherdik Juliana gara-gara enggan menjamin si suami berhubung satu kes dadah tidak lama dahulu. Namun dia yang mesra disapa Julia itu tetap setia. Julia punya banyak cerita srikandi moden. Dia bukan hanya isteri, tetapi dia mengurus karier seni Saleem. Dialah juga pengawal yang menentukan dengan siapa Saleem boleh bertemu atau berkawan rapat.

Berkat kesanggupan, kesabaran serta sokongan daripada ahli keluarga yang lain, ketagihan Saleem terhadap dadah yang pernah hampir memusnahkan kariernya satu ketika dahulu dapat dipulihkan.

Cerita wanita berusia 46 tahun itu juga, selama ini dia banyak menyekat pergaulan suaminya daripada berjumpa individu yang masih terlibat dengan dadah. Itu adalah cabaran paling besar baginya memulihkan Saleem daripada terus menjadi penagih.

"Jika tiada sokongan dan kesabaran sudah pasti usaha saya tidak akan menampakkan hasil untuk menjauhkan dia daripada mendekati anasir-anasir yang membolehkan dia terlibat semula dengan dadah.

"Sekarang saya berani katakan. Bagaimanapun dalam beberapa tahun ini, Saleem sudah berada pada tahap paling baik dalam hidupnya," ujar Julia kepada semasa pelancaran Konsert Gegar 5 Legenda di Istana Budaya di sini, Khamis lalu.

Pemilik nama sebenar, AM Salim Abdul Majeed suatu ketika dahulu pernah melalui detik gelap dalam hidupnya. Disebabkan ketagihan dadah dia pernah beberapa kali menjadi penghuni tirai besi dan pusat pemulihan.

Suatu masa dahulu, penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu sendiri mengakui kesilapannya memilih kawan antara faktor yang menghumban dirinya menjadi sampah masyarakat. Pada 12 Mac 2005, anak jati Kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu ini didapati bersalah memiliki satu paket plastik yang mengandungi 0.06 gram campuran heroin dan monoacetlymorphine serta satu lagi paket plastik mengandungi 0.06 gram dadah yang serupa pada Julai 2004.

Saleem pernah menjalani hukuman penjara selama lapan bulan bermula 13 Disember 2004. Dia juga diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas dibebaskan.

Sambung Julia, Saleem kini sudah boleh berdikari dan mampu menguruskan masalah dan tekanan berkaitan kerjayanya dengan baik. Menurut Julia juga, ada ketikanya dia sudah tidak perlu menemani Saleem ke mana-mana kerana suaminya itu sudah mampu menguruskan kerjayanya sendiri.

"Saya sudah boleh percayakan Saleem 100 peratus sebab itu dia sudah boleh keluar sendirian tanpa saya," ujar Julia.

Bagi Saleem pula, Julia satu-satunya insan yang datang membantu pada saat tiada siapa di sisinya.

"Kerana Julia saya kembali menjadi manusia. Saya bersyukur atas penerimaan ramai dan rezeki menyanyi tidak putus-putus," jelas Saleem yang merancang untuk mengadakan konsert jelajah di Indonesia sebagai salah satu projek besarnya pada tahun ini.

Selain jadual konsert di Istana Budaya selama tiga hari bermula 22 Februari ini, Saleem juga bakal muncul dengan single terbaru berjudul Bila Orang Dah Benci ciptaan Eddie Hamid.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved