Isnin, 7 Januari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Muslihat Johor DT

Posted:

Muslihat Johor DT

Muslihat Johor DT

FANDI (dua dari kanan) memberi taklimat kepada barisan pemainnya menjelang aksi pembuka tirai menentang Pahang malam ini.


PASUKAN tumpuan, Johor Darul Takzim (Johor DT) tidak akan menurunkan barisan terbaiknya pada perlawanan pertama Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Jurulatihnya, Fandi Ahmad berkata, belum tiba masanya untuk beliau menurunkan barisan terbaik meskipun memiliki paling ramai pemain berstatus bintang.

Jelas Fandi, tindakannya itu bukan kerana memandang rendah pasukan lawan tetapi beliau mempunyai strategi tertentu.

"Kami perlu 'simpan' barisan terbaik kami. Ini semua saya pandang dari sudut taktikal, bukan kerana kami ingin memperkecil pasukan Pahang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Meskipun tanpa barisan terbaik, Fandi tetap memberi amaran bahawa Harimau Selatan mempunyai satu misi iaitu untuk meraih kemenangan, sekali gus membawa pulang tiga mata penuh.

Katanya, Johor Darul Takzim kini mempunyai semangat berpasukan yang lebih baik berbanding ketika tewas kepada pasukan Johor pada perlawanan akhir kejohanan jemputan empat penjuru Piala Tunku Mahkota Johor, 28 Disember lalu.

Begitupun Fandi mengakui, pasukannya pasti berdepan saingan sengit kerana yakin pasukan lawan akan memberikan komitmen yang lebih apabila bertemu Johor Darul Takzim.

"Dengan dibarisi pemain-pemain ternama, sudah tentu semua pasukan akan berusaha bermati-matian untuk menewaskan kami.

"Oleh itu, saya sering menasihati pemain-pemain saya agar sentiasa berhati-hati dan malam esok (hari ini) saya ingin mereka mencipta seberapa banyak peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

Johor Darul Takzim atau dahulunya dikenali sebagai Johor FC mula mencuri tumpuan apabila menandatangani kontrak bersama barisan pemain-pemain handalan seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Mohamad Zaquan Adha Abd. Razak serta Mohamad Azmi Muslim.

Johor Darul Takzim juga berjaya mengikat dua pemain import, Daniel Gonzales Guiza yang juga bekas penjaring terbanyak La Liga serta pemain Serie A, Simone Del Nero.

Del Nero dan bekas pemain Sabah, K. Thanaraj bagaimanapun tidak akan diturunkan malam ini kerana masih cedera.

Kelantan mahu tebus kecewa

Posted:

Kelantan mahu tebus kecewa

Kelantan mahu tebus kecewa

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


KEITA Mandjou (kiri) masih belum memperlihatkan sengatnya mengemudi jentera serangan Kelantan.


SELEPAS memulakan kempen 2013 dengan agak hambar selepas tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan merebut Piala Sumbangsih, Sabtu lalu, Kelantan nekad mahu mencari kemenangan pertama musim ini apabila dijadualkan berdepan PKNS FC di Kota Bharu malam esok.

Ketua pasukan Kelantan, Badri Radzi memberitahu, dia dan rakan-rakan tidak mempunyai pilihan kecuali mendapatkan tiga mata penuh pada aksi di gelanggang sendiri untuk mendapatkan momentum selain menebus kekecewaan peminat.

Menurutnya, kekalahan kepada ATM tidak memberikan kesan dan melunturkan semangat para pemain dan menganggapnya sebagai nasib tidak menyebelahi The Red Warriors biarpun banyak peluang dicipta, namun gagal diterjemahkan dengan jaringan.

"Kita cukup serius dan bersedia untuk turun menentang PKNS malam Rabu ini. Saya cukup optimis kita mampu untuk memenangi perlawanan tersebut dan perlu mempertahankan rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Muhammad IV sejak tahun lalu.

"Bagaimanapun, menentang PKNS bukan tugas mudah. Mereka memiliki pemain berbakat, malah musim lalu kita hanya mencatat keputusan seri di sini (Kota Bharu). Saya fikir kita perlu mendapatkan kemenangan dalam perlawanan pertama ini sebagai suntikan semangat," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, PKNS berjaya mendapat khidmat bintang import Sime Darby musim lalu, Patrick Ronaldinho selain diperkuat seorang lagi pemain import, Helmi Loiseaif yang perlu dirantai pergerakan kerana kedua-dua mereka mampu memusnahkan impian pasukan.

Dalam pada itu, jeneral padang The Red Warriors itu berharap penggempur import mereka dari Guinea, Keita Mandjou mampu menemui sentuhan untuk menajamkan lagi jentera hadapan pasukannya dan menggunakan peluang yang dimiliki untuk menjaringkan gol.

Dia mengakui bahawa Kelantan kini berdepan sedikit masalah di posisi penyerang, namun percaya ia bukan suatu masalah yang besar dan mampu diatasi dalam sedikit masa lagi selepas para pemain mula merasai kehangatan cabaran Liga Super musim ini.

"Keita (Mandjou) seorang penyerang yang bagus tetapi penyudahnya belum begitu sempurna dan dia juga belum berada pada tahap terbaik.

"Sekiranya dia menggunakan peluang yang ada, saya fikir keputusan saingan Piala Sumbangsih mungkin berbeza dan kita mampu menjaringkan lebih banyak gol.

"Jadi, saya berharap dia mampu membuktikan sesuatu pada perlawanan pertama di Kota Bharu. Kita juga kembali mendapatkan khidmat Khairul Fahmi Che Mat di posisi penjaga gol manakala benteng pertahanan kita juga sudah semakin baik," ujarnya.

Sementara itu, Badri berpandangan bahawa Kelantan lebih sesuai beraksi dengan formasi 4-4-2 berbanding formasi 4-3-3 yang digunakan semasa tewas menentang ATM, Sabtu lalu dengan menggunakan khidmat Keita Mandjou sebagai penyerang tunggal.

Penyu sedia gempur Felda

Posted:

Penyu sedia gempur Felda

Penyu sedia gempur Felda

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my


SKUAD Terengganu sudah bersedia untuk menghadapi apa juga bentuk ancaman yang bakal dilancarkan oleh Felda United pada aksi pembuka tirai kempen Liga Super hari ini.


SKUAD Terengganu akan menjadikan perlawanan pembuka tirai Liga Super petang ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebagai medan merobek gawang pasukan berstatus kelab Felda United.

Dengan kehadiran bekas 'ayam tambatan' Negeri Sembilan, Jean- Emmanuel Effa Owona, skuad kendalian E. Elavarasan dijangka tidak akan memberi peluang kepada benteng pertahanan Felda United untuk meraih mata berharga di laman sendiri.

Menurut Elavarasan, Terengganu telah membawa masuk penyerang berbisa dari Cameroon, Effa Owona dalam memantapkan lagi jentera serangan mengharungi musim baharu ini.

"Dalam perlawanan pembukaan ini, kita akan mencari peluang menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh bagi memburu tiga mata penuh, sekali gus dapat meletakkan skuad dalam kedudukan selesa pada awal saingan Liga Super.

"Trio serangan Terengganu yang diketuai Effa Owona dibantu penyerang berpengalaman Abdul Manaf Mamat dan Mohd Asha'ri Samsuddin kini sudah mula memperlihatkan keserasian," ujarnya.

Elavarasan menambah, jika mampu meraih tiga mata pada aksi pembukaan ini, ia akan menjadi pencetus semangat buat semua pemain mengharungi saingan Liga Super sepanjang musim ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa prestasi dan disiplin anak-anak buahnya dilihat telah meningkat serta menunjukkan persefahaman yang baik sepanjang aksi pramusim baru-baru ini.

"Dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini, para pemain telah menunjukkan persefahaman dan komitmen yang tinggi dan situasi tersebut akan membantu mereka menampilkan aksi terbaik," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved