Isnin, 7 Januari 2013

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Puncak jenama dua anak seni

Posted:

Puncak jenama dua anak seni

Puncak jenama dua anak seni

Oleh ALIF ABU BAKAR dan HAFIZ AHMAD

TAHUN 2012 sudah seminggu melabuhkan tirainya. Segala cerita suka dan duka tersimpan dalam diari kehidupan yang pasti menjadi pedoman untuk terus melangkah. Lembaran baharu kini menanti untuk diisi dengan pelbagai ceritera.

Perjalanan hidup dua selebriti ini semakin luas apabila saban hari, pesona diri hadir dengan emosi yang terkesan melalui peranan dalam kerjaya seni.

Tanpa perlu disangkal, Elfira Loy dan Nazim Othman merupakan antara nama yang semakin kukuh kedudukannya dalam industri seni hingga diangkat sebagai personaliti unggul masa kini.

Pada bahu kedua-dua mereka juga tergalas tanggungjawab membawa jenama syarikat antarabangsa, sebagai wakil dan jurucakap produk-produk tersebut.

Stailo buat julung-julung kalinya menggabungkan dua personaliti muda tersebut atas kecemerlangan portfolio masing-masing.

Anak gadis kelahiran Kuala Lumpur itu ringkas orangnya. Tidak perlu memakai busana berlebihan dengan rona yang kontra yang menyakitkan mata, pemilik nama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 19, lebih senang tampil dengan gaya yang minimalis namun masih menyerlahkan keanggunan.

"Dalam usia yang masih remaja, saya rasa tidak perlu untuk bergaya secara berlebihan. Cukup sekadar sedap mata memandang dan tidak terlalu terdedah," ujarnya.

Namun, adalah tidak mungkin bagi Elfira untuk tampil di bawah paras sederhana kala disapa pemuja bakatnya di jalanan.

Katanya: "Memang tidak dinafikan sejak nama mula dikenali, saya amat menjaga penampilan diri. Jika dahulu, boleh saja keluar tanpa sebarang alat solek dengan baju biasa, tetapi kini saya perlu peka."

Keperluan untuk menjaga imej diri perlu selari dengan kewajipan sebagai seorang jurucakap produk kecantikan antarabangsa, Maybelline.

Aura Elfira menarik perhatian syarikat antarabangsa itu sebagai wajah baharu mereka untuk tempoh setahun sejak Mei 2012 menggantikan pelakon Liyana Jasmay.

"Oleh kerana itu, saya perlu menjaga nama dan peribadi atas dasar tanggungjawab membawa jenama syarikat," jelasnya.

Tuah kening tebal

Pada awal kemunculannya, ramai kurang senang dengan bentuk semula jadi kening yang dimilikinya. Sedaya-upaya, Elfira enggan mengubah keaslian anugerah Tuhan itu daripada 'dicantas' tangan-tangan yang kononnya berpegang kepada kitab aliran fesyen semasa.

"Saya sendiri tidak faham kenapa orang terlalu mengambil berat dengan perkara remeh sebegini. Namun pada saya, ia lebih kepada prinsip yang saya cuba mengekalkannya.

"Tetapi kalau diikutkan, kenapa perlu saya mengikut kata-kata mereka sedangkan memiliki bulu kening tebal sudah menjadi trend terkini dalam fesyen antarabangsa," ujar pelakon Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu.


ELFIRA diangkat menjadi duta Maybelline selama setahun menggantikan Liyana Jasmay.


Kehadiran Elfira pada sesi fotografi bersama Stailo ditemani bonda tercinta, Filzah Yusoff, yang setia menemani langkahnya. Bukan tidak percaya diri katanya, tapi dia berasa lebih selesa jika dikelilingi ahli keluarga.

"Sebenarnya jika ibu ada di sisi, semua tohmahan dan gosip liar boleh dielakkan. Ini kerana ibu ada bersama saya setiap masa. Timbul gosip, anda boleh tanya terus kepada ibu saya," tuturnya penuh yakin.

Menariknya, ibu Elfira turut bertanggungjawab menjaga soal pemakaian dan imej yang dibawanya.

Tambah Elfira: "Menjaga hati keluarga lebih penting. Disebabkan itu, saya perlu mendapatkan nasihat ibu terlebih dulu dalam semua perkara, termasuk penampilan."

Kuasa Nazim

Terpilih sebagai duta jam tangan antarabangsa, Ellesse, pada Disember 2011 telah membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni Nazim Othman. Langkah aktor berusia 29 tahun itu kian yakin apabila satu persatu rezeki dikurniakan kepadanya, baik dari segi tawaran lakonan mahupun kejayaan mencuri perhatian dalam lubuk fesyen tempatan.

Wajah Nazim terpampang dalam kebanyakan majalah fesyen, rata-rata menamakannya sebagai salah seorang ikon fesyen 2012 yang perlu diberi perhatian. Kebijaksanaan dan kredibiliti Nazim menjual jenamanya jelas membuahkan hasil sepanjang tahun lalu.

Tuah watak Bazli dalam drama bersiri Dejavu Di Kinabalu diikuti drama Kau Yang Terindah serta teater Tun Doktor Siti Hasmah memberi ruang bagi peminat label Zara dan H&M itu untuk membuktikan kepada khalayak bahawa kehadirannya dalam industri bukan untuk seketika.

"Saya telah berkecimpung dalam industri ini sejak tahun 2008 dan sepanjang tempoh itu, tidak pernah sekali pun saya berputus asa untuk menjejak puncak kerjaya.

"Penghargaan dan populariti hanyalah bonus dan saya masih mempunyai sasaran peribadi. Setiap tahun saya memiliki perancangan tersendiri bagi meningkatkan kerjaya dan tahun ini saya telah membuat keputusan untuk mengambil kelas seni bela diri," kongsi Nazim ketika ditemui Stailo pada sesi fotografi bersama Elfira Loy di Istana Budaya baru-baru ini.

Mengangkat T.O.P, ahli band popular Korea, Big Bang dan pengacara tempatan berdarah kacukan Iban dan Inggeris, Henry Golding sebagai rujukan dalam berfesyen, Nazim pada dasarnya gemar berpakaian ringkas dan memenuhi keselesaan diri.

"Setiap kali keluar rumah, saya pasti memakai kasut dan tiada alasan untuk menggantikannya dengan selipar atau sandal. Bagi saya, apa yang penting adalah kelihatan terurus dan bersih secara keseluruhan kerana orang mungkin menilai kita daripada apa yang mereka lihat pada luaran.

"Saya juga tidak mengehadkan diri terhadap sesuatu gaya asalkan ia masih mengekalkan imej yang bertepatan dengan personaliti dan tidak terlalu 'mencuba' dalam bereksperimen dengan pakaian," petah butir kata Nazim yang sangat merendah diri dalam setiap tindak-tanduknya.

Tidak tiru K-Pop

Mengulas kecenderungannya terhadap muzik dan gaya K-Pop, riak wajah Nazim berubah bagaikan tahu dia bakal diaju soalan demikian. Dalam nada positif, Nazim memberitahu, tanggapan orang terhadap minatnya pada elemen Korea telah disalahertikan.

Dia bukan sekadar cuba meniru penampilan lelaki Korea, bahkan turut menyerap semangat dari sudut disiplin, idea segar dan kesungguhan yang ditonjolkan penggiat seni negara tersebut.

"Pakai baju warna terang pun orang cakap kita tiru Korea padahal ia langsung tidak kena-mengena. Lelaki Malaysia sebenarnya beruntung kerana boleh menggayakan pakaian berwarna garang sepanjang tahun memandangkan kita tinggal di negara tanpa empat musim," ujar Nazim bersahaja.

Bercerita tentang pengalaman sebagai duta Ellesse, Nazim menyifatkan ia sebagai antara pemangkin impak lonjakan yang diterimanya sepanjang tahun 2012. Secara peribadi, Nazim melihat dirinya sebagai calon duta yang kerdil jika dibandingkan dengan orang lain, memandangkan namanya belum cukup kukuh dalam industri seni.


JAM tangan Ellesse memilih Nazim sebagai wajah baharu produk tersebut.


Namun, gabungan kecemerlangannya melontar ekspresi dalam gambar, skil komunikasi yang boleh dibanggakan dan caranya membawa diri menjadi pemutus jenama itu memilih Nazim. Lebih membanggakan, Nazim merupakan duta Ellesse pertama yang dipilih dari luar Hong Kong.

Ellesse membuka dimensi berbeza kepada Nazim, barangkali ia menjadi permulaan kepada penaklukannya sebagai wajah rasmi produk-produk kecantikan atau jenama pakaian popular.

Begitupun, Nazim enggan gelojoh dalam mengejar kelebihan itu semua. Dia perlu selektif dan memastikan jenama yang diwakilinya bertepatan dengan personaliti dirinya. Jika silap pilih, ia boleh menjejaskan kredibiliti dirinya dan jenama itu sendiri.

Serapan Bohemian H&M

Posted:

Serapan Bohemian H&M

Serapan Bohemian H&M

Oleh ALIF ABU BAKAR


PILIHAN rona putih (off white) dan hitam turut melatari persalinan koleksi terbaharu H&M dengan gabungan jaket berpaten rona kontra.


STAIL Bohemian pada abad ke-21 menjadi percaturan H&M sempena koleksi musim bunga 2013. Seleksi pakaian wanita jenama tersebut difokuskan pada perincian dan potongan moden yang relaks dan sporty.

Penumpuan diberikan pada penciptaan variasi dekorasi baju panas (sweatshirt), dres, legging, skirt berambu dan jaket kulit dengan cetakan timbul. Nilai sporty ketara pada baju labuh berombak dan blazer labuh yang sengaja direka besar berbanding saiz sepatutnya.

Jaket broked menggunakan teknik tampal dan cantum (patchwork) bersama dres sebelah bahu beropol menjadi pertaruhan utama koleksi kali ini.

Rona luntur dan neutral seperti kuning, jingga, kelabu dan hijau melatari kebanyakan item untuk para wanita di H&M. Material pula banyak diolah daripada kapas, linen, kulit, broked, sutera, hem dan denim.

"Saya amat menggemari stail Bohemian yang dibawa H&M kali ini. Ia gaya yang segar dan sporty serta mudah disuaipadan bersama pelbagai jenis pakaian. Paling penting, koleksi baharu ini tidak akan lapuk walaupun selepas musim bunga berakhir," ujar ketua pereka H&M, Ann-Sofie Johansson.

Mengisi almari sang arjuna pada musim bunga akan datang, H&M memilih paduan warna terang dan cetakan penuh keyakinan bagi membuka lembaran baharu dalam koleksi persalinan.

Sut kekal sebagai item utama, menerima perubahan dari segi potongan moden, mainan warna dan tekstur. Busana rasmi lelaki itu didatangkan dalam rona hijau dan putih belak (broken white), sempurna apabila dipadankan bersama baju T boxy bercetak atau kemeja bercorak sekali gus membentuk gaya Bohemian moden secara natural.

Uniform menjadi inspirasi kepada penghasilan majoriti pakaian lelaki. Ia jelas pada pinjaman penataan jerumbai pada bahu (epaulette) dan poket berfungsi. Bayangan era 1950-an pula kelihatan pada jaket besbol, jaket biker manakala seluar slack menjadi trend baharu dalam pemilihan seluar panjang.

Skaf bercetak, kasut inspirasi etnik dan kasut kanvas (espadrille) yang digabungkan dengan topi besbol pula melengkapkan koleksi penuh elemen aktif tersebut.

Hijau, biru, kuning tua (khaki), jingga dan putih kekelabuan (off white) menjadi pilihan koleksi baharu itu. Ia dibarisi fabrik ringkas seperti linen, campuran linen, dan kapas.

Koleksi musim bunga 2013 H&M tersebut akan mula menemui orang ramai bermula bulan Januari depan secara berperingkat.

Pengumuman waktu 45 darjah

Posted:

Pengumuman waktu 45 darjah

Pengumuman waktu 45 darjah


VARIASI warna ceria jam tangan Romago dengan contoh paparan antaramuka pada waktu rehat dan juga aktif.


GABUNGAN teknologi dan fungsi menjadi keutamaan kepada jam tangan yang berasal dari Switzerland, Romago dibawa khas ke Malaysia oleh pengedar tunggalnya, Crest Universe Sdn. Bhd.

Ia diperkuatkan dengan teknologi siri Superlenggera hasil ciptaan pereka Itali, Falice Bianchi Anderloni. Kepakaran itu menampilkan fleksibiliti pembuatan dan rekaan yang moden dan terkini. Melalui teknologi berkenaan, jam tangan Romago lebih ringan dengan fungsi unik 45 darjah cahaya lampu automatik.

Jam tangan ini dicipta secara khusus untuk mengenal pasti pergerakan aktif secara automatik. Dengan mekanisme sensor bina dalam, antaramuka jam yang kelihatan seumpama refleksi cermin akan bertukar lalu menunjukkan paparan waktu. Itu terjadi setiap kali pemakainya memandang jam tersebut yang disendengkan pada sudut 45 darjah di pergelangan tangan.

Diperbuat daripada besi aluminium gred tinggi, kaca pada bahagian atas adalah lutsinar merangkumi antirefleksi dan kalis silau. Ia turut dilengkapi fungsi-fungsi yang menjadi signatur Romago seperti 10 ATM. Itu membolehkannya dipakai ketika berada dalam air, pada kedalaman sejauh 10 atmosfera atau 100 meter di bawah laut.

Tidak hanya terhad pada golongan lelaki, Romago turut cantik dipakai oleh kaum wanita yang inginkan gaya yang menawan di pergelangan tangan mereka. Rekaan yang mengagumkan ini membuatkan mendapat tempahan awal daripada penggemarnya di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Crest Universe Sdn. Bhd., Ng Kok Wai berkata, jam tangan Romago menawarkan rekaan yang bergaya dan menarik. Ia menonjolkan keyakinan si pemakai dengan reka bentuk yang tiada tandingan.

"Jenama Romago masih lagi baharu dalam kalangan pencinta jam tangan tempatan dan kami amat berbesar membawa sesuatu yang baharu kepada mereka," ujarnya dalam sebuah kenyataan media.

Didatangkan dalam warna-warna yang ceria, jam tangan Romago kelihatan menarik kala menggayakannya dengan persalinan harian. Ia boleh didapati di 20 gedung jam tangan terpilih sekitar Lembah Klang pada harga antara RM280 hingga RM1,900.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved