Selasa, 1 Januari 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Chong Wei sedia tawan dunia

Posted:

Chong Wei sedia tawan dunia

Chong Wei sedia tawan dunia

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

CHONG WEI berazam untuk menamatkan kemerosotan prestasinya dengan menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Guangzhou, China Ogos depan.


JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei mampu merangkul gelaran juara pada Kejohanan Badminton Dunia di Guangzhou, China Ogos depan.

Keyakinan itu disuarakan oleh ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek.

Rashid berkata, kejohanan dunia tahun ini bakal menjadi fokus utama Chong Wei selepas gagal dalam misinya menjelmakan kilauan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik 2012 di London.

"Jika ditanya mengenai sasaran buat Chong Wei tahun ini, sudah pasti kejohanan dunia adalah fokus utamanya.

"Biarpun telah meraih pelbagai kejuaraan termasuk dalam kejohanan bertaraf Siri Super Premier dan Siri Super, Chong Wei belum lagi bergelar juara dunia. Jadi, tahun ini merupakan peluang terbaik untuk dirinya merealisasikan matlamat itu.

"Chong Wei tidak boleh berputus asa kerana peluang tetap ada. Saya percaya, dengan pengalaman yang dimilikinya, dia tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan dia bergelar juara tahun ini," kata Rashid ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sejak memegang status selaku pemain No. 1 dunia pada 2008, hanya kejuaraan dunia dan pingat emas Sukan Olimpik masih belum dinikmati oleh Chong Wei.

Mahu atau tidak dia perlu merealisasikan impiannya itu bagi meletakkan namanya sebaris dengan jaguh-jaguh badminton dunia seperti perseorangan China, Lin Dan dan Taufik Hidayat (Indonesia) yang terlebih dahulu telah melengkapkan koleksi kejuaraan mereka.

Lin Dan dan Taufik telah mencatat nama selaku juara pada Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia yang mana ia masih belum dinikmati oleh Chong Wei lagi.

Peluang untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik mungkin tipis buat Chong Wei berdasarkan faktor usianya yang semakin meningkat menjelang edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil tetapi sekurang-kurangnya gelaran juara dunia tahun ini dilihat mampu menjadi pengubat kekecewaan tersebut.

Menurut Rashid, bagi memastikan Chong Wei berada pada tahap prestasi terbaiknya sebelum turun beraksi pada Kejohanan Dunia, pemain kelahiran Pulau Pinang itu hanya akan menyertai kejohanan-kejohanan utama tahun ini.

"Faktor usia sudah tidak boleh dipandang mudah lagi oleh Chong Wei. Dia perlu menjalani latihan yang lebih berkualiti bagi memastikan kecergasan tubuh badannya sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Jika tidak, ia pasti akan memberi masalah buat dirinya sekiranya mengalami kecederaan. Kita kena sedar, usianya semakin meningkat dan jika dia mengalami kecederaan tempoh untuk pulih itu agak lambat," kata Rashid.

Mengulas mengenai kehebatan dua pemain China, Lin Dan dan Chen Long yang pasti akan membayangi Chong Wei dalam misi memburu gelaran juara dunia tahun ini, Rashid berkata: "Sebenarnya mereka semua (Chong Wei, Lin Dan dan Chen Long) tidak jauh berbeza.

"Ketiga-tiga pemain itu memiliki peluang yang sama rata untuk bergelar juara.

"Namun, dalam masa yang sama, Chong Wei juga tidak boleh memandang rendah kemampuan pemain-pemain lain terutama dari China seperti Du Pengyu dan Wang Zhengming begitu juga Kenichi Tago (Jepun) dan Simon Santoso (Indonesia).

"Mereka ini semua boleh menjadi ancaman kepada Chong Wei. Tanpa kita sedari, prestasi mereka tiba-tiba akan meningkat dalam satu-satu kejohanan yang disertai,'' ujar Rashid.

Cabaran berliku skuad hoki

Posted:

Cabaran berliku skuad hoki

Cabaran berliku skuad hoki

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my


PEMAIN hoki negara menjulang Piala Asia bagi meraikan kemenangan mereka selepas berjaya mengalahkan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir Pertandingan Hoki Remaja Asia ke-7 di Melaka pada Mei lalu.


PELBAGAI cerita suka duka telah mewarnai arena sukan hoki negara sepanjang tahun 2012.

Bagaimanapun, - Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tetap komited memartabatkan sukan hoki ke satu tahap yang lebih tinggi.

Bermula dengan kegagalan skuad kebangsaan meraih slot automatik ke Sukan Olimpik 2012 apabila tewas kepada Pakistan pada saingan akhir Sukan Asia 2010 membuatkan pasukan negara terpaksa memilih laluan sukar.

Mereka terpaksa menyertai perlawanan kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Ireland pada Mac lalu.

Ternyata harapan untuk melihat skuad kebangsaan beraksi pada pentas Sukan Olimpik seperti tahun 2000 di Sydney, Australia tidak kesampaian apabila mereka gagal melepasi perlawanan kelayakan pada bulan Mac.

Dalam pada itu, kekecewaan tidak sekadar berakhir di Dublin, sebaliknya terpalit pula kontroversi melibatkan jurulatih dan pemain sebaik pasukan itu pulang ke tanah air.

Semua berpunca apabila bekas jurulatih, Tai Beng Hai dikatakan menyalahkan disiplin pemain sebagai punca kekalahan sewaktu sesi bedah siasat dijalankan.

Bagaimanapun, masalah tersebut berjaya ditangani dengan sempurna oleh MHC, jurulatih dan pemain tanpa berlarutan panjang.

Sementara itu, berbeza pula dengan pencapaian diraih skuad remaja di bawah bimbingan jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang berjaya mencatat sejarah baharu buat sukan hoki negara.

Kejayaan menjulang Piala Remaja Asia 2012 di Melaka pada Mei lalu adalah satu pencapaian yang sangat ditagih sekali gus dapat mengubat kekecewaan ekoran kegagalan skuad senior dalam menggalas misi mereka di Dublin.

Walaupun kecemerlangan tersebut diraih oleh skuad remaja namun bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan gelaran juara Asia apabila terpaksa menewaskan pasukan handalan dunia seperti Pakistan, India dan Korea Selatan.

Lebih manis, kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj mendapat slot automatik ke kejohanan Piala Dunia Remaja di India tahun hadapan.

Setelah lebih tiga bulan bermain teka-teki, akhirnya pada penghujung bulan Ogos lalu, MHC telah mengumumkan satu nama bagi menggantikan Beng Hai dengan bekas jurulatih Ireland, Paul Revington.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama skuad hoki kebangsaan mendapatkan khidmat jurulatih asing selepas lapan tahun di bimbing jurulatih tempatan.

Kali terakhir pasukan hoki negara mendapat sentuhan 'orang luar' ialah melalui Paul Lissek dari Jerman pada tahun 2000 hingga 2003.

Tugasan antarabangsa pertama jurulatih berasal dari Afrika Selatan itu adalah pada kejohanan hoki Cabaran Juara-Juara 1 di Argentina pada November lalu dan pasukan negara meraih kedudukan keempat.

Pencapaian pasukan negara dalam kejohanan itu boleh dianggap sesuatu yang positif setelah menduduki tempat kelima pada tahun sebelumnya.

Bagi tugasan kedua, pencapaian tempat ketiga dalam Kejuaraan Hoki Trofi Asia 2012 di Doha, Qatar yang berakhir minggu lalu wajar dipuji selepas berjaya membalas dendam menewaskan China 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Walaupun mereka sekadar mengulangi skrip sama yang dilakar oleh skuad tahun lalu pada kejohanan edisi pertama di Ordos, China namun kejayaan kali ini dengan mengikat Pakistan 3-3 serta menewaskan India 5-3 dalam perlawanan peringkat kumpulan wajar dipuji.

Dengan berakhirnya tahun 2012 bermakna ranjau yang lebih besar bakal menanti bagi skuad senior dan remaja negara yang ketika ini dalam persiapan bagi menghadapi misi masing-masing.

Tahun 2013, skuad senior bakal menghadapi saingan Piala Asia yang berlangsung di Ipoh, Perak pada bulan Julai manakala pasukan remaja pula akan ke India untuk menghadapi Piala Dunia Remaja pada Disember depan.

Sabah tekad pulih maruah

Posted:

Sabah tekad pulih maruah

Sabah tekad pulih maruah

Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB
yunus.yakkub@kosmo.com.my


PASUKAN Sabah melakukan latihan kecergasan sebagai persiapan menghadapi kempen Liga Perdana musim 2013 di Stadium Likas, Kota Kinabalu kelmarin.


DIKENALI sebagai The North Borneo Football Club di awal kemunculannya, pasukan bola sepak Sabah cukup cukup sinonim dalam melahirkan nama-nama gah dalam kancah bola sepak negara.

Ia jelas terbukti sejak era 70-an apabila gandingan Hassan Sani bersama James Wong dilabel sebagai jelmaan kepada gandingan penyerang Mokhtar Dahari dan Isa Bakar.

Dua dekad selepas itu, muncul pula Matlan Marjan, pemain yang dijulang dan mendapat perhatian selepas menjaringkan dua gol ketika perlawanan persahabatan Malaysia menentang England pada tahun 1991.

Berakhirnya era Matlan, bola sepak Sabah kini kembali menjadi sebutan dengan kehadiran bintang muda paling bernilai kelahiran Bongawan, Rozaimi Abd. Rahman.

Rozaimi mencetuskan fenomena tersendiri kepada peminat tempatan selepas mencipta kejutan mengetuai senarai penjaring terbanyak kejohanan kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun di Yangon, Myanmar tahun ini.

Ketangkasan, kelincahan dan ketepatan tendangannya membolehkan Rozaimi meledak sembilan gol seterusnya meletakkannya antara penggempur baru yang digeruni saat ini sekaligus dimahkotakan sebagai Pemain Harapan Terbaik pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2012 baru-baru ini.

Cukup pada pengenalan pemain, rentetan kejayaan turut bersama Sabah apabila pernah menjadi pasukan elit dengan merangkul Piala FA pada 1995.

Tekad mahu meneruskan kegemilangan, setahun kemudian iaitu pada tahun 1996, pasukan bergelar Sabahawks itu menjulang pula Liga Perdana (kini dikenali Liga Super Malaysia).

Selain itu, Sabah juga pernah mengumpul koleksi selaku naib juara Piala Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1996, 2002 dan 2003.

Namun sejarah hanya tinggal sejarah. Musim 2012 menjadi saksi kepada kejatuhan mendadak pasukan Sabah sehingga terpaksa 'turun pangkat' untuk bersaing dalam Liga Premier pada musim depan.

Bermula dari awal musim, skuad yang asalnya dikendalikan Justin Ganai itu mempamerkan aksi tidak konsisten sehingga gagal merealisasikan sasaran Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang mahu sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Super.

Deretan kekalahan demi kekalahan yang dicatat akhirnya mencapai kemuncakknya apabila Sabahawks dibelasah pasukan Lions XII dari Singapura 9-0 di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Kekalahan itu meletakkan Sabah sebagai pasukan dikalahkan dengan jaringan paling besar pada kempen Liga Super musim 2012.

Bagi merencatkan persembahan Sabahawks, kekalahan tersebut terpaksa dibayar dengan harga yang mahal oleh ketua jurulatihnya, Justin Ganai yang direhat oleh SAFA sebelum diganti dengan penolongnya, Andrew Manjanggim.

Biarpun posisi pengendali telah bertukar tangan, namun tiada keajaiban dapat dilakukan Andrew selepas dibelasah 0-4 oleh pasukan berstatus kelab, Selangor PKNS pada hari pertama jawatan itu dipegangnya.

Dengan prestasi tidak menentu sehingga hanya mampu menduduki tangga ke-13 Liga Super mengakibatkan pasukan itu terpaksa beraksi dalam saingan playoff bagi merebut slot ke Liga Super bersama Sarawak, Kedah dan naib juara Liga Premier, Pahang.

Seolah-olah tidak 'direstui', Sabah akhirnya tersingkir ke Liga Perdana selepas tewas 0-1 kepada Kedah. Penamat yang menyedihkan dan lebih 'kasihan' Sabahawks turut terlepas saingan Piala Malaysia.

Keadaan itu seterusnya mendapat reaksi daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang jelas menyatakan kekecewaanya terhadap prestasi Sabahawks.

"Sejujurnya, memang saya akui agak terkilan terutama apabila pasukan yang disayangi ini bakal bermain di Liga Premier dan bukan lagi Liga Super.

"Namun, bagi saya, kedua-dua liga ini mempunyai persaingannya tersendiri dan memenangi sekurang-kurangnya satu piala mampu mengubati luka pada musim ini," katanya ketika berucap pada majlis suai kenal pemain skuad Sabah di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Persoalan kini, mampukah Sabah bangkit sekali gus merealisasikan hasrat pemimpin No. 1 negeri itu untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala.

Andai dilihat dari segi rekod, Liga Premier bukanlah tempat asing bagi Sabah kerana pasukan ini pernah 'bersemadi' dalam saingan itu selama lima musim bermula 2006.

"Apabila kamu (para pemain) memiliki keyakinan, sifat jujur dan amanah serta mempunyai ikatan persefahaman, kerjasama dan konsisten pastinya permainan kamu akan lebih berkualiti.

"Ia adalah kunci kepada sokongan pemain ke-12 iaitu penyokong yang akan sentiasa berada di belakang anda bagi menyemarakkan lagi semangat dalaman diri kamu.

"Di Sabah, kita sedia maklum kalau pasukan menang, menang, menang pastinya stadium akan penuh hingga jalan pun sesak. Apa penyokong mahu adalah komitmen tinggi agar pasukan yang dibentuk adalah kuat dan boleh menang," katanya.

Sehubungan itu, SAFA yang bertekad mahu memulihkan maruah tercalar itu memperkenalkan 60 peratus muka baharu termasuk lapan pemain import tempatan dan empat daripadanya adalah bintang kelab T-Team diketuai bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd. Syamsuri Mustafa.

Tiga lagi bekas pemain T-Team yang menyertai Sabah termasuk Khairul Izwan Khalid, Shahril Faizal Sharifuddin dan Wan Mohd . Aliff Wan Jasmin.

Selain itu, Mohd . Hafizulldin Mohd . Noor daripada pasukan KL Pos, Mohd . Fazilidin Khalid (Selangor), Shahril Shaari (Harimau Muda) dan bekas pemain Pahang, Wan Azwari Wan Noor.

Selain khidmat pemain tempatan, Sabah juga telah mendapatkan sentuhan dua pemain import dari luar negara iaitu penyerang antarabangsa Mali, Koh Troare selain pertahanan dari Wales, Rhys David Weston.

Seterusnya, bagi memastikan persedian lebih rapi, 16 pemain tempatan yang benar-benar mampu memberikan sumbangan mereka turut dipilih iaitu Irwan Jamil, Rosdin Wasli, Alto Linus, Shahrul Azhar Ture, Sumardi Hajalan, Julamri Muhammad, Shahrudin Radzi, Zainizam Marjan dan Juffery Omopor.

Apa pun, segala impian itu tersandar di bahu ketua jurulatih Sabah, David McCreery yang diikat kontrak selama setahun bagi mengatur strategi dan taktikal baru untuk memastikan kebangkitan Sabah dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) tahun hadapan tercapai.

McCreery ketika ditemui pada pengenalan pemain skuad Sabah baru-baru ini berkata, akan sedaya upaya membentuk pasukan yang berdaya saing dan mampu mencipta kejutan pada perebutan piala dalam Liga M.

"Apa yang penting, kita berharap pemain akan menunjukkan aksi yang lebih baik dan fokus pada setiap perlawanan serta bersungguh-sungguh agar dapat memenuhi impian Presiden Safa," katanya yang menjadi jurulatih import ke-14 membimbing Sabah.

Sementara itu, bagi pemain paling senior Sabah, Zainizam, dia bagaikan tidak sabar untuk melalui beberapa siri perlawanan persahabatan bagi menguji gandingannya bersama Koh Troare.

"Sebagai bermain di posisi penyerang, tugas kami adalah satu iaitu menjaringkan gol seberapa banyak mungkin selain membantu membuka laluan kepada pemain lain untuk menjaringkan gol juga.

"Jadi, diharapkan rangkaian saya dan dia ( Koh Troare ) nanti akan menjadi seterusnya menjadi igauan kepada pasukan lawan nanti," ujar adik kepada pemain lagenda sabah, Matlan Marjan ini.

Berlainan dengan Mohd. Syamsuri yang sanggup mencari 'angin' baru untuk beraksi bersama Sabah meskipun pasukan lamanya, T-Team berada Liga Super.

Katanya, tujuannya hanya satu untuk membantu pasukan barunya itu kembali ke kancah liga pertama negara dengan sebaik mungkin mengurangkan gawang gol dibolosi pihak lawan.

"Berada di Liga Premier, kita akan merasakan daya juang yang tinggi kerana kesemua pasukan akan mencuba habis-habisan bagi memasuki Liga Super semula," jelasnya.

Apa sekalipun, seperti kata Musa, semuanya terserah pada para pemain sendiri sama ada mahu membiarkan Sabah terus rundum atau bangkit semula sebagai pasukan disegani seperti masa dahulu.

Sabah bakal memulakan kempen Liga Premier mereka dengan melayan kunjungan KL SPA Putrajaya FC di laman sendiri pada 7 Januari sebelum berebut Piala FA dengan lawan pertamanya adalah Felda United pada 25 Januari nanti.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved