Ahad, 27 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Masa depan anak jadi motivasi

Posted:

Masa depan anak jadi motivasi

Masa depan anak jadi motivasi

SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga sudah pasti mengimpikan hubungan mereka berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Namun, hidup dalam rumah tangga pasti ada pasang surutnya. Perselisihan faham akan tetap terjadi dan ia menuntut penyelesaian yang rasional. Itulah harga yang harus dibayar jika telah akur untuk melayari bahtera kehidupan bersama-sama.

Begitupun, sepanjang melayari alam perkahwinan, setiap pasangan perlu mempunyai kesabaran dan komitmen yang tinggi. Jika tidak, masalah sekecil zarah pun boleh mencetuskan perceraian sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Walau bagaimanapun, perpisahan boleh juga terjadi dan perceraian merupakan pilihan yang paling ditakuti oleh setiap pasangan.

Nurhamizah Roslan, 26, pernah melalui detik tersebut. Dia yang berkahwin pada usia 17 tahun sama sekali tidak pernah menyangka rumah tangga yang dibina dengan lelaki yang dikasihinya kecundang di tengah jalan.

Anak jati Tanjong Karang, Selangor itu memberitahu, dia dan bekas suaminya hanya sempat menyulam cinta selama lima bulan sebelum dirinya disunting sebagai isteri pada usia muda.

Perkenalan dalam tempoh yang singkat menyebabkan dia sebenarnya tidak mengenali sikap dan hati budi suaminya dengan lebih mendalam.

Namun, atas nama cinta, perkara tersebut tidak diendahkan. Kebahagiaan alam rumah tangga Nurhamizah bagaimanapun cuma bertahan selama sebulan.

Suami yang disangkakan seorang penyayang itu mula menunjukkan belang sebenar. Lelaki itu bertukar menjadi panas baran lebih-lebih lagi jika dia meminta wang untuk perbelanjaan rumah.

Lebih malang, bekas suaminya yang bekerja sebagai atendan pemandu lori ikan itu mula malas ke tempat kerja dan didapati terlibat dengan najis dadah.

Oleh kerana memikirkan soal belanja sewa rumah, makan dan minum, Nurhamizah mengambil keputusan untuk bekerja di stesen minyak untuk menampung keperluan rumah.

Mengimbas perjalanan hidupnya itu, air mata Nurhamizah bergenang. Tiada yang lebih menyayat hati apabila mengenang dunia perkahwinan yang dilayari selama lima tahun itu.

Begitupun, sepanjang tempoh tersebut, pasangan tersebut dikurniakan seramai tiga cahaya mata lelaki.


KEBAJIKAN anak-anak menjadi fokus utama dalam hidup Nurhamizah kini.


Bekas suaminya yang kini berusia 33 tahun itu pernah bertekad untuk berubah demi menyelamatkan keluarga. Mereka sekeluarga telah berhijrah ke Teluk Intan, Perak kerana enggan bergaul dengan rakan-rakan penagih dadah, namun usaha itu tidak berbaloi.

"Di sana (Teluk Intan), dia menjadi penagih dadah tegar. Ingatkan dia akan insaf, tetapi sebaliknya," kata Nurhamizah yang mendedahkan bahawa dia pernah menolak ajakan suaminya itu untuk mencuba 'keseronokan' dadah.

Takdir menentukan perjalanan rumah tangga mereka berakhir pada pertengahan tahun 2010. Menurut Nurhamizah, dia sudah tidak tahan lagi melihat sikap suaminya yang gagal menunaikan tanggungjawab sebagai bapa dan suami dengan baik.

Berkahwin semula

Kira-kira enam bulan menjanda, Nurhamizah bertemu semula cinta dengan seorang lelaki yang dikenali sejak zaman persekolahan.

Melihatkan keadaan anak-anak kecil memerlukan kasih sayang seorang bapa, Nurhamizah memberitahu, dia sekali lagi membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Begitupun, percubaan kali kedua itu juga tidak membawa kebahagiaan. Perhubungan dengan suami keduanya hanya mampu bertahan lima bulan kerana lelaki itu juga merupakan seorang penagih dadah.

Sepanjang perkahwinan mereka, dia masih terpaksa membanting tulang untuk mencari sumber rezeki.

"Saya tidak kisah untuk bekerja tetapi apabila meminta suami menjaga ketiga-tiga anak, lain pula jadinya. Apabila pulang dari kerja, ada sahaja kesan-kesan lebam di bahagian anggota anak-anak," ungkapnya lagi.

Nurhamizah jujur meluahkan isi hatinya kini yang gusar untuk berkahwin lagi. Ternyata, pengalaman buruk yang pernah dilaluinya meninggalkan parut dalam jiwanya.

Jika diikutkan perasaan, segalanya bagaikan sudah bertemu noktah buat wanita tersebut. Dua kali gagal dalam perkahwinan cukup menghenyak harapan untuknya menghargai kehidupan.

Namun, mujur kewarasannya tidak lenyap semudah itu. Apabila mengenangkan dia memiliki anak-anak yang memerlukan pengorbanannya, Nurhamizah kembali bersemangat. Hidupnya kembali dirasakan mempunyai arah dan tujuan.

Kini, dengan menerima bantuan sebanyak RM250 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan anak-anaknya pula menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM130 sebulan termasuk bantuan berbentuk beras, tepung dan gula, Nurhamizah menyusun semula langkahnya.

Dia juga membantu ibunya berniaga secara kecil-kecilan di depan rumah.

"Kalau nak kerja di tempat lain memang susah apatah lagi tiada sesiapa yang boleh menjaga anak-anak memandangkan ibu dan adik-beradik yang lain mempunyai urusan tanggungjawab masing-masing," jelasnya lagi.

Nurhamizah mengakui, dia tidak bersedia lagi untuk berkahwin kerana tumpuannya kini adalah untuk masa depan anak-anaknya.


PERMASALAHAN dalam alam rumah tangga tidak dapat dielakkan, namun demi menyelamatkannya, setiap pasangan perlu berikhtiar sehabis baik. - Gambar hiasan.


Cekal dan tabah

Sementara itu, bagi Fatimah Abdullah, 58, selepas bercerai kira-kira 20 tahun yang lalu dia bersendirian menyara dan membesarkan ketiga-tiga anaknya.

Anak kelahiran Selangor itu menempuh pelbagai dugaan apabila seluruh tanggungjawab terhadap anak-anak beralih kepadanya selepas suaminya menceraikannya

Biarpun anggota keluarga dan rakan-rakan menyarankan kembali mendirikan rumah tangga tetapi demi anak-anak, dia menutup pintu hatinya bagi memastikan tanggungjawab memberi didikan kepada anak tidak terabai.

"Bukan mudah mendidik anak-anak secara bersendirian apatah lagi ketika itu saya kerja membajak sawah dan mengait sawit setiap hari.

"Oleh itu, saya mengetepikan soal kahwin kerana tidak mahu anak-anak tidak mendapat perhatian sepenuhnya," ceritanya.

Begitupun, jauh di sudut hati wanita itu, dia mengakui bahawa berdepan kesulitan hidup lantaran bergantung hasil jualan dan sawit sahaja. Tambahan pula, perbelanjaan semakin meningkat apabila anak-anak mula menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi.

Namun, berkat kesabaran menghadapi dugaan, akhirnya dia mampu menyara dan memberi didikan sempurna kepada anak-anaknya.

Berkat berusaha dan bertawakal kepada Yang Maha Esa, Fatimah kini boleh menarik sedikit nafas lega kerana pengorbanannya itu diberi ganjaran apabila melihat ketiga-tiga orang anaknya sudah berkelulusan universiti.

Mendepani cabaran sebagai ibu tunggal merupakan satu ujian besar buat Nurhamizah dan Fatimah.

Tanpa daya inisiatif untuk bekerja mungkin menyebabkan hidup golongan wanita dan anak-anak yang senasib dengan mereka menjadi terumbang-ambing.


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)


Sementara itu, Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Negeri Selangor, Aluwi Parman berkata, trend perceraian dari tahun 2011 sehingga tahun lalu adalah sama.

Masalah ekonomi, suami yang berkahwin lain, sikap pasangan yang berubah selepas berkahwin dan suami yang tidak bekerja adalah antara penyebab sesebuah institusi perkahwinan itu dilanda masalah dan seterusnya berlaku perceraian.

"Puncanya tetap sama. Untuk itu, setiap pasangan Islam perlu sabar dalam melayari kehidupan berumah tangga," ujarnya.

Bagi setiap permasalahan, pasti ada penyelesaian yang boleh dicapai bersama tanpa menuding jari mencari kesalahan. Biarpun perceraian adakalanya tidak dapat dielakkan, ia bukan bermakna hidup tidak oleh diteruskan.

"Walau apapun, setiap pasangan perlu berusaha sehabis baik untuk mengubah watak buruk masing-masing demi kebaikan bersama," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved