Ahad, 27 Januari 2013

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Cipta rekod demi dakwah

Posted:

Cipta rekod demi dakwah

Cipta rekod demi dakwah

Oleh MOHD. AFIQ ZULKIFLI

IMPIAN dan usaha Sirajudeen Kamal Batcha, 28, untuk mendapat pengiktirafan The Malaysia Book Of Records dengan mencipta ukiran cermin terpanjang bukanlah bertujuan untuk meraih populariti.

Sebaliknya, beliau mahu memperkenalkan kepada umum tentang seni ukiran cermin dan khat kufi yang selama ini hanya dipelopori golongan berumur.

Atas landasan itulah Sirajudeen meletakkan harapannya untuk melakar rekod individu pertama mencipta ukiran cermin terpanjang di Malaysia melalui ukiran nama-nama Allah (Asma Ul Husna) serta Allah dan Muhammad.

"Melalui projek ini, saya mahu kongsikan kepada masyarakat ukiran cermin yang masih kurang mendapat tempat dalam kalangan generasi muda kini. Pada masa yang sama, mesej yang lebih besar adalah untuk berdakwah.

"Jika pada masa kini, seni visual biasanya didominasi oleh lukisan, arca dan seramik, namun ukiran cermin ini juga merupakan salah satu cabangnya.

"Oleh itu, saya berhasrat menjadi perintis dalam penghasilan ukiran cermin ini. Saya berharap dapat mengubah persepsi masyarakat supaya ia dapat diterima dengan lebih luas suatu masa nanti," kata Sirajudeen.

Menurut Sirajudeen, ukiran cermin yang dihasilkan itu adalah melalui kaedah mengukir di belakang bahagian cermin secara songsang dengan membuang selaput aluminium perak. Seterusnya ia digosok dengan bahan kimia tertentu untuk membentuk sesuatu imej yang dikehendaki.


ANTARA koleksi ukiran cermin milik Sirajudeen yang dipamerkan di Galeri Pelita Hati, Bangsar, Kuala Lumpur sempena Pameran Urban Show tahun lalu.


"Keseluruhan proses ukiran tersebut adalah seratus peratus menggunakan kemahiran kerja tangan yang halus. Ia memerlukan ketelitian dan kesabaran bagi menghasilkan ukiran cermin yang berkualiti," katanya.

Pada ukiran cermin terpanjang yang sedang dalam perancangannya, Sirajudeen mahu mengukir setiap satu khat kufi di atas sekeping cermin dan melibatkan 102 keping cermin. Jumlah panjang ukiran cermin yang akan diukir ialah 62.18 meter iaitu selebar dua kaki (0.61 meter) setiap satu.

Kata Sirajudeen: "Jika projek ini berjaya, The Malaysia Book Of Records akan mengiktirafnya sebagai ukiran cermin terpanjang oleh individu dalam kategori Manusia dan Pencapaian.

Selain itu, sepanjang projek berkenaan dijalankan, orang ramai berpeluang untuk melihat lebih dekat proses ukiran cermin dihasilkan sehingga ia siap sepenuhnya.

Sokongan penuh

Projek ukiran cermin terpanjang tersebut dijadualkan bermula pada pertengahan Februari sehingga 21 Mei nanti.

Sehingga kini, secara teknikalnya Sirajudeen telah bersedia untuk melakukan percubaan tersebut dan sudahpun mendapat sokongan penuh daripada beberapa badan tertentu.

Sebagai contoh, Sirajudeen telah mendapat pelepasan daripada pihak rumah kreatif bagi pakar kaligrafi Islam, Karya Kufi, untuk menggunakan semula khat kufi asal Asma Ul-Husna manakala Seni Galeri Shah Alam pula memberi keizinan menjadi lokasi percubaan ukiran cermin yang akan dilakukan nanti.


SIRAJUDEEN menunjukkan antara karya menarik ukiran cermin yang dihasikannya sebelum ini.


Namun demikian, bagi merealisasikan projek tersebut, Sirajudeen memerlukan dana sebanyak RM154,000 untuk menampung kos keseluruhannya.

Justeru, beliau berharap akan ada individu atau pihak tertentu yang berminat menghulurkan sumbangan sekali gus menjayakan hasratnya itu.

"Jika ada individu yang mahu membantu saya, ukiran cermin Asma Ul-Husna serta Allah dan Muhammad ini akan menjadi miliknya.

"Pada masa sama, saya juga bercadang supaya ukiran cermin ini dipasang di Masjid Tuanku Mizan Zainal, Putrajaya kerana ia mampu menambah daya tarikan dan menjadi warisan seni kepada negara, namun itu semua bergantung kepada persetujuan pendermanya," kata Sirajudeen.

Tertarik hati

Berkongsi cerita tentang jejak beliau dalam dunia seni tersebut, Sirajudeen berkata, idea berkenaan tercetus pada tahun 2009 setelah beliau tertarik melihat seorang kawannya yang mahir membuat khat dengan menggunakan cermin sebagai hadiah perkahwinan.

"Disebabkan ukiran cermin ini masih baharu dan tidak ramai yang mahir menghasilkannya, saya membuat keputusan untuk belajar dengan secara serius.

"Mengukir di atas cermin bukanlah sesuatu yang mudah, kita perlu berhati-hati kerana ia mudah patah dan pecah," katanya yang mengambil masa dua tahun untuk memahirkan dirinya.

Tambah Sirajudeen, beliau memilih cermin kerana ia tahan lama dan kekal berbanding dengan seni ukiran lain yang cepat rosak.



"Meskipun menghadapi kesukaran pada awalnya, berkat kesungguhan dan latihan tanpa jemu, perkara ini akan menjadi mudah," katanya yang sebelum ini melibatkan diri dalam seni lukisan.

Menurut Sirajudeen, ukiran cermin yang diukirnya mempunyai maksud tertentu bergantung kepada gambar yang diambil.

"Sebagai contoh, ukiran cermin Mahkamah Besar Pulau Pinang membawa erti dalam sebuah kehidupan keadilan menjadi matlamat utama.

"Ukiran jalan di hadapan bangunan mahkamah tersebut pula memberi makna hidup mesti diteruskan walaupun setiap manusia mempunyai cabaran.

"Laluan yang berbeza pula diterjemahkan melalui mod pengangkutan iaitu ada yang berbasikal, berkereta ataupun bermotosikal," ulas Sirajudeen berfalsafah.

Selain itu, Sirajudeen menjelaskan cermin juga sangat unik untuk dijadikan ukiran kerana ia begitu sinonim dan dekat dalam kehidupan harian.

"Kita sering mendengar istilah dalam bahasa Melayu iaitu 'cermin diri'. Ia merujuk sebagai medium untuk kita kembali menilai diri sendiri dengan melakukan muhasabah supaya kita kembali ingat kepada Tuhan," katanya.

Gerak tari BBoy pilihan juri

Posted:

Gerak tari BBoy pilihan juri

Gerak tari BBoy pilihan juri

Oleh NIZHA PERIASWAMY


BARISAN pemenang Pertandingan Tarian Gatsby Musim Ke-5 bergambar kenangan bersama pihak penganjur dan juri jemputan.


WALAUPUN hanya berlatih gerak tari signatur peribadi, BBoy, dalam masa tujuh hari, Teoh Pitt Den, 24, berjaya mendahului para peserta Pertandingan Tarian Gatsby Musim ke-5 baru-baru ini.

Pelajar animasi digital One Academy, Pulau Pinang itu mengakui walaupun latihan yang dilakukan agak singkat, namun gerak tari Bboy yang dihasilkan untuk lagu genre sentimental menyumbang markah tinggi.

"Saya menerapkan gerakan BBoy dalam sebuah lagu sentimental yang mungkin sukar dilakukan orang lain. Lagipun, kebanyakan gerak tari BBoy saya cipta sendiri," kata Pitt Den yang menarik perhatian juri dan penonton dengan gerakan tangan, hayunan badan dan paparan keseimbangan badan yang menakjubkan.

Acara tahunan yang menjadi platform untuk menyerlahkan bakat tari dalam kalangan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi ini dipercayai antara yang paling berpengaruh di Asia.

Pencarian penari-penari dalam kalangan pelajar yang berlangsung pada 19 Januari lalu di gelanggang luncur ais di Sunway Pyramid, Petaling Jaya menyaksikan persaingan antara 10 finalis dari seluruh negara.

Tuah memihak kepada Pitt Den, apabila beliau menjuarai pertandingan pusingan akhir sekali gus memenangi hadiah utama wang tunai bernilai RM2,000. Pitt Den turut ditawarkan kos perjalanan yang ditanggung sepenuhnya untuk bersaing dengan pemenang dari tujuh negara peserta yang lain dalam Pertandingan Tarian Gatsby Peringkat Akhir Asia yang dijangka diadakan di Tokyo, Jepun pada 2 Mac ini.

Menaruh harapan

"Saya akan memulakan latihan tidak lama lagi dan bersedia menemui para peserta di Jepun. Buat masa sekarang, saya akan mengekalkan gerak tari BBoy sebagai gerakan utama," katanya yang menaruh harapan untuk menjadi juara di negara matahari terbit itu.

Dalam pada itu, pemenang hadiah kedua pula terdiri daripada kumpulan Funk P yang disertai dua orang penari, Leong Wei Lun, 23, dan Wong Bin Huei, 23, masing-masing penuntut dari Kolej Segi, Kuala Lumpur dan Universiti Multi Media (MMU), Melaka. Mereka memenangi wang tunai bernilai RM1,000 dan pelbagai produk Gatsby. "Pertandingan yang diadakan sangat sengit dan kami akur sebagai pemenang kedua. Kini, kami akan terus menari bagi memenuhi aktiviti semasa," kata Wei Lun.


SELAKU juara, Pitt Den (empat dari kanan) berpeluang mewakili Malaysia dalam Pertandingan Tarian Gatsby Peringkat Akhir Asia di Tokyo, Jepun pada 2 Mac ini.


Kumpulan Vanity Crew yang terdiri daripada Teresa Lee, 23, Chong Shau Thin, 20 dan Phin Jia Xin, 20 meraih tempat ketiga. Ketiga-tiga pelajar Kolej Segi, Sarawak itu membawa pulang wang tunai RM500 dan pelbagai produk Gatsby.

Ahli kumpulan tersebut, Jia Xin, mahu kumpulan Vanity Crew terus menyertai pelbagai pertandingan tarian lain dan meningkatkan kemahiran sebagai penari profesional.

Tahun ini turut menyaksikan peningkatan rekod penyertaan dari seluruh negara. Aliran pengundian juga meningkat sebanyak 30 peratus berbanding tahun lalu.

Ini membuktikan populariti Pertandingan Tarian Gatsby juga telah meningkat dalam kalangan pelajar-pelajar Malaysia yang meminati seni tarian.

Legasi kejayaan

Penari Malaysia, khususnya peserta Pertandingan Tarian Gatsby mempunyai kedudukan yang tersendiri di Asia. Hal ini dibuktikan oleh Rebounce Crew yang pernah memenangi Anugerah Penggayaan pada Peringkat Akhir Asia 2012.

Pihak penganjur, Mandom Malaysia Sdn. Bhd., berharap peserta Malaysia dapat meneruskan legasi kejayaan pemenang pertandingan sebelum ini iaitu Jackson Chua dan Alex Poppin Rex selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2009.

Juara Peringkat Akhir Asia bakal menikmati peluang melancong secara percuma ke salah satu daripada lapan negara yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Tarian Gatsby.

"Berdasarkan sambutan yang semakin meningkat setiap tahun, kami yakin Pertandingan Tarian Gatsby Musim Ke-5 berjaya menarik minat kalangan pelajar Malaysia dan seluruh rantau ini," kata Presiden, Mandom (M) Sdn. Bhd., pengedar eksklusif produk Gatsby, Daniel Chin.

Pertandingan serantau yang dianjurkan Gatsby terbuka kepada pelajar-pelajar Asia dari Hong Kong, Indonesia, Korea, Malaysia, Singapura, Taiwan, Thailand dan Jepun.

Sejak tahun 2008, idea asal pertandingan ini adalah untuk membolehkan para pelajar dari negara yang terlibat menunjukkan kreativiti dan keghairahan tarian secara bebas.


TARIAN BBoy Pitt Den berjaya memukau para juri untuk dinobatkan sebagai juara musim kelima pertandingan ini.


Pemenang dalam sesi uji bakat terdahulu melayakkan diri memasuki pertandingan akhir secara automatik manakala bagi peserta yang lain, pihak penganjur memuat naik video tarian Pertandingan Tarian Gatsby di laman sosial Facebook.

Peserta yang memperoleh undian Like terbanyak dalam Facebook juga diberi peluang memasuki Pertandingan Akhir Malaysia.

Bagi memudahkan penonton menonton semula tarian-tarian yang dipersembah sepanjang Pertandingan Tarian Gatsby Musim Ke-5 menerusi laman web www.gatsby.com.my/dance atau laman GATSBY Dance Competition Malaysia di Facebook boleh ditonton.

Panel juri terdiri daripada penari selebriti terkenal yang diterbangkan khas dari Jepun, Fishboy dan Charisma Kantaro. Juri tempatan pula terdiri daripada iaitu Boojae Fadzil dari Floor Fever dan Fellest Yan daripada kumpulan Royal Phantom Crew.

FishBoy ialah salah seorang penari tersohor di Jepun, mula melibatkan diri dalam Pertandingan Tarian

Insentif buat pemilik kediaman

Posted:

Insentif buat pemilik kediaman

Insentif buat pemilik kediaman


UNIT contoh kediaman BSP Skypark bakal memberi idea tentang tata rias dalaman mahupun konsep gaya hidup kepada pembeli berpotensi.


PEMAJU hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS), hari ini melancarkan BSP Skypark, projek pembangunan bertingkat tinggi pertama dan berkembang pesat di bandar perumahan baharu, Bandar Saujana Putra (BSP), Puchong, Selangor.

BSP Skypark merangkumi 689 unit kediaman kediaman berservis dan 32 unit kedai untuk keperluan pembeli rumah kali pertama, keluarga muda dan pelabur yang berharap untuk menyewakannya pada masa hadapan.

Kediaman berservis pada harga mampu milik dari RM399,900 itu mempunyai keluasan binaan kasar dari 1,004 kaki persegi (93.3 meter persegi) dengan susun atur tiga bilik tidur dan dua bilik mandi yang selesa. Sementara itu, unit kedai pula mempunyai binaan kasar seluas 1,030 kaki persegi (95.7 meter persegi) dan ke atas dijual pada harga bermula dari RM618,000.

"Tumpuan sektor hartanah telah beralih kepada rumah mampu milik dan dengan pengalaman yang dimiliki dalam sektor ini, LBS akan terus menyokong inisiatif kerajaan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah," kata Pengarah Urusan LBS, Datuk Lim Hock San.

Kemudahan

Ciri utama BSP Skypark adalah keluasan meliputi 0.526 hektar. Pemilik pasti akan tertarik dengan pelbagai kemudahan yang terdapat di BSP Skypark, antaranya surau, dewan serba guna dan taman permainan.

Kemudahan rekreasi seperti kolam renang, jakuzi, trek joging, gimnasium, bilik mainan dan bilik yoga juga disediakan bagi penghuni yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Selain itu, ruang membaca, kafe dan tempat berjemur disediakan untuk menggalakkan pengisian harian yang santai dalam kalangan penghuni BSP Skypark, sekali gus merawat mereka daripada tekanan kehidupan kota.

Dijadual siap menjelang tahun 2016, pembeli hartanah boleh mengunjungi Galeri Jualan BSP yang dibuka setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang. Di situ, pengunjung boleh melihat unit pameran BSP Skypark dan pelbagai projek pembangunan lain di Bandar Saujana Putra.

LBS juga menawarkan insentif menarik kepada pembeli kediaman termasuk rebat lapan peratus untuk setiap unit yang dibeli dan tambahan tujuh peratus diskaun kepada pembeli Bumiputra.

Pembeli unit kediaman BSP Skypark dikecualikan yuran guaman untuk perjanjian jual beli (SPA) dan surat ikat perjanjian bersama (DMC) selain caj perkhidmatan percuma untuk satu tahun. Bagi unit kedai, pembeli Bumiputra akan dapat menikmati diskaun 10 peratus dan dikecualikan yuran guaman untuk SPA dan DMC

Berkembang maju

Dilancarkan pada 2003, Bandar Saujana Putra adalah bandar perumahan baharu yang sedang berkembang maju, dengan lebih 6,600 buah rumah telah siap dibina dan 1,700 rumah yang sedang dibangunkan.

Antara kemudahan lain yang akan dibangunkan di kawasan tersebut ialah taman rekreasi dan kemudahan bersukan, sekolah, kolej, kedai, balai polis dan stesen minyak.

Bandar perumahan serba lengkap itu terletak kira-kira 30 kilometer ke tenggara pusat bandar raya Kuala Lumpur, menjadikan lokasinya dekat dengan kebanyakan bandar-bandar utama di Lembah Klang. Pada masa yang sama, ia cukup terpencil untuk menawarkan ketenangan dan ketenteraman.

Akses mudah menerusi lebuh raya utama termasuk LDP, ELITE, Shah Alam, Kesas, SKVE dan Maju Expressway (MEX) menjadikan perjalanan ke Petaling Jaya, Sunway, USJ, Subang Jaya, Seri Kembangan, Shah Alam, Cyberjaya dan Putrajaya hanya mengambil masa beberapa minit.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 011-1233 0566 / 011-1233 0577 / 011-1233 0655 atau kunjungi www.lbs.com.my.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved