Rabu, 23 Januari 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Medium dakwah orang muda

Posted:

Medium dakwah orang muda

Medium dakwah orang muda

SEPERTI yang diriwayatkan Ahmad, Bukhari dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: 'Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat.'

Hadis itu menjelaskan supaya setiap Muslim menyebarkan dakwah walaupun dengan cara yag ringkas. Dengan erti kata lain, pengetahuan yang banyak bermula daripada penyampaian yang sedikit.

Dakwah pada hari ini tidak lagi mengikut pendekatan konvensional sebaliknya telah diperluas dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian zaman.

Namun, konsep dakwah masih lagi berpaksi kepada cara yang diguna pakai oleh Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW iaitu menggunakan kata-kata (bil lisan), tulisan (bil kitabah) dan contoh amal baik (bil hal).

Sejak akhir-akhir ini, konsep bil kitabah menjadi sasaran para ulama dengan mengeluarkan buku-buku ilmiah dan fiksyen yang berteraskan genre Islamik bagi menarik minat pembaca terutama golongan remaja.

Dalam lambakan novel-novel cinta sesama insan dalam pasaran sejak sekian lama, pembaca diberi variasi penceritaan yang lebih menjurus kepada cinta kepada Yang Maha Esa.

Ia dapat dilihat menerusi karya-karya novelis tersohor dari negara sebarang, Habiburrahman El Shirazy hingga mencetus fenomena kepada pergerakan dan perkembangan genre Islamik. Novel-novel beliau diangkat ke layar perak dan drama sebagai perlambangan kepada kejayaan genre yang sering diabaikan kepentingannya.

Tempias kehangatan novel dan filem dalam genre Islamik turut terasa hingga ke negara-negara jiran termasuk di Malaysia.

Perlahan-lahan ia mula meresapi industri penulisan dan perfileman tempatan melalui naskhah-naskhah berteraskan cinta kepada agama. Ia ditambah lagi dengan kewujudan stesen televisyen seperti AlHijrah dan Astro Oasis yang mengangkat martabat Islam dalam rancangan dan program terbitan mereka.

Kerancakan dakwah melalui seni ini dipandang sebagai peluang kepada para pendakwah untuk turut sama dalam menyampaikan ajaran Islam dengan lebih telus dan mudah difahami.

Akhlak peribadi

Penyampaian dakwah daripada golongan bijak pandai agama ini perlu kerana mereka lebih memahami dan menjadi kepakaran mereka untuk mengulas sesuatu permasalahan.

Menurut penulis novel Warkah Cinta Berbau Syurga, A. Ubaidillah Alias, niatnya menulis kerana rasa tanggungjawab untuk memberi fahaman dan pengajaran kepada pembaca agar lebih peka kepada maruah dan akhlak peribadi yang tinggi.

"Dorongan paling kuat untuk saya menulis kerana terasa tersinggung dengan segelintir sikap pengkarya yang tidak peka dengan sensitiviti agama.

"Mereka cuba membuat karya berbentuk Islamik, namun akhirnya mesej yang cuba disampaikan tidak kesampaian, sehinggakan ada yang memperlekehkan ajaran Islam itu sendiri," ujarnya ketika ditemui di KL Sentral baru-baru ini.


SEBAHAGIAN pelajar yang mengikuti kelas menyalin semula al-Quran peribadi di Yayasan Restu.


Graduan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir itu menjelaskan, perubahan bidang kerjaya daripada bidang agama kepada dunia penulisan novel dan skrip dianggap sebagai cabaran yang perlu ditempuh untuk memastikan prejudis terhadap agama Islam dapat terhakis.

Minatnya untuk menulis berputik sejak usia remaja. Beliau mula aktif menulis cerpen-cerpan fiksyen ketika berumur 15 tahun.

"Saya belajar menulis cerpen dengan ramai mentor antaranya Nazmi Yaakub, kemudian belajar menulis novel dengan beberapa rakan seperti Khusyri Amiza.

"Alhamdulillah, Allah memberi peluang kepada saya mengembangkan bakat dalam penulisan skrip melalui tunjuk ajar daripada Ummu Hani Abu Hasan Morad dan Mior Hashim Manap," imbasnya.

Konflik cinta

Buku pertama beliau, Sekudus Nur Ilahi diterbitkan pada tahun 2006 merupakan sebuah naskhah grafik Islamik mengenai konflik cinta antara dua insan berlainan agama. Novel kedua iaitu Warkah Cinta Berbau Syurga diterbitkan pada tahun 2008 membawa perubahan dalam karier penulisan A. Ubaidillah apabila naskhahnya itu diadaptasi ke dalam drama TV 12 episod.

"Perkembangan drama dan filem dalam genre Islamik sekarang amat menggalakkan apabila semakin ramai mencuba untuk menerbitkan sebegini.

"Saya melihat ia sebagai satu peralihan yang amat baik memandangkan penonton lebih mengangkat watak-watak antagonis sebagai hero mereka. Orang kita masih belum dapat menerima watak seorang ulama yang menjadi ketua dalam organisasi besar," ujarnya.

Memilih konsep cinta, A. Ubaidillah beranggapan ia lebih mudah menarik perhatian golongan muda dalam penyampaian cerita namun diselitkan dengan nilai-nilai agama yang menjadi teras kepada keseluruhan penceritaan.


SALAH satu babak yang terdapat dalam drama Warkah Cinta yang dilakonkan oleh Heliza Helmi dan Imam Muda Nazrul Izwan.


Drama Warkah Cinta yang ditayangkan di stesen televisyen AlHijrah mendapat respons yang sangat memberangsangkan hingga ia dilanjutkan dengan jalan cerita baharu.

"Ia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan kerana drama Islamik terbitan produksi tempatan juga mampu menarik minat orang ramai yang selama ini hanya dihidangkan genre sedemikian dari drama negara jiran," ujar pengarah, Mior Hashim Manap melalui produksi miliknya, Al-Kahfi Pictures.

Skrip yang ditulis sendiri oleh Ubaidillah sebenarnya mahu dijadikan dalam medium filem tiga tahun lepas. Namun ia tidak dapat direalisasikan kerana beberapa kekangan yang menghalang impian itu.

"Apabila produksi membawa cerita berunsur Islamik, mereka hanya dipandang sepi tanpa diberi sebarang bantuan," ujar Mior Hashim yang pernah berlakon di bawah arahan Seniwati Saadiah melalui filem Ceritamu Ceritaku.

Selain kekuatan jalan cerita, drama itu turut dibantu dengan pemilihan pelakon yang berkarisma untuk menghidupkan setiap watak.

Satu tanggungjawab

"Kita memang ramai pelakon yang berkaliber, namun ia sangat berbeza jika diberi kepada mereka yang arif tidak kira dalam atau luar kamera," ujarnya. Ia merujuk kepada pemilihan Imam Muda Nazrul Izwan yang diberi watak utama dalam drama Warkah Cinta digandingkan bersama Heliza Helmi.

"Memang terdapat perbezaan jika menggunakan pelakon yang memahami setiap butir bicara yang diucapkan. Malah, lakonan mereka lebih menyakinkan melalui pengucapan dan kefahaman dalam agama," jelasnya.

Mengakui agak sedikit terlambat menampilkan cerita dalam genre Islamik, perjuangan Mior Hashim bukan kerana permintaan atau trend semasa.

"Ia merupakan tanggungjawab saya sebagai seorang pengarah untuk menerbitkan cerita yang mampu membawa kebaikan kepada orang yang menonton."

Perjalanan Mior Hashim tidak terhenti dengan hanya satu naskhah sahaja kerana beliau akan muncul dengan karya-karya baharu. Antaranya Cinta Kun Fayakun, Cinta Dan Wahyu dan beberapa judul yang masih dalam pertimbangan.

Harapan Mior Hashim, drama-drama genre Islamik tidak sekadar menjadi ikutan sementara sahaja malah perlu diteruskan sebagai medium dakwah kepada golongan belia khususnya.

Medium teknologi dekati anak muda

Posted:

Medium teknologi dekati anak muda

Medium teknologi dekati anak muda


MASJID Quba masjid tertua di dunia ini simbol perkembangan dakwah Islam dari Mekah ke Madinah.


LAMAN sosial yang menjadi medium komunikasi harus diguna pakai oleh setiap pendakwah untuk mendekati pengguna yang rata-ratanya golongan muda. Cara berdakwah pada masa kini tidak lagi bergantung kepada komunikasi secara berdepan kerana medium teknologi itu juga mampu menyebarkan fahaman agama dengan lebih berkesan.

Pensyarah Fiqh Semasa, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd. Izhar Ariff berkata, konsep berdakwah juga perlu selari dengan arus modenisasi menggunakan teknologi komunikasi sebagai medium.

"Konsep ini disokong oleh ramai pemikir-pemikir Islam.

"Antaranya termasuklah Dr. Abdul Karim Zaidan yang menyatakan, seorang pendakwah perlu lebih kreatif dengan menggunakan kaedah-kaedah yang ada," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya UKM Bangi baru-baru ini.

Penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter boleh diaplikasikan dengan berkongsi pandangan agama, hadis-hadis dan ayat-ayat al-Quran. Melalui cara ini, pengguna akan lebih memahami agama Islam dengan lebih mudah.

"Jika mereka mempunyai masalah atau kemusykilan agama, soalan tersebut boleh terus diajukan kepada pakar agama dan seterusnya mendapat respons pada kadar segera," jelasnya.

Namun, jika ia melibatkan perkara-perkara berkaitan akidah yang memerlukan penjelasan lanjut, seharusnya persoalan tersebut diajukan secara bersemuka dengan para ulama.

Peralihan konsep berdakwah ini tidak bercanggah dan meninggalkan kaedah yang diterapkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat kerana ia tetap berlandaskan syariat dan rujukan kitab suci al-Quran.

"Pada zaman itu, konsep bahasa sastera menjadi medium dakwah kepada seluruh umat kerana al-Quran yang diturunkan mempunyai darjat dan bahasa yang sangat tinggi," ujar Mohd. Izhar yang turut bertindak sebagai penceramah dan pengacara dalam beberapa program televisyen tempatan.

Kehebatan al-Quran

Kehebatan al-Quran jelas terbukti hingga mampu mengubah hati bengis Saidina Umar Al-Khatab lalu sujud menyembah Allah. Umar yang tersentuh dengan keindahan dan ketinggian bait-bait bahasa dalam Surah Taha ayat satu hingga lapan, memeluk Islam selepas mendengar bacaan daripada adiknya, Fatimah.


MAJLIS ilmu salah satu medium dakwah yang masih mendapat sambutan dan relevan pada masa kini.


Kerancakan program pendidikan dan drama-drama mengenai Islam turut membantu meningkatkan kefahaman dan kesedaran agama Islam kepada masyarakat.

"Saya amat berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh Pengerusi TV AlHijrah, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor yang mengambil berat dengan program-program dalam stesen TV itu.

"Beliau memastikan setiap program dan drama yang ke udara perlu mematuhi syariat Islam termasuk hal-hal berpakaian," jelas beliau.

Melalui penguatkuasaan tersebut, semakin banyak penerbit hadir dengan projek berteraskan agama Islam. Mengambil contoh Erma Fatima, Pierre Andre dan Mior Hashim Manap yang ligat memperjuangkan drama dalam genre Islamik.

"Kadar penontonan amat memberangsangkan terutamanya golongan muda. Ini terbukti melalui program yang dikendalikan oleh saya iaitu Rasul Yang Kata di TV9, ia mendapat sambutan yang baik daripada anak-anak muda." jelas Mohd. Izhar lagi.

Pengisian diiri

Menyentuh sambutan Maulidul Rasul sempena mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, Mohd. Izhar beranggapan masyarakat kini hanya menyambut secara zahir sahaja.

"Kita berarak, menghadiri majlis sana-sini, namun pengisian dalam diri tetap kosong. Jika kita benar-benar ingin mengikuti syariat yang ditinggalkan Rasulullah SAW, lakukan ia secara berterusan dan bukannya setakat pada satu masa sahaja.

"Lihat situasi hari ini, masjid-masjid masih kosong ditambah dengan majlis-majlis agama yang semakin berkurangan dan kurang mendapat sambutan," ujarnya.

Perkara utama yang perlu dilakukan, ujar Mohd. Izhar, ialah memakmurkan masjid seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika berhijrah dari Mekah ke Kota Madinah iaitu membina masjid.

"Masjid merupakan tempat bermusyawarah umat Islam bagi membincangkan hal-hal agama. Ia juga menjadi tempat penyatuan para mukmin untuk bersatu memartabatkan syariat Islam," katanya. - MOHAMMAD HAFIZ AHMAD

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved