Rabu, 9 Januari 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Imran lebih selesa solo

Posted:

Imran lebih selesa solo

Imran lebih selesa solo

IMRAN mahu mengharungi tahun 2013 dengan penuh semangat jitu.


PERCINTAAN yang pernah terjalin antara penyanyi Imran Ajmain dengan Siti Saerah kira-kira tiga tahun lalu sudah tersimpan dalam lipatan sejarah masing-masing.

Imran yang pernah menjalin hubungan cinta dengan adik kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza itu telah berumah tangga, manakala Imran pula terus kekal solo sehingga kini.

Sewaktu ditemui semasa majlis pelancaran single dan MTV Karaoke lagu berjudul Dikalung Kasihan menjelaskan dia seboleh-bolehnya tidak mahu lagi terus mengenang apa yang telah berlaku dahulu.

"Rasanya saya tidak perlu terus menanamkan rasa kecewa dalam diri terhadap peristiwa lalu memandangkan matlamat utama saya sekarang mahu fokus dan serius dalam kerjaya.

"Biarlah ia menjadi sebahagian daripada sejarah dalam hidup saya. Buat masa ini saya lebih selesa dengan kehidupan sekarang tanpa memiliki teman wanita," ujar penyanyi kelahiran Hougang, Singapura itu.

Ketika ditanya sama ada kegagalan percintaan lalu membuatkan dirinya sudah serik bercinta, Imran menyatakan ia bukanlah menjadi penyebab untuk dia langsung tidak menjalinkan sebarang hubungan cinta dengan mana-mana wanita.

Ujarnya, selepas putus cinta dengan Siti Saerah dahulu pernah juga dia menjalinkan percintaan dengan gadis lain. Namun begitu, hubungan mereka tidak berkekalan lama.

"Sebenarnya saya pernah bercinta dengan seorang gadis Malaysia, tetapi semakin lama kami mengenali diri masing-masing saya sedar kami tidak sesuai untuk terus menjalinkan hubungan ke peringkat yang lebih serius.

"Sejujurnya saya tidak ada masalah menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita, cuma buat masa ini saya masih lagi dalam proses mencari seseorang yang sesuai dengan diri saya," jelasnya yang bakal mencecah usia 32 tahun pada April ini.

Bagaimanapun, penyanyi berkenaan menjelaskan dia tidak meletakkan sebarang sasaran usia untuk mendirikan rumah tangga dan menganggap usia itu tidak lebih daripada sekadar angka.

"Kalau boleh saya ingin memiliki anak sebelum usia saya menjelang tua. Saya tidak mahu orang tersalah anggap dan menyangka saya menghantar cucu pula ke sekolah nanti," selorohnya.

Menurut Imran, ketika ini dia tidak mahu terlalu memikirkan sangat mengenai kehidupan peribadi dan mahu terus berusaha mengembangkan kerjaya nyanyiannya.

"Kerjaya saya sebagai penyanyi bermula agak lewat iaitu ketika usia saya sudah mencecah 26 tahun. Jadi, saya perlu berusaha dengan lebih keras kerana terpaksa bersaing dengan penyanyi yang lebih muda.

"Lagipun nyanyian merupakan sebahagian daripada kehidupan saya memandangkan banyak pengorbanan yang harus saya lalui seperti meninggalkan tanah air, keluarga dan rakan-rakan semata-mata mengejar impian menjadi penyanyi yang hebat," ujarnya.

Berhenti merokok

Ditanya mengenai kejayaan yang pernah diraihnya sepanjang tahun lalu, Imran memberitahu salah satunya ialah apabila akhirnya dia berjaya berhenti merokok.

Mengakui mula merokok sejak berusia 14 tahun, penyanyi itu menyatakan kali terakhir dia merokok adalah pada 28 Februari 2012 selepas membuat persembahan di sebuah acara di Pavilion.

"Pada tarikh tersebut saya tidak dapat menyanyi dengan sempurna kerana kurang sihat, namun saya masih tetap menerima ajakan seorang rakan untuk merokok selepas membuat persembahan.

"Kemudian setelah asyik terbatuk-batuk semasa merokok, tiba-tiba terdetik di hati saya supaya terus berhenti. Jadi, itulah kali terakhir saya merokok," jelasnya.

Ujar Imran, sebelum ini sudah beberapa kali cuba berhenti merokok, tetapi selalu sahaja gagal. Dia hanya berhenti sementara apabila kurang sihat dan akan sambung semula dua atau tiga hari selepas sembuh.

Bagaimanapun, pada peringkat awal dia merahsiakan tindakannya itu daripada pengetahuan ramai terutama peminat dan mendedahkannya selepas 100 hari.

"Menerusi laman sosial Twitter saya akan menulis 'hari pertama', 'hari kedua' sehinggalah 'hari ke-100' sehingga menimbulkan pertanyaan ramai pihak.

"Sehinggakan ada yang sangka saya sedang mengira hari untuk tarikh pelancaran album. Lebih kelakar lagi ada juga yang menyangka saya mengira hari mendirikan rumah tangga," ujarnya.

Album amal

Sempena dengan kehadiran tahun 2013, sudah terdapat beberapa perancangan yang akan dilakukan oleh Imran dalam usahanya untuk terus bertapak kukuh dalam industri nyanyian.

Antaranya, dia akan melancarkan dua buah album pada tahun ini dan salah satu daripadanya sudah pun siap sepenuhnya dan kini sedang menunggu tarikh yang sesuai untuk dilancarkan.

"Saya meletakkan judul album tersebut iaitu Alunan Kasih (Menghargai Wanita) dan mengandungi sebanyak lapan buah lagu. Ia merupakan sebuah lagu pop dan lirik-lirik lagu tersebut ditujukan khas kepada mereka yang bergelar ibu, kakak atau adik.

"Bagi saya album ini sangat istimewa kerana ia terhasil dengan kerjasama Masjid An-Nur di Woodlands, Singapura. Sebahagian daripada kos penerbitannya turut disumbangkan oleh masjid berkenaan," jelasnya.

Menurut Imran, dia juga tidak mengambil sebarang keuntungan daripada penjualan album berkenaan kerana ia akan digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan baik pulih masjid tersebut.

"Album ini saya anggap sebagai satu hadiah tersendiri kepada para peminat saya terutama yang berada di Singapura memandangkan saya kini sudah bermastautin secara tetap di Malaysia," ujarnya.

Saya tidak letak harga - Najwa

Posted:

Saya tidak letak harga - Najwa

Saya tidak letak harga - Najwa

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


NAJWA gagal membebaskan dirinya daripada berterusan dilanda gosip-gosip negatif.


PENYANYI yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku ini nampaknya tidak dapat membebaskan dirinya daripada dilanda kontroversi bersiri.

Selepas isu dirinya digelarkan sebagai anak derhaka oleh bapanya sendiri, Abdul Latif Ismail seperti yang tersiar dalam sebuah akhbar baru-baru ini, timbul pula pelbagai tanggapan negatif kepada penyanyi kelahiran YouTube ini.

Terkini, Najwa Latif, 17, terpalit lagi dengan isu bahawa dia sudah pandai meletakkan harga tertentu untuk membuat persembahan di mana-mana majlis.

Selain itu, dia juga dikatakan tidak lagi mahu membuat persembahan yang mempunyai bajet kecil di samping meletakkan syarat-syarat tertentu sebelum menerima tawaran yang memerlukan dia membuat persembahan. Turut menjadi isu apabila Najwa juga dikatakan kini sudah mempunyai teman lelaki.

Ketika ditemui selepas membuat persembahan pada Festival Pengantin Malaysia di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Najwa menjelaskan mengenai beberapa kontroversi terbaharu mengenai dirinya itu.

Kosmo!: Benarkah dakwaan bahawa Najwa sekarang sudah letak harga untuk setiap persembahan anda?

NAJWA: Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah buat begitu.

Jadi, apakah yang sebenarnya berlaku?

Saya pun tidak tahu macam mana orang boleh cakap begitu, sebab memang saya tidak pernah buat macam itu.

Berapakah nilai Najwa untuk membuat persembahan sebenarnya?

Saya tidak pernah letak sebarang harga setakat ini. Saya bukan jenis macam itu, sesiapa yang hendak jemput saya menyanyi, saya ikut bajet mereka. Kami sedia berunding, bajet RM500 pun saya ambil.

Adakah selama ini, Najwa tidak pernah meletakkan sebarang harga seperti yang dilakukan oleh kebanyakan penyanyi lain?

Ya, sesiapa yang mahu jemput saya, mereka boleh bincang, saya tiada masalah. Saya akan membuat persembahan ikut bajet mereka, jadi tidak timbul isu saya letak harga.

Mengenai kontroversi lain pula, adakah benar dakwaan bapa Najwa dalam sebuah program hiburan baru-baru ini bahawa anda menipu tidak mahu ke sekolah sebaliknya pergi tengok wayang sehingga awal pagi?

Tahun 2013 saya mahu buka buku baharu hendak lupakan perkara lepas, ini hal keluarga, saya tidak mahu cerita apa-apa.

Namun disebabkan Najwa seorang penyanyi yang sudah mencipta nama, ia telah menjejaskan nama baik anda, bolehkah jelaskan sedikit?

Apa yang boleh saya cakapkan, dakwaan itu tidak benar.

Selepas kontroversi tersebut, apakah penerimaan Najwa apabila ada peminat yang melabelkan anda seorang yang jahat?

Pada saya jahat adalah subjektif, biarlah apa orang nak cakap, cukup apabila ibu dan ayah saya tahu apa yang berlaku.

Bagaimana pula dengan gosip yang mendakwa Najwa kini sudah mempunyai teman lelaki sekarang?

Saya ramai kawan lelaki tetapi tiada yang istimewa. Saya lebih suka berkawan dengan semua orang, lagi pun ibu saya tidak galakkan lagi sebab umur saya masih muda lagi.

Adakah tahun 2013 akan ada album atau single baharu Najwa?

Saya sedang mengumpul bahan untuk album baharu. Lagu-lagu saya nanti akan berbentuk lebih matang berbanding lagu sebelum ini tetapi imej Najwa Latif masih ada.

Impian Yuvan tercapai di Malaysia

Posted:

Impian Yuvan tercapai di Malaysia

Impian Yuvan tercapai di Malaysia

Oleh NIZHA PERIASWAMY


YUVAN turut menyatakan penghargaan dan keterujaannya apabila mendapat peluang berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena konsertnya di Malaysia.


KALI pertama menjejakkan kaki sebagai penghibur di Malaysia, Yuvan Shankar Raja, 33, bukanlah satu nama baharu dalam arena muzik India.

Populariti dan kejayaan Yuvan selaku komposer dan penyanyi jelas terbukti apabila hampir semua lagu yang digubahnya iaitu untuk lebih 100 buah filem Tamil, Telegu, Malayalam, Hindi dan malah Inggeris telah menjuarai carta-carta lagu di India sekali gus di negara luar seperti Malaysia, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Buat julung-julung kali membuat persembahan di Malaysia, kemunculan Yuvan pada Festival Muzik Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMF) 2012 paling dinanti-nantikan orang ramai sejak prapelancaran program tersebut di Brickfields, Kuala Lumpur pada bulan September lalu.

Memulakan kerjaya seawal usia 16 tahun pada tahun 1996, filem pertama menampilkan karya muziknya, Aravindhan telah memperkenalkan namanya dalam arena industri muzik untuk filem India.

Selepas 16 tahun, dia menggondol pelbagai anugerah sama ada selaku komposer, penyanyi mahupun penulis lirik, Yuvan mengakui, membuat persembahan konsert di Malaysia merupakan salah satu impiannya yang menjadi kenyataan.


YUVAN tampil dalam imej Rockstar seperti mana gelaran yang diberikan kepadanya dalam industri seni muzik Tamil di India.


"Saya amat tertarik dengan respons peminat di Malaysia. Malaysia umpama rumah kedua kerana saya kerap melawat Malaysia setiap kali musim cuti," katanya.

Yuvan membuka tirai persembahannya dengan menyampaikan salah sebuah lagu runut bunyi untuk filem Blockbuster berjudul Billa 2 yang lantas meraih tepukan gemuruh daripada para peminat yang memenuhi dataran tempat letak kereta Stadium Bukit Jalil yang menjadi lokasi konsertnya.

Yuvan yang dikenali dengan gelaran Rockstar dalam kalangan penggemar muzik India turut menyampaikan lagu-lagu hitnya yang lain termasuk Yedho Ondru (Paiya), Iragai Poley (Naan Mahaan), Loosu Penne Loosu Penne (Vallavan) dan Mun Paniya (Nandha) serta sebuah lagi lagu runut bunyi filem, Blockbuster iaitu Mankatha.

Kehadiran lebih 30,000 penonton yang menyaksikan KLIMF 2012 yang bermula sejak pukul 12 tengah hari baru-baru ini mencapai kemuncak pada konsert Yuvan yang mula berlangsung pada pukul 8 malam.

Selain Yuvan, KLIMF 2012 yang mendapat sokongan penglibatan oleh 35 ahli orkestra dengan sistem muzik oleh L'Acoustics K1 ini turut membabitkan kemunculan penyanyi seperti Udit Narayan, Haricharan, Suchitra, Karthik, Shweta Pandit, Tanvi Shah, Blaaze dari India, Lady Kash & Krissy dan Shabir (Singapura), Mc Sal, Charles Bosco dan Arjun (United Kingdom) serta Dinesh Kanagaratnam, Iraj dan Krishna Mahesan (Sri Lanka).

Memeriahkan lagi KLIMF 2012 ialah pelakon-pelakon Tamil iaitu Karthi, Jiiva, Jai dan Krishna yang turut menari untuk lagu daripada filem terbaharunya, Kazhugu.

Dalam pada itu, barisan pengarah dan penerbit filem Tamil yang kelihatan adalah Vishnu Vardhan, Venkat Prabhu dan Lingusamy.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved