Khamis, 6 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Dipaksa bekerja seperti hamba abdi

Posted:

Dipaksa bekerja seperti hamba abdi

Dipaksa bekerja seperti hamba abdi

KAWASAN perumahan di Shivaji Enclave, New Delhi, India riuh-rendah dengan suara sekumpulan kanak-kanak bermain kriket dan beberapa suri rumah berbual-bual dari balkoni kediaman.

Bagaimanapun, siapa sangka di sebaliknya penempatan usang yang didiami penduduk miskin itu terletak sisi gelap hasil daripada ledakan ekonomi di negara berkenaan.

Kira-kira tiga bulan lalu, polis berjaya menyelamatkan Theresa Kerketa di salah sebuah flat dua bilik di situ.

Selama empat tahun, wanita malang itu disembunyikan oleh agensi pekerjaannya dan dipaksa menjadi pembantu rumah untuk golongan pertengahan di bandar raya itu.

"Saya dibawa berpindah-randah dari satu lokasi ke lokasi lain. Adakalanya saya tidak tahu di mana saya berada," kata Theresa, 45, yang menetap di sebuah perkampungan di Chhattisgarh, tengah India.

"Lima belas hari di sana, sebulan lagi di sini. Ejen sering memberi pelbagai alasan menyuruh terus bekerja. Saya juga tidak diberi gaji."

Theresa bukan sahaja dipukul dan dikurung oleh ejennya, malah dia juga dipaksa bekerja lebih masa serta dihalang menghubungi keluarganya di kampung.

Lebih malang, sepanjang tempoh itu, dia tidak mengetahui ayah dan suaminya telah meninggal dunia.

Polis berjaya menemuinya selepas seorang saudaranya melaporkan perkara itu kepada sebuah pertubuhan kebajikan, mengesan agensi terlibat sebelum melakukan serbuan.

Isu penderaan pembantu rumah asing bukanlah isu baharu. Sebelum ini terdapat banyak laporan mengenainya di Asia Tengah dan Asia Tenggara melibatkan pembantu rumah asing dari Afrika dan Asia.

Kisah Theresa hanya secebis daripada ribuan kisah yang melibatkan golongan pembantu rumah dan pengasuh kanak-kanak di India. Permintaan tinggi terhadapnya memaksa pihak agensi melakukan apa sahaja termasuk memperdagangkan mereka.

Keperluan pembantu rumah


WANITA-WANITA di kampung akan dijanjikan kehidupan lebih baik apabila bekerja sebagai pembantu rumah di bandar, namun akhirnya mereka bukan sahaja tidak dibayar gaji bahkan didera.


Para aktivis hak asasi wanita dan kanak-kanak serta pegawai-pegawai kerajaan berpendapat isu itu tidak akan selesai selagi tiada undang-undang khusus bagi mengawal selia agensi pekerjaan dan hak-hak pekerja domestik di negara itu yang kini mencecah 90 juta orang.

Mereka turut berpendapat, permasalahan yang semakin serius itu berkait rapat dengan ledakan ekonomi India sejak dua dekad lalu.

"Permintaan terhadap pembantu rumah meningkat seiring dengan taraf hidup rakyat. Mereka kini mampu mengupah orang untuk masak, mencuci dan menjaga anak," kata Bhuwan Ribhu dari Bachpan Bachao Andolan, pertubuhan kebajikan yang memperjuangkan nasib kanak-kanak.

Reformasi ekonomi yang bermula pada awal 90-an telah mengubah corak kehidupan sebahagian besar penduduk India. Kini, sebanyak 30 peratus daripada 1.2 bilion penduduknya merupakan golongan pertengahan dan ia dijangka meningkat kepada 45 peratus menjelang tahun 2020.

Di samping itu, peningkatan golongan wanita yang bekerja menyaksikan keperluan mendadak terhadap khidmat pembantu rumah.

Kerajaan India berkata, seramai 126,321 kanak-kanak yang bekerja dalam sektor itu berjaya diselamatkan pada tahun 2011 dan 2012, peningkatan sebanyak 27 peratus daripada tahun sebelumnya.

Para aktivis pula berkata, sekiranya ia melibatkan golongan wanita yang berusia 18 tahun ke atas, angkanya mungkin lebih tinggi.

Kadar sabitan bagi kesalahan berkaitan perdagangan manusia seperti bon buruh, eksploitasi seksual, buruh kanak-kanak dan tahanan secara tidak sah sebenarnya masih rendah iaitu sekitar 20 peratus.

Adakalanya sesuatu kes mengambil masa sehingga dua tahun sebelum dibawa ke mahkamah. Kebanyakan mereka yang diselamatkan telah pulang ke kampung halaman sukar untuk menghadiri perbicaraan di bandar akibat kesempitan hidup.

Polis juga sering menyiasat sambil lewa kerana kurang latihan dan kesedaran mengenai keseriusan jenayah itu.


KEBANYAKAN agensi pekerjaan haram beroperasi di kediaman flat-flat sekitar New Delhi bagi mengelakkan ia dikesan pihak berkuasa.


Tekanan kumpulan pejuang hak asasi serta laporan berterusan pihak media mengenai permasalahan tersebut bagaimanapun mendorong kerajaan meningkatkan pemantauan terhadap isu pembantu rumah, pelacuran dan pekerja industri.

Pada 2011, kerajaan telah menubuhkan sebuah unit khas antipemerdagangan orang di ibu pejabat polis di seluruh negara.

Pasukan itu bertanggungjawab melakukan risikan, mengumpul pangkalan data, menyiasat laporan kes kehilangan orang dan bergabung dengan pertubuhan kebajikan untuk melakukan serbuan serta menyelamatkan mangsa.

Parveen Kumari, pengarah yang bertanggungjawab mengetuai unit itu di kementerian dalam negeri berkata, seramai 1,500 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini. Rata-rata mereka bekerja sebagai pembuat batu-bata, penenun karpet dan sulaman, pelacur dan pembantu rumah.

"Kami menyedari ia merupakan isu besar disebabkan permintaan tinggi terhadap keperluan tenaga buruh di negara ini, bagaimanapun kehadiran pasukan khas ini banyak membantu," katanya.

Pelbagai laporan media mendedahkan bagaimana wanita-wanita yang berasal dari kampung itu diberikan harapan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik sebagai pembantu rumah.

Mereka sering dihantar oleh pihak agensi untuk bekerja di New Delhi dan beberapa bandar kecil seperti Noida dan Gurgaon, tetapi mereka akhirnya ditipu.

Didera dan dibiar kelaparan

Pada April lalu, seorang pembantu rumah berusia 13 tahun diselamatkan orang ramai yang mendengar dia menangis dari balkoni sebuah flat dua tingkat di kawasan Dwarka. Berita itu mendapat liputan meluas di seluruh negara.

Remaja perempuan yang berasal dari negeri Jharkhand itu dikurung selama enam hari ketika majikannya bercuti di Thailand. Dia bukan sahaja dibiarkan kelaparan, malah turut didera.

Kini dia ditempatkan di sekolah asrama kerajaan atas faktor kemiskinan keluarganya.

Beberapa kumpulan seperti Save the Children and Action Aid menganggarkan terdapat 2,300 agensi pembantu rumah di New Delhi dengan satu perenam daripadanya tidak berdaftar.


KANAK-KANAK juga sering menjadi mangsa pemerdagangan manusia kerana mereka lebih senang diperdaya.


"Sekarang banyak agensi wujud dan kami telah mendengar pelbagai kisah mengenainya, namun bukan agensi ini. Kami tidak menyimpan gaji pekerja dan mereka semua berusia 18 tahun ke atas," kata Purno Chander Das, pemilik Das Nurse Bureau yang membekalkan pembantu rumah dan pengasuh kanak-kanak dari sekitar perkampungan Tughlakabad.

Agensi miliknya berdaftar dengan pihak berkuasa, tidak seperti agensi-agensi lain yang beroperasi di bilik sewa atau flat-flat di kawasan miskin seperti di Shivaji Enclave, barat Delhi itu. Lokasi tersebut sering dijadikan transit pembantu rumah sebelum mendapat pekerjaan.

Kumpulan antipemerdagangan orang berkata, dengan komisen yuran mencecah AS$500 (RM1,515) dan komisen gaji pembantu rumah sebanyak AS$90 (RM272), pihak agensi mampu memperoleh sehingga AS$1,500 (RM4,545) bagi seorang pekerja.

Sementara itu, mangsa-mangsa seperti Theresa turut memberi amaran kepada golongan remaja di negaranya.

"Pihak agensi dan broker hanya pandai menipu. Mereka akan memperdayakan kamu sebaik tiba di bandar di mana kamu tidak mempunyai wang dan sesiapa di sana," katanya yang kini menetap bersama saudaranya di sebuah kawasan setinggan, selatan New Delhi sementara menunggu pampasan yang dijanjikan.

"Saya akan pulang dan beritahu mereka yang lain. Lebih baik tinggal di kampung, dipukul suami dan hidup miskin daripada datang ke bandar dan tetapi akhirnya menderita."

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved