Jumaat, 7 Disember 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Belum ada rezeki mengandung

Posted:

Belum ada rezeki mengandung

Belum ada rezeki mengandung

SUDAH setahun lamanya tidak kedengaran khabar mengenai penyanyi Ezlynn, 31, selepas dia mendirikan rumah tangga dengan pengurus peribadinya, Adam Fahmy Shamsudin, 36, pada 20 November tahun lalu.

Ke manakah penyanyi dan juga pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu menghilang?

Bersua dengan penyanyi Hi Hi Bye Bye itu pada majlis pelancaran Fear Factor Selebriti Malaysia yang berlangsung di Menara KH, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ezlynn mendedahkan, dia bukan menghilangkan diri.

Kata Ezlynn, dia sebenarnya telah mengurangkan aktiviti seni selepas berkahwin kerana ingin menikmati masa penuh berkualiti dengan suaminya itu, selain bercuti di beberapa lokasi sekitar Malaysia dan Asia.

Selesai bercuti, ujar Ezlynn, dia sibuk pula menjalani rakaman penggambaran program realiti TV terbaharu terbitan Astro, Fear Factor Selebriti Malaysia di Batu Cave, Selangor dan Cape Town, Afrika Selatan.

Sebulan di Jepun

"Sejak berkahwin pada 20.11.2011, kami berjanji ingin bercuti lebih lama iaitu selama setahun untuk nikmati bulan madu.

"Kami ke Tokyo selama sebulan dan tinggal di Akasaka. Memandangkan kami sudah bekerja sepanjang tahun, tidak tentu masa, kami bercadang untuk bercuti lama.

"Dua tahun lepas, kami ada bercuti di Los Angeles, Las Vegas dan San Francisco selama lebih sebulan juga. Alasannya, kalau pergi melancong dalam masa yang singkat tidak berbaloi kerana kita tidak akan mengalami betul-betul cara hidup dan pengalaman di sana," kongsi Ezlynn yang turut bercuti ke Pulau Pangkor, Perak selama dua minggu.

Bercerita tentang pengalamannya berbulan madu di Jepun, penyanyi kelahiran Ulu Kinta, Perak itu memberitahu, dia dan suami sempat mendaki gunung Fuji dan melawat taman Fuji-Hakone-Izu.

EZLYNN dan Adam mula mengikat tali perkahwinan pada 20 November tahun lepas.


Ujar pemilik nama sebenar Azline Ariffin ini, dia dan suami juga menikmati pelayaran menerusi Lake Ashi dan hanya menggunakan basikal sebagai pengangkutan selama berada di bandar raya Tokyo.

Tidak menduga, dedah Ezlynn, selama berada di Jepun dia juga menempuh pengalaman merasa gempa bumi.

"Selain itu saya dan suami gemar aktiviti berbasikal. Selama berada di bandar Tokyo kami hanya berbasikal. Ini kerana bandar Tokyo terkenal dengan pengangkutan berbasikal.

"Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah merasai suasana gempa bumi. Ketika itu kami sedang berjalan di sekitar bandar raya Shibuya, tiba-tiba terasa gegaran dan semua orang berlari keluar dari bangunan dan kedai. Kami juga mengikut arah semua orang berlari tanpa tahu hala tuju.

"Gegaran gempa bumi yang berukuran 4.5 skala Richter itu walau bagaimanapun tidak menjejaskan bangunan atau menyebabkan sebarang kecederaan," tuturnya yang juga melawat DisneySea, iaitu taman tema terbaharu selepas Disneyland dibuka di Tokyo.

Berkongsi pengalaman romantiknya bersama Adam, kata Ezlynn, disebabkan suaminya mengetahui bahawa dia suka menari, Adam telah membawanya menyertai acara tarian di Festival Bon Odori.

Pakai sut lipas

Ezlynn merupakan salah seorang daripada 30 selebriti yang menyahut cabaran Fear Factor Selebriti Malaysia.

Program yang diadaptasi daripada format program popular Fear Factor dan telah diubah suai serta diberi nafas baharu mengikut kesesuaian budaya dan kehidupan masyarakat di Malaysia itu bakal ditayangkan pada 29 Disember ini sebanyak 13 episod, setiap hari Sabtu, pukul 9 malam, di Astro Ria (saluran 104).



Berpasangan dengan salah seorang peserta program realiti masakan MasterChef Malaysia musim pertama iaitu Nik Michael Imran, Ezlynn mengakui dia gemar menyertai aktiviti lasak dan tidak gentar melakukan cabaran yang paling ditakuti olehnya iaitu memakai sut yang dipenuhi lipas.

Ditebak dengan soalan sama ada tidak timbul kebimbangan di hatinya andai kata ketika menyertai Fear Factor Selebriti Malaysia dia ditakdirkan mengandung, luah Ezlynn, disebabkan belum rezekinya untuk hamil dia lantas bersetuju menyertai program tersebut.

"Saya memang suka mencabar diri dengan menyertai aktiviti lasak.

"Sebelum sertai Fear Factor Selebriti Malaysia, kami perlu melalui proses pemeriksaan kesihatan. Tidak ada rezeki lagi untuk dapat anak, itulah sebab saya berani menyertai program ini dan tidak gentar melakukan cabaran-cabaran yang menguji ketahanan fizikal," tuturnya.

Kata Ezlynn lagi, sebelum menyertai program tersebut, setiap selebriti perlu menyatakan ketakutan mereka dan dia mengakui sangat takut pada lipas namun cabaran itulah yang perlu dilakukan olehnya.

Tambahnya, dia dibawa ke sebuah hospital lama dan di situ dia perlu tidur dan memakai sut yang dipenuhi tiga jenis lipas.

"Benda yang paling saya takut saya kena buat masa sertai Fear Factor Selebriti Malaysia. Walau bagaimanapun saya tetap lakukannya.

"Ketika pakai sut tersebut, cuma mata saya yang tidak ditutup. Saya dapat rasakan beribu-ribu ekor lipas bergerak-gerak di badan, telinga dan mulut saya," luahnya.

Buat kemunculan semula


EZLYNN dan suami menetap di Tokyo selama sebulan dan telah mengalami pelbagai pengalaman menarik sepanjang percutian mereka itu.


Mengulas mengenai kerjaya seninya, ujar Ezlynn, dia tidak lagi bersama syarikat rakaman Alibi Music, sebaliknya bergerak sendiri.

Keluar secara baik, jelas Ezlynn, ramai artis kini bergerak sendiri dan disebabkan itu dia juga mengikut langkah yang serupa.

"Sekarang saya bergerak sendiri. Saya sudah tidak bersama Alibi Music sejak bulan Mei yang lalu. Sekarang ini, Adam yang akan mengatur sendiri perjalanan karier saya," ujarnya yang mempunyai syarikat bersama suami iaitu Ezlynn Entertainment Sdn. Bhd.

Menurut Ezlynn, dia akan membuat kemunculan semula ke persada seni dengan imej baharu.

Jelasnya, jika sebelum ini dia menyanyi lagu rentak pop, kemungkinan dengan kemunculan baharu ini dia akan menyanyikan lagu yang berentak balada pula.

Masih mengumpul bahan untuk lagu terbaharunya, ulas Ezlynn, imej terbaharunya itu mungkin dapat disaksikan peminat pada pertengahan tahun depan.

Rita Ora hamil anak Kardashian

Posted:

Rita Ora hamil anak Kardashian

Rita Ora hamil anak Kardashian


Rita Ora


PERMUSUHAN yang berlaku antara penyanyi Rita Ora dengan bekas kekasihnya, Rob Kardashian masih lagi berlanjutan sehingga kedua-duanya saling membalas membuat kenyataan.

Sebelum ini Rob yang juga adik kepada selebriti Kim Kardashian itu pernah melemparkan tuduhan mendakwa Rita pernah tidur dengan 20 orang lelaki lain semasa mereka bercinta.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut lantas dinafikan Rita dengan melontarkan kata-kata kasar dan mendakwa bekas kekasihnya itu yang menyebabkan dirinya hamil.

"Selepas membuatkan diri aku mengandung, engkau terus melemparkan tuduhan yang tidak berasas dengan mengatakan ada lelaki lain yang telah meniduri aku," tegas Rita menerusi laman sosial Twitter miliknya.

Setelah beberapa tahun menjalinkan hubungan cinta, pasangan tersebut akhirnya membuat keputusan untuk berpisah dengan alasan kesibukan jadual masing-masing. Namun begitu, dengan kenyataan yang dibuat, seolah-olah seperti ada punca lain yang menyebabkan mereka berpisah.

Najwa Latif enggan aibkan keluarga

Posted:

Najwa Latif enggan aibkan keluarga

Najwa Latif enggan aibkan keluarga

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

NAJWA mahu kembali fokus terhadap kerjaya nyanyiannya tanpa memikirkan perkara peribadi.


PENYANYI Najwa Latif agak jarang dikaitkan dengan sebarang kisah kontroversi. Biarpun begitu, penyanyi kelahiran Batu Pahat, Johor berusia 17 tahun itu terpaksa akur apabila dia turut tidak dapat mengelakkan diri daripada dilanda isu sensasi sehingga dirinya diperkatakan ramai.

Baru-baru ini, sebuah akhbar telah melaporkan tentang luahan bapanya, Abdul Latif Ismail yang mendakwa Najwa telah meminggirkan dirinya sebagai seorang bapa.

Bapa Najwa juga mendedahkan anaknya itu kini sudah lalai dalam pelajaran sejak bergelar penyanyi.

Dalam kenyataan tersebut juga seolah-olah menggambarkan penyanyi muda berbakat besar itu sebagai seorang anak derhaka dan sudah mula lupa diri setelah mencipta nama dalam bidang nyanyian.

Sehubungan itu, Kosmo! menghubungi penyanyi yang popular menerusi lagu Muka Cinta Buku itu semalam bagi mendapatkan kepastian tentang isu tersebut.

Kosmo!: Najwa baru hendak membuat kemunculan semula setelah lama cuti menyanyi. Adakah Najwa kecewa apabila terdapat cerita kurang baik tentang anda yang telah dipaparkan dalam media?

NAJWA: Sama ada saya kecewa atau tidak, saya terpaksa berhadapan dengan segala apa yang berlaku. Bagaimanapun, apa yang lebih penting saya perlu terus menjadi seorang yang kuat dan bersemangat untuk menghadapi semua itu.

Dalam perkara ini, saya cuma menganggap setiap perkara yang telah terjadi ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Jadi, lebih baik sekiranya saya kembali fokus kepada kerjaya sahaja tanpa memikirkan perkara peribadi.

Najwa sudah bersedia untuk menceritakan hal yang sebenar?

Saya minta maaf kerana tidak akan memberi sebarang komen buat masa sekarang kerana isu yang timbul ini melibatkan keluarga. Kalau saya buka mulut dan bercerita, sudah tentu saya akan mengaibkan keluarga dan itulah perkara yang saya mahu elakkan sekarang.

Dengan cerita yang didedahkan itu, adakah Najwa fikir ia akan menjejaskan kerjaya dan periuk nasi anda sebagai penyanyi?

Sebenarnya saya lebih percaya bahawa setiap rezeki yang diperoleh itu semuanya telah ditentukan oleh Allah. Sekiranya terdapat sebarang tawaran membuat persembahan ditarik balik, saya anggap itu bukan rezeki dan terima dengan hati terbuka.

Apakah reaksi peminat terhadap cerita berkenaan?

Saya berasa sangat lega dan gembira kerana para peminat masih tetap menyokong saya, malah ada antara mereka yang turut memberi pandangan supaya saya tidak memberikan sebarang komen terhadap isu tersebut.

Bagaimana perasaan Najwa setelah tamat menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?

Pastinya saya sangat teruja kerana banyak perkara yang boleh saya lakukan sekarang tanpa halangan, terutamanya kembali menyambung karier nyanyian saya. Selain itu, saya kini sedang dalam proses untuk mendapatkan lesen kereta.

Apabila Najwa menyambung pelajaran nanti, apakah jurusan yang ingin diambil?

Dengan kerjaya saya sekarang ini pasti ramai yang ingat saya akan mengambil jurusan seni, tetapi sebenarnya saya telah merancang untuk belajar dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Salah satu faktor utama yang menyebabkan saya ingin mengambil jurusan tersebut kerana saya memang meminati bahasa Inggeris. Bagi saya, lebih baik saya ambil jurusan yang saya memang minat agar lebih mudah memahami setiap yang diajar.

Apakah perkembangan terbaharu Najwa sekarang?

Pada 15 Disember ini saya akan membuat persembahan pada majlis Anugerah Planet Muzik, Singapura. Seminggu kemudian saya kembali semula ke Singapura untuk menjayakan showcase Najwa Latif Live In Singapore yang akan berlangsung The Joyden Hall @ Bugis pada 21 Disember ini.

Selain itu saya juga akan mempromosikan single terbaharu berjudul Sahabat. Kemudian, saya akan menyambung semula siri jelajah ke seluruh Malaysia yang sudah bermula awal tahun ini seperti di Perak, Pahang, Melaka dan Johor. Untuk lokasi yang seterusnya masih lagi dalam peringkat perbincangan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved