Isnin, 24 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Keikhlasan Santa gembirakan si kecil

Posted:

Keikhlasan Santa gembirakan si kecil

Keikhlasan Santa gembirakan si kecil

TIDAK pernah terlintas di dalam fikiran lelaki yang berasal dari Tanjung Bungah, Pulau Pinang itu akan menjadi Santa Claus suatu hari nanti.

Segala-galanya bermula pada tahun 1998 apabila ibunya merayu-rayu kepadanya menjadi Santa Claus di sebuah majlis untuk meraikan kanak-kanak sempena sambutan Hari Krismas di Tanjung Bungah.

Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu daripada kaca mata ibunya merupakan calon terbaik kerana mempunyai ketinggian dan berat badan seolah-olah seorang Santa Claus.

Lelaki berusia 48 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Raymond memberitahu, buat permulaan dia mengakui berat hati untuk menerima tawaran tersebut kerana menyedari dia tidak mempunyai kemahiran sebagai seorang Santa.

Setelah dipujuk beberapa kali, akhirnya dia bersetuju untuk mengembirakan kanak-kanak pada majlis berkenaan tetapi hanya untuk sekali.

Tanpa membuat sebarang persediaan, Raymond mengenakan pakaian Santa yang berwarna merah, tali pinggang nipis, kasut berwarna hitam dan membawa loceng aiskrim.

Sebaik tiba di pekarangan majlis tersebut, dia mula berasa gementar.

Sebaik melangkah masuk ke majlis itu, keadaan bertukar menjadi riuh-rendah apabila kanak-kanak teruja dengan kehadirannya.

"Senyuman kanak-kanak pada majlis tersebut begitu menyentuh hati saya. Saat itu baru saya sedar menjadi Santa Claus tidak hanya memberi hadiah tetapi ia soal memberi kegembiraan kepada orang lain," katanya ketika ditemui di pusat beli-belah Pavillion baru-baru ini.

Sepanjang sesi temuramah berlangsung di sekitar ruang legar pusat beli-belah itu, Raymond yang lengkap dengan pakaian Santa Claus itu menjadi perhatian umum.

Selain kanak-kanak, golongan dewasa juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya seolah-olah dia figura terkenal dunia.

"Maaf ya, tempat seperti ini membuatkan orang ramai tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar dengan Santa Claus," katanya sambil mendukung dua kanak-kanak perempuan.

Menceritakan pengalamannya, lelaki yang berketurunan Serani itu mengakui sambutan menggalakkan daripada majlis yang disertainya membuahkan minat kepada Raymond untuk menjadi Santa Claus.

Walau bagaimanapun, tugas yang perlu digalas bukan satu perkara yang mudah biarpun kehadiran Santa Claus hanya dirai setahun sekali.


HAMPIR setengah juta penduduk dari seluruh dunia akan mengunjungi Finland.


Menurut Raymond, menjadi seorang Santa bukan sekadar menyarung sut merah dan menghulurkan gula-gula kepada kanak-kanak sebaliknya ia perlu datang daripada hati yang suci.

Dia yang mula menjadi Santa Claus di pusat beli-belah sejak tahun 1999 untuk Hari Krismas memberitahu, kerjaya itu tidak boleh diukur dengan wang ringgit tetapi ia perlu datang daripada hati yang tulus.

Berbekalkan pengalaman hampir 14 tahun, dia memberitahu, tanpa keikhlasan, tugas tersebut tidak dapat disempurnakan kerana dia perlu menghiburkan hati kanak-kanak.

Sepanjang tempoh tersebut, Raymond mengakui menempuhi pelbagai pengalaman pahit manis. Bahkan ada masa-masanya pengalaman yang dilaluinya cukup menyentuh perasaan.

Dia masih ingat lagi apabila seorang pengawal keselamatan pernah menghalang seorang kanak-kanak spastik bertemu dengannya. Keadaan itu membuatkan dia terpaksa bangun dari tempat duduknya untuk mendapatkan kanak-kanak itu semula.

"Menggembirakan kanak-kanak adalah tugas utama seorang Santa," ungkapnya yang kini mempunyai lapan helai kostum Santa Claus dan 14 set jambang yang diperoleh di sekitar Tanjung Bungah.

Santa sebenar

Cerita Raymond, kanak-kanak juga gemar 'membuli' dirinya tetapi keadaan perkara tersebut bukan satu masalah.

Mereka seringkali memasukkan tangan ke dalam karung gula-gula, menarik janggut selain mengutarakan soalan sama ada dia seorang Santa Claus sebenar atau tidak?

Dia juga sering dilontarkan soalan yang sama sepanjang masa. Saya melihat mata mereka dan bertanya kepada mereka: Adakah anda sebenar?

"Jawapannya ialah sentiasa membanggakan 'ya' dan kemudian saya memberitahu mereka jika mereka adalah nyata, maka saya juga Santa sebenar," jelas Raymond yang akan menunjukkan kad identiti Santa Claus kepada kanak-kanak yang meragui statusnya.

Raymond menjelaskan, telatah dan kerenah kanak-kanak juga umpama penawar paling mujarab. Selain di kompleks beli-belah, dia juga terpaksa mengawal perasaan ketika melawat wad kanak-kanak di hospital.


SEBAGAI Santa Claus mereka terpaksa menahan perasaan sedih ketika bertemu dengan kanak-kanak yang sakit.


Keadaan itu agak sukar tatkala melihat wajah kanak-kanak yang bertarung dengan pelbagai penyakit.

"Perasaan sebak meruntun jiwa sesiapa sahaja yang mendekati dan melihat sendiri keadaan fizikal kanak-kanak yang dihidapi penyakit seperti kanser, leukemia serta masalah pernafasan," katanya.

Begitupun, sebagai Santa Claus dia tidak menjadikan ia sebagai satu halangan untuk menggembirakan golongan berkenaan.

"Sebagai Santa, saya tidak boleh berasa sedih sebaliknya perlu mencari jalan untuk memastikan senyuman terukir pada wajah mereka," katanya yang memiliki berat badan sebanyak 120 kilogram (kg).

Ketika ditanya sama ada seseorang yang mahu menjadi Santa Claus wajib mempunyai keadaan fizikal yang gemuk, dia memberitahu, lazimnya seorang Santa Claus sememangnya sinonim dengan bentuk tubuh yang gemuk.

Sehubungan itu, dua bulan sebelum sambutan Hari Krismas, dia akan menambahkan berat badan dengan makan aiskrim.

"Daripada 80 kilogram, saya boleh menambahkan berat badan sehingga 100 kg lebih semata-mata mahu menjadi Santa Claus. Mujur dengan makan aiskrim, saya boleh gemuk,"ujarnya.

Walau bagaimanapun, selepas musim Hari Krismas berlalu, dia akan mula menjaga pemakanan supaya lebihan berat badan tidak menjejaskan kesihatan.

Menghiburkan orang

Sementara itu, seorang Santa Claus yang hanya mahu dikenali sebagai George baru sahaja berkecimpung dalam bidang itu pada tahun 2012.

Sebelum menjadi Santa dia beranggapan, tugas sebagai ikon Hari Krismas itu sekadar memberi hadiah dan menghiburkan orang lain.

Namun, selepas menjadi Santa barulah dia menyedari kesukaran tersebut.

Dalam pada itu, dia kini mendapatkan khidmat nasihat daripada golongan Santa yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan bagi memastikan segalanya lengkap ketika mengunjungi sambutan Hari Krismas.


WARGA emas juga mendapat layanan daripada Santa Claus.


"Apa yang penting, saya sentiasa mencari bahan yang sesuai dan bertanya mengenai perkara yang tidak diketahui dalam kerjaya ini,"katanya lagi.

Bagi seorang kanak-kanak, Lee Ai Chun, 8, dia sangat teruja melihat kehadiran Santa Claus di pusat beli-belah Pavillion.

"Dia (Santa) seolah-olah dalam sebuah filem. Saya tidak sangka dapat bertemu dan memegang misainya. Hari ini, saya dapat melihat seorang Santa Claus sebenar,"katanya sambil memberitahu dia menerima lima biji gula-gula.

Menurut kanak-kanak yang ditemani ibu bapanya lagi, dia juga sempat melihat apa yang dikeluarkan daripada bunjut merah yang dipegangnya.

"Sebelum ini, saya melihat dalam televisyen Santa Claus membawa karung besar tetapi lain pula hari ini kerana dia hanya memegang bunjut kecil tetapi boleh mengeluarkan gula-gula yang banyak,"tuturnya dengan penuh hairan.

Selain Ai Chun, seorang kakitangan swasta, Glory Martina Kumar, 23, memberitahu, dia tidak akan ketinggalan mengambil gambar dengan Santa Claus.

Menurutnya, walaupun telah dewasa, ia tidak menghalang untuk berbuat demikian. Saya tidak malu bergambar dengan Santa Claus biarpun terpaksa berbaris dengan kanak-kanak di pusat beli-belah,"ujarnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved