Selasa, 25 Disember 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Memori Krismas Megan, Ryan

Posted:

Memori Krismas Megan, Ryan

Memori Krismas Megan, Ryan

PENGACARA rancangan Quickie di 8TV, Megan Tan dan Ryan Matjeraie ternyata mempunyai definisi yang sama tentang sambutan Krismas.

Dua selebriti ini menganggap Krismas sebagai hari cuti yang mana ia memberi peluang kepada mereka untuk berkumpul bersama keluarga serta bertemu dengan teman-teman yang sudah lama tidak bertemu.

Baik Megan, 24, mahupun Ryan, 27, kedua-duanya mempunyai memori nakal, gembira dan sedih sambutan Krismas yang masih terpahat kukuh sehingga ke hari ini. Megan dan Ryan juga teruja berkongsi cerita mengenai sambutan Krismas mereka pada tahun ini.

Hadiah stoking Ryan

Berbual dengan Ryan, jejaka kacukan Irish, Cina dan Iban ini ternyata mengubah persepsi awal mengatakan dia sombong.

Seorang yang mudah mesra, Ryan juga mempunyai sisi kelakar yang membuatkan perkenalan baharu menjadi seperti sudah bertahun lamanya.

Lahir di Ireland dan kemudiannya membesar di Sarawak, luah Ryan, tahun ini dia tidak dapat cuti Krismas disebabkan tuntutan kerja namun tidak bermakna dia tidak menyambutnya.

"Saya kerja pada hari Krismas. Saya tidak dapat cuti, tetapi saya tetap menyambutnya bersama keluarga di Kuala Lumpur selepas habis bekerja," ujarnya.

Berada di Australia selama lapan tahun tanpa keluarga membuatkan Ryan sedar akan kenikmatan sambutan raya bersama keluarga.

Ceritanya, walaupun menyambut Krismas bersama teman-teman ketika belajar di Australia ia tetap disambut dengan meriah.

"Sambut Krismas bersama keluarga dan teman-teman adalah sangat berbeza. Jika bersama teman-teman, kami hanya makan di luar atau mengadakan barbeku, sebaliknya Krismas bersama keluarga, kami akan makan bersama dan bertukar hadiah.

"Namun, walaupun di mana saya berada dan dengan siapa saya menyambut Krismas, saya akan pastikan ia sangat istimewa buat saya," ungkapnya.

Sebagai seorang anak lelaki, Ryan mengakui, tidak pernah membantu ibunya menghias pokok Krismas.

Jujur, kata Ryan, pokok pain itu bukan akan menjadi cantik sebaliknya akan musnah di tangannya.

"Saya memang tidak pandai hias pokok Krismas. Sebelum pokok itu dimusnahkan oleh saya, baik ia dihias oleh ibu. Biasanya ibu yang menghias pokok Krismas kami setiap tahun," jelas anak kedua daripada tiga beradik itu.

Mempunyai keluarga besar yang setengah daripadanya tinggal di Ireland dan Sarawak, tutur Ryan, hanya beberapa kali dia dan sanak saudara dapat berkumpul dan selebihnya dia hanya merayakan Krismas bersama keluarga.

Tidak mengingati perayaan Krismas pada tahun bilakah ia berlaku, dedah Ryan, dia pernah menghadiahkan saudaranya sepasang stoking,

"Tidak hanya memberi hadiah di dalam kotak, hadiah Krismas juga boleh diberi dengan meletakkannya di dalam stoking. Saya pernah meletakkan beberapa helai stoking di dalam stoking besar yang tergantung untuk dihadiahkan kepada saudara saya," jelasnya sambil ketawa apabila teringat perbuatan nakalnya terhadap saudaranya itu.

Ditebak soalan sama ada dia pernah percaya dengan kewujudan Santa Claus, dedah Ryan, dia pernah percaya akan kewujudan lelaki bertubuh besar dan mempunyai janggut putih yang panjang dengan memakai pakaian berwarna merah itu ketika dia masih kecil.

"Kenapa saya percaya Santa itu wujud ketika itu, sebabnya ketika bangun pagi saya lihat susu dan biskut yang diletakkan ibu pada waktu malam sudah habis diminum dan dimakan Santa.

"Malah, terdapat satu nota dengan ucapan 'terima kasih Ryan, daripada Santa Claus', yang sebenarnya ia adalah perbuatan ibu saya!," katanya yang mengakui ketika kecil dia merupakan kanak-kanak yang suka memberontak.

Berkongsi momen Krismasnya lagi, semasa umur enam tahun, dia pernah menyatakan hasrat kepada neneknya untuk memiliki baju adi wira Batman tetapi neneknya mengatakan tidak. Akibatnya, Ryan memberontak dan menangis sepanjang hari.

"Sebenarnya nenek sudah beli dan akhirnya membuat kejutan dengan memberi baju Batman itu kepada saya ketika Krismas. Saya sangat gembira dan berharap kalau boleh mempunyai baju Batman untuk Krismas tahun ini pula," ceritanya lagi.


MEGAN dan Ryan masing-masing mempunyai kisah menarik tentang sambutan Krismas mereka.


Boxing Day bersama teman

Bagi Megan, walaupun tidak menyambut perayaan Krismas tetapi dia tetap meraikannya bersama teman-teman pada setiap tahun.

Begitupun, sambutan Krismas wanita beragama Buddha itu bersama teman-teman bukan pada 25 Disember sebaliknya pada 26 Disember.

"Pada 26 Disember itu bukan lagi digelar hari Krismas sebaliknya ia digelar hari Boxing Day. Masa itulah semua orang membuka hadiah yang mereka dapat ketika Krismas. Sebab itu hari itu digelar Boxing Day.

"Saya mempunyai ramai kawan yang menyambut Krismas. Jadi, setiap tahun mereka akan adakan pesta atau potluck. Masa itulah saya dan teman-teman dapat berkumpul dan saling bertukar hadiah.

"Biasanya kami buat 26 Disember kerana pada hari Krismas masing-masing menyambutnya bersama keluarga," jelasnya mengenai aktiviti yang dilakukannya sejak berusia 16 tahun lagi.

Tidak hanya makan dan bertukar hadiah, menurut Megan, pertemuan semula bersama teman-temannya itu turut disertai dengan pelbagai permainan yang diatur seperti charades dan taboo.

Berkongsi pengalaman pahitnya menyambut Krismas, luah Megan, dia belum lagi merasai pengalaman bermain salji ketika bercuti di luar negara.

Begitupun, bagi Megan, kebanyakan memori Krismas yang dilaluinya bersama teman-teman adalah menyeronokkan.

Ujarnya, ketika itu dia dapat bertemu semula teman-teman yang sudah lama terpisah sama ada sejak di bangku sekolah mahupun di universiti.

Mengulas mengenai pengalamannya menyambut Krismas bersama teman-teman, jelas Megan, setiap tahun dia pasti mengambil bahagian menghias pokok Krismas teman-teman beragama Kristiannya malah dia berharap suatu hari nanti dapat menghiasi pokok Krismas sendiri dan meletakkannya di dalam rumahnya.

Ditanya mengenai makanan ketika sambutan hari Krismas yang paling disukainya, kata Megan, dia suka makan ayam belanda panggang, tetapi ia sukar diperoleh dan kebanyakan teman-temannya akan menghidangkan ayam panggang di rumah mereka.

Uchop, Mar berentap

Posted:

Uchop, Mar berentap

Uchop, Mar berentap

Oleh NOR SYARIZA MUHD. TAHIR


DARI kiri: Ucop, Mar, Nadeera dan Yus telah memberi persembahan terbaik pada peringkat semi final minggu lalu. Namun hanya Ucop dan Mar yang layak ke final pada 26 Disember ini.


KEHANGATAN bahang pentas akhir konsert Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua kini semakin terasa apabila persoalan peserta yang bakal berentap pada pentas final kini sudah terjawab.

Ternyata pemilihan finalis menepati ramalan ramai apabila Mohmad Yusof Ahmad (Ucop) dan Marlleynney Fane J.L Paul (Mar) diumumkan sebagai peserta yang layak memasuki peringkat akhir.

Ia sekali gus melenyapkan impian dua lagi peserta, iaitu Yusoff Md. Shah (Yus) dan Farah Nadeera Zaini (Nadeera) untuk melangkah ke final.

Uchop yang memulakan saingan pentas separuh akhir mempertaruhkan lagu yang dipopularkan Jamal Abdillah, iaitu Seroja dengan vokal yang mantap dan bertenaga.

Bagaimanapun, Azmeer yang merupakan tenaga pengajar program itu berpendapat Uchop kelihatan sedikit gementar sehingga mengganggu nyanyiannya.

Ternyata, anak muda yang berasal dari Kuala Lumpur ini mendapat sokongan yang kuat daripada penyokongnya apabila dia berjaya mendahului peratusan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) pada peringkat awal iaitu sebanyak 86 peratus, sekali gus memastikan tempat di final menjadi miliknya apabila juri tetap turut bersepakat untuk memilihnya sebagai salah seorang finalis.

"Saya akui sedikit gementar sebentar tadi, namun saya akan cuba buat yang terbaik semasa peringkat akhir nanti.

"Sejujurnya, sudah tentu saya ingin menang, jadi saya akan memilih lagu yang bersesuaian dengan vokal saya dan memasang strategi bagi memenangi hati juri dan penonton," ujarnya yang meminati dan ingin menghidupkan kembali muzik 'rock kapak'.

Sementara itu, Mar yang sering mendapat peratusan undian tertinggi pada minggu-minggu sebelum ini berjaya memukau penonton apabila menyampaikan lagu nyanyian Agnes Monica, Karena Ku Sanggup dengan penuh penghayatan.

Lontaran vokal yang jelas dan yakin diberikannya mendapat pujian daripada juri tetap, iaitu Datuk Hattan yang menyifatkan Mar sebagai seorang peserta yang mempunyai roh dalam nyanyiannya.

Bagi Mar pula, dia sama sekali tidak menyangka akan berpeluang untuk ke pentas akhir memandangkan saingan terdekatnya, Nadeera, telah memberikan persembahan yang terbaik pada malam tersebut.

"Saya menganggap pada malam ini rezeki lebih memihak kepada saya. Saya akan cuba untuk membuat yang terbaik pada malam final nanti," ujar gadis berusia 25 tahun yang berasal dari Sabah ini.

Selaku juri profesional, Ziana Zain pula menegaskan bahawa dia berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh keempat-empat peserta pada malam itu dan menganggap kesemua peserta telah memberikan persembahan yang terbaik.

"Namun, adat pertandingan ada yang akan mara ke peringkat seterusnya dan ada yang tersingkir, jadi kepada yang layak ke final saya harapkan mereka ini akan memilih lagu yang bersesuaian dengan vokal mereka.

"Selain itu, mereka juga perlu menitik-beratkan aspek-aspek lain seperti kesihatan, tidur yang cukup serta dari segi pemakaian dan imej perlu diambil kira jika ingin menjadi seorang penyanyi yang disukai ramai," ujarnya.

Program realiti yang dihoskan oleh pengacara terkenal, Faizal Ismail ini turut menampilkan penyanyi Mas Idayu dan komposer terkenal, Azmeer sebagai penasihat vokal.

Ia masih mengekalkan format pemarkahan kepada dua bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional dan 50 peratus lagi undian penonton.

Juara akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM100,000, manakala naib juara pula akan menerima wang tunai bernilai RM30,000.

Peringkat akhir Vokal Bukan Sekadar Rupa akan berlangsung pada 26 Disember ini (Rabu), pukul 9 malam di TV3.

Vishwaroobam bernilai RM53juta

Posted:

Vishwaroobam bernilai RM53juta

Vishwaroobam bernilai RM53juta

Oleh: NIZHA PERIASWAMY


VISHWAROOBAM atau dalam bahasa Hindi, Vishwaroop menelan belanja sehingga RM53 juta dan menjalani penggambaran di Amerika Syarikat.


KEDATANGAN pelakon versatil dan hero antarabangsa, atau dikenali 'ulaga nayagan' dalam bahasa Tamil ke Malaysia baru-baru ini mendapat liputan meluas dalam kalangan media. Ini berikutan objektif serampang dua mata, iaitu selaku tetamu khas bagi Konsert Yuvan @ Muzik Antarabangsa India Kuala Lumpur (KLIMF) dan mempromosi filem bajet tertinggi dalam sejarah pembikinan filemnya, Vishwaroobam atau alih bahasa dalam Hindi, Vishwaroop.

Kamal Hassan, 58, turut ditemani salah seorang daripada heroin filem tersebut, pertama kali diperkenal di skrin besar, diimport khas dari Amerika Syarikat, iaitu Pooja Kumar, 35.

Menjalani uji bakat filem menerusi laman sosial Skype dan dipilih kerana kredibiliti beliau yang sebelum ini terlibat dalam dunia lakonan teater, peragaan dan pengacaraan, Pooja Kumar menganggap dirinya sangat bertuah.

Gauthami (rakan Kamal Hassan yang juga pereka pakaian filem itu) memilih Pooja sebelum Kamal sendiri mengenali beliau. "Saya berasa amat bertuah kerana ramai di luar sana menunggu peluang bertahun-tahun lamanya untuk bergandingan dengan Kamal Hassan," kata Pooja yang hanya mampu berbahasa Inggeris.

Namun, pelakon itu mendapat peluang membelakangkan beberapa pelakon lima bintang yang lain termasuk Sonam Kapoor dan Anuskha Sharma.

Ditanya kepada Kamal sendiri, beliau berkata: "Kami tidak memilih heroin untuk filem ini semata-mata, tetapi satu watak yang mampu membawa karakter Nirupama, watak utama Vishwaroobam," ujar pelakon yang pernah memenangi Anugerah Kebangsaan India sebanyak empat kali itu.

Melihatkan Pooja seorang warga Amerika dan watak Nirupama juga membawa latar yang sama, Kamal memutuskan Pooja sebagai heroin selain kredibiliti lain milik wanita tinggi lampai itu.

Nirupama, watak yang dibawa Pooja mengenai seorang warga India yang berkahwin dengan lelaki warga Amerika Syarikat semata-mata untuk mendapatkan kad hijau (green card). Nirupama juga mempunyai ijazah kedoktoran dalam onkologi nuklear.

Dalam pada itu, hero, Kamal pula dipercayai membawa watak seorang penari Khatak dan sebuah lagi watak yang tidak didedahkan. Bagi mendalami watak penari Khatak, Kamal yang merupakan seorang penari Bharatanatyam mempelajari seni tari baru itu dalam masa hanya sebulan.

Dirakam di beberapa lokasi termasuk pusat penceritaan itu sendiri iaitu di Amerika Syarikat, Kamal memberitahu latar Afghanistan, satu lagi lokasi pusat penceritaan utama dirakam di Jerman dan Jordan.

Enggan mengulas lanjut mengenai jalan cerita, Kamal mengakui ia sebagai filem bajet tertinggi olehnya, iaitu melibatkan kos lebih RM53 juta. Kisah ini membawa genre suspen dan berlatar keganasan dengan harapan ia mampu memikat selera penonton antarabangsa.

"Pelbagai spekulasi dan kritikan yang kami lalui sepanjang dan selepas filem ini siap. Kami minta anda sebagai penonton melihat sendiri sebelum membuat apa-apa penilaian yang mungkin boleh menggugat keamanan," katanya merujuk kepada spekulasi filem tersebut menyentuh sensitiviti Islam.

"Anda tahu, saya buat filem untuk semua, penonton antarabangsa dan tidak akan sama sekali menyerang sesiapa. Filem saya sebelum ini yang menjadi mangsa spekulasi akhirnya diterima baik," ujar Kamal Hassan yang turut diberi anugerah tertinggi kerajaan India, Padma Shree.

Dijadual akan ditayang secara serentak pada 11 Januari 2013, Viswaroobam juga merupakan filem Tamil pertama dan terawal dalam arena antarabangsa yang dirakam menggunakan format audio terkini, Auro 3D serta menggunakan rakaman digital sepenuhnya.

Bukan sahaja membawa watak utama, Kamal Hassan turut memegang tanggungjawab selaku pengarah, penerbit dan penulis skrip filem.

Selain Kamal dan Pooja, turut membintangi Vishwaroobam (Tamil) dan Vishwaroop (Hindi) ialah Andrea Jeremiah, Rahul Bose, Jaideep Ahlawat, Samrat Chakrabarti, Zarina Wahab, Nassar, Shekhar Kapur (watak khas), Miles Anderson, James Babson, Jude S. Walko dan Chris Kotcher.

Kamal turut berkongsi pengalaman bersama rakan baiknya, juga penerbit Lord of The Rings, Barrie Osborne yang berkali-kali menonton tayangan khas Viswaroobam kerana amat menyukai jalan ceritanya.

"Ia satu pengiktirafan. Terdahulu, saya fikir beliau menontonnya kerana mahu mencari kesilapan. Bagaimanapun beliau menonton kerana sukakan cara cerita itu," katanya sambil tersenyum sebelum berangkat ke konsert Yuvan @ KLIMF pada malam tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved