Selasa, 25 Disember 2012

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


CMCF kawal kandungan siaran Malaysia

Posted:

CMCF kawal kandungan siaran Malaysia

CMCF kawal kandungan siaran Malaysia

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

PADA usia 15 tahun, Shahrul (bukan nama sebenar) mengakui, dirinya ketagih untuk melayari laman web yang memaparkan kandungan pornografi seperti gambar-gambar lucah. Kecanggihan teknologi masa kini memudahkan lagi proses untuknya berbuat demikian.

Apatah lagi memiliki telefon pintar yang dihadiahkan oleh ibu bapa, membolehkan Shahrul mengakses laman tersebut tanpa sebarang kekangan. Bukan itu sahaja, komputer riba yang diletakkan di dalam bilik turut memudahkan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di ibu kota itu melayan nafsu kotornya.

"Pada mulanya saya sekadar suka-suka atas ajakan rakan sebaya. Lama-kelamaan saya terus ketagih hingga setiap hari saya pasti akan melayari laman lucah tersebut. Tambahan pula, laman yang dilayari tiada sebarang kawalan untuk menyekat pengguna daripada menontonnya," ujar Shahrul tanpa sebarang rasa kesal atau malu.

Situasi yang dihadapi Shahrul mungkin turut dialami oleh ramai remaja di negara ini. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memantau setiap anak mereka daripada terjebak dengan aktiviti tidak sihat tersebut.

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mohd. Mustaffa Fazil Mohd. Abdan, 39, berkata, bagi mereka yang mementingkan nilai kesopanan dan adab menjaga kehormatan, kandungan lucah boleh menimbulkan rasa jijik lantaran gambaran memberahikan yang bertentangan dengan hukum agama serta norma masyarakat Timur.

Pengaruh negatif


TEKNOLOGI yang semakin canggih membolehkan masyarakat memperoleh maklumat di hujung jari. - Gambar hiasan


Kandungan lucah sebenarnya mendatangkan pengaruh negatif dan merosakkan pemikiran masyarakat terutamanya generasi muda.

"Teknologi kini berkembang pesat pada kadar yang terlalu pantas. Di sebalik kelangsungan proses ini, pasti ada bahaya yang menanti. Justeru, CMCF mahu mendidik orang ramai tentang kepentingan mengamalkan kawalan kendiri dalam mengakses kandungan multimedia.

"Pada waktu dahulu, kandungan disiarkan hanya melalui radio atau televisyen, tetapi sekarang terdapat pelbagai cara penyampaian pesanan dan kandungan.

"Kami di CMCF menggesa semua pengguna multimedia supaya berwaspada apabila mengakses sesuatu kandungan multimedia," ungkap Mustaffa dalam satu temu bual bersama Kosmo! di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambahnya, dengan pengenalan TV kabel dan internet (IPTV, Video on Demand dan lain-lain), khalayak kini terdedah kepada liputan kandungan yang lebih luas. Maka, pertimbangan yang sewajarnya perlu bagi memastikan masyarakat hanya mengakses kandungan yang positif dan sihat.

"Saya amat berharap orang ramai akan memainkan peranan aktif dalam memastikan masyarakat kita khususnya generasi muda bebas daripada kandungan negatif, berbahaya dan merosakkan," ujarnya.

Badan pemantau

Mula ditubuhkan secara rasmi pada 2001, CMCF adalah sebuah badan pemantau di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang terletak di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ia bertanggungjawab menggubal dan membangunkan satu Kod Kandungan negara yang bukan sahaja untuk pengamal industri malah buat pengguna awam.

Tujuan utama Kod Kandungan adalah untuk mencadangkan garis panduan dan tatacara berhubung peruntukan kandungan melalui kawalan diri oleh industri dengan cara yang praktikal.

Selain itu, ia boleh dilaksanakan secara komersial. Pada masa yang sama, ia merangsang, mempromosi dan menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan industri.


ANTARA contoh iklan CMCF yang dipaparkan melalui medium internet dan televisyen yang bertujuan mendidik masyarakat agar lebih memahami kepentingan Kod Kandungan.


"Pada tahun 2004, Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan) telah didaftar oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan berkuat kuasa pada tahun yang sama.

"Pembangunan Kod Kandungan mengambil masa selama tiga tahun hasil kerjasama semua pihak yang menggembleng tenaga. Secara am, mereka terdiri daripada pihak yang terlibat dalam industri elektronik dan khusus bagi pengamal, pembekal serta pengguna.

"Kod Kandungan ini menggabungkan semua tatacara dan jenis panduan sedia ada dimasuk dan diolah semula. Ia membantu usaha industri komunikasi dan multimedia ke arah kawalan kendiri sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA)," jelas beliau.

Dalam usaha untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kewujudan Kod Kandungan, CMCF telah melaksanakan pelbagai program.

"Antaranya untuk menjadikan Kod Kandungan lebih mudah difahami, pihak kami telah menerbitkan buku dalam empat bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil secara dalam talian.

"Selain itu, sejak ditubuhkan lebih 11 tahun lalu, CMCF telah mencapai beberapa sasaran penting yang membantu khalayak memahami dengan jelas mengenai Kod Kandungan terutamanya dari segi mengenal pasti kandungan yang tidak sesuai dan melanggar undang-undang," katanya lagi.

Tidak ketinggalan, CMCF juga telah berjaya mewujudkan Biro Aduan serta menganjurkan program kesedaran untuk pelbagai sektor sama ada awam mahupun swasta.

Operasi Biro Aduan adalah untuk menerima dan menyelesaikan aduan yang diterima daripada orang awam. Secara purata setiap tahun terdapat lebih 100 aduan yang diterima merangkumi pelbagai medium utama seperti televisyen, internet dan radio.

Program kesedaran

CMCF turut mengadakan sesi jelajah program kesedaran di seluruh negara dengan kerjasama SKMM serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

"Di samping itu, pelaksanaan Program Kluster Sekolah pula bertujuan untuk mendidik pelajar tentang Kod Kandungan agar mereka lebih bertanggungjawab dan berhati-hati ketika memuat turun atau menghantar sesuatu kandungan yang negatif.


DUA kakitangan Biro Aduan CMCF meneliti aduan yang diterima daripada orang ramai.


"Terdapat dua fasa dalam program ini iaitu Fasa I bagi pelajar sekolah menengah manakala Fasa II untuk pelajar sekolah rendah," ujar Mustaffa lebih lanjut.

Tegas beliau, penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak kecil atau pelajar tidak patut disekat, tetapi mereka perlu dibimbing untuk menggunakannya ke arah kebaikan.

"Oleh itu, kawalan kendiri sebenarnya bermula di rumah yang memerlukan pembabitan ibu bapa secara langsung dalam memantau aktiviti pelayaran internet anak-anak.

"Sebagai contoh, ibu bapa perlu membeli perisian yang boleh menyekat anak-anak daripada menonton atau melihat kandungan lucah yang banyak terdapat di pasaran. Jangan sesekali membiarkan mereka melayari internet sendirian. Walaupun sedikit kawalan kendiri dapat diamalkan, ia mampu memberi kesan besar dalam kehidupan anak-anak," tuturnya melahirkan harapan terhadap ibu bapa agar tidak memandang remeh tentang perkara ini.

Kelangsungan hidup enggang di Thailand

Posted:

Kelangsungan hidup enggang di Thailand

Kelangsungan hidup enggang di Thailand

Oleh ADLAN JAAFAR


TERDAPAT 13 spesies enggang di Thailand, manakala 10 jenis di Malaysia.


PROF. DR. PILAI POONSWAD, 66, dari Jabatan Mikrobiologi, Fakulti Sains, Universiti Mahidol, Thailand sudah mengabdikan diri selama 34 tahun daripada keseluruhan usianya dengan melakukan kajian terhadap burung enggang.

Baru-baru ini, beliau bertandang ke Malaysia untuk berkongsi pengalaman menjalankan usaha memelihara dan memulihara burung tersebut di sana.

Menurut Pilai, burung enggang sangat istimewa kerana beberapa ciri yang dimilikinya iaitu saiznya yang besar antara 60 hingga 150 sentimeter.

Burung enggang juga merupakan sejenis haiwan yang bersifat monogami dan terkenal dengan sifat kejujuran terhadap pasangannya.

"Paling menarik ialah burung enggang betina mengurung dirinya sendiri dalam sarang manakala burung jantan memberi makan kepada pasangan," katanya dalam sebuah seminar yang diadakan di ibu pejabat Pencinta Alam Sekitar Malaysia (MNS), Kuala Lumpur.

Di Thailand terdapat 13 spesies yang boleh ditemui antaranya seperti burung enggang papan (Buceros bicornis) yang berukuran 15 sentimeter, burung enggang kedut (Aceros leucocephalus), dan burung enggang jambul putih (Berenicornis comatus).

Musuh semula jadi burung enggang ialah marten berleher kuning, musang dan binturong.

Ancaman yang sering dihadapi oleh enggang ialah kegiatan memburu, pembalakan haram dan pencerobohan kawasan hutan selain kehilangan pokok-pokok berongga yang sesuai untuk sarang enggang.

Cabaran terbesar yang dihadapi pasukan Pilai adalah untuk meyakinkan pihak pemburu berdekatan Taman Negara Budo-Sungai Padi yang berkeluasan 340 kilometer persegi agar meninggalkan pekerjaan mereka.

Siri penerangan mengenai kepentingan tidak memburu enggang dan tanggungjawab para pemburu untuk tidak memperdagang burung tersebut juga giat dijalankan.

Kemudian, para pemburu yang telah meninggalkan pekerjaan mereka diberi tunjuk ajar supaya dapat menjadi pembantu penyelidik.

"Kami juga menjalankan pelancongan eko dan program anak angkat terhadap burung enggang. Mereka juga sudah menurunkan ilmu kepada anak-anak masing-masing," ceritanya lagi.

Ubah suai pokok

Dalam pemantauan yang dilakukan dari tahun 1994 hingga 2008, bilangan pokok yang ditemui menjadi sarang burung enggang adalah sebanyak 168 batang.

Bagi memudahkan pembiakan burung enggang, pasukan Pilai dan orang kampung banyak melakukan pengubahsuaian pada pokok-pokok yang sedia ada.

Mereka menambah baik atau mengubah suai sarang dengan meletakkan platform pada rongga pokok supaya senang dihinggapi enggang jantan.

Bagi rongga yang terlalu besar, pihaknya memasang papan bagi mengecilkan sedikit, manakala bahagian lantai yang terlalu dalam, pasir diisikan ke dalam rongga itu supaya arasnya dapat dinaikkan, terang Pilai.


MARTEN berleher kuning ini merupakan antara musuh semula jadi enggang di Thailand.


Bagi pokok yang sesuai untuk dijadikan sarang tetapi tidak mempunyai rongga, pasukan pengkaji itu memasang sarang buatan supaya memudahkan enggang membiak.

Terdapat juga rongga pokok yang semakin mengecil kerana sarang burung enggang itu merupakan tumbuhan hidup yang membesar seiring masa.

"Kamu mungkin tidak kaya sekarang tetapi anak-anak anda akan berterima kasih atas apa yang telah dilakukan pada hari ini," kata Pilai ketika memberi nasihat kepada penduduk tempatan.

Sepanjang berada di Malaysia, Pilai turut mengadakan sesi taklimat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan di jabatan-jabatan perhutanan di sini.

Misi jejak kekasih lama

Posted:

Misi jejak kekasih lama

Misi jejak kekasih lama

Oleh MOHAMMAD RADZI ZOHRI


DESTINIA mengajak pemain menyempurnakan misi dalam plot cerita yang menarik.


PERMAINAN video role playing game (RPG) merupakan salah satu genre yang mungkin mengajak pemain untuk bermain lebih lama.

Ini adalah tidak ganjil kerana permainan video RPG adalah salah satu genre yang sangat imersif dan pemain boleh melakukan pelbagai perkara seperti misi-misi sampingan selain objektif utama permainan.

Untuk itu, Gamevil Inc., sebuah syarikat yang terletak di Seoul, Korea telah melancarkan satu lagi permainan video mereka iaitu Destinia, sebuah RPG yang juga mampu memberi kesemua nilai-nilai RPG yang ada pada konsol aliran utama seperti Final Fantasy. Dilancarkan pada penghujung 2011, Destinia boleh didapati pada platform sistem operasi Android.

Plot

Permainan video ini berkisarkan tentang seorang Imperial Guard, iaitu Duke yang telah dipenjarakan atas sebab mengingkari arahan untuk membunuh orang yang tidak bersalah.

Dari sinilah plot permainan bermula. Duke kemudiannya diselamatkan dan dirawat oleh puteri puak penentang iaitu Princess Crystal. Tiba di kem utama, Duke membalas jasa tersebut dengan mendapatkan sejenis herba yang mampu menghidupkan orang yang telah mati dan kemudiannya bercadang untuk pulang ke tanah air.

Namun, Duke terkejut kerana rumahnya kini dikuasai Imperial Army. Akibatnya, Duke kebingungan lantas cuba mencari kekasih lamanya iaitu Lena. Dari situ, plot semakin menebal.

Mekanisme permainan

Pemain harus menunggu peluang untuk menyerang pihak musuh. Mereka (pemain) diberikan kawalan sepenuhnya ke atas watak Duke dari sudut kamera third person view yang memberikan penglihatan ke atas sesuatu kawasan dengan terperinci.

Kawalan pada skrin sesentuh juga amat mudah untuk difahami dan dioperasi. Terdapat satu joystick maya di sebelah kiri skrin dan pada bahagian kanan skrin pula terdapat slot-slot hot key yang membolehkan pemain mencapai barang mahupun skil dengan mudah.

Ia bertujuan untuk melancarkan lagi fasa permainan kerana pemain tidak perlu membuka menu untuk melihat senarai skil yang ada.

Destinia ialah sebuah RPG hack and slash seperti siri God of War dan Devil May Cry cuma aspek grafik permainan ini tidak semantap siri berkenaan.

Bagi peminat genre ini, mereka pasti akan menghargai fakta bahawa platform mudah alih mereka kini mempunyai permainan video yang mampu memberikan kepuasan yang sama.

Kelas utama

Pada awal permainan, pemain diberi pilihan untuk memilih antara tiga kelas iaitu Warrior, Thief dan Gunner dengan setiap kelas mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Seperti nama mereka, Warrior adalah sesuai untuk mereka yang meminati pertempuran jarak dekat dan menggemari senjata-senjata yang besar.

Thief pula adalah sesuai untuk mereka yang mementingkan ketangkasan dan bergantung kepada skala parameter Agility (kelincahan) Duke.

Kelas Gunner pula adalah sesuai untuk pemain yang ingin bermain secara selamat kerana kelas ini mampu menyerang dari jarak jauh dan adalah mudah untuk mengelak serangan pihak musuh.

Sistem unik

Destinia mempunyai system yang membolehkan pemain mencipta dan meningkatkan kemampuan senjata serta kelengkapan sendiri dengan menggunakan bahan-bahan mentah yang boleh dijumpai sepanjang perjalanan.

Lebih memudahkan, tidak seperti RPG yang tipikal, pemain tidak perlu mencari resipi untuk mencipta barang yang spesifik kerana kesemuanya telah disenaraikan.

Paling penting, penciptaan mahupun pelupusan kelengkapan boleh dilakukan di mana-mana bahagian permainan. Haiwan belaan atau seperti yang digunakan dalam Destinia, iaitu Pet juga boleh dibela.

Pet berfungsi untuk membantu pemain sepanjang permainan dan setiap Pet mempunyai kemahiran aktif dan kemahiran pasif yang berbeza. Mereka juga boleh berubah menjadi lebih kuat dengan mengorbankan Pet yang lain.

Grafik dan audio

Walaupun Destinia tampil dengan grafik yang sederhana, pemain pasti akan menghargai perkara-perkara kecil seperti perubahan penampilan Duke setiap kali pemain mengubah kelengkapan. Paling menarik, kelengkapan seperti pedang yang telah ditingkatkan kemampuannya akan bersinar sepanjang permainan.

Audio yang ditawarkan juga adalah sederhana dan agak baik untuk permainan video seperti Destinia, walaupun audio yang digunakan adalah pendek dan diulang dengan jelas di beberapa bahagian.

Secara keseluruhannya, Destinia merupakan sebuah permainan video RPG yang berkualiti keluaran Gamevil Inc. Judul ini adalah sebagai alternatif bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk duduk dan bermain RPG di platform konsol. Paling penting, Destinia boleh didapati di Google Play secara percuma.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved