Sabtu, 15 Disember 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Rock bertukar ketuhanan

Posted:

Rock bertukar ketuhanan

Rock bertukar ketuhanan

OPICK atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus mungkin tidak memiliki nama yang gah seumpama penyanyi Once mahupun Ahmad Dhani di Malaysia kerana dia merupakan seorang penyanyi lagu-lagu berunsur ketuhanan.

Begitupun, lagu-lagu berunsur sebegitu hasil nukilan penyanyi yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia itu sangat popular dan ada di antaranya menjadi siulan di Malaysia sehingga kini.

Salah satu lagu yang paling popular ciptaannya sudah tentu yang berjudul, Dealova yang pernah dialunkan Once bersama kumpulan Dewa, malah penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza dalam album Tahajjud Cinta juga menyanyikan lagu Opick iaitu Ketika Cinta dengan susunan muzik baharu.

Lagu itu juga menjadi lagu tema filem Indonesia yang berjudul, Perempuan Berkalung Sorban.

Bertemu dengan Opick ketika kedatangannya ke Malaysia di Restoran Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini, Opick mendedahkan, Dealova sudah lama diciptanya tetapi tiada seorang pun penyanyi di Indonesia mahu menyanyikannya.

"Tiada seorang penyanyi mahu menyanyikan lagu itu (Dealova). Kata mereka sulit (sukar) untuk mendendangkannya. Hinggalah pada suatu hari ada syarikat muzik datang kepada saya berbincang mengenai lagu itu dan Once menjadi satu-satunya penyanyi yang sanggup mendendangkannya.

"Jadi, saya berikan lagu itu kepadanya untuk dinyanyikan," ulasnya mengenai lagu Dealova yang menggambarkan rasa cintanya terhadap Allah SWT.

Biarpun lagu yang dipopularkan Once itu dianggap peminat sebagai ditujukan buat seorang kekasih yang dicintai, ia tidak menjadi masalah buat Opick.

Ujarnya: "Ketika saya menghasilkan Dealova, ia menggambarkan betapa besarnya perasaan rindu saya kepada Allah juga kepada Rasulullah.

"Bagaimanapun, apabila Once menyanyikannya dan lagu ini dianggap buat kekasih hati, ia tidak apa-apa bagi saya kerana terpulang kepada penilaian pendengar. Apa yang mereka fikir, saya tidak boleh mengatakan ia salah kerana itu hak masing-masing."

OPICK mengumpamakan mencipta lagu sama seperti memeluk anak tersayang.


Justeru, kenapa dia sendiri tidak menyanyikan Dealova sebelum ini? Jujur akui Opick, ketika itu dia belum dikenali ramai seperti hari ini.

Begitupun, sebagai seorang pencipta lagu itu dia tidak menyangka lagu tersebut sangat disukai ramai kerana baginya, ia sudah cukup menggembirakan apabila sesebuah lagu itu siap dihasilkan.

"Apabila Dealova berjaya dipopularkan oleh Once, saya bersyukur dan anggap kejayaan itu sebagai bonus," ungkapnya yang pada awal kariernya merupakan seorang penyanyi rock.

Penyanyi rock

Mengenali Opick, dia sebenarnya seorang penyanyi rock yang memiliki vokal yang hebat tetapi lagu-lagu ciptaannya bagaimanapun tidak diterima peminat kerana semuanya berunsur protes.

Kehidupan akan datang memang tidak mampu ditebak. Opick yang dulunya tidak pernah menyebut nama Tuhan dalam lagu-lagunya kini dikenali sebagai penyanyi yang mencipta lagu-lagu berunsurkan ketuhanan.

Bukan sahaja lagu-lagunya berunsurkan ketuhanan malah dirinya juga berubah yang mana ia selalu dibaluti oleh jubah dan juga serban.

"Dulu hidup saya gelap. Saya suka protes dan seorang pemarah. Malah karya-karya saya juga penuh dengan rasa kebencian terhadap kerajaan mahupun apa jua perkara yang saya tidak suka.

"Tiba-tiba Allah bagi saya hidayah untuk mendekatinya dan sentiasa tulis tentang Dia," akuinya yang kini sudah menghasilkan lapan album berunsurkan ketuhanan.

Sangat jarang, lagu-lagu yang bercerita tentang ketuhanan mampu sukses secara komersial di pasaran namun Opick membuktikannya sebaliknya.

Album pertamanya berjudul Istiqhfar pada tahun 2005 begitu sukses. Sebulan di pasaran, Istighfar berjaya dijual lebih 300,000 unit dan mencapai status 'double platinum'.

Kejayaan Opick bukan sampai di situ sahaja malah selepas album keduanya berjudul Semesta Bertasbih keluar pada tahun 2006, ia turut mencapai kejayaan.

Tahun demi tahun, album-albumnya yang lain turut keluar iaitu Ya Rahman (2007), Cahaya Hati (2008), Di Bawah Langit (2009), Shollu Ala Muhammad (2010), The Best Of Opick (2011) dan kini hadir ke Malaysia untuk mempromosikan album terbaharunya berjudul Salam Ya Rosulullah terbitan syarikatnya, Tombo Ati Production yang diedarkan secara eksklusif oleh Inteam Records Sdn. Bhd.

Memuatkan 10 buah lagu termasuk Anta Allah, Ya Hannan Ya Mannan, Bila Waktu T'lah Berakhir, Salam Ya Rosulullah, Syukur Atas Karunia, dan Dealova yang dinyanyikan dengan gubahan muzik baharu sesuai dengan jiwanya.

Melly Goeslow

Selain menjadi penyanyi solo, Opick juga tidak mengehadkan dirinya untuk berkolaborasi bersama artis-artis terkenal seperti Melly Goeslow melalui lagu Takdir serta penyanyi remaja, Amanda menerusi lagu Alhamdulillah.


LAGU Dealova menjadi pencetus kepada peminat muzik untuk mengenali dengan lebih dekat karyawan muzik berbakat besar ini.


Bicaranya, dia tidak pernah keberatan menghasilkan lagu untuk didendangkan penyanyi lain, tetapi akuinya, lagu ciptaannya akan mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

"Terus terang, saya bukan seorang pengkarya lagu yang terburu-buru. Saya lebih selesa memastikan setiap patah perkataan digunakan sesuai dan tepat malah cukup berhati-hati ketika menulis. Biar ada makna dan jujur tanpa pembohongan," tegasnya.

Menganggap lagu yang dihasilkannya itu ibarat seperti sebuah cermin, ungkapnya, sebagai cermin, sudah tentu lagu itu menjadi cermin untuk dirinya dan juga mereka yang mendengarnya.

Harapannya, agar setiap lagu yang diperdengarkan itu benar-benar memuatkan mesej kebaikan.

"Dalam keadaan dunia moden hari ini saya dapati ramai di antara kita yang semakin lalai dan lupa kepada agama. Jadi, dengan mendengarkan lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah dan Rasul-Nya, maka secara tidak langsung ia akan membawa kita untuk kembali semula ke jalan-Nya," tutur Opick.

Menurut bapa kepada empat orang cahaya mata perempuan ini lagi, setiap lagu yang dihasilkan diumpamakan seperti memeluk anaknya. Dia cuba merasakan pelukan itu mungkin yang terakhir dilakukannya. Begitu juga dengan lagu-lagu yang dihasilkannya.

Ujarnya, dia sentiasa beranggapan setiap karya dihasilkan itu mungkin yang terakhir dan ia perlu disiapkan dengan teliti dan sempurna.

Zakiah temui jodoh selepas 21 tahun

Posted:

Zakiah temui jodoh selepas 21 tahun

Zakiah temui jodoh selepas 21 tahun

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL dan FATEN SAPHILLA ISA
hiburan@kosmo.com.my


ZAKIAH mengakui bersetuju menerima lamaran Azmi kerana hatinya terbuka buat lelaki itu.


DUA hari lepas, personaliti terkenal TV3, Zakiah Anas telah selamat bergelar isteri kepada pasangannya, Raja Shahrul Azmi Raja Sahar, 42, hanya dengan sekali lafaz.

Tarikh 12 Disember 2012 (12.12.12) telah dipilih bagi pasangan ini untuk melangsungkan majlis akad nikah yang bertempat di Masjid Kota Damansara, Selangor yang hanya dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan-rakan baiknya.

Zakiah yang merupakan ibu tunggal dua orang anak ini telah memilih rakan lama yang dikenalinya sejak 21 tahun lalu yang mana mereka telah dinikahkan oleh kadi Mohd. Arip Johdi pada pukul 11.35 pagi dengan berwalikan abangnya, Mohd. Adnan Anas.

Namun begitu, difahamkan Zakiah tidak menjemput pihak media untuk ke majlis pernikahannya. Ini kerana, majlis tersebut merupakan perkara peribadi buat diri Zakiah.

Zakiah ketika dihubungi ternyata gembira dan bersyukur kerana majlis pernikahan mereka berjalan dengan lancar.

Dalam pada itu, terima kasih diucapkan kepada rakan baik Zakiah, juga personaliti TV3, Mazidul Akmal Sidik yang memberi kebenaran buat Kosmo! untuk mengambil foto dari blognya, mazidulakmal.com. Ikuti temu ramah Kosmo! bersama pengantin baharu ini.

Kosmo!: Tahniah atas perkahwinan Zakiah dengan Raja Shahrul Azmi. Boleh ceritakan bagaimana anda dan suami mula berkenalan?

ZAKIAH: Saya kenal Azmi di TV3 yang mana ketika itu saya baru memulakan karier di TV3 pada tahun 1991. Azmi ketika itu hadir bersama bapa saudaranya di sana iaitu Mahathir Lokman. Namun ketika itu kami hanya kenal-kenal begitu sahaja, tidak terlalu rapat. Keluar pun ramai-ramai bersama teman-teman yang lain. Sampailah dia melanjutkan pelajaran ke luar negara kami terus tidak berhubung.

Jadi selepas 21 tahun lamanya, baru Zakiah dan Azmi berjumpa semula?

Ya, selepas 21 tahun yang mana sebenarnya dua tahun lepas kami berjumpa semula. Namun, kami mula serius dalam perhubungan sejak tahun lepas. Kami berdua masing-masing sudah solo dan dia juga merupakan seorang duda yang mempunyai empat anak.


SELEPAS 21 tahun mula berkenalan, jodoh Zakiah dan Azmi akhirnya bertaut.


Justeru, bilakah Zakiah ambil keputusan untuk berkahwin dengan Azmi?

Sepanjang perkenalan saya dan dia, banyak kali juga saya berjumpa ibu bapa Azmi. Melihat keakraban kami, ibunya mula bertanya soalan tentang menamatkan zaman solo kami. Bulan puasa tahun lalu, dia melamar saya untuk menjadi isterinya.

Bagaimana pula penerimaan Zakiah ketika dilamar Azmi. Terus setuju atau ambil masa untuk berfikir?

Saya terima lamaran tersebut kerana hati memang sudah terbuka untuknya. Kami mempunyai banyak persamaan. Sebagai contoh, jika keluar makan, kami berdua tidak kisah mahu makan di mana pun dan kami memang gemarkan masakan Perak. Saya juga terima dia kerana dia boleh bergaul mesra bersama anak-anak saya.

Bagaimanakah pula dengan anak-anak Zakiah. Adakah mereka juga setuju atau sebaliknya?

Perkara ini sememangnya sangat sensitif. Anak mana yang bersetuju jika ibu bapa mereka bercerai dan ingin berkahwin semula. Apabila saya beritahu mereka ingin berkahwin, mereka berdua hanya mendiamkan diri. Memang saya akui sangat sedih dan berat hati ingin membuat keputusan untuk berkahwin semula bila fikirkan tentang anak-anak.

Sebelum ini, tidak terdetikkah rasa serik ingin berkahwin lagi setelah pernah gagal dalam perkahwinan pertama?

Sejujurnya memang saya tidak pernah merancang untuk berkahwin semula selepas gagal kali pertama. Memang rasa serik namun bila difikirkan umur saya yang sudah meningkat dan ada pula yang suka. Jadi, saya teruskan niat ini.

Afdlin tak peduli kritikan

Posted:

Afdlin tak peduli kritikan

Afdlin tak peduli kritikan

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my


DARI kiri, Bront, Afdlin dan Zain memperoleh pengalaman yang amat berharga hasil kunjungan mereka ke Gaza baru-baru ini.


PELAKON, pelawak dan pengarah terkenal Afdlin Shauki bersama rombongan pertubuhan sukarela, Aqsa Sharif pulang ke tanah air 10 Disember lalu, selepas berada selama tujuh hari di Gaza, Palestin.

Walaupun telah membawa bekalan makanan, pakaian musim sejuk, tilam dan wang derma RM1.9 juta kepada mangsa pengeboman rejim Zionis di negara bergolak itu, rombongan Afdlin yang turut disertai oleh pelakon Bront Palarae dan Zain Saidin telah dikritik.

Kritikan yang diberikan di sebuah laman sosial itu telah mempertikaikan pemergian sesetengah pihak ke Palestin dengan melawat tempat yang diserang yang dikatakan cuma untuk mengibar bendera dan menunjukkan gambar hotel penginapan.

Sungguhpun, kritikan itu tidak ditujukan secara langsung dan tidak menyebut nama Afdlin bersama rombongan Aqsa Sharif itu, namun dia tetap merasai tempias kritikan berkenaan.

Ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Afdlin berkata, dia tidak peduli dengan kritikan sebegitu.

"Saya rasa jangan kita berprasangka buruk termasuk kepada dia pun (pengkritik). Mungkin dia tidak tahu (perkara sebenar), ada isu lagi besar sekarang, fokus kita kepada Palestin," ujarnya yang disambut oleh keluarganya di KLIA.

Anggota kumpulan lawak, Boboi ini juga berharap semua pihak tidak membawa isu lain kerana perkara itu tidak akan membantu penduduk di Palestin.

"Komen negatif kita terima, masing-masing nak berperanan, kita ajak semua termasuk pengkritik sama-sama bantu penduduk Palestin, sekarang tiada masa layan perkara remeh begini," jelasnya.

Selain isteri dan anak Afdlin, turut hadir menyambut kepulangan rombongan itu ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Sharif, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor.


SELAMAT tiba. Kepulangan Afdlin ke Malaysia dari Gaza disambut dengan penuh kesyukuran oleh anak dan isteri.


Bercerita mengenai pengalaman di Palestin, Afdlin memberitahu, walaupun pada mulanya berasa cuak apabila tiba di bumi Gaza dengan melihat banyak tin-tin di jalanan seperti berada di medan perang, perasaan itu hilang apabila bertemu penduduk di situ.

"Bila sudah masuk ke Gaza, rasa tenang dan saya seperti berada di tempat paling selamat di dunia, rasa berat hendak pulang ke tanah air pula, perasaan itu seperti saya hendak ke sana tinggalkan keluarga," jelasnya.

Dia turut memuji ketabahan penduduk di sana walaupun kediaman mereka sering dihujani dengan bom rejim Zionis hampir setiap minit.

Ujarnya, penduduk Gaza tidak pernah meminta simpati atau sedekah daripada sesiapa pun tetapi mereka bersyukur apabila ada pihak yang ingin membantu mereka mendapatkan tanah air sendiri.

Kata pelakon filem Papadom itu, pemergiannya ke sana selain menghulurkan bantuan selaku duta Aqsa Syarif, dia telah merakamkan beberapa kejadian di sana untuk dibuat dokumentari.

"Saya mahu tunjuk tempat perang supaya penduduk sini lebih insaf dan membantu," ujarnya yang tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan pengkarya filem muda di Gaza suatu hari nanti.

Dia yang bakal dilantik sebagai duta kehormat Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) juga berkata, berada di Gaza membuatkannya mahu ke negara itu lagi tahun depan selepas dia menunaikan umrah nanti.

Sementara itu, kata Zain Saidin pula, dia kagum dengan melihat ketabahan penduduk di sana kerana mereka begitu tabah mengharungi kekejaman Zionis.

"Saya sukar untuk gambarkan perasan saya, hanya orang yang pernah pergi sana sahaja tahu, kita di sini (Malaysia) geram dengan kekejaman Zionis tetapi mereka di sana rileks sahaja," ujarnya yang tidak menolak kemungkinan ke Gaza bersama Aqsa Syarif lagi.

Bagi Bront pula menganggap pemergian dia ke Gaza bukan sebagai seorang artis tetapi hanya sukarela sahaja.

"Setiap hari ada peristiwa yang menyentuh hati, jiwa kita tidak sebesar mereka di Gaza, saya mahu ke sana lagi jika diizinkan," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved