Sabtu, 15 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Rajagobal masih kekal jurulatih Harimau Malaya

Posted:

Rajagobal masih kekal jurulatih Harimau Malaya

Rajagobal masih kekal jurulatih Harimau Malaya

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

RAJAGOBAL (kanan) masih mendapat kepercayaan FAM untuk kekal membimbing skuad Harimau Malaya.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menaruh kepercayaan kepada Datuk K. Rajagobal untuk membimbing skuad Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan, badan induk tersebut tetap yakin dengan kredibiliti jurulatih berusia 56 tahun itu dalam membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Terdahulu, masa depan Rajagobal mula mencetuskan tanda tanya selepas skuad kendaliannya gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 selepas disingkirkan Thailand pada aksi separuh akhir Khamis lalu.

Bagaimanapun, Azzuddin berkata, para pengkritik khsusunya tidak harus menyalahkan Rajagobal di atas kegagalan tersebut.

Menurut Azzuddin, Rajagobal yang masih terikat kontrak dengan FAM sehingga Disember 2013, harus diberikan sokongan selain mahu pencapaian bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu sebelum ini diambil kira oleh semua pihak.

"Takkan hanya satu kegagalan kita hendak buang Rajagobal yang banyak memberikan sumbangan kepada skuad negara?

"Sebenarnya, kita perlu terus memberikan sokongan kepada jurulatih itu sebagaimana beliau telah membantu skuad negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010.

"Sudah adat menang kalah dalam sesuatu pertandingan dan kita harus menyedari bahawa Harimau Malaya tidak boleh sentiasa berada di atas.

"Rajagobal masih kekal sebagai jurulatih skuad kebangsaan sebagaimana kontraknya akan berakhir pada Disember 2013 ini," kata Azzuddin kepada Kosmo! Ahad semalam.

Azzuddin turut melahirkan keyakinan terhadap Rajagobal yang kini mengalih tumpuan memburu slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2015.

"Rajagobal masih memiliki tugas bersama skuad negara yang mana mereka akan beraksi pada pusingan kelayakan Piala Asia tahun depan.

"Saya yakin dengan pengalaman ketika beraksi pada Piala Suzuki AFF kali ini, beliau akan melakukan 'kerja rumah' sebagai persiapan menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman terhadap Rajagobal.

"Kita tidak harus lupa Rajagobal yang bertanggungjawab mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap pasukan negara dan menaikkan imej pemain sehingga dikenali ramai... tidak seperti sebelum ini.

"Bagaimanapun, beliau harus mencari jalan dalam meningkatkan lagi prestasi skuad negara," kata Ahmad Shabery di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

'Jadikan pengajaran'

Posted:

'Jadikan pengajaran'

'Jadikan pengajaran'

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


PENG SOON (kanan) dan Liu Ying perlu lebih banyak belajar menghadapi tekanan apabila beraksi di peringkat yang lebih tinggi.


KETUA jurulatih beregu, Tan Kim Her sekadar meletakkan tahap memuaskan ketika mengulas prestasi tiga pasangan negara pada Kejohanan Badminton Siri Super Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2012 di Shenzhen, China.

Ia berikutan kegagalan dua beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Hoon Thien How-Tan Wee Kiong serta beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tidak mencapai sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.

"Bagi saya, semuanya memuaskan tetapi mereka harus pandang kejohanan itu dari segi positif dan jadikannya sebagai satu pengajaran.

"Jadi sekarang mereka perlu tahulah apa yang yang harus mereka lakukan nanti," kata Kim Her ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Dalam saingan beregu lelaki kelmarin, misi Kien Keat-Boon Heong berakhir apabila pasangan tuan rumah, Cai Yun-Fu Haifeng dilihat bermain dengan taktik kotor untuk sengaja tewas kepada beregu Denmark, Mathias Boe-Mogensen Carsten dalam Kumpulan A.

Tindakan Cai Yun-Fu Haifeng itu berikutan perancangan mereka yang tidak mahu bertembung dengan beregu senegara, Hong Wei-Shen Ye yang turut mara daripada Kumpulan B.

Jelas Kim Her, prestasi yang dipamerkan Kien Keat-Boon Heong sudah mencapai standard yang lebih baik dan ia dapat dilihat ketika mereka menundukkan beregu No. 1 dunia dari Denmark itu pada aksi kedua.

"Kedua-duanya bermain dengan bagus, malah mereka bangkit mengalahkan Boe-Carsten tetapi kekalahan pertama kepada Cai Yun-Fu Haifeng telah merugikan mereka.

"Kien Keat-Boon Heong telah mempamerkan kemajuan tetapi nasib tidak menyebelahi mereka kerana kiraan mata lebih memihak kepada beregu Denmark dan China," ujarnya.

Ketika diminta mengulas mengenai prestasi Thien How-Wee Kiong dan Peng Soon-Liu Ying, Kim Her menjelaskan bahawa kedua-dua beregu itu masih belum mampu menguasai tekanan yang dihadapi ketika beraksi di pentas yang lebih tinggi.

"Kemahiran dan teknik permainan mereka sangat baik tetapi cara mereka mengatasi tekanan membuatkan mereka sukar untuk memberikan tentangan kepada pencabar.

"Saya lihat Thien How-Wee Kiong seperti tidak yakin ketika beraksi dan sikap ini langsung tidak mendatangkan gerun kepada pihak lawan.

"Peng Soon-Liu Ying pula terlalu yakin untuk menang. Sikap ini memang bagus tetapi mereka juga harus pandai mengawalnya agar tidak memakan diri," katanya.

Dalam perkembangan lain, saingan separuh akhir acara perseorangan lelaki juga tidak menyaksikan seorang pun wakil negara yang melepasi peringkat kumpulan.

Datuk Lee Chong Wei terlebih dulu membuat kejutan apabila menarik diri beberapa jam selepas tewas kepada pemain China, Du Pengyu ekoran kecederaan kekejangan otot kaki kanan.

Bagi Liew Daren pula, walaupun dia berjaya menang pada perlawanan terakhir Kumpulan B kelmarin, namun kekalahan pada aksi pertama dan kedua telah menutup peluangnya untuk ke slot separuh akhir.

Daren tewas kepada pemain Jepun, Kenichi Tago dan jaguh tuan rumah, Chen Long sebelum bangkit menundukkan Hans-Kristian Vittinghus dari Denmark.

Sapu bersih empat emas

Posted:

Sapu bersih empat emas

Sapu bersih empat emas


DARI kiri, Bryan, Mun Yee, Yan Yee dan Jun Hoong bergambar kenangan selepas masing-masing meraih emas pada temasya AUG 2012 di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional, Laos.


VIENTIANE, Laos - Seperti diramal, skuad terjun negara menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan dalam acara itu pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012.

Pada hari terakhir semalam, skuad terjun negara berjaya menyumbang satu lagi pingat emas buat kontinjen Malaysia menerusi Cheong Jun Hoong yang mengungguli saingan pada aksi final 3 meter (m) papan anjal individu wanita di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional.

Jun Hoong mengetepikan cabaran rakan senegaranya, Ng Yan Yee apabila mengutip mata tertinggi dengan catatan 340.05 mata.

Yan Yee pula sekadar berpuas hati dengan pingat perak apabila mengumpul 312.40 mata manakala penerjun Indonesia, Sari Ambarwati Suprihatin gangsa (253.85 mata).

"Saya puas hati dengan prestasi saya hari ini (semalam). Saya bersaing dengan Yan Yee dan dia pun telah menunjukkan peningkatan prestasi yang banyak.

"Bagi saya, AUG kali ini memberi pengalaman berguna buat saya untuk lebih cemerlang pada masa depan. Yang pasti, saya gembira kerana berjaya melengkapkan sasaran empat pingat emas buat skuad terjun negara," kata Jun Hoong semalam.

Kejayaan Jun Hoong itu sekali gus melengkapkan sasaran empat pingat emas yang diletakkan terhadap skuad terjun negara pada AUG edisi ke-16 kali ini.

Selain empat pingat emas, skuad terjun negara turut membawa pulang dua perak.

Pengurus skuad terjun negara, Ariffin Mohamed Yusof nyata gembira dengan pencapaian barisa penerjun negara pada AUG kali ini.

"Saya gembira kerana sasaran empat pingat emas sudah tercapai. Dua pingat perak yang diperoleh kali ini dianggap sebagai bonus buat acara terjun.

"Namun, kita perlu lebih serius dan bekerja keras untuk mempersiapkan penerjun-penerjun negara beraksi pada UNIVERSIADE (Sukan Universiti Dunia) di Rusia tahun depan," kata Ariffin.

Skuad terjun negara sepatutnya boleh menuai lebih daripada empat pingat emas jika tidak disebabkan dua acara bagi kategori lelaki iaitu 3m papan anjal individu dan 10m platform individu terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.

Ia disebabkan tidak cukup penyertaan daripada negara-negara lain yang turut mengambil bahagian pada AUG kali ini.

Bagaimanapun, apa yang paling penting skuad terjun negara telah melaksanakan misi mereka dengan cemerlang apabila menggondol keempat-empat pingat emas yang ditawarkan.

Sebagai rekod, ini merupakan kali pertama acara terjun dipertandingkan pada AUG.

Pada hari pertama acara terjun dipertandingkan Khamis lalu, Leong Mun Yee menyumbangkan pingat emas pertama skuad terjun negara apabila mendominasi saingan 1m papan anjal individu wanita manakala Jun Hoong meraih perak.

Mun Yee terus cemerlang pada hari kedua apabila memenangi pingat emas dalam acara 10 platform individu wanita diikuti Bryan Nickson Lomas yang meraih emas 1m papan anjal individu lelaki.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved