Ahad, 11 November 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Kejayaan konsep tapak karnival

Posted:

Kejayaan konsep tapak karnival

Kejayaan konsep tapak karnival

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my

MENJELANG sambutan perayaan Deepavali, lokasi-lokasi Little India seperti Brickfields dan Klang pasti akan melalui transformasi sebagai hab untuk membeli-belah. Melewati kawasan sekitar Brickfileds pada ketika ini misalnya, pasti ada yang mengeluh lantaran keadaan lalu lintas yang sesak.

Namun, kali ini fenomena itu berubah sedikit kerana keadaan trafik sedemikian bukan lagi menjadi isu besar di Brickfields. Begitu juga dengan keadaan di sebuah lagi tapak bazar Deepavali yang mengambil lokasi berdekatan pintu masuk utama tempat letak kereta A, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.

Walaupun ibu negara dilanda hujan lebat hampir setiap hari, ia langsung tidak memberi kesan pada karnival beli-belah kali ke-11 anjuran syarikat pengurusan acara, Agenda Suria Communications (ASC), itu dari segi sambutan pengunjung.

Lokasi yang dijangka boleh menyambut kunjungan jutaan orang sepanjang karnival yang bermula pada 31 Oktober hingga 12 November itu dilihat sentiasa didatangi orang ramai yang mahu mencari kelengkapan perayaan.

"Saya tertunggu-tunggu akan penganjuran karnival ini kerana selain ia membekalkan pilihan yang jauh lebih banyak dan murah, saya menjangkakan terdapat banyak gaya rekaan Bollywood," kata M.Denizha, 14, dari Bandar Kinrara, Puchong yang amat meminati fesyen tersebut.

Denizha yang ditemani ibu dan kakaknya memberitahu bahawa dia sudahpun membeli beberapa helai kurthi, sepasang salwar kameez dan aksesori seperti set chokar, anting-anting serta gelang.

Ibarat syurga beli-belah, karnival seperti itu dilihat semakin diterima dan menjadi trend hinggakan ada dalam kalangan pembeli yang menunggu sehingga waktu akhir untuk membeli-belah.

Persaingan sihat

Walaupun ada rungutan daripada sesetengah pihak pekedai luar tempatan yang bimbang perniagaan mereka terjejas dengan trend karnival Deepavali seperti itu, Pengarah ASC, Jaggarao Simancha pula mempunyai tanggapan berbeza.

Menurutnya, ia satu persaingan positif yang semata-mata untuk memberi peluang kepada pelanggan membuat pilihan.


NEEM KHAN menunjukkan salwar kameez fesyen terbaharu di karnival itu.


"Saya tidak rasa ia mengganggu aliran perniagaan peniaga tempatan kerana karnival ini bukan sahaja membuka peluang kepada orang ramai membeli-belah pada harga murah dan pilihan yang pelbagai, malah turut berjaya mengukuhkan jalinan perniagaan antara peniaga tempatan dan luar.

"Karnival yang diadakan buat kali ke-11 ini berjaya menghubungkan peniaga tempatan yang tercari-cari ejen di India untuk mengimport barangan tertentu. Di sini, mereka dapat bertemu di atas satu platform dan dapat memperoleh produk yang diinginkan sekali gus mengembangkan perniagaan," katanya.

Jaggarao menambah, karnival tersebut jika dipandang dari sudut positif, telah menghubungkan 300 peniaga tempatan dengan usahawan asing khususnya bagi industri tekstil yang amat memberangsangkan di India.

Selain itu, peniaga kecil dan sederhana tempatan juga boleh mendapat produk pada harga jauh lebih murah terus daripada ejen di India tanpa melalui orang tengah. Ini sekali gus mengurangkan harga produk dan ia memberi kesan kepada pelanggan tempatan yang memperoleh sesuatu produk pada harga lebih murah.

"Daripada 320 gerai jualan di sini, hampir 60 peratus terdiri daripada peniaga tempatan. Selebihnya, 40 peratus terdiri daripada peniaga dari utara India dan Pakistan.

Produk dapat sambutan

Pastinya bukan mudah untuk menganjurkan karnival besar yang terus berkembang dari setahun ke tahun seterusnya. Pihak ASC telah membuktikannya dengan penyertaan gerai yang lebih banyak, penganjuran aktiviti hiburan yang gah, pertandingan dan acara pentas yang terus mendapat sambutan awam.


RAMAI pembeli ligat tawar-menawar demi mendapatkan harga terbaik.


"Jesal Sweet telah bersama-sama memeriahkan Karnival Beli-belah Deepavali oleh ASC sejak kali pertama ia dianjurkan. Itu bermakna kami telah berkembang seiring usia karnival ini. Saya harus akui betapa karnival ini sangat berjaya kerana sepanjang 11 tahun, kami telah membina jenama Jesal Sweet.

"Lebih daripada itu, kami telah berkembang maju dengan membuka restoran dan perkhidmatan katering sendiri. Itu semua menjadi nyata selepas menyertai karnival ini," kata pemilik Jesal Sweet, Teranjit Kaur.

Selain menyediakan manisan tradisional India seperti laddhu, jelebi, paal gova, kaju kthali, doda barfi dan lebih 20 pilihan manisan, Jesal Sweet juga menawarkan manisan tanpa gula dan kurang gula.

Produk jenama itu hanya menggunakan produk tenusu seperti susu dan minyak sapi yang segar, pewarna yang diimport khas tanpa pengawet serta bungkusan yang bersih.

"Itu adalah keunikan kami. Kami mahu semua orang menikmati manisan ini, walaupun tanpa gula," kata Teranjit yang percaya bahawa kualiti sebagai pengukur utama.

Mengenakan harga RM10 bagi 100 gram untuk semua manisan, Jesal Sweet, antara yang terus menyokong karnival tersebut.

Pulangan terbaik

Bagi peniaga dari India, seperti Neem Khan dan Umar Khalid dari Kashmir dan Hydrabad, mereka teruja untuk menyertai karnival ini kerana ia memberi pulangan yang sangat baik.

"Pelanggan di sini suka produk dari utara India dan cita rasa mereka menyerupai fesyen yang kami bawa. Ia memudahkan kami berniaga di sini," kata Neem Khan yang menjual sut Punjabi.

Dalam pada itu, pelanggan kali pertama ke karnival itu, M. Ithaya Jeevan, 26, dari Ipoh merasakan ia sebagai syurga kepada pelanggan wanita.

"Saya menemani teman wanita saya dan bercadang untuk membelanjakan sekitar RM500 di sini. Terlalu banyak pilihan pakaian, aksesori dan dekorasi di sini. Harganya pun boleh tahan," katanya.


PELBAGAI manisan dan biskut turut dijual di karnival ini.


Bagi Pravinisha Nambiar, 17, dari Cheras pula, walaupun lokasinya jauh, dia mendapati bahawa persekitarannya lebih selesa terutama sekali soal mencari parkir kereta.

"Saya baru sahaja masuk dan belum membeli-apa-apa. Mungkin mereka harus adakan di Bukit Jalil kerana ia lebih lapang dan selesa," katanya.

Jaggarao memastikan para pengunjung benar-benar selesa semasa membeli-belah, tidak kira siang atau malam, panas atau hujan.

Menurutnya, ASC menyediakan khemah bersambung sepanjang semua gerai sehingga tempat persembahan bagi membolehkan pengunjung tidak terkesan akibat hujan.

Sementara itu, bagi gerai tertutup pula, ia disediakan dengan pencahayaan yang lengkap dan penuh berhawa dingin.

"Apabila anda masuk, anda mungkin tidak dapat sedar siang atau malam, panas atau hujan. Gerai-gerai makanan dan minuman juga disediakan supaya pelanggan dapat berehat dan menikmati secawan teh dalam selang waktu membeli-belah," katanya.

Selain Karnival Beli-belah Deepavali, ASC juga dengan jayanya pernah mengadakan pelbagai karnival beli-belah yang hampir sama pada skala kecil di Johor Bharu, Pulau Pinang dan terbaharu di Sungai Petani, Kedah.

Capoeira di festival Dos Camaradas 2012

Posted:

Capoeira di festival Dos Camaradas 2012

Capoeira di festival Dos Camaradas 2012

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my


WAJAH kepuasan ahli Capoeira Camara selepas mengadakan persembahan sempena pelancaran Festival Dos Camaradas 2012 di Pasar Seni pada September lalu.


HAVANA Estudio dengan kerjasama Sekolah Antarabangsa Fairview, Kafe Doppel dan Harbor of Fine Arts telah menganjurkan satu festival untuk memperkenalkan seni mempertahankan diri capoeira kepada orang ramai iaitu Festival Dos Camaradas 2012.

Ia berlangsung pada 26 hingga 30 September lalu di dua tempat yang berbeza iaitu Kafe Doppel di Pasar Seni dan Sekolah Antarabangsa Fairview, Wangsa Maju.

Pengisian festival

Penganjuran festival itu merupakan salah satu pengisian dalam acara Indie Youth Fest 2012 (FEYST12) yang bermula dari 28 September sehingga 15 Disember ini.

Festival yang buat julung-julung kali diadakan ini diterajui oleh Capoeira Camara Malaysia (CCM) iaitu sebuah persatuan yang aktif mengajar seni mempertahankan diri capoeira kepada warga kota.

Hal menarik mengenai festival ini adalah ia disertai pelajar CCM yang berumur seawal lima tahun yang turut sama mengadakan persembahan dalam setiap pertunjukan.

Sepanjang tiga hari festival itu berlangsung, pelbagai aktiviti telah diatur oleh CCM seperti persembahan capoeira, parti, bengkel capoeira dan bengkel alat muzik dari Brazil.


CAPOEIRA menggabungkan pergerakan seni bela diri dan tarian.


Capoeira merupakan antara sejenis tarian kebudayaan lain yang menjadi signatur negara Brazil di mata dunia seperti Bumba Meu Boi, Frevo dan Caboclinho.

Pengasas CCM, Cristiano Genuino da Silva, 37, memberitahu, capoeira merupakan cebisan budaya yang dibawa olehnya dari Brazil ke Malaysia.

Dia yang lebih dikenali sebagai Soldadu telah enam tahun menetap di Malaysia menganggap festival ini merupakan landasan terbaik untuk persatuannya memperkenalkan capoeira kepada orang ramai yang masih tidak mengetahui kewujudan seni mempertahankan diri itu di Malaysia.

"Capoeira merupakan salah satu budaya yang terdapat di negara Brazil dan ia merupakan antara kombinasi seni mempertahankan diri dengan tarian.

"Selain itu, festival ini juga boleh memberi gambaran mengenai gerakan-gerakan dalam capoeira yang diselangi alunan muzik daripada alatan perkusi. Saya rasa seperti berada di Brazil," ujarnya semasa majlis graduasi pelajar capoeira di Sekolah Antarabangsa Fairview, Wangsa Maju baru-baru ini.

Alunan muzik

Antara aktiviti yang mendapat sambutan semasa festival itu dianjurkan ialah parti yang dianjurkan sehari sebelum festival itu tamat.

Semasa parti itu berlangsung, pihak CCM telah mengadakan persembahan di hadapan 200 orang tetamu yang rata-ratanya hadir ke parti tersebut untuk mendalami dan mendapatkan serba sedikit informasi mengenai seni mempertahankan diri itu.


ACARA seperti ini telah menarik minat ramai golongan muda untuk mempelajari capoeira.


Antara alunan lagu tradisional yang mengiringi persembahan capoeira dalam parti itu ialah lagu daripada pemuzik jazz dan funk dari Brazil iaitu Sergio Mendes dengan lagu bertajuk Mas Que Nada dan Magalenha.

Selain itu, terdapat juga hidangan makanan dari Brazil seperti snek ayam coxinha untuk para tetamu yang hadir.

Sementara itu, seorang pelajar yang bernaung di bawah CCM sejak ia mula diperkenalkan di Malaysia, Farezza Hanum Rashid, 27, memberitahu, festival turut mengundang tenaga pengajar capoeira dari luar negara untuk turut sama menyerikan acara.

"Selain menyertai setiap acara dalam festival ini, tenaga pengajar itu diberi penghormatan untuk menyempurnakan acara penyerahan tali pinggang di majlis graduasi kepada pelajar-pelajar baharu yang mempelajari capoeira.

"Mereka juga membawa beberapa alatan perkusi tradisional dari Brazil yang tidak terdapat di Malaysia seperti surdo, timbal dan atabaque. Ini memberikan kami gambaran jelas mengenai idea sebenar muzik yang berasal dari Brazil," ujarnya.

Majlis graduasi atau lebih dikenali sebagai batizado dalam bahasa Portugis merupakan salah satu acara penting untuk menerima seseorang pelajar masuk ke dalam sesebuah persatuan capoeira.

Tilam lebih anjal

Posted:

Tilam lebih anjal

Tilam lebih anjal


NEUAIRE dihasilkan dengan mengambil kira elemen keseimbangan, harmoni dan pilihan fabrik berteknologi.


SETELAH sepanjang hari penat bekerja dengan jadual harian yang ketat, ditambah pula dengan pelbagai aktiviti yang membabitkan fizikal dan tekanan, sebaik-baiknya diubati dengan waktu tidur yang selesa. Namun, apakah waktu tidur kita benar-benar berkualiti?

Acapkali kita mendengar keluhan mengenai tidur yang kurang nyenyak berikutan penggunaan bantal dan tilam yang salah atau tidak sesuai dengan keperluan. Berikutan itu, pelbagai penyelidikan dan pembangunan diaplikasi untuk menghasilkan tilam mesra pengguna.

Baru-baru ini dalam sebuah majlis pelancaran tilam baharu, Dunlopillo, Pengarah Pembangunan Perniagaan Dunlopillo Holdings Sdn. Bhd., Ignacio Pastor Rios menerangkan betapa tilam memainkan peranan penting untuk merehatkan badan.

Selain faktor reka bentuk, kandungan tilam itu sendiri mempunyai fungsi tersendiri, apatah lagi jika ia dicipta dengan spesifikasi canggih.

Seiring memperkenalkan koleksi tilam mewah baharu iaitu Europa dan Prosperity yang dihasilkan dengan teknologi termaju menggunakan bahan bermutu tinggi, Pastor mengakui, pihaknya terpaksa melalui proses penyelidikan dan pembangunan teliti sebelum tampil dengan sembilan jenis tilam tersebut.

Koleksi Prosperity terdiri daripada tiga model iaitu Jade Luxe, Pearl Plush dan Emerald Premium yang menampilkan gandingan lateks Dunlopillo Talasilver yang menghapuskan pembiakan bakteria.

Ia juga mempunyai sistem spring berpoket bagi keselesaan optimum dan kawalan suhu yang hebat.

Koleksi Europa pula dibuat di Eropah, terdiri daripada dua siri iaitu Aire (tilam PurAire, MaxAire dan NeuAire) dan Romance (tilam Amour, Adora dan Alegra).

Siri Aire dihasilkan dengan menggunakan sistem pengudaraan teknologi terkini, manakala siri Romance dibuat menggunakan lateks Talalay.

Dihasilkan melalui proses pembuatan khusus, lateks Talalay lebih anjal, mampu menyerap dengan lebih baik, mudah lentur dan lebih ringan berbanding lateks normal.

"Sejak awal, Dunlopillo sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti tilam-tilam kami dan dengan adanya lateks Talalay, kami dapat menawarkan tilam lateks yang terbaik di dunia," demikian kata Pengarah Urusan Dunlopillo Holdings Sdn. Bhd., Thinaharan Muthusamy pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran di Petaling Jaya, Selangor.

Disasarkan untuk pasaran pertengahan dan atasan, koleksi Prosperity (bermula dari RM9,960) dan Europa (bermula dari RM13,360) boleh didapati di seluruh negara bermula November 2012. – NIZHA PERIASWAMY

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved