Jumaat, 30 November 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kaedah mudah mengasing sampah

Posted:

Kaedah mudah mengasing sampah

Kaedah mudah mengasing sampah

PENGGUNAAN mesin MRF berupaya meningkatkan kadar sampah yang boleh dikitar semula.


BERBEKALKAN topeng penutup mulut dan hidung, kelihatan dua pekerja tekun memunggah timbunan sampah sarap yang baru dihantar oleh sebuah lori. Tangan mereka tangkas mencampak satu demi satu bungkusan plastik hitam dan lutsinar ke arah satu mesin berwarna hijau.

Bau busuk yang menyengat hidung dianggap seperti tiada apa-apa. Malah, kawanan lalat dan langau yang terbang mengerumuni longgokan sampah itu juga langsung tidak dipedulikan.

Di bahagian atas pula, enam pekerja sedia menanti sampah yang dihantar dari bawah. Bungkusan-bungkusan yang sudah terlerai membolehkan mereka memilih jenis-jenis sampah yang perlu diasingkan.

Plastik, botol minuman, kertas, aluminium hingga guni sabut semuanya ada di sana. Masing-masing sudah dibahagikan jenis sampah yang perlu dikutip.

"Kami perlu pantas bekerja. Sampah yang lalu di hadapan mesti diambil dan diasingkan melalui lubang yang menyediakan bekas kutipan tersebut di bahagian bawah mesin ini.

"Ia kemudian akan digunakan untuk proses kitar semula. Proses mengasingkan sampah sarap menjadi lebih mudah dengan penggunaan mesin ini," ujar Mohd. Shah Sadad, 31, salah seorang buruh asing dari Bangladesh ketika ditemui Kosmo! di Tapak Pelupusan Sampah dan Sanitasi Jeram di Kuala Selangor baru-baru ini.

Apa yang pasti, industri kitar semula Malaysia mencatat sejarah tersendiri dengan kejayaan penggunaan mesin kemudahan pengasingan material (Material Recovery Facility-MRF) di tapak pelupusan tersebut.

Dipelopori oleh Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd. dan dibangunkan oleh MDS Holdings Sdn. Bhd., MRF akan membantu mengasingkan dan memudahkan pengutipan bahan kitar semula bagi mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan sisa pepejal.

Kemudahan itu diselenggara oleh Worldwide Landfills Sdn. Bhd. iaitu pengendali semasa bagi Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Jeram.

Tetra Pak secara rasmi menyerahkan MRF kepada kerajaan Malaysia dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penyerahannya pada 12 November lalu. Ia disaksikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Majlis tersebut diadakan selepas lawatan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Nadzri Yahaya ke tapak MRF.

MRF yang pada mulanya diuji di tapak pelupusan tersebut sepanjang fasa perintisnya akan terus beroperasi di sana bagi memudahkan pengumpulan data. Prestasinya kemudian akan dijadikan ukuran untuk memudahkan konsep MRF skala kecil diperkenalkan di tapak pelupusan lain dalam usaha untuk memperoleh lebih banyak bahan kitar semula dengan cara yang menguntungkan dari segi ekonomi.

"Jumlah pembuangan sisa pepejal yang sentiasa meningkat setiap tahun, disertakan kadar kitar semula lima peratus yang jauh lebih rendah berbanding negara jiran, menyebabkan tapak pelupusan sampah di Malaysia cepat dikambus.


TAPAK Pelupusan Sanitari Jeram mengumpul kira-kira 2,100 tan metrik sampah sehari termasuk dari daerah Subang Jaya, Shah Alam, Klang, Ampang dan Kuala Selangor.


"Kami amat gembira dengan kerjasama untuk membantu meningkatkan kadar kitar semula di Malaysia. Kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di atas kejayaan penggunaan MRF ini. Kami harap lebih banyak organisasi akan tampil untuk bekerjasama meningkatkan kadar kitar semula di Malaysia," kata Nadzri.

Dalam inisiatif pembangunan MRF skala kecil yang pertama di Malaysia, Tetra Pak berhasrat untuk menjadi pemangkin pembangunan teknologi pengurusan sisa pepejal dalam industri tempatan dan memudahkan pengendali serta pengusaha perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang lebih kecil untuk menggunakan teknologi.

"MRF adalah bukti kejayaan konsep yang boleh dilaksanakan untuk menambah baik proses kitar semula di negara ini dengan kerjasama rapat organisasi yang berkongsi matlamat kelestarian alam sekitar yang sama," kata Pengarah Komunikasi dan Alam Sekitar Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd., Terrynz Tan.

Tambah beliau, dalam membangunkan MRF sebagai model yang boleh diperbesarkan, kami harap semua pihak memainkan peranan dalam industri kitar semula tempatan akan mengguna pakai teknologi itu untuk menyokong operasi mereka yang sedia ada.

MRF telah direka bentuk dan dibina oleh MDS Holdings sebagai mesin bermodul yang senang dipasang untuk memudahkan pengasingan dan pemerolehan bahan kitar semula seperti tin, aluminium, plastik dan kotak minuman dari tapak pelupusan sampah.

Syarikat yang turut memainkan peranan penting dalam membangunkan MRF ialah Worldwide Holdings Sdn. Bhd. yang menerajui projek perintis di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal dan Sanitasi Jeram untuk tempoh selama enam bulan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melantik Worldwide Landfills sebagai pengendali pengurusan sisa pepejal yang bertanggungjawab terhadap operasi MRF.

"Keputusan yang diperoleh daripada tempoh ujian MRF ini adalah sangat menggalakkan. Kami harap ia akan dapat meningkatkan kadar kutipan bahan kitar semula daripada sisa pepejal yang dibuang di tapak pelupusan.

"Ini adalah satu perkembangan yang menarik bagi industri kitar semula di Malaysia dan kami bangga kerana dapat memainkan peranan penting dalam inisiatif ini," ungkap Ahmad Azman Azizul Rahman merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Sdn. Bhd.

Apapun, masyarakat sebenarnya perlu memainkan peranan penting sebelum membuang sampah. Jika mereka terlebih dulu bertindak mengasingkan sampah, ia pasti akan melancarkan sistem pelupusan tersebut.

Belon karakter kartun

Posted:

Belon karakter kartun

Belon karakter kartun

Ruang udara Central Park New York, Amerika Syarikat penuh berwarna-warni apabila belon gergasi pelbagai watak kartun popular dipamerkan untuk perarakan.

BELON Sponge Bob turut memeriahkan sambutan Hari Kesyukuran pada penghujung November lalu.


JIKA pada hari biasa, Central Park, New York, Amerika Syarikat (AS) sentiasa sibuk dengan orang yang berjalan kaki menuju ke pejabat masing-masing, namun pagi itu wajah metropolis itu bertukar rupa.

Dari hujung Jalan Central Park sehinggalah ke 6th Avenue, ribuan warga New York berkumpul seawal pukul 9 pagi dengan pakaian berwarna-warni. Mereka berada di sana sempena perarakan Hari Kesyukuran yang disambut masyarakat negara itu pada 22 November lalu. Perarakan di Central Park dianjurkan oleh rangkaian pusat beli-belah Macy.

Ia merupakan perarakan Hari Kesyukuran kedua tertua di AS kerana sambutan itu memasuki tahun yang ke-86. Walaupun susur galur Hari Kesyukuran bermula sejak ratusan tahun lalu kerana agama, namun hari ini ia lebih kepada komersial dan hari cuti untuk bersama keluarga.

SAMBUTAN Hari Kesyukuran yang ke-86 lebih kepada hari cuti untuk bersama keluarga.


Perarakan Hari Kesyukuran Macy ke-86 selama tiga jam itu melibatkan kereta berhias, pasukan pancaragam, persembahan artis, perarakan pasukan beruniform dan banyak lagi.

Namun, ternyata mata pengunjung tidak hanya tertumpu kepada pasukan perarakan di jalan raya sahaja. Pada kebanyakan masa, masing-masing mendongak ke atas kerana ratusan belon gergasi turut berarak serentak.

Uniknya, belon gergasi tersebut mewakili pelbagai karakter kartun, super hero atau watak popular bukan sahaja di AS bahkan di seluruh dunia.

Menariknya, setiap belon yang dipasang di udara lokasi perarakan tidak boleh dipasang sesuka hati. Ini kerana setiap tahun pihak penganjur hanya melulus beberapa watak sahaja untuk dipasang setiap tahun.


RUANG udara di Central Park, New York meriah dengan pelbagai watak kartun.


Pemilihan mengenai karakter atau watak belon yang akan dipasang di udara sudah tentunya berdasarkan populariti dalam kalangan masyarakat AS terutamanya kanak-kanak.

Tahun ini hanya lima karakter baharu diperkenalkan iaitu Hello Kitty (edisi kedua), Papa Smurf, The Elf, Kaws's dan Happy Dragon (edisi kedua).

Antara watak lain yang menjadi tarikan kanak-kanak termasuklah Spiderman, Pikachu, Shrek, Super Sonic, Mickey Mouse, Yogi Bear dan banyak lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved