Jumaat, 30 November 2012

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Siapkan 40 tempahan sauh dalam seminggu

Posted:

Siapkan 40 tempahan sauh dalam seminggu

Siapkan 40 tempahan sauh dalam seminggu

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

TANPA rasa gusar, bahang api arang kayu yang dibakar bagaikan sudah sebati dengan jiwa wanita berusia 55 tahun itu tatkala melembutkan batang besi dalam penghasilan sauh.

Sesekali Khatijah Mohamed pantas mengelap peluh di dahi tanpa menghiraukan percikan bara arang yang terkena pada baju kurung yang disarung pada tubuhnya sehinggakan bajunya kelihatan berlubang-lubang.

Namun, semua itu sedikit pun tidak melenturkan semangat kental ibu kepada lapan orang anak itu mengusahakan pembikinan sauh sampan dan bot kecil di sebuah bengkel kayu berdekatan laluan utama, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, dekat Kampung Rhu Dua, Marang, Terengganu.

"Saya mula berkecimpung dalam bidang pembuatan besi kira-kira 18 tahun lalu. Pada waktu itu, saya hanya melakukannya secara sambilan dengan membantu arwah suami menjalankan perniagaan menghasilkan peralatan yang diperbuat daripada besi.

"Selepas suami, Wan Abdul Khadir Wan Jusoh, 73, meninggal dunia kira-kira satu tahun setengah lalu akibat sakit tua, saya mengambil keputusan meneruskan kesinambungan warisan pembuatan peralatan besi ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Khatijah memberitahu, dia tidak pernah menjalani sebarang latihan khusus membuat sauh besi yang diusahakan bersama dua orang anaknya.

Bahkan, nenek kepada lima orang cucu itu menjelaskan, dia hanya mempelajari selok-belok pembuatan sauh besi secara tradisional melalui pemerhatian dan tunjuk ajar daripada arwah suaminya.

KHATIJAH tidak merasakan kerja-kerja membuat sauh sesuatu yang membebankan kerana ia sudah sebati dalam dirinya.


Kaedah tradisional

"Dalam penghasilan sauh besi ini, saya tidak menggunakan teknologi canggih tetapi hanya menggunakan kaedah tradisional. Saya juga menghasilkan pelbagai saiz sauh besi mengikut permintaan pelanggan-pelanggan.

"Lazimnya mereka akan memberitahu sama ada hendak sauh yang kecil, sederhana ataupun besar. Dalam tempoh satu minggu saya boleh menghasilkan kira-kira 40 sauh kecil manakala lima sauh besar," ujarnya.

Khatijah memberitahu, dia sama sekali tidak berasa kekok memilih kerjaya sebagai pembuat sauh apatah lagi sudah lama berkecimpung dalam bidang pembuatan besi.

Katanya, penduduk setempat juga tidak berasa hairan apabila wanita melakukan tugas berat itu kerana mereka sudah biasa melihat dia melakukan kerja pertukangan di dalam bengkel berkenaan. "Mungkin orang luar yang berkunjung ke bengkel ini melihat kerja pertukangan besi dilakukan wanita sesuatu baharu dan membebankan. Bagaimanapun, saya tidak merasakan ia suatu bebanan," ujarnya yang tidak lekang menguntum senyuman.

Wanita bersuara lemah-lembut itu memberitahu, terdapat beberapa proses yang perlu dilalui sebelum dapat menghasilkan sauh-sauh berkenaan.

Katanya, batang besi perlu diketuk terlebih dahulu dan dibakar bagi membentuk saiz yang sesuai untuk dijadikan sauh.

"Batang besi yang siap dipotong dan diketuk perlu dibakar dengan arang sehingga besi berwarna kemerah-merahan.

"Ia bertujuan untuk memastikan batang besi tersebut menjadi lembut agar mudah dilentur untuk dijadikan sauh," katanya.

Selepas proses tersebut, batang besi berkenaan akan diketuk dan dibentuk sehingga bengkok untuk menjadi sauh.

Semasa proses tersebut dilakukan, plat besi yang akan menjadi daun sauh akan dilicinkan mengguna peranti.

WALAUPUN pada usia 55 tahun, Khatijah mempunyai kudrat yang kuat untuk membentuk besi sauh dengan menggunakan tukul besi.


Proses mengecat

"Selepas semua proses berkenaan siap dilakukan, baru kita kimpal kesemua bahan-bahan berkenaan menjadi sebuah sauh.

"Apabila selesai, barulah sauh-sauh tersebut dicat dengan warna perang agar kelihatan kemas. Ia kemudian dikeringkan sebelum dijual kepada orang ramai," jelas beliau.

Dalam pada itu, anak ketiganya, Mohd. Hisham Ramli, 30, memberitahu, semasa proses mengetuk ia perlu dilakukan dua orang untuk memastikan ketepatan bentuk sauh berkenaan.

"Proses mengetuk memerlukan kesabaran yang tinggi kerana jika tersalah ketuk ia membuatkan sauh itu tidak sempurna.

"Selain itu, kita juga perlu mengetuk berulang kali untuk memperoleh bentuk sauh dingini," katanya yang baru berkecimpung secara serius dalam pembuatan sauh sejak dua tahun lalu.

Bagi Wan Raimi Wan Abdul Kadir, 20, pula memberitahu, lazimnya dia mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengimpal sebuah sauh besar.

"Bagi sauh bersaiz kecil pula, saya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk dikimpal. Ia nampak mudah tetapi kita perlu melakukannya dengan teliti supaya kimpalan kelihatan kemas.

"Selain itu, kita juga perlu mengukur dengan baik agar ia seimbang dalam proses mengimpal sauh ini," ujar anak keenam Khatijah itu.

Khatijah memberitahu, penjualan sauh tidak menentu memandangkan ia merupakan objek yang tahan lama.

"Kadangkala saya tidak menjual langsung sauh ini dalam masa sehari tetapi adakalanya ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.


SETELAH sesebuah sauh siap dibentuk, ia akan dicat kemas sebelum dijual kepada pelanggan.


"Bagaimanapun, pada musim tengkujuh, penjualannya kurang memberangsangkan kerana kebanyakan nelayan tidak turun ke laut untuk menangkap ikan," ujarnya.

Justeru itu, dia memberitahu, semasa musim tengkujuh sauh-sauh akan dibuat untuk dijadikan stok pada tahun hadapan.

Bagi menampung kehidupan seharian, Khatijah turut membuat peralatan lain yang diperbuat daripada besi.

"Satu ketika dahulu, sekitar tahun 90-an penjualan sauh-sauh ini begitu memberangsangkan tetapi sejak akhir-akhir ini ia agak merosot," imbau Khatijah.

Dia berkata, kebanyakan sauh-sauh buatannya dibeli oleh penduduk setempat dan kawasan sekitar Terengganu tetapi ada juga pelanggannya yang datang dari Kuantan, Pahang.

Menurutnya, kesukaran mendapat kayu untuk dijadikan arang turut menjadi cabaran kepada dirinya dalam meneruskan warisan pembuatan sauh tersebut.

"Selain itu, saya juga berdepan dengan harga besi yang tidak menentu," katanya.

Khatijah menambah, dia merancang untuk menaiktaraf dan membesarkan bengkelnya suatu hari nanti.

Beliau berharap dapat melakukan dalam masa terdekat kerana apabila hujan bengkelnya akan dimasuki air.

Dia juga tidak keberatan untuk menurunkan ilmu mengenai pembuatan sauh jika ada golongan muda yang minat mempelajarinya.

Hanya goncang dan minum

Posted:

Hanya goncang dan minum

Hanya goncang dan minum

Oleh NURUL IZZA ROSLY


ORANG ramai berpeluang merasai sendiri pengalaman membancuh minuman coklat baharu keluaran Dutch Lady.


SUASANA di pintu masuk pusat beli-belah Berjaya Times Square hari itu gamat dengan celoteh dua selebriti iaitu Nabil Ahmad dan Sharifah Shahira. Di suatu sudut lain pula kelihatan orang ramai mengerumuni lokasi permainan Biar Betul Cuba Rasa yang mengkehendaki mereka membancuh minuman coklat mengikut arahan tersedia.

Bancuhan tidak boleh dilakukan semberono kerana ia akan mempengaruhi rasa sebenar minuman berzat coklat keluaran pertama Dutch Lady Malaysia itu.

Bagi membuktikan ia mudah dibancuh, para peserta akan mengikut arahan promoter bertugas supaya mereka dapat menghasilkan rasa minuman coklat sebenar.

Masing-masing sibuk meletakkan empat sudu serbuk minuman coklat Dutch Lady ke dalam satu bekas khas kemudian menambah 200 mililiter (ml) air panas dan menggoncangkannya hingga sebati.

Penyediaannya sangat mudah hingga ia boleh dibancuh kurang daripada seminit.

Hari itu, suasana majlis pelancaran serbuk minuman berzat coklat Dutch Lady bertambah meriah kerana orang ramai yang lalu-lalang berpeluang menikmati minuman coklat baharu Dutch Lady secara percuma.

Ketika masing-masing menikmati hidangan minuman percuma sambil menonton tayangan video The Journey Of Green Truck, hadirin dikejutkan dengan kemunculan tersebut di hadapan mereka tidak lama kemudian tanda gimik pelancaran.


ANJA HENZE (kiri) bersama Pengurus Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Ramjeet Kaur bergambar di hadapan trak promosi minuman coklat Dutch Lady.


Trak promosi

Sebelum ini, beberapa trak promosi telah dihantar ke beberapa kawasan strategik agar lebih ramai orang dapat menikmati minuman lazat tersebut melalui pemberian sampel.

"Ini merupakan kali pertama kami meneroka segmen minuman berzat coklat dan ia amat membanggakan apabila melihat golongan kanak-kanak dan dewasa menikmati minuman coklat Dutch Lady.

"Produk ini dirumus khas untuk memenuhi cita rasa pengguna di Malaysia. Setelah kaji selidik yang mendalam dijalankan, minuman coklat Dutch Lady telah dirumus dengan campuran coklat dan susu yang tepat," kata Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Anja Henze.

Berlandaskan moto Keenakan Coklat Dengan Kelebihan Susu, minuman berzat coklat khas untuk dinikmati seisi keluarga menjanjikan pengalaman istimewa.

Dengan gaya penyediaan EzyMix, pengguna hanya perlu menggunakan air panas untuk jamuan yang menyenangkan atau menambah kiub ais untuk minuman sejuk yang menyegarkan.

Selain bahan-bahan utama iaitu susu tepung dan koko, minuman coklat Dutch Lady juga diperkaya dengan Omega 3 dan 6, mineral seperti kalsium, protein dan lebih daripada lapan jenis Vitamin B (Vitamin B-Kompleks).


BETAPA mudahnya membancuh minuman coklat Dutch Lady sehingga kanak-kanak mampu melakukannya sendiri.


Semua ramuan tersebut dapat membantu badan menjadi lebih bertenaga dan minda lebih fokus, berlandaskan rasa enak coklat yang tidak terhingga. Ia merupakan lonjakan sempurna untuk membina badan yang sihat dan minda yang cerdas.

"Anak-anak saya suka coklat dan produk ini telah menjadi satu keperluan harian yang penting kepada kami sekeluarga kerana ia merupakan minuman yang sihat buat seisi keluarga.

"Tambahan pula, ia cukup mudah untuk disediakan sendiri oleh anak-anak saya mahupun untuk adik-adiknya," kata Sharifah Shahira.

Minuman coklat Dutch Lady didatangkan dengan dua saiz iaitu pek 350 gram dan 900 gram pada harga RM8 dan RM17.90.

Pengunjung pada hari itu bukan sahaja berpeluang mencuba produk minuman baharu itu, malah boleh melakukan aktiviti santai di beberapa sudut khas disediakan iaitu sudut fotografi dan sudut jaringan bola keranjang yang mengujakan.

Pada akhir pelancaran tersebut, tiga wakil media dipilih untuk menyempurnakan satu cabaran iaitu The Best Shake Ever.

Mereka perlu menggoyangkan badan mengikut rentak muzik popular masa kini iaitu Gangnam Style.

Pelbagai aksi dipertontonkan berjaya mencuit hari wakil-wakil media yang menjadi penonton setia. Antaranya gaya ala Wong Fei Hong, tarian Gangnam Style dan gaya gelek Datuk M. Daud Kilau.

Aksi yang berlanjutan selama beberapa minit itu membuatkan sorakan penonton selaku juri sebulat suara memilih wartawan meja ekonomi Kosmo!, Fahami Ahmad selaku juara sekali gus melayakkannya membawa pulang hadiah istimewa berupa sebuah basikal.

Membina kembali kebahagiaan

Posted:

Membina kembali kebahagiaan

Membina kembali kebahagiaan


RAMAI yang memohon maaf, tetapi tidak ramai yang berterus terang mengenai kesilapan yang pernah dilakukannya.


SETIAP kali berdepan dengan klien, tidak kira suami atau isteri yang memohon nasihat untuk membina semula kebahagiaan rumah tangga yang tercalar dek kesilapan pasangan, hanya satu pesan saya. Tutup buku lama dan mulakan buku baharu.

Rata-rata pasangan menerima pesanan tersebut dengan satu soalan: Bagaimana mahu mengembali kepercayaan pasangan sedangkan kesilapan pasangan sebelum ini masih jelas dalam ingatan?

Jawapannya hanya dua: Pertama, maafkan dengan ikhlas, kedua, kembali percaya.

Maafkan dengan ikhlas

Maaf merupakam perkara yang mudah disebut walau ramai juga yang payah melafazkannya. Persoalannya bukan payah atau mudah disebut, tetapi keikhlasan anda dalam memohon dan memberi maaf.

Ramai yang memohon maaf, tetapi tidak ramai yang berterus terang mengenai kesilapan yang perlu dimaafkan.

Ramai juga yang mengakui memberi maaf tetapi maaf yang diberi hanya dimulut, bukan lahir daripada hati.

Praktikkan untuk memberi maaf daripada hati yang ikhlas. Maafkan sepenuh hati. Jika anda mampu memberi maaf dengan ikhlas dan sepenuh hati, anda tidak akan rasai pedih, biar segala kisah lalu yang melukakan anda masih kekal dalam ingatan.

Kembali percaya

Kalau masih kekal dalam ingatan, bagaimana untuk kembali percaya?

Sebenarnya tidak perlu melupakan segala kisah lama yang membuatkan anda menderita.

Memang sukar melupakan setiap detik yang dilalui dalam kehidupan kita. Saat gembira, detik kecewa, pengalaman manis dan tragedi pahit akan tetap kekal dalam ingatan.

Ramai yang berusaha untuk melupakan cerita kecewa dan duka tetapi hampa. Ia tetap kekal malah bertambah segar.

Saya pernah kongsikan usaha anda untuk melupakan sesuatu sebenarnya akan membuatkan anda terus mengingati perkara tersebut.

Ingat lawannya lupa. Ia berpunca daripada satu sumber iaitu minda anda.

Anda tidak mungkin dapat melupakan dalam usaha melupakan kerana ia satu proses untuk menambah ingatan terhadap perkara tersebut.

Jalan terbaik ialah biarkan saja ingatan itu kekal. Apabila ia mengganggu emosi anda, segera ubah situasi, tukarkan fokus anda kepada perkara lain. Jangan dilayan ingatan tersebut.

Lupuskan bukti kenangan lama

Paling penting, buang segala bukti kenangan lama yang memedihkan. Mungkin gambar, e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau apa sahaja.

Ingat, apabila anda bersedia untuk memulakan hidup baharu dengan pasangan anda, mulakan betul-betul bakar terus buku lama biar menjadi abu.

Masalah yang kerap dihadapi ialah ada tindakan tertentu yang dilalui bersama pasangan merupakan perkara yang mungkin membangkitkan luka lama.

Jika berdepan dengan situasi seperti ini, baliklah kepada peraturan pertama, maafkan dengan sepenuh hati. Perit memang diakui, tetapi berilah peluang kepada pasangan anda malah peluang buat diri anda sendiri.

Pasangan anda manusia, anda juga manusia yang masing-masing tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Cinta membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta.

Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya, Allah masih memberinya peluang dan harapan.

Lantas, kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama? Hebatkah anda kerana tidak duduk dalam kasutnya, melakukan kesilapan yang pernah dilakukannya?

Jangan berbangga. Mereka yang berada di dalam penjara kerana kesalahan jenayah mungkin lebih baik daripada kita.

Sedarlah, mereka yang pernah melakukan kesilapan kemudian sedar mengenai kesilapan tersebut seterusnya insaf dan bertaubat lebih mulia berbanding mereka yang tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan dosa kepada Allah SWT tidak kiralah dosa kecil ataupun besar.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved