Jumaat, 30 November 2012

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


Varian terbaharu Lamborghini

Posted:

Varian terbaharu Lamborghini

Varian terbaharu Lamborghini

Oleh SHAWKATH AZDE

KUNJUNGAN Ferruccio Lamborghini ke ladang ternakan lembu Don Eduardo Miura di Seville di Sepanyol pada 1962 melahirkan keterujaan terhadap keagungan haiwan tersebut.

Ladang tersebut bukannya menternak lembu susu atau daging, tetapi lembu laga yang bakal bertemu matador dalam gelanggang.

Ferruccio menjadikan imej lembu mara pada lambang kenderaan supercar mewah, apa lagi jika bukannya Lamborghini.

Automobili Lamborghini S.p.A. (Automobili Lamborghini) ditubuhkan pada 1963 di Sant'Agata Bolognese, sebuah perkampungan kecil antara Bologna dan Modena di Itali.

Sejak itu, hampir kesemua model Lamborghini menggunakan nama lembu atau berkait rapat dengan sukan tersebut.


BUMBUNG yang diperbuat daripada gentian karbon seberat enam kilogram boleh ditanggalkan secara manual.


Contoh mudah, kereta keluaran Lamborghini kedua dinamakan Miura. Bagi Jalpa, Uracco dan Gallardo, ia berasal daripada jenis baka lembu.

Jarama pula ialah wilayah sukan laga lembu. Espada dan Estoque datangnya dari pedang matador.

Model-model lain Lamborghini turut menggunakan nama lembu seperti Murcielago, Reventon, Islero dan Diablo.

Automobili Lamborghini terpaksa mengharung laluan sukar dalam industri. Ia pernah bertukar tangan beberapa kali selepas tahun 1980.

Pengeluar kenderaan Amerika Syarikat (AS), Chrysler pernah menguasai sepenuhnya saham Lamborghini. Selepas itu, Automobili Lamborghini dibeli oleh syarikat dari Indonesia (Sedtco Group) dan Malaysia (Mycom Bhd.).

Mycom Bhd. (kini dikenali sebagai Dutaland Bhd.) pernah menguasai 40 peratus saham Automobili Lamborghini sebelum melupuskan pegangannya pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 1999. Tauke terakhir Lamborghini ialah Audi AG.


Informasi jentera dipamerkan menerusi skrin digital yang serba warna-warni.


Meneruskan tradisi

Jentera terbaharu keluaran kilang Automobili Lamborghini ialah Aventador. Ia dihasilkan bagi menggantikan Murcielago yang telah berada di pasaran sejak sepuluh tahun lalu.

Aventador (dinamakan sempena seekor lembu) kini menjadi model utama Lamborghini. Penampilan sulungnya dibuat sewaktu Geneva Motor Show 2011.

Sejak diperkenalkan, sebanyak 1,300 buah sudah menemui pemiliknya. Tempoh menunggu pula adalah selama 18 bulan.

Percaya atau tidak, Malaysia tersenarai antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan Aventador Roadster.

Untuk makluman, pengedar rasmi tunggal jentera Lamborghini di Malaysia ialah JH Italia Sdn. Bhd. (JH Italia). Jika Mac tahun lalu menyaksikan kemasukan Aventador coupe, minggu lalu, Aventador LP 700-4 Roadster pula tiba di negara ini.

Selepas Miami, AS, Aventador Roadster dipertontonkan di Singapura diikuti Malaysia, Thailand, Jepun, China dan Hong Kong.

Setelah beberapa hari dipertontonkan, sudah ada lima tempahan diterima untuk jentera dua tempat duduk itu.

Bayaran pendahuluan ialah RM200,000 seunit. Penghantaran pula dijadual bermula pada pertengahan 2013.

Sasaran JH Italia adalah untuk memperoleh tempahan sebanyak lapan unit Aventador Roadster menjelang akhir tahun ini.


ENJIN roadster Aventador berupaya menghamburkan kuasa 700hp dan mencapai kelajuan 100 kilometer sejam dalam tempoh tiga saat sahaja.


Sejak beroperasi lapan tahun lalu, JH Italia sudah menjual lebih 100 unit Lamborghini.

Ketua Pegawai Operasi JH Italia, Marcus Chye memberitahu, kira-kira 700 unit Aventador dihasilkan setahun.

"Kilang Sant'Agata Bolognese hanya menghasilkan sekitar 2,000 unit pelbagai model Lamborghini setiap tahun.

"Secara purata, hanya 3 hingga empat kereta Lamborghini dihasilkan setiap hari," katanya selepas majlis pratonton Aventador Roadster di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Aventador menduduki tangga teratas dalam segmen enjin V12 global dari segi ledakan kuasa dan tempoh pecutan.

Apa yang unik mengenai roadster itu ialah kerangka monokok jentera berkenaan diperbuat daripada gentian karbon.

Ia membantu mengurangkan berat Aventador Roadster, pada masa sama meningkatkan ketegaran badan, pengendalian dan aspek keselamatannya.

Roadster memiliki beberapa perbezaan jika dibandingkan dengan varian coupe.

Antaranya, bumbung jenis gentian karbon yang boleh ditanggalkan secara manual dan garisan geometrik pada bumbung enjin.

Selain itu, penggunaan cermin berbentuk heksagon pada bahagian penutup enjin membantu proses penyejukan enjin, mengalirkan air hujan secara sistematik dan membantu alunan irama enjin.

Jentera dengan anggaran harga

RM3 juta itu dilengkapi sistem start/stop dan menjadi kereta supersport pertama dilengkapi ciri berkenaan.

Jaminan diberikan ialah selama tiga tahun dan jadual penyelenggaraan berjadual setiap 12,000 kilometer.

Boon Siew Honda perkenalkan Integra

Posted:

Boon Siew Honda perkenalkan Integra

Boon Siew Honda perkenalkan Integra


REKA bentuk jentera terbaharu Boon Siew Honda ini memang tidak konvensional.


SELEPAS Honda Integra dipertontonkan pada MotoXpo Show & Conference Kuala Lumpur 2012 (MotoXpo KL 2012) di ibu negara pada Februari lalu, ia menimbulkan tanda tanya sama ada jentera berkenaan bakal memasuki pasaran Malaysia atau sebaliknya.

Persoalan itu terjawab apabila Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) mengumumkan bahawa Integra kini ditawarkan kepada pengguna tempatan. Penantian itu ternyata berbaloi kerana jentera dua roda terbaharu itu memiliki keunikan tersendiri.

Integra ditujukan khas kepada peminat motosikal yang mahu memiliki sebuah jentera dengan dua gabungan sifat berbeza iaitu prestasi motosikal konvensional dan pengendalian sebuah skuter.


SUIS kawalan pada hendal mudah untuk dioperasi.


Jentera itu menggunakan khidmat enjin dwi silinder selaras 670cc. Ia turut dipasang sistem penyejukan cecair yang dipadankan dengan transmisi dwi klac generasi kedua Honda.

Integra dilengkapi kotak gear enam kelajuan jenis automatik, tetapi penukaran gear juga boleh dibuat secara manual.

Tiga mode tunggangan disediakan iaitu manual (MT), automatik (AT) dengan dua tetapan iaitu tunggangan sport (S) dan tunggangan dalam bandar atau lebuh raya (D).

Berhubung penggunaan petrol, Integra dikatakan cukup menjimatkan kerana ia mampu menawarkan jarak perjalanan sejauh 27.9 kilometer (km) bagi setiap liter petrol.

Kuasa maksimum yang mampu dijana adalah sebanyak 38.1kW @ 6,250rpm dan tork 62Nm @ 4,750 rpm.

Bagi memastikan keseronokan dan keselesaan tunggangan, tugas itu diserahkan kepada sistem suspensi jenis teleskopik 41 milimeter hadapan dan peredam penyerap tunggal Sistem Multi Aksi Honda (HMAS) untuk roda belakang dengan konfigurasi Pro-Link.

Rim aloi tekanan tinggi berukuran 17 inci dibalut dengan tayar lebar berukuran 170/70 di hadapan dan 160/60 (belakang). Teknologi Gabungan ABS (C-ABS) dan sistem brek antikunci mengimbangi kuasa membrek, sekali gus membantu untuk memberhentikan jentera dengan baik.


INTEGRA turut hadir dengan kotak penyimpanan barang.


Integra didatangkan dalam pilihan warna hitam, putih, biru dan merah. Harganya, RM64,688 seunit (di atas jalan). Ia turut hadir bersama jaminan selama dua tahun atau jarak perbatuan sejauh 20,000km.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved