Selasa, 6 November 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Transformasi karier seni Awie

Posted:

Transformasi karier seni Awie

KITA biasa lihat vokalis kumpulan lagenda Wings, Awie beraksi di atas pentas dengan imej rock dan sentiasa memberikan persembahan bertenaga ketika membuat persembahan. Namun, jangan terkejut kerana tidak lama lagi, Awie bakal tampil di kaca televisyen sebagai seorang pengacara pula.

Bagi Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, bidang pengacaraan sememangnya merupakan bidang baharu bagi empunya diri. Walaupun mempunyai jadual yang padat, Awie beranggapan, tidak salah baginya mencuba dalam bidang baru serta ingin bereksperimental dengan bakat yang ada.

"Tidak salah saya memadatkan lagi jadual saya. Namun saya akui, lari ke sana sini memang meletihkan, tapi jika tidak mencuba, bila lagi. Jadi, biar ini menjadi permulaan, dan mana tahu mungkin selepas ini rezeki lain pula datang, saya akan cuba lagi.

"Saya juga melihat percubaan ini sebagai sesuatu yang bagus dalam karier saya kerana ia boleh menambahkan pengalaman saya dalam bidang seni. Oleh kerana bidang seni mempunyai banyak cabang dan kebanyakannya saya telah mencuba, jadi saya mengambil bidang pengacaraan sebagai pengalaman baharu buat saya," jelas Awie panjang lebar ketika ditemui pada rakaman program Tunggu Sekejap yang bertempat di Studio 1, NTV7, Glenmarie, Shah Alam, Selangor,baru-baru ini.

Versatil

Memulakan karier sebagai seorang penyanyi sebelum sukses sebagai pelakon filem juga teater, karier seni Awie memang sudah berada pada tahap selesa.

Justeru, apabila dia muncul sebagai pengacara atau pengendali program bual bicara Tunggu Sekejap, Awie menyifatkan pembabitan pertama kali ini sebagai satu peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

"Selepas ditawarkan untuk menggendalikan program ini, saya mengambil tempoh seminggu untuk berfikir dan berbincang bersama isteri. Namun, isteri saya memberi sokongan dengan mengatakan tidak ada salahnya jika saya cuba untuk lakukannya.

"Ini kerana saya sudah menceburi pelbagai bidang yang pada mulanya juga pertama kali dan tidak pernah saya lakukan. Sebagai contoh, dahulu saya tidak berani berlakon teater, namun rezeki menyebelahi saya dan saya mendapat anugerah Pelakon Terbaik Teater menerusi pembabitan dalam teater Cuci The Muzikal dan Lat Kampung Boy, Alhamdulillah," bicara Awie serius.

Bercerita tentang program Tunggu Sekejap, ia memfokus kepada konsep yang berlainan dengan program bual bicara sedia ada apabila ia membabitkan tetamu yang mempunyai kebolehan atau pengalaman unik untuk dikongsi bersama penonton di studio mahupun di rumah.


BERMULA 11 November ini, Awie bakal muncul dengan program bual bicara kendaliannya, Tunggu Sekejap. Ia merupakan percubaan sulung Awie sebagai pengacara.


Malah dalam salah satu sesi rakaman tersebut, Awie menyahut cabaran tetamu jemputan yang hadir untuk menjamah kaca!

"Ada satu episod, saya berasa seperti dicabar untuk makan kaca. Saya pernah lihat dan cuba perkara ini sebelum ini. Oleh itu apabila disuruh, saya terus ambil kaca tersebut dan memakannya.

"Sementara itu, dalam satu episod lain pula, seorang lelaki, dia menunggang motosikal dari Pulau Pinang hingga ke Krabi, Thailand dengan berdiri di atas motosikalnya selama 19 jam. Itu antara cerita pelik yang saya dengar.

"Cerita-cerita unik seperti ini akan dapat disaksikan dalam program kendalian saya. Lebih membanggakan apabila ia dilakukan oleh rakyat Malaysia, bukan orang luar. Itu antara tarikan utama Tunggu Sekejap," ujar Awie.

Tambahnya, sebagai seorang penggiat seni, dia tidak mahu mengehadkan dirinya dan teruja untuk mencuba pelbagai cabang yang wujud dalam industri seni.

Ingin jadi diri sendiri

Akui Awie, menjadi pengacara merupakan cabaran buat dirinya kerana bukan senang untuk tampil di depan khalayak ramai dan mengendalikan sebuah program yang memerlukan dirinya berceloteh.

"Mungkin selama ini saya hanya melihat di televisyen bagaimana seseorang pengacara mengendalikan sesebuah program. Setelah melakukannya sendiri, baru saya sedar ia sememangnya sukar kerana sebagai manusia, kita mempunyai mood yang berbeza setiap hari.

"Dan walaupun mungkin hari itu mood tidak begitu baik, namun sebagai seorang pengacara, kita harus memakai topeng untuk menceriakan program yang diacarakan itu," ujar Awie yang mengaku tidak mudah untuk seorang menjadi pengacara.

Ceritanya lagi, sebagai seorang pengacara, walaupun pihak TV3 memberi beberapa buah program dan cara penyampaian pengacara untuk ditontonnya sebagai rujukan, namun dia tidak mahu melakukan sedemikian.

SELAIN mengacara, Awie juga menghiburkan tetamu dengan bakat nyanyiannya.


Ini kerana, jelasnya, jika dia menonton program tersebut, dirinya khuatir akan tertiru dengan gaya pengacara tersebut.

"Memang mereka ada berikan saya untuk menonton beberapa program yang seumpama ini, tapi saya tidak mahu tontonnya. Saya lebih suka untuk menjadi diri sendiri semasa mengacarakan Tunggu Sekejap. Mengapa saya perlu tonton cara orang lain bukan?

"Dalam program ini, saya hanya akan menjadi diri sendiri. Memang saya santai dan bagi saya tiada tekanan dan hanya relaks sahaja serta mengikut momentum program yang diberikan," cerita Awie jujur.

Alia tak kisah babak cium

Posted:

Alia tak kisah babak cium


ALIA BHATT muncul sebagai heroin menerusi filem pertama lakonannya, Student of The Year.


ALIA BHATT yang membuat penampilan sulungnya di layar perak menerusi filem terbaharu arahan pengarah Karan Johar, Student of The Year mengakui dia tidak kisah melakonkan babak cium menerusi filem-filem lakonannya pada masa akan datang.

Anak penerbit filem tersohor Mahesh Bhatt itu bagaimanapun menegaskan, dia sedia melakonkan babak cium di layar perak dengan syarat ia adalah kehendak skrip.

Gadis jelita berusia 19 tahun itu memberitahu Bollywood Celebden: "Saya tidak melihat bercium di layar perak sebagai suatu tabu. Jika ia mengikut kehendak skrip, saya akan melakukannya."

Tambahnya: "Seperti dalam filem Student of The Year, saya memakai bikini dalam salah satu babaknya. Saya selesa melakukannya kerana ia mengikut kehendak skrip dan memakai bikini di kolam mandi memang berlaku dalam kehidupan realiti."

Bercerita mengenai filem-filem terbitan syarikat bapanya, akui Alia: "Saya suka filem-filem terbitan syarikat (Vishesh Films) bapa saya. Bagaimanapun, itu tidak bermakna tiada produksi terbitan syarikat bapa saya yang saya tidak suka."

Dia juga mengakui lega kerana filem sulung lakonannya bukan diterbitkan oleh bapanya.

"Ia lebih kepada bagaimana untuk meyakinkan kemunculan diri kepada audiens di layar perak. Saya meletakkan diri saya dalam keadaan selamat apabila muncul menerusi filem yang tidak diterbitkan oleh bapa sendiri. Jadi, tidak timbul saya merupakan anak emas penerbit filem," katanya penuh makna.

Nabil, Neelofa tidak terkecuali

Posted:

Nabil, Neelofa tidak terkecuali

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


NABIL dan Neelofa teruja dberikan tanggungjawab sebagai hos bersama program Meletop.


SEBUAH program gosip sebenarnya menghadapi risiko jika individu yang diberikan tanggungjawab sebagai hosnya merupakan dari kalangan artis juga. Itu yang dihadapi program Meletop yang hadir sebagai sebuah program gosip di Astro Ria (Saluran 104).

Pada 30 Oktober lalu, buat julung-julung kalinya, penonton dapat menyaksikan pelawak, Nabil Ahmad dan pelakon sensasi, Neelofa digandingkan sebagai hos bersama Meletop.

Bukan seperti program hiburan gosip yang pernah muncul terlebih dahulu seperti Melodi dan Propaganza, program hiburan yang kini bersiaran setiap hari Selasa, pukul 10 malam itu memaparkan sisi yang berbeza.

Terdapat tiga segmen utama dalam Meletop iaitu Gosip Meletop (paparan gosip terkini), Carta Meletop (carta lagu 40 di Era FM) dan Filem Meletop (carta filem terlaris di Malaysia dan sketsa parodi babak daripada filem pilihan).

Terdapat juga beberapa segmen istimewa yang ditampilkan pada setiap minggu. Antaranya, Birthday Meletop (artis kegemaran buat kejutan sempena hari jadi peminat), Arena Meletop (berita sensasi bintang-bintang sukan) dan Lokasi Meletop.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, parodi babak daripada filem pilihan yang mana untuk episod pertama drama Adam & Hawa dipilih bukan bertujuan untuk mempersendakan mana-mana pihak.

"Sebelum parodi menerusi segmen Filem Meletop dibuat, pihak produksi akan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak yang bertanggunjawab terhadap produksi tersebut.

"Tujuan kami wujudkan parodi dalam segmen Filem Meletop ini bukan bertujuan untuk mempersendakan artis atau sesiapa. Ia sekadar hiburan semata-mata," ujarnya yang juga akan memastikan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Masih berbaki 51 episod lagi, ujar Raqim, Meletop memaparkan pengisian yang menjadi bualan, ikutan dan trend golongan muda pada hari ini.

"Ia bukan memaparkan gosip dunia hiburan semata-mata, tetapi apa sahaja topik atau isu terkini dalam kalangan golongan muda akan dipaparkan," ujarnya.

Ditanya sama ada gosip mengenai Nabil ataupun Neelofa akan turut dipaparkan, komen Raqim, walaupun merupakan hos Meletop, mereka juga tidak akan terkecuali.

"Mereka (Nabil dan Neelofa) tidak akan terlepas. Nabil dan Neelofa kena terbuka untuk menjelaskan sendiri mengenai gosip yang melanda diri mereka.

"Bukan sahaja Nabil dan Neelofa, malah kami akan menjemput beberapa artis ke studio untuk mereka jelaskan sendiri mengenai gosip yang melanda diri," jelasnya lagi.

Sementara itu, bagi Nabil, peluangnya untuk muncul semula sebagai pengacara televisyen setelah dua tahun tidak melakukannya merupakan sesuatu yang tidak harus dilepaskan.

Ungkapnya, dia sangat rindu dan teruja untuk mengacarakan program TV kerana bakatnya juga diasah melalui program di layar kaca iaitu Raja Lawak.

Mengulas mengenai Meletop, ujar Nabil, ia bukan sebuah program gosip yang serius, tetapi lebih kepada gosip yang santai.

"Saya baru lima tahun dalam industri, jadi tidak sesuai sekiranya bercerita mengenai gosip artis-artis lama seperti Rosyam Nor. Apa yang saya suka mengenai Meletop kerana gosip yang ditampilkan tidak terlalu serius," katanya.

Sementara bagi Neelofa pula, Meletop menjadi platform untuk dirinya menonjolkan sisi yang berbeza daripada sebelum ini.

"Selama ini saya lebih dikenali dengan gaya formal dan feminin, tetapi apabila saya mengacarakan Meletop saya kena menjadi gila-gila," ungkapnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved