Ahad, 28 Oktober 2012

Kosmo Online


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Yayasan IJN belanja RM2j setahun

Posted:

Yayasan IJN belanja RM2j setahun

28/10/2012 7:14pm

PETALING JAYA — Yayasan Institut Jantung Negara (Yayasan IJN) membelanjakan lebih dua juta ringgit setahun untuk membantu pesakit jantung kurang berkemampuan dari seluruh negara.

Pengurusnya, Ritzzawati Rosli Mohd. Rosli berkata, sejak 2009, lebih 300 pesakit dewasa dan kanak-kanak kurang berkemampuan telah dibantu oleh yayasan itu.

"Yayasan IJN melalui Program Bantuan Pesakit menggunakan dananya untuk membiayai pelbagai rawatan termasuk pembedahan jantung, membeli peranti dan membiayai penjagaan selepas pembedahan.

"Untuk membiayai rawatan-rawatan berkenaan setiap seorang pesakit biasanya memerlukan kos berjumlah kira-kira RM35,000," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak badan korporat dan individu tampil menyumbang kepada yayasan berkenaan kerana setiap pemberian meskipun sedikit mungkin boleh membantu menyelamatkan nyawa pesakit jantung yang tidak mampu. — BERNAMA

Sudan minat guna kepakaran Felda

Posted:

Sudan minat guna kepakaran Felda

28/10/2012 7:11pm

SETIU — Sudan berminat untuk menggunakan kepakaran teknologi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk dibangunkan di negara itu, kata Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Beliau berkata, perkara itu dinyatakan oleh Duta Sudan di Kuala Lumpur.

"Duta Sudan datang menemui saya kerana mereka berminat mengenai konsep Felda diwujudkan," katanya kepada pemberita pada majlis korban dan penyampaian dividen Felda Global Venture Holding kepada peneroka wilayah Terengganu di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pengurus Besar Felda, Faizoull Ahmad akan ke Sudan setelah diminta bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Isa berkata, Dr. Mahathir akan turut berada di negara tersebut untuk merasmikan persidangan ahli-ahli perniagaan Malaysia-Sudan pada 2 November ini.

Menurut beliau, Felda dijemput sama untuk menghadiri persidangan tersebut dan sekali gus akan dapat menerangkan konsep serta pembentukan Felda kepada pihak di sana.

Katanya, Duta Sudan memberitahu bahawa mereka mempunyai tanah untuk menanam kelapa sawit dan ingin tahu cara Felda membangunkan kawasan penerokaan daripada peringkat awal sehingga diteruskan kepada generasi kedua. — BERNAMA

Kesedaran terhadap penyakit IEM masih rendah

Posted:

Kesedaran terhadap penyakit IEM masih rendah

28/10/2012 7:08pm

MELAKA — Kesedaran rakyat Malaysia khususnya ibu bapa terhadap penyakit metabolik semulajadi (IEM) yang boleh menyebabkan kerencatan akal, kecacatan anggota atau kematian masih rendah.

Menurut Pakar Genetik dan Metabolisme Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ngu Lock Hock, hal ini disebabkan kesukaran golongan berkenaan mengenalpasti simptom IEM yang terdiri daripada 500 jenis penyakit berlainan.

Beliau berkata, pada masa ini, kira-kira 500 penghidap IEM di seluruh negara menerima rawatan di HKL, namun jumlah sebenar pesakit itu dijangka jauh lebih tinggi.

Katanya, IEM yang merupakan gabungan beberapa penyakit keturunan disebabkan masalah genetik sehingga menjejas penghasilan enzim dalam badan manusia.

"Penyakit ini bukan sahaja berlaku kepada bayi di awal usia seminggu malah turut dihidapi golongan dewasa pelbagai peringkat umur bergantung kepada faktor tindak balas enzim dalam badan seseorang individu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Terbuka Persatuan Metabolik Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata, bayi yang menghidapi IEM biasanya kurang menyusu dan kelihatan penat dalam satu jangka masa pendek selepas dilahirkan atau mempunyai badan yang lembik, mudah pengsan atau sering diserang sawan.

Beliau berkata lagi, bagi golongan dewasa pula mereka mungkin mengalami masalah pembelajaran, kecacatan pendengaran dan penglihatan atau kerosakan fungsi sesuatu organ, limpa dan hati menyebabkan mereka sering keletihan dan boleh membawa kematian.

Bagaimanapun, katanya, IEM boleh didiagnosis melalui ujian darah atau ujian air kencing. — BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved