Ahad, 28 Oktober 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Singgah 60 buah kedai sehari

Posted:

Singgah 60 buah kedai sehari

Oleh NIZHA PERIASWAMY

WALAUPUN peristiwa itu berlaku hampir 20 tahun lalu, namun ia tetap segar dalam ingatan Mohd. Jamsari Salam, 44. Mana mungkin Jamsari boleh melupakan, bagaimana lori yang penuh dengan muatan roti dipandunya terbalik di tengah-tengah jalan di Lebuh Raya Persekutuan berdekatan Subang, Selangor.

Akibat kemalangan itu hampir semua roti di dalam lori bertaburan di atas jalan. Apa yang mengejutkan Jamsari, ketika dia sedang berusaha keluar daripada tempat duduk pemandu, pengguna jalan mula berkerumun ke tempat kejadian. Bagaimanapun, mereka bukanlah datang semata-mata untuk menyelamatkan Jamsari, sebaliknya lebih berminat mengutip roti-roti di atas jalan.

"Orang ramai menyelamatkan roti dahulu, kemudian barulah menyelamatkan saya," cerita Jamsari berjenaka mengenangkan kejadian sewaktu dia bergelar jurujual roti di syarikat roti Gardenia.

Hari ini, Jamsari mungkin sudah tidak memandu lori. Hasil kesungguhan dan komitmen tinggi terhadap kerjanya, pihak syarikat memberi kepercayaan kepada Jamsari menjawat tugas lebih tinggi sebagai pengaudit runcit.

Namun, bermula dari bawah sebagai jurujual, dia tidak mungkin melupakan susah senang memandu lori setiap hari dari pagi hingga ke petang dari satu kedai ke satu kedai untuk mengedarkan lebih 1,000 bungkus roti Gardenia.

Akuinya, terlalu banyak cabaran dan kenangan disimpannya sepanjang mencari rezeki bergelar jurujual roti, malah ujian pertama datang daripada keluarga sendiri.

TUGAS seorang jurujual roti bukan sahaja memandu, menjual dan membuat kiraan akaun, malah mengangkat serta meletakkan sendiri bekas roti ke dalam lori atau kedai-kedai.


"Pertama sekali apabila saya beritahu ahli keluarga mengenai tugas saya menjual roti, air muka mereka berubah. Manakan tidak, saya pernah menolak tawaran belajar di maktab dan meneruskan kerja di sini. Bukankah ia akan membuatkan orang tua kita sedikit kecewa," kata Jamsari ketika dalam perjalanan melawat pusat pengedaran roti Gardenia di Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor.

Bekalan setiap hari

Namun, beliau percaya jika seseorang itu rajin dan mencintai kerjayanya sudah tentu pintu rezeki sentiasa terbuka, apatah lagi pihak syarikat juga sangat menjaga kebajikan kakitangan.

"Pengorbanan saya akhirnya berbaloi apabila syarikat memberikan saya peluang kenaikan jawatan dan gaji dalam masa yang singkat, sekali gus dapat memujuk orang tua untuk terus mencari rezeki di sebuah syarikat roti." ungkap Jamsari.

Bercerita tentang pengalamannya sebagai jurujual roti, ujar Jamsari, dia bukan sekadar menghantar roti ke kedai-kedai dan restoran, malah perlu komited dalam memastikan semua roti dihantar mengikut keperluan sesuatu kawasan dan tepat pada masanya.

Roti seperti yang diketahui merupakan antara makanan ruji rakyat negara ini, oleh sebab itu lihatlah di mana-mana jua kedai baik kedai runcit, kedai 24 jam atau pun pasar raya besar hampir setiap kedai mempunyai rak roti.

Berbeza dengan produk lain yang mungkin mempunyai tarikh luputnya sehingga beberapa tahun, tarikh luput roti hanya bertahan antara empat hari hingga satu minggu sahaja.

Ia menyebabkan hampir setiap hari lori roti perlu singgah di kedai-kedai di bawah kawasan masing-masing untuk membekalkan roti-roti baharu.

"Memandangkan permintaan terhadap roti lebih tinggi pada waktu pagi, rutin tugas saya bermula seawal pukul 2 atau 3 pagi di pusat pengedaran Gardenia di Bukit Kemuning. Ini kerana di situ, saya perlu memuat naik dan merekod jumlah roti dahulu sebelum keluar mengedarkannya ke kedai-kedai," ujarnya sambil memberitahu tugas beliau biasanya tamat pada sebelah petang selepas lebih 10 jam bekerja.


RAK-RAK roti kebiasaannya diletakkan di bahagian depan kebanyakan kedai atau pasar mini


Kongsi Jamsari lagi, seorang jurujual akan memandu sebuah lori dan mengedarkan roti ke 50 hingga 60 kedai setiap hari.

"Saya akan menghantar roti ke kedai yang sama hampir setiap hari. Disebabkan itulah, jurujual roti antara kakitangan paling ramai di syarikat kami untuk memastikan kedai-kedai menerima roti Gardenia kami setiap hari," beritahu Jamsari sambil berkongsi Gardenia mempunyai hampir 2,000 jurujual roti.

Beliau pernah bertugas di beberapa lokasi antaranya di Taman Tun Dr. Ismail, Petaling Jaya dan di Alor Setar, Kedah.

Teman beliau, Kamarol Shaharim, 42, yang berkongsi pengalaman yang sama berkata, semasa di pusat pengedaran lagi, seseorang jurujual perlu memastikan sistem susunan roti di dalam lori dilakukan secara profesional supaya proses penghantaran dapat dilakukan secara efisien.

"Bukan semasa hendak menurunkan roti, baru tercari-cari jenis roti atau membuat pengiraan. Kita perlu mengaturnya semasa melakukan muat naik lagi," katanya mengenai cara kerja seorang jurujual.

Walau bagaimanapun, kenangan seperti berdepan dengan kemalangan, trafik dan peniaga yang sangat cerewet semasa waktu penghantaran menjadi intipati kehidupan jurujual roti.

"Ada peniaga yang cerewet dan tidak suka walau kita lambat 10 minit daripada waktu penghantaran biasa. Ada yang tidak suka apabila pelanggan mereka terpaksa pulang tangan kosong kerana ketiadaan roti. Apabila berdepan dengan pekedai bermasalah, selaku pemegang jenama syarikat saya perlu banyak bersabar dan bijak mengendalikan situasi," cerita Kamarol pula.


SEORANG pekerja memeriksa roti yang sudah dibakar sebelum dipotong kepada 12 kepingan di kilang di Bukit Kemuning, Shah Alam.


Berkongsi pengalaman bertugas pada hari raya, beritahu Kamarol permintaan roti yang tidak pernah putus walaupun pada hari perayaan selain faktor tarikh luput roti memaksa jurujual roti sentiasa bertugas walaupun pada hari raya.

"Mungkin hanya separuh sahaja dapat bercuti, jurujual lain perlu bertugas untuk memastikan bekalan roti tidak terputus. Saya sendiri hanya dapat bercuti hari raya pada tahun kelima bekerja. Itupun dengan syarat harus kembali bertugas jika diperlukan," Kamarol bercerita lagi.

Namun kini, selepas bekerja hampir 20 dengan Gardenia, Kamarol hari ini tidak lagi memegang stereng lori dan mengedarkan roti.

Berkat pengalamannya, dia dilantik sebagai eksekutif jualan iaitu individu yang akan merekrut jurujual baharu, memberi latihan dan menyelia jurujual di syarikat itu.

Karnival Deepavali di Bukit Jalil

Posted:

Karnival Deepavali di Bukit Jalil

Oleh NIZHA PERIASWAMY

GERAI pakaian yang menawarkan pelbagai item fesyen menjadi tarikan utama pada karnival beli-belah ASC.


KEMERIAHAN dan kehangatan sambutan Deepavali yang akan disambut pada 13 November nanti semakin dirasai apabila penganut beragama Hindu sudah mula sibuk membuat persediaan sambutan perayaan hari cahaya itu.

Maka tidak hairanlah, beberapa lokasi beli-belah bak bazar diwujudkan untuk memenuhi permintaan perayaan itu. Agenda Suria Communication (ASC) antara penganjur yang meneruskan tradisi Karnival Beli-belah Deepavali.

Memasuki tahun ke-11, jika kebiasaannya ASC menganjurkan karnival di ruang parkir KL Sentral, namun kali ini pihaknya memilih lokasi baharu untuk mengurangkan masalah tempat letak kereta dan kesesakan di pusat bandar.

Bertempat di tempat letak kereta terbuka A, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pihak ASC menjamin, lokasi baharu yang hanya kurang 15 minit perjalanan kereta dari KL Sentral itu menawarkan ruang yang lebih besar, tempat letak kereta yang lebih selesa dan mod pengangkutan yang mudah.

"Kini, di Kompleks Sukan Bukit Jalil, kami mampu mengumpul ribuan orang dalam satu-satu masa, selain lebih banyak peniaga berbanding dahulu. Oleh itu, ia akan membolehkan pengunjung membeli pada harga yang jauh lebih murah," kata Pengarah ASC, Jaggarao Simancha ketika ditemuramah di pejabat beliau di Brickfields, Kuala Lumpur.

Karnival Beli-belah Deepavali ke-11 tahun ini akan diadakan selama 13 hari iaitu bermula 31 Oktober 2012 hingga malam Deepavali iaitu 12 November 2012. "Kami berbesar hati dan percaya karnival ini menjadi sesuatu yang dialu-alukan kerana ia bukan hanya terhad kepada aktiviti beli-belah," ujar Jaggarao.

Karnival Beli-belah Deepavali oleh ASC juga turut mempamer pelbagai acara hiburan yang disertai artis dan selebriti India tempatan.

Tahun ini, karnival tersebut dijangka dimeriahkan dengan hiburan, tarian, lagu-lagu Deepavali, hiburan oleh kanak-kanak, pertandingan membuat muruku, pencarian duta produk kecantikan Shahnaz dan pertandingan mencari harta karun.

Di ruang pameran beli-belah pula, ASC menawarkan pilihan barangan bukan sahaja tempatan, tetapi juga sejauh dari India dan Pakistan.

"Sebagai satu bangsa yang sangat terkenal dengan kekayaan warna, kami memastikan dapat menawarkan segala jenis warna fesyen dan aksesori kepada para pelanggan," tambah beliau.

Seperti tahun-tahun terdahulu, ASC membariskan peniaga dari seluruh pelosok India seperti Kashmir, Rajasthan, Tamil Nadu, Bengal Barat, Maharastra, Orrisa, Punjab, Kerala dan Andhra Pradesh selain dari Pakistan.

Cerita hidup Zaiton

Posted:

Cerita hidup Zaiton

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA


ZAITON: CERITAKU mengungkap kisah benar jalan hidup penyanyi Zaiton Sameon.


GEJALA gengsterism adalah realiti kehidupan masyarakat yang sering dipaparkan menerusi media cetak dan media elektronik. Rentetan daripada realiti sebenar kehidupan remaja masa kini, Budak Pailang membawakan kisah kehidupan seorang remaja bernama Badrul yang terlibat dengan dunia kongsi gelap setelah bercampur dengan kumpulan samseng di sekolah.

Kehidupannya tambah tertekan kerana sering dileteri dan dimarahi ibunya sehingga dia mengambil keputusan untuk menyertai sebuah kumpulan kongsi gelap.

Apakah yang terjadi kepada Badrul dan rakan-rakannya? Adakah Badrul berjaya meninggalkan dunia kongsi gelap dan kembali menjalani kehidupan normal? Semuanya akan terjawab menerusi filem aksi hebat itu.

Sementara itu, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kehebatan watak perisik James Bond yang kembali beraksi menumpaskan penjenayah dalam filem terbaharu bertajuk Skyfall.

Peminat penyanyi terkenal 80-an, Zaiton Sameon jangan lupa untuk menyaksikan filem bergenre drama Zaiton: Ceritaku. Ia bakal membawa anda kembali menyorot zaman kegemilangan Zaiton selain menangisi dugaan yang dihadapinya sebelum bangkit semula.

Budak Pailang

Genre: Aksi

Durasi: 90 minit

Pengarah: Hashim Rejab

Pelakon: Aeril Zafrel, Wawa Zainal dan Niezam Zaidi

Sinopsis: Filem ini mengisahkan kehidupan seorang remaja bernama Badrul yang merupakan seorang samseng, bersifat nakal dan suka membuli. Dia dan rakan-rakannya, Achoi, Awang dan Wani sering melakukan huru-hara serta mengusik orang yang lemah.

Rodi, seorang remaja yang lurus sering menjadi mangsa buli Badrul dan rakan-rakannya.

Akibat tidak tahan dibuli, Rodi mengambil keputusan mengupah sekumpulan gengster untuk memukul Badrul dan rakan-rakannya. Dalam pada itu, Badrul mengalami kecederaan yang teruk kerana cuba menyelamatkan seorang gadis yang bernama She daripada diganggu oleh sekumpulan samseng jalanan.

Badrul yang tidak tahan hidup dalam belenggu kemiskinan dan bosan dengan sikap ibunya yang sering berleter mengambil keputusan untuk menyertai kumpulan kongsi gelap.

Dia menjadi anak buah kepada Alex, seorang raja dadah yang berpengaruh besar.

Kehidupan Badrul mula berubah menjadi mewah sehinggalah dia ditangkap dan dimasukkan ke dalam sebuah sekolah juvana.

Skyfall

Genre: Aksi

Durasi: 143 minit

Pengarah: Sam Mendes

Pelakon: Daniel Craig, Judi Dench, Ralph Fiennes dan Javier Bardem

Sinopsis: Apabila sebuah operasi di Istanbul berakhir dengan tragedi, James Bond dikhabarkan telah mati dan identiti ejen perisik terkenal M16 itu telah tertiris di internet.

Selepas kejadian itu, ramai yang mempersoalkan kewibawaan ketua agensi perisik rahsia, M, dalam mengendalikan misi rahsia.

Pihak kerajaan juga meragui keupayaannya dalam menghadapi situasi getir. Bond akhirnya muncul ketika M diserang dan mencari Roul Silva, penjahat berbahaya yang paling dikehendaki pihak berkuasa.

Zaiton: Ceritaku

Genre: Drama

Durasi: 87 minit

Pengarah: Isma Daniel

Pelakon: Nadia Aqilah, Shahronizam, Karl Shafek, Riezman Khuzaimi, Wan Maimunah, Norlia Ghani dan Arash Mohamad

Sinopsis: Zaiton terlibat dalam kemalangan ngeri yang telah mengorbankan nyawa anaknya Irwan.

Akibat daripada tragedi yang menyayat hati itu, perjalanan kariernya turut musnah. Kehidupan yang dilaluinya selepas kemalangan tersebut amat perit dan menyakitkan.

Dia yang tidak mempunyai tempat untuk bergantung hanya mengharapkan belas kasihan daripada ibunya.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, ibunya pula meninggal dunia.

Dia kemudiannya hidup terkontang-kanting sehinggalah dipertemukan dengan Rahim.

Walaupun begitu, masih ada sebilangan manusia yang tamak haloba serta mengukur jiwa dengan kemewahan. Mereka memperalatkan Zaiton kerana yakin masih ada pesona bintang pada dirinya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved