Rabu, 3 Oktober 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Fesyen dan muay Thai kongsi gelanggang

Posted:

Fesyen dan muay Thai kongsi gelanggang

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my

BARISAN penggerak acara Fashion Fighter, Thailand VS Asia - The Best of Malaysia bergambar kenangan dengan para peserta muay Thai.


KOLABORASI sukan dan fesyen sudah sinonim di peringkat antarabangsa. Gabungan menarik itu bagaimanapun belum menemui pintu peluang untuk direalisasikan di negara ini.

Langkah yang diambil Elite Boxing Malaysia Sdn. Bhd. menandakan permulaan kerjasama unik antara industri sukan dan fesyen tanah air. Menjadikan Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) sebagai rakan rasmi acara, persatuan yang diketuai pereka fesyen prolifik, Bon Zainal itu menerima pelawaan tersebut tanpa gentar.

"Ketika kami dihampiri pihak Elite Boxing untuk bekerjasama dalam acara sukan ini, saya tidak berfikir lama untuk bersetuju. Gabungan fesyen dan sukan adalah satu idea bijak dan wajar dilaksanakan di Malaysia.

"Anda bakal melihat pemandangan yang luar biasa pada acara sukan. Hadirin akan datang berpakaian eksklusif dan kemas ibarat pergi ke majlis anugerah," ujar Bon Zainal ketika ditemui pada sidang media acara Fashion Fighter di Butter Factory, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Fashion Fighter, Thailand VS Asia - The Best of Malaysia bakal menyaksikan tujuh perlawanan tinju membabitkan 14 atlet muay Thai dari Thailand, Iran, Malaysia, China, Brazil dan New Zealand.

Acara yang bakal disiarkan di lebih 100 negara dengan kerjasama media rasmi seperti ESPN, Starsports, Eurosports, TGN, Astro dan lain-lain akan dijalankan di Sunway Pyramid Convention Centre pada 9 Oktober ini.

Apa yang menarik, sebelum perlawanan bermula penonton berpeluang melihat barisan selebriti tanah air berjalan di karpet merah menggayakan rekaan busana di bawah kelolaan BDA.

"Kami mengangkat batik sebagai tema dalam mereka pakaian sempena acara ini. Memandangkan batik adalah warisan kebangsaan, kami cuba menampilkan kehebatannya dalam membentuk persalinan eksklusif sekali gus menjadi satu bentuk promosi kepada orang luar.


ACARA Fashion Fighter, Thailand VS Asia - The Best of Malaysia pertama kali diadakan di negara ini.


"Selaku pereka fesyen rasmi bagi acara ini, saya amat berbangga kerana dapat melibatkan diri dalam kerjasama bersejarah ini," luah Amir Luqman yang memberitahu terdapat hadiah bagi pemenang pakaian terbaik lelaki dan perempuan serta rekaan terbaik.

Atlet Malaysia

Perlawanan utama pada hari tersebut bakal menyaksikan juara The Challenger Muay Thai, Madsua Lamai dari negara Gajah Putih berdepan dengan juara dunia Muay Thai Grand Extreme, Mosafa Abdollah yang mewakili Iran.

Kategori The Best of Malaysia mempertaruhkan barisan atlet muay Thai tempatan yang bukan calang-calang. Kapten pasukan Malaysia, Mohd. Ali Yaakob akan menentang juara Isaan Region, Petchumphol KiatBundit.

Faizal Ramli pula akan berdepan seorang lagi jaguh Thailand, yang memakai gelaran Armin Black Dragon Swiss. Seorang lagi peserta tanah air, Amin PDRM akan menentang Yaya Merican.

Wakil tunggal atlet wanita Malaysia, Ella TNT perlu membenamkan ketakutannya apabila berdepan dengan peserta New Zealand, Genah Muayfit.

Pertandingan berprestij itu akan diacarakan oleh pelakon jelita, Diana Danielle yang akan bergandingan bersama Fay Hokulani.

Tiket telah pun mula dijual menerusi laman web www.ebmalaysia.com.my yang menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus. Ia juga boleh didapati dalam laman web http://redtix.airasia.com/Events/

MuayThai/.

Empat jenis tiket yang dijual adalah pada harga RM88, RM158, RM228 dan RM388.

Khasiat cuka untuk tubuh

Posted:

Khasiat cuka untuk tubuh

CUKA buah-buahan NU Lifestyle menjadi alternatif kesihatan terbaharu di pasaran.


CUKA sering dijadikan bahan tambahan dalam masakan seperti garam dan gula. Rasanya yang masam sesuai digunakan untuk membuat acar buah ataupun sebagai bahan melembutkan mi.

Namun, ia sebenarnya telah wujud sejak berkurun lamanya. Masyarakat Greek dan Mesir misalnya, menjadikan cuka sebagai tonik kesihatan.

Walaupun baunya yang kurang menyenangkan, khasiat cuka boleh mencegah dan menyembuhkan pelbagai penyakit seperti gangguan pencernaan, pemecahan molekul lemak sekali gus membantu proses pengurangan berat badan.

Menyedari hakikat itu, syarikat pengeluar barangan kesihatan, Nu Lifestyle mencipta inovasi terbaharu dengan memperkenalkan cuka sebagai bahan minuman seharian iaitu Natural Vinegar.

Produk ini diproses daripada beras berkualiti tinggi dan diadun bersama ekstrak buah-buahan serta herba-herba terpilih.

Hadir dengan pelbagai perisa, ia mampu meningkatkan sistem imun dalam tubuh badan, meningkatkan metabolisme, pencegah antioksida dan mengawal paras pH.

PENGASAS Nu Lifetyle, Datuk Peter Tan (kiri) mempamerkan produk makanan kesihatan terbaharu cuka buah-buahan Kong Yen bersama Pengarah Pengeluaran, Teh Eng Chuan.


Natural Vinegar menggunakan bahan-bahan berkualiti ketika proses penapaian selain tidak mengandungi perasa tiruan, warna atau perasa tambahan.

Minuman kesihatan ini turut mendapat pengiktirafan daripada Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), Sijil Halal dan pengiktirafan International Organization for Standarzation (ISO).

Bagi membolehkan orang ramai merasai kelazatan minuman ini, Nu Lifestyle telah membuka kedai konsep minuman, Vinegplus. Pengunjung boleh memilih perisa cuka bersama buah-buahan segar yang diadun menjadi smoothie. Pelbagai menu sandwic juga dihidangkan.

Natural Vinegar boleh didapati pada harga antara RM59 sehingga RM330. Gerai Vinegplus boleh dikunjungi di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, KL Festival City, Setapak dan Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. - MOHAMMAD HAFIZ AHMAD

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved