Rabu, 3 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kualiti, hala tuju filem pendek tempatan

Posted:

Kualiti, hala tuju filem pendek tempatan

PIHAK Academy of Motion Pictue Arts and Sciences telah meletakkan syarat dan label bahawa karya lakonan yang berputar kurang daripada 40 minit termasuk kredit akhirnya merupakan suatu filem pendek.

Syarat itu mencetuskan kepada gerakan pengkarya filem pendek sejak kemunculan naskhah Arrival of a Train at La Ciotat Station pada tahun 1895, hasil arahan dua sutradara legenda, Auguste dan Louis Lumiere.

Semenjak itu, industri filem pendek berkembang dan melahirkan variasi filem pendek menerusi pelbagai eksperimen genre, teknik dan struktur cerita.

Jika dilihat perkembangan filem pendek di Malaysia pula, realiti yang berlaku menunjukkan ia rata-rata dipelopori golongan pelajar yang menghasilkan naskhah seni sedemikian untuk tugasan akhir di institusi pengajian tinggi tempat mereka menimba ilmu.

Contoh paling jelas antaranya filem kontroversi Comolot yang pernah diterbitkan pada tahun 2008 oleh pelajar tahun akhir Akademi Seni Negara dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Ia mengisahkan tentang kehidupan pasangan gay dalam komuniti masyarakat di Malaysia.

Biarpun karya seni lakonan itu tidak banyak bermain teknik seni dalam menghasilkan sebuah karya filem pendek malah jalan ceritanya juga ringkas, filem pendek itu nyata mendapat respons daripada audiens atas nama kontroversi.

Perkara paling jelas dilihat di sini, filem pendek kebanyakannya bukan dibikin untuk tujuan komersial (jika ditolak filem pendek berasaskan iklan), kerana pada kebiasaannya ia menyampaikan mesej terarah kepada kritikan sosial merangkumi aspek seks, politik, agama dan bangsa.

Perkara asas yang diambil kira dalam pembikinan sesebuah filem pendek sekarang sudah tentu elemen bebas bereksperimen. Filem pendek juga bukan dibikin untuk tujuan mengaut untung serta berasaskan modal yang minimum.

Short Shorts

Justeru, sejauh mana hala tuju industri filem pendek tempatan dalam arus semasa?

AKTOR Itali, Ettore Nicoletti (kiri) turut berlakon dalam filem pendek arahannya, The Padlock.


Menjawab isu yang diutarakan, kata wakil penganjur Short Shorts Film Festival & Asia in Malaysia 2012, Bea Tanaka, secara jujur dia melihat perkembangan industri filem pendek di Malaysia bercambah ke arah lebih progresif berbanding sepuluh tahun lalu.

"Persaingan dilihat datang daripada golongan pelajar yang kreatif dan banyak berimaginasi untuk menyalurkan idea ke dalam filem pendek terutama penuntut tahun akhir di institusi pengajian tinggi.

"Cuma subjek utama yang masih kurang dititikberatkan adalah kupasan universal mengenai sesuatu topik. Maksudnya kebolehan sesebuah karya filem pendek itu difahami oleh penonton dari negara-negara lain perlu digilap.

"Maka disebabkan itu, pihak kami dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyediakan platform kepada mereka (pelajar) untuk mempamerkan hasil kreativiti filem pendek dan dipertandingkan ke peringkat antarabangsa," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Short Shorts Film Festival & Asia di Malaysia 2012 (SSFFA 2012) di Finas, Ulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Menerusi festival yang berlangsung selama dua hari itu, sebanyak 22 buah filem dari pelbagai negara seperti Kanada, Poland, Itali, Jepun, Jerman, United Kingdom (UK), Perancis, Iran, Sepanyol, Singapura, Taiwan, Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia dipertandingkan.

Antara judul-judul produksi terbabit termasuklah Friend Request Pending, The Soundman's Love, A Shadow of Blue, Mo Ikkai, Road Is Closed, Mother Groom dan The Padlock.

Festival kali ketiga itu tambah Bea, turut membuka peluang karyawan dan pelajar perfileman berkongsi pengalaman dalam pelbagai aspek pembikinan filem pendek dari dalam dan luar negara.

Jelas Bea, prospek cerah dilihat daripada penyertaan negara Perancis dan Jepun pada kali ini dengan lebih 100 penyertaan diterima daripada para penerbit filem pendek negara matahari terbit itu.

Mo Ikkai

Menyingkap sejarah awal penganjuran festival itu, ia mula diperkenalkan di Harajuku, Jepun pada tahun 1999 dan mendapat pengiktirafan secara rasmi sebagai satu acara Academy Award oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences.

Pemenang anugerah Grand Prix festival ini secara automatik layak dicalonkan dalam senarai Top 5 kategori filem pendek terbaik untuk merebut trofi Oscar pada majlis Academy Awards tahun berikutnya.

TULANG belakang Short Shorts Film Festival & Asia di Malaysia 2012 yang juga penganjur acara tersebut, Yasu Tanaka (kiri) dan isterinya, Bea Tanaka.


Penganjuran kali ini menyaksikan naskhah berjudul, Mo Ikkai garapan Atsuko Hirayanagi memenangi anugerah Grand Prix sekali gus melayakkan wakil dari Jepun itu bertanding untuk merebut Oscar kategori Filem Pendek Terbaik pada majlis Academy Awards tahun 2013.

Mo Ikkai mengisahkan kepulangan seorang lelaki ke kampung halamannya di Tokyo dan bertemu dengan roh ibunya yang telah meninggal dunia. Hilang dalam landskap memorinya sendiri, dia didampingi oleh roh tersebut buat terakhir kali.

Turut bertanding dalam festival SSFFA 2012, tiga wakil tempatan menerusi naskhah berjudul The Apprentice, Hari Jadi dan Di Kalangan Kita.

Cabaran

Tertarik dengan sebuah naskhah yang memaparkan kehidupan seorang bapa meraikan hari jadi anaknya setiap tahun walau tanpa kehadiran insan tersayang yang dirai, Pengarah filem pendek Hari Jadi, S.T Bala berkongsi buah idea menghasilkan filem itu.

Katanya, Hari Jadi merupakan sebuah subjek universal yang boleh difahami penonton dari luar Malaysia.

Malah, filem yang dihasilkan dengan kos RM18,000 itu merupakan filem pendek tanpa suara garapannya yang pertama sejak berkecimpung dalam dunia pengarahan lebih 15 tahun lalu.

"Apabila faktor kos perlu diambil kira ketika menyiapkan sesebuah karya, tekanan untuk menghasilkan karya bermutu datang berganda.

"Kita perlu mempertimbangkan pemilihan pelakon, teknikal dan proses suntingan yang adakalanya memakan kos tinggi," ujarnya yang berjaya menyiapkan filem pendek itu dalam tempoh dua hari.

Keseluruhannya, industri filem pendek tempatan perlu diberi peluang untuk berkembang. Anjakan elemen seni dalam sesebuah filem pendek juga perlu diteliti dan diperhalusi, bukan hanya tangkap muat. Begitu pun, kita masih perlu bertempur dengan isu keterbukaan dan sensitiviti masyarakat kini.

Filem pendek kontroversi

Posted:

Filem pendek kontroversi

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my



Filem pendek membentuk paradigma supaya penontonnya berfikir secara kritis dan melihat lebih mendalam intipati mesej yang ingin disampaikan bukan sekadar luaran saja.

Disebabkan itu, kebanyakan penggiat filem pendek banyak bereksperimentasi dalam menyampaikan wacana idea.

Eksperimen yang dimaksudkan boleh datang secara olahan jalan cerita, mainan lampu, sudut kamera dan genre yang menjadikan sesebuah karya itu dipandang sebagai naskhah seni.

Namun, tidak dinafikan ada juga filem pendek yang dihasilkan dalam skala bajet yang besar tapi tidak dapat ditayangkan atau dipertandingkan dalam festival berikutan kontroversi.

Kontroversi pula mungkin timbul dari sudut agama, bangsa, politik, seks dan kebanyakannya merangkumi kritikan sosial.

Berikut disenaraikan beberapa buah filem pendek yang mencipta kontroversi namun masih mendapat perhatian ramai hingga kini.

Comolot (2008)

Sinopsis: Filem yang dihasilkan oleh pelajar Akademi Seni Negara dan Warisan Kebangsaan (Asawara) itu ditayangkan sempena Festival Kesenian dan Muzik (ajuran Rantai Art Event). Menceritakan kasih sayang sesama lelaki bernama Danial (lakonan Remy Ishak) dan Aiman (Quairel). Namun, Danial memilih Aiman walaupun dipaksa berkahwin dengan Juwita (Amiera Sulaiman).

Kontroversi: Sebuah kritikan sosial terhadap golongan gay dan cara hidup pasangan yang berlandaskan orientasi seksual berbeza daripada golongan heteroseksual. Filem pendek itu turut menampilkan aksi berahi pasangan gay.

Chukang (2010)

Sinopsis: Filem arahan Shuhaimi Lua Abdullah ini dihasilkan selepas fenomena filem bebas Bukak Api. Filem berdurasi 18 minit itu memaparkan realiti kehidupan golongan lelaki yang terjebak dalam kancah pelacuran sejenis dengan berselindung di sebalik bisnes rumah urut. Ia menampilkan Roslan Shah, Ifa Raziah, Rosnan Rahman dan Azam Pitt sebagai pelakon.

Kontroversi: Pemaparan isu golongan gay dan sisi gelap rutin kehidupan tukang urut lelaki.

Malaikat di Jendela

(2004)

Sinopsis: Kisah mengenai seorang jururawat kampung bernama Hamidah (Ning Baizura) yang berjuang untuk hidup setelah anak dan suaminya meninggal dunia akibat AIDS. Struktur emosi dan fizikal kehidupan Hamidah diceritakan secara voice-over oleh anaknya sebagai metafora 'malaikat' yang sedang memerhati dan berbicara dari suatu sudut metafizikal jendela.

Kontroversi: Kontroversi timbul gara-gara judul yang dipilih oleh pengarahnya, Osman Ali menggunakan perkataan 'malaikat'. Filem berdurasi 30 minit itu turut menampilkan be pelakon Haeryanto Hassan, Shoffi Jikan dan Saliza Ali.

Fitna (2008)

Sinopsis: Sebuah filem berdurasi 16 minit yang ditulis seorang ahli politik Belanda, Geert Wilders. Fitna bermaksud percanggahan dan perpecahan antara manusia dan dalam filem itu memaparkan beberapa potongan ayat suci al-Quran yang diselang-selikan dengan gambar serangan pengganas termasuk pengeboman World Trade Centre pada 11 September 2001, selain penghinaan terhadap ilustrasi gambar Nabi Muhammad S.A.W.

Kontroversi: Filem yang menampilkan pandangan kritis terhadap agama Islam dan al-Quran yang dikatakan menggalakkan keganasan dan peperangan. Fitna dikatakan cuba menyampaikan mesej anti-Islam dan pertahankan kebebasan sejagat.

The Kiss (1896)

Sinopsis: Ramai yang terkejut apabila adegan bercium antara dua bintang sensasi Broadway ketika itu May Irwin dan John Rice ditayangkan berulang kali sekali gus menjadikan filem pendek arahan William Heise itu antara yang paling popular. Tambahan, ia ditayangkan secara komersial kepada orang awam. Aksi ciuman sepanjang 47 saat itu diambil daripada sebuah pementasan teater, The Widow Jones.

Kontroversi: Filem itu menyebabkan kegemparan yang memalukan dan sebarang berita mengenai filem itu tidak dibenarkan ditulis di akhbar. Selain itu tindakan undang-undang dikenakan di lokasi filem tersebut ditayangkan.

Alzheimer cabaran besar dunia perubatan

Posted:

Alzheimer cabaran besar dunia perubatan

KEBANYAKAN pesakit alzheimer menunjukkan sikap yang keliru dan pelupa.


SEJAK dikesan lebih 100 tahun lalu, penyakit alzheimer menjadi cabaran besar kepada pengamal perubatan, malah ia kini semakin 'ganas' meragut ingatan dan kebebasan para pesakit.

Kajian yang dilakukan para penyelidik juga banyak menemui kegagalan sekali gus merencatkan usaha melawan penyakit berkenaan.

Meskipun, di Amerika Syarikat (AS) penjagaan terhadap para pesakit tersebut bertambah baik, namun punca penyakit tersebut masih menjadi teka-teki.

Penyakit alzheimer merupakan penyumbang kepada dua pertiga daripada kes demensia (nyanyuk). Para penyelidik kini semakin tertekan ekoran bilangan pesakit tersebut terus meningkat seiring jangka hayat penduduk yang semakin panjang.

"Masalah ini bakal menjadi 'tsunami' terutamanya dari segi kos perubatan," ujar Pengarah Inisiatif Sains di Pertubuhan Alzheimer AS, Dean Hartley.

Harapan untuk mencari penawar kepada penyakit tersebut semakin tipis apabila beberapa syarikat farmaseutikal gergasi seperti Eli Lilly, Pfizer dan Johnson & Johnson memberhentikan kajian, apabila hasil kajian mereka gagal dalam ujian klinikal.

Ekstrak tumbuhan

Pada 6 September lalu, para penyelidik Perancis mengumumkan rancangan meluaskan pasaran ekstrak tumbuhan ginko biloba sebagai pencegahan semula jadi bagi penyakit alzheimer, namun ia bukanlah pencegah demensia.

PARA pengamal perubatan menghadiri satu mesyuarat sempena Hari Alzheimer Sedunia di Paris baru-baru ini, namun mereka masih buntu mencari penyelesaian.


Selain menyalahkan kekurangan dana, para penyelidik buntu dalam mencari penyelesaian bagi penyakit yang ditemui doktor Jerman, Alois Alzheimer. Dia menemui penyakit itu dalam otak pesakit demensia yang meninggal dunia pada tahun 1906.

Sebelum itu, sehingga tahun 1960-an, kajian tentang alzheimer sangat sedikit kerana ketika itu bilangan pesakit tidak ramai.

Ketika ini, terdapat ubat yang boleh mengurangkan simptom penyakit tersebut tetapi ubat itu masih gagal mencegah sepenuhnya penyakit alzheimer.

"Orang ramai amat memerlukan ubat terutama para pesakit dan ahli keluarga terdekat," kata Eric Karran, Pengarah Penyelidikan di Pusat Penyelidikan Alzheimer United Kingdom.

"Kita berada dalam situasi yang kritikal dalam menangani penyakit ini," tambahnya.

Hartley dan Karran berkata, kerajaan memberikan peruntukan kewangan yang sedikit, sedangkan usaha pencegahan dan rawatan penyakit Alzheimer memerlukan kos yang tinggi.

"Industri farmaseutikal telah menemui banyak kegagalan dalam usaha mencari punca penyakit alzheimer. Kami bimbang jika kerajaan berfikir 'usaha mengatasi penyakit alzheimer adalah terlalu sukar, jadi kita tunggu sahaja sehingga sains merungkai masalah tersebut'," kata Hartley dan Karran.

Kos meningkat

Persekutuan Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI) menjangkakan pesakit demensia akan meningkat daripada 35.6 juta orang pada tahun 2010 kepada 65.7 juta orang (2030) dan 115.4 juta orang (2050).

PESAKIT alzheimer memerlukan sokongan dan kasih sayang keluarga sementara menunggu keajaiban dalam dunia perubatan.


Sehubungan itu, kos termasuk rawatan hospital dan pusat jagaan, ubat serta rawatan susulan dijangka meningkat kira-kira 85 peratus pada tahun 2030 berbanding AS$600 bilion (RM2,000 bilion) pada tahun 2010.

Bagaimanapun, wang bukanlah satu-satunya masalah kerana penyakit itu begitu kompleks dan haiwan pula tidak boleh dijadikan objek kajian untuk merungkai punca alzheimer.

Pesakit alzheimer kebiasaannya ketara bagi mereka yang berusia sekitar 70 tahun. Pada usia tersebut, anggota keluarga mendapati orang kesayangan mereka menjadi keliru dan pelupa.

"Pesakit yang menjalani ujian klinikal didapati telah menghidap penyakit tersebut sejak 15 tahun lalu, peringkat ini sel neuron telah mati," kata Karran.

Justeru itu, para penyelidik menyasarkan untuk mengesan dan menjalankan rawatan kepada para pesakit yang baru di peringkat awal penyakit berkenaan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved