Ahad, 14 Oktober 2012

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Wanita AS pencinta tenunan

Posted:

Wanita AS pencinta tenunan

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periaswamy@kosmo.com.my

BERLOKASI di sebuah galeri seni di Petaling Jaya, Selangor, beberapa pukal kain sutera dalam pelbagai saiz, warna dan rekaan dikumpul untuk tatapan peminat tekstil tersebut. Pemiliknya ialah seorang wanita Amerika Syarikat (AS) yang sudah 24 tahun bermastautin di Laos.

Carol Cassidy mungkin satu nama yang baharu di negara ini, tetapi di Laos beliau bertanggungjawab mengembangkan sektor tekstil sutera tenunan tangan negara itu.

Penglibatannya amat relevan memandangkan Laos merupakan salah sebuah negara yang masih mencari identiti sendiri dalam perkembangan ekonominya.

Kini, koleksi khusus kain tekstil sutera Carol diperaga secara solo buat kali kedua untuk tontonan umum di galeri Shalini Ganendra Fine Arts@ Residency Gallery, Petaling Jaya.

Pernah melawat Malaysia sebanyak tiga kali sebelum ini, Carol mengakui, negara tropika ini mempunyai tarikan kebudayaan dan seni halus yang menawan diri beliau, termasuk bidang pilihannya iaitu tekstil.

Sebelum bercerita secara lanjut mengenai pameran seni beliau, Gorgeous Weaves, Carol sempat menceritakan pengalaman beliau berada di Muzium Tekstil di Kuala Lumpur. Mengakui ia sebagai satu lokasi wajib dilawati, Carol yang mengadakan sesi ceramah di situ ternyata terpesona dengan pelbagai koleksi tekstil tempatan.

"Kamu juga mesti pergi melawat muzium itu. Bagi saya, ia umpama satu khazanah yang tidak ternilai," katanya dalam nada ikhlas dan teruja.

Tenunan istimewa

Sambil mengalihkan beberapa helai kain sutera yang berbentuk selendang bersaiz kecil, Carol memberitahu, sebagai seorang penenun tangan, beliau memastikan setiap hasil tenunan itu unik dan istimewa.

Aspek itu amat penting kerana beliau bukan menyediakan sutera untuk pasaran besar, tetapi khusus.

Ia juga menjadi rahsia Carol mengembangkan hasil tenunan ke semua pelosok dunia termasuk di Malaysia.

"Kejayaan daripada pameran solo pertama saya di sini pada tahun 2010 telah membawa saya kepada pameran kedua ini. Saya amat teruja dengan respons yang diterima di sini," katanya.

CAROL banyak merantauke pelbagai negara di seluruh dunia untuk mendalami ilmu seni warisan tekstil.


"Seni adalah satu bahasa yang universal dan apabila ia melibatkan satu bidang yang mengujakan seperti tekstil, saya percaya ia akan dilihat sebagai satu seni halus juga," katanya yang percayai hasil tenunan beliau bukan sekadar fesyen semata-mata.

Menurutnya, fesyen adalah untuk dipakai dan seni pula untuk dipamer dan dihayati.

Carol membawa kira-kira 150 helai sutera Laos untuk pengisian pameran itu. Setiap sudut galeri dihiasi dengan kain-kain sutera daripada rona yang sama bagi memperaga efek persembahan yang kreatif .

Sebagai pengasas dan pemilik Lao Textiles, Carol terlebih dahulu belajar menenun di Norway dan Finland serta mendapat Ijazah Seni Halus di Universiti Michigan pada 1980. Dia pernah bertugas selaku pakar tekstil di Afrika Selatan selama lapan tahun. Beliau juga pernah ditugaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengaplikasi kepakaran beliau di negara-negara seperti Botswana dan Zimbabwe untuk membimbing wanita kawasan pedalaman untuk industri kecil.

Pengalaman yang sama juga kata Carol, mencetus niat beliau untuk ke Laos dan mengenali tradisi tenunan tangan sutera di bumi Vientiane.

"Simbol seperti layang-layang ini adalah simbol signatur tenunan kami di Laos, khususnya oleh saya. Tetapi kami juga menggunakan pelbagai rekaan, jenis tenunan dan simbol untuk pameran tekstil sutera seperti yang anda lihat pada hari ini," kata Carol merujuk kepada sehelai kain.

Cita rasa baharu

Walaupun mempamerkan tradisi tenunan budaya dan gaya Laos, Carol mengakui, beliau turut menyelitkan unsur moden dan kontemporari supaya ia tetap bersesuaian dengan cita rasa muda.

Setiap penenun atau menurut Carol, akan merakam intipati kebudayaan dan berinovasi mengikut kreativiti untuk hasil yang moden dan segar.

"Tenunan setiap helai kain mengambil masa yang lama. Paling cepat ialah lima hingga 10 hari dan lazimnya ia akan mencecah tiga hingga empat minggu bagi sehelai kain saiz sederhana. Antara jenis tenunan yang dikenakan ialah songket dan ikat.

"Ikat terbahagi kepada ikat broked berterusan dan tidak berterusan, tapastry serta simpulan. Pengunaan warna juga sama penting kerana mencetuskan cita rasa yang lebih segar. Semuanya mengikut kreativiti," ujar beliau yang menggunakan khidmat kerja 50 orang kakitangan di pusat tenunnya.

CAROL (tiga dari kir) menerangkan jenis tekstil sutera kepada pengunjung yang hadirke pameran solonya.


Usia 17 tahun

Carol seringkali dibandingkan dengan Jim Thompson, juga seorang warga AS yang membina empayar sutera di Thailand. Carol menenun sejak berusia 17 tahun dan pernah bertugas di hampir semua benua di Amerika dan Afrika.

Semua hasil kerja tenunan tangan Carol menggabungkan hasil seni tersendiri bersama unsur keusahawanan, satu kombinasi yang sangat jarang diketengahkan.

Beberapa helai tenunan Carol boleh ditemui di muzium-muzium antarabangsa.

Carol juga memastikan tenunannya mendapat tempat di pameran-pameran besar setiap tahun seperti di pameran seni di New York, Tokyo, Paris, Hong Kong, Sydney, Phnom Penh, Kathmandu dan Bangkok.

Di galeri pameran Shalini Ganendra Fine Arts@ Residency Gallery, helaian sutera yang dipamerkan dalam lingkungan nilai harga RM250 hingga RM2,900. Carol sekali lagi mengingatkan, setiap helaian adalah berbeza, unik dan amat bernilai tinggi.

Seni gabungan tiga negara

Posted:

Seni gabungan tiga negara

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
ayman.ghaffa@kosmo.com.my


SALAH satu lukisan menggambarkan ekspresi kehidupan manusia yang menghiasi ruang dinding Galeri Seni Matic.


PERSATUAN Wanita Korea Selatan di Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia, Galeri Artseni dan Galeri Seni Cube dari Iran telah menganjurkan satu pameran seni hasil karya tiga buah negara untuk tatapan seluruh rakyat negara ini.

Bermula 2 Oktober dan akan berakhir pada 30 Oktober nanti, pameran Artis Malaysia, Iran dan Korea (MIKA 2012) tersebut membuka ruang kepada bakat-bakat seni Malaysia mempamerkan hasil kerja mereka bersama pengkarya dari Korea Selatan dan Iran yang menetap di negara ini.

Turut hadir bagi merasmikan pelancaran pameran seni itu baru-baru ini ialah Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Dr. James Dawos Mamit.

Cat semburan

Seorang penggiat seni tempatan yang terlibat dengan pameran seni tersebut, Nazmi Ismail, 22, telah menzahirkan hasil karya cat semburan dengan menggunakan imej pemimpin komunis China, Mao Zedong. Jelmaan kanvas pemimpin digeruni itu ternyata menggamit pandangan setiap pengunjung yang hadir ke galeri seni itu.

Bagi pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu, walaupun orang ramai sering mempertikaikan tentang subjek yang digunakan dalam hasil karyanya, dia mempunyai pandangan tersendiri..

"Saya telah mengembara ke daerah Beijing, China sehingga ke ibu kota Vietnam iaitu Hanoi selama tiga minggu untuk membuat kajian mengenai pemimpin itu.

"Lebih separuh daripada rakyat China dan Vietnam tahu mengenai beliau dan beranggapan bahawa pemimpin itu mempunyai cara tersendiri tanpa menzalimi rakyat walaupun berfahaman komunis," ujarnya yang turut mempamerkan karya cat semburan ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi pada pameran itu.

NAZMI bersama dua karyanya iaitu Suu Kyi dan Chairman Mao yang dihasilkan dengan menggunakan kaedah cat semburan.


Idea penggabungan tiga negara.

Seramai 31 pengkarya seni dari tiga buah negara berbangga mengetengahkan hasil karya mereka yang menerapkan nilai-nilai kebudayaan dari negara masing-masing, sekali gus menggambarkan nilai-nilai sentimental mengenai perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

Idea penganjuran MIKA 2012 tercetus apabila tiga penggiat seni dari ketiga-tiga negara iaitu, Yoon Hyu Joon (pelukis veteran Persatuan Wanita Korea Selatan di Malaysia), Asghar Yaghoubi (Pengasas Galeri Seni Cube) dan Phillip Wong (Pengasas Galeri Artseni) bertemu dalam satu pameran seni yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Pelukis Korea Selatan, Choi Jung Suk, 49, memberitahu, dia berasa amat gembira apabila dua karya lukisan abstrak dengan menggunakan akrilik yang bertajuk For Liberty 6 dan For Purity itu dipamerkan di Malaysia.

"Lukisan For Purity ini menggambarkan ketenangan kasih sayang antara saya sendiri dan anak.

"Tempat yang terhad untuk mengadakan pameran lukisan membataskan saya untuk mempamerkan lukisan saya di khalayak ramai.

"Di Korea Selatan, ruang pameran yang luas seperti Insadong dan Gangnam Chungdam-Dong sentiasa terbuka sekali gus menjadi destinasi pelukis tempatan untuk mempamerkan karya mereka," ujarnya yang juga memakai hanbok iaitu kostum moden dari Korea Selatan pada majlis pelancaran pameran itu 2 Oktober lalu.

Jung-suk yang sudah 12 tahun menetap di Malaysia turut menghargai usaha Kementerian Pelancongan kerana memberi peluang kepada pelukis Korea Selatan dan Iran untuk mempamerkan hasil kerja mereka di Malaysia.

PELUKIS dari Iran, Mohammed Tirani menerapkan elemen-elemen ketuhanan dalam karyanya.


Wakil pelukis dari Iran, Mohammed Tirani, 34, pula berharap lukisan yang menerapkan nilai-nilai Islam hasil karyanya itu mampu memberi idea dan gambaran baharu dalam arena seni lukis berunsurkan ketuhanan.

"Saya menggunakan lukisan sebagai medium untuk menyampaikan nilai-nilai spiritual Islam. Ia jelas digambarkan dengan penggunaan warna yang saya gunakan seperti hijau, emas, perak dan hitam yang mempunyai simbolik dengan kesenian Islam.

"Ini juga merupakan salah satu cara saya untuk berdakwah ke jalan Allah," ujar pelajar ijazah doktor falsafah (PhD), Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Zon larangan merokok diperlekeh

Posted:

Zon larangan merokok diperlekeh


DUA remaja ini tanpa rasa bersalah merokok di sebuah kompleks beli-belah. - Gambar hiasan


SUNGGUHPUN kerajaan telah memperkenalkan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dengan mewartakan 21 kategori tempat larangan merokok, tetapi nampaknya masih ramai orang yang bertindak tidak mengendahkan peraturan tersebut.

Bak kata pepatah, hangat-hangat tahi ayam, beberapa penangkapan, denda dan serahan notis amaran pada peringkat awal pengenalan undang-undang sudah tidak lagi memberi apa-apa kesan.

Tinjauan Kosmo! secara rawak di beberapa tempat khususnya tempat larangan merokok seperti hospital atau klinik, lif atau tandas awam, hentian pengangkutan awam, premis kerajaan dan institusi pengajian tinggi, masih ada orang yang merokok secara bebas, terbuka dan tanpa segan-silu.

Ada juga yang berani untuk melanggar peraturan itu di kompleks beli-belah, stesen minyak, stesen petrol, kafe internet dan ruangan pejabat swasta dengan sistem pendingin hawa berpusat,

Sebagai contoh, kunjungan Kosmo! ke sebuah restoran tertutup di kawasan Brickfields di Kuala Lumpur baru-baru ini, masih ada pelanggan yang merokok tanpa menghiraukan hak pelanggan lain.

Walaupun bukan kawasan berhawa dingin, namun, dalam ruang restoran tertutup itu sudahpun ditampal notis 'Dilarang merokok'. Usaha itu tenyata tiada gunanya. Apabila ditanya kepada salah seorang pekerja tentang perkara itu, dia hanya menggeleng kepala.

"Saya tidak berani menegur. Saya perhatikan orang kota, tidak kira lelaki atau wanita seolah-olah hilang sensitiviti untuk menghormati orang lain," kata pekerja yang enggan dinamakan itu.

Tinjauan di sebuah lagi restoran dengan sistem kipas semburan air (yang bertujuan menyejukkan persekitaran) di Jalan Puchong juga dipenuhi dengan pelanggan yang merokok, tanpa menghiraukan pelanggan lain yang kurang selesa dengan kelakuan mereka, termasuk kanak-kanak, wanita mengandung mahupun orang tua.

"Pemilik restoran perlu bersikap adil, jangan kerana mengharapkan untung, mereka membiarkan orang ramai menjadi mangsa perokok pasif. Jangan jadikan poster larangan merokok sebagai hiasan sahaja," kata seorang pengadu, Joey Choong, 29, dari Bandar Utama.

Singapura telah mengenakan larangan yang ketat kepada mereka yang merokok di republik itu, malah hukuman bagi kesalahan merokok di tempat larangan adalah lebih keras. Pokok pangkalnya, penguatkuasaan dijalankan sepanjang masa, bukannya pada awal pengenalan peraturan.

Sebenarnya di Malaysia, mereka yang melanggar undang-undang boleh didenda sehingga RM10,000 ataupun dipenjarakan selama dua tahun.

Namun, jumlah penduduk yang merokok di tempat awam masih tinggi dan tidak terkawal. Paling mendukacitakan, peraturan hanya tinggal sekadar notis hiasan tanpa pemantauan dan penguatkuasaan yang efisien.

Dalam sebuah kajian yang dijalankan dua tahun lalu mendapati lebih 70 peratus orang dewasa terdedah kepada asap rokok pasif di tempat awam dan sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa memberi perhatian kepada tempat awam yang pernah diwartakan sebagai larangan merokok. – NIZHA PERIASWAMY

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved