Ahad, 14 Oktober 2012

Kosmo Online - Dunia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Dunia


Aktivis remaja ditembak Taliban stabil

Posted:

Aktivis remaja ditembak Taliban stabil

MURID-MURID perempuan sebuah sekolah rendah di Peshawar berdoa untuk kesejahteraan aktivis remaja, Malala Yousafzai yang cedera
ditembak di kepala.


ISLAMABAD - Seorang pelajar perempuan yang ditembak di kepala oleh anggota kumpulan Taliban berada dalam keadaan stabil ketika rakyat negara ini terus berdoa agar dia cepat sembuh.

Insiden Malala Yousafzai, 14, ditembak yang berkempen untuk menuntut hak pendidikan, mendapat kecaman daripada seluruh dunia, malah pihak berkuasa Pakistan menawarkan ganjaran lebih AS$100,000 (RM305,780) bagi menangkap penyerangnya.

"Kondisi kesihatan Malala semakin memuaskan. Organ-organ pentingnya baik dan dia masih menggunakan ventilator. Sepasukan doktor juga ditugaskan untuk memantau keadaannya," jelas satu kenyataan daripada tentera Pakistan. Dia kini dirawat di sebuah hospital tentera terkenal di Rawalpindi.

Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf melawat Yousafzai dan dua orang rakannya yang cedera pada Jumaat. Mereka cedera apabila seorang lelaki bersenjata tiba-tiba masuk ke dalam bas sekolah dan melepaskan tembakan pada Selasa lalu.

"Ini bukan jenayah ke atas individu. Tetapi jenayah terhadap kemanusiaan serta serangan ke atas nilai sosial," kata Ashraf.

Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Asim Saleem Bajwa semalam menyatakan tempoh 36 hingga 48 jam adalah kritikal buat Yousafzai.

Semalam, para pelajar di sekolah-sekolah seluruh negara itu membaca doa buat Yousafzai. Masjid-masjid dan rumah ibadat lain turut mengadakan upacara khas untuk mendoakan Yousafzai. - AFP

Skyfall filem James Bond terbaik

Posted:

Skyfall filem James Bond terbaik

DANIEL CRAIG memegang watak sebagai James Bond dalam filem Skyfall.


LONDON - Filem terbaharu dalam francais filem perisik terkenal Britain, James Bond disifatkan yang terbaik dalam sejarah 50 tahun pembikinannya.

Rebiu itu hadir selepas tayangan awal filem Skyfall di sini pada Jumaat.

Pengkritik filem, Robbie Collin dari akhbar The Telegraph menyatakan, Skyfall arahan Sam Mendes sama hebatnya dengan francais filem Batman, Dark Knight arahan Christopher Nolan.

Ramai penulis akhbar-akhbar di Britain memberikan Skyfall penarafan lima bintang.

Skyfall yang merupakan filem ke-23 dalam francais James Bond akan mula ditayangkan di pawagam-pawagam di United Kingdom pada 26 Oktober ini, sebelum ditayangkan di Amerika Syarikat (AS) pada 9 November depan.

Ini kali pertama Mendes mengarahkan filem James Bond. Pengarah dari Britain itu pernah memenangi anugerah Oscar pada tahun 2000 untuk filem American Beauty.

Sehingga kini, 22 buah filem James Bond telah mengutip jualan tiket mencecah AS$5.1 bilion (RM15.5 bilion), jelas The-Numbers.com yang bertanggungjawab memantau prestasi filem-filem box-office.

Filem sebelum ini, Quantum of Solace yang ditayangkan pada tahun 2008 berjaya mencatatkan kutipan kasar di seluruh dunia sebanyak AS$600 juta (RM1.8 bilion). - Reuters

Menteri Keadilan Jepun ada kaitan dengan Yakuza

Posted:

Menteri Keadilan Jepun ada kaitan dengan Yakuza

Keishu Tanaka


TOKYO - Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda kini berdepan tekanan hebat apabila Menteri Keadilan, Keishu Tanaka yang baru sepuluh hari dilantik, didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan mafia Jepun, Yakuza.

Tanaka kelmarin memohon maaf kerana dikaitkan dengan ahli kumpulan jenayah terancang itu selepas sebuah majalah tabloid melaporkan bahawa beliau hadir selaku tetamu kehormat majlis perkahwinan seorang ahli Yakuza.

"Sekiranya saya tahu dia merupakan ahli Yakuza, saya pasti tidak akan hadir. Saya dibawa ke sana dan menyedari bahawa mereka ialah ahli sebuah sindiket jenayah, saya memohon maaf kerana mempunyai hubungan itu," kata Tanaka yang mengaku ada menghadiri majlis tersebut 30 tahun lalu.

Pihak pembangkang mengambil peluang ini untuk mengkritik kabinet baharu Noda dengan sebahagiannya mendesak Tanaka supaya meletak jawatan.

"Sangat sukar dipercayai. Menteri Keadilan ialah penegak undang-undang. Beliau patut meletak jawatan jika dakwaan ini benar," kata Ketua Parti Demokratik Liberal, Yoshihide Suga dalam satu temu bual dengan stesen televisyen NTV.

Sama seperti kumpulan mafia di Itali atau China, Yakuza terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti judi, dadah, pinjaman wang haram, meminta duit perlindungan, jenayah kolar putih dan banyak lagi.

Tanaka yang menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai hubungan dengan ahli Yakuza sejak majlis perkahwinan itu menyatakan tidak akan meletak jawatan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved