Jumaat, 12 Oktober 2012

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Sistem imunisasi serang sel sihat

Posted:

Sistem imunisasi serang sel sihat

Oleh SUHANA VERU
rencana@kosmo.com.my

PADA pertengahan tahun 2002, Azlina Jaafar, 33, kerap kali demam dan mengalami masalah ruam pada wajah.

Perubahan pada kulit kedua-dua belah pipinya yang menjadi kemerah-merahan begitu ketara hinggakan rakan-rakannya mula menegur.

Bagaimanapun, wanita itu tidak pernah mengambil peduli dengan teguran itu. Namun, jauh di sudut hatinya itu, dia mengakui berasa bimbang dengan masalah berkenaan.

Ekoran tidak tahan dengan teguran yang sentiasa diterimanya, Azlina akhirnya ke sebuah klinik untuk menjalani pemeriksaan.

Harapan untuk mendapatkan jawapan bagi masalah ruam itu sia-sia kerana doktor yang ditemuinya itu sendiri tidak dapat mendiagnosis jenis atau sebab dia mengalami simptom gangguan kesihatan tersebut.

Azlina yang masih tidak berpuas hati pernah mengulang kunjungan ke klinik yang sama. Begitupun, dia pulang dengan hampa kerana tidak menerima penjelasan tepat apatah lagi ubat-ubatan atau rawatan susulan.

Hinggalah pada satu hari, wanita itu jatuh sakit dengan situasi yang lebih serius. Berat badannya menurun secara mendadak iaitu kira-kira 10 kilogram dalam tempoh singkat.

"Gusar masalah itu berlarutan, saya merujuk masalah saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan lanjutan," ujarnya yang mengakui semakin lemah waktu itu.

Autoimun

Selepas menjalani ujian darah dan air kencing di HKL, Azlina akhirnya didiagnosis menghidap Eritematosus Lupus Sistemik (SLE).

"Pada ketika itu, saya masih tidak memahami tentang SLE secara mendalam, walaupun doktor cuba membantu dengan memberikan saya beberapa keping risalah mengenainya," kata Azlina.

SLE atau lebih dikenali sebagai lupus adalah sejenis penyakit autoimun yang mengakibatkan sistem imunisasi tubuh menyerang tisu-tisu sihat dalam tubuh.

Penyakit itu sebahagian besarnya melibatkan kaum wanita yang berusia antara 15 hingga 45 tahun.


SETIAP pesakit SLE akan mengalami simptom yang berbeza dan salah satu daripadanya ialah ruam. - Gambar hiasan


Penyakit itu tidak mempunyai simptom spesifik dan petandanya berubah-ubah mengikut individu.

Oleh itu, ada yang menderita demam yang berlanjutan, mendapat ruam, rambut gugur, sakit sendi, mudah penat ataupun mengalami kemurungan.

Berikutan simptom yang bervariasi itu, komuniti dunia perubatan turut menganggap lupus sebagai penyakit seribu wajah.

Menceritakan lanjut mengenai kehidupannya selepas didiagnosis dengan SLE, Azlina memberitahu, dia perlu mengambil 12 biji jenis prednisolone sehari selain dua jenis ubat yang lain bagi mengubati penyakit itu.

Namun demikian, selepas dua tahun mengambil ubat-ubatan tersebut, dia terpaksa membuat keputusan drastik dengan meninggalkan kerjayanya sebagai kerani akauntan.

"Saya tidak dapat bekerja kerana berterusan mengalami sakit sendi dan kerap kali demam. Lebih teruk, kaki kanan saya menjadi pendek," ujarnya yang diberitahu doktor, perkara itu terjadi akibat kesan sampingan pengambilan ubat prednisolone yang menjejas ketumpatan tulang.

Guna tongkat

Bertutur lanjut mengenai perubahan fizikalnya itu, Azlina memberitahu, dia terpaksa bergantung kepada tongkat kerana kemerosotan sokongan dan kekuatan kaki.

Oleh itu, doktor yang merawatnya menyarankan Azlina menggunakan tongkat selain selipar yang lebih tinggi supaya dapat membantunya bergerak.

"Saya terpaksa membeli selipar ringan yang diubah suai ketinggian tapaknya. Setakat ini, saya cuma ada tiga pasang untuk kegunaan harian," tuturnya yang tinggal di Selayang.

Dalam pada itu, Azlina mengakui ekoran menderita penyakit itu, dia pernah memencilkan diri daripada keluarga dan sahabat handai.

Walau bagaimanapun, sikap Azlina itu hanyalah sementara. Daripada menyendiri dan bersedih, wanita itu semakin menerima keadaan dirinya dengan sabar serta tabah.

Semangatnya untuk menempuh kehidupan sebaik mungkin kembali semenjak dia menyertai Persatuan SLE Malaysia pada tahun 2007. Persatuan itu banyak memberi sokongan selain menganjurkan aktiviti-aktiviti berguna untuk para pesakit SLE.

Tambah Azlina, penyertaannya dalam persatuan berkenaan banyak membantunya menjadi seorang positif dan mendapat maklumat berfaedah berkaitan penyakit SLE.

"Bagi sesiapa yang mempunyai masalah ini, lebih elok mereka menyertai persatuan ini kerana banyak perkara boleh dikongsi bersama ahli persatuan yang senasib dan memahami," katanya.

Persatuan membantu

Pendapat itu turut disokong seorang guru, Loh Pui Yee, 36. Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu mula menyertai persatuan SLE selepas didiagnosis pada tahun 1993.

SAKIT sendi juga antara simptom penyakit SLE.


Ketika menerima keputusan itu, dia langsung tidak tahu-menahu mengenai penyakit itu sehinggalah terjumpa risalah mengenai ceramah lupus yang diadakan di hospital tempat dia mendapatkan rawatan.

Tanpa berfikir panjang, dia menyertai ceramah tersebut dan mengetahui lebih lanjut mengenai kewujudan persatuan berkenaan.

Sejak hari itu, kakitangan kerajaan berkenaan mula menyedari betapa pentingnya seseorang individu yang menghidap penyakit berkenaan menyertai persatuan kerana tidak semua perkara boleh didapati dengan mudah.

"Saya pernah tertekan kerana penyakit ini tetapi dengan menyertai persatuan, saya dapat menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain.

"Mungkin masih ramai yang senasib dengan saya dan tidak mengetahui tempat bagi mendapatkan bantuan dan rawatan.

"Lagipun, SLE rumit untuk dikawal dan memerlukan rawatan berpanjangan. Maka, bagi mereka yang mengalami masalah yang sama, adalah lebih elok menyertai persatuan," syornya.

Pui Yee menghidap SLE ketika berusia 17 tahun dan mula mengalami perubahan pada diri seperti penglihatan kurang jelas dan kesan bintik-bintik merah pada muka.

Pada permulaan, dia menyangka ia sekadar gigitan nyamuk namun, selepas insiden pengsan di sekolah dan dirujuk ke hospital, barulah dia mengetahui tentang penyakit yang dihidapinya..

Meskipun terpaksa hidup dengan penyakit itu buat selama-lamanya, dia menerima suratan takdir itu dengan hati terbuka.

Hampir 20 tahun menghidap penyakit itu, dia kini hanya mampu bergantung kepada ubat-ubatan dan mengamalkan corak kehidupan yang sihat supaya keadaan dirinya tidak menjadi bertambah teruk.

Ronald ceriakan penghuni RMH

Posted:

Ronald ceriakan penghuni RMH

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

KANAK-KANAK begitu teruja mahu menjamu selera dengan hidangan Happy Meal yang disediakan khas buat mereka.


SUASANA Rumah Ronald McDonald (RMH) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Jalan Yaacob Latif, Kuala Lumpur petang itu tidak seperti biasa. Kedengaran riuh-rendah suara kanak-kanak disulami hilai tawa tatkala pengacara majlis mengumumkan ketibaan Ketua Pegawai Kegembiraan McDonald's, Ronald McDonald di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri September lalu.

Lambaian Ronald McDonald dari kejauhan sudah membuatkan hati kanak-kanak tersebut girang. Masing-masing tidak sabar mahu mendekati ikon yang sinonim dengan restoran makanan segera, McDonald's itu.

Para tetamu cilik yang terdiri daripada 15 orang penghuni RMH dan 40 orang anak-anak yatim Rumah Nur Hikmah pada petang itu bukan sahaja berpeluang bergurau senda dengan ikon tersebut, malah menikmati hidangan lazat Happy Meal serta pelbagai juadah lain yang membangkitkan selera.

Apa yang lebih mengujakan kanak-kanak tersebut apabila mereka menerima oleh-oleh dan duit raya daripada McDonald's.

"Perayaan seperti hari raya merupakan sambutan yang menghimpunkan ahli keluarga. RMH merupakan sebuah rumah khas di PPUKM yang disediakan untuk membolehkan sejumlah keluarga yang datang dari jauh, menetap bersama anak mereka ketika menerima rawatan penyakit kronik di hospital itu.

"Sambutan sebegini adalah satu langkah yang tepat untuk menyuntik sedikit kegembiraan dengan meraikan anak-anak tersebut serta keluarga mereka," kata Pengerusi Ronald McDonald House-PPUKM, Datin Fadillah Othman.

FADILLAH (kiri) dan Chee Chin melihat kemudahan dapur yang disediakan di RMH untuk kegunaan para penghuninya.


Tambahnya, penganjuran majlis sedemikian bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim para penghuni sambil menikmati hidangan, malah dapat mengeratkan jalinan yang sedia ada.

RMH yang diwujudkan atas nilai kasih sayang adalah rumah khas yang pertama seumpamanya di Malaysia dan kedua di Asia. Ia merupakan transit kepada kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital.

"Sehingga kini, RMH telah menempatkan lebih daripada 450 buah keluarga dengan anak-anak yang memerlukan rawatan di PPUKM. Ia dilengkapi dengan kemudahan 19 bilik tidur, dapur, bilik komputer, perpustakaan, bilik dobi, bilik menonton televisyen, bilik bermain dan sebagainya.

"Berkonsepkan Home away from home ia berjaya mewujudkan suasana kekeluargaan," ujarnya.

Tinggal percuma

Presiden Rumah Kebajikan Ronald McDonald Malaysia, Chan Chee Chin memberitahu, RMH diwujudkan selepas menyedari akan kesukaran emosi dan fizikal yang dihadapi para pesakit dan ahli keluarga mereka.

"Dengan adanya program sebegini, kami berharap dapat meringankan beban mereka dengan menyediakan penempatan sementara yang selesa seperti di rumah.

"Mereka boleh tinggal di RMH tanpa dikenakan sebarang kos atau dengan bayaran minima RM5 semalam," katanya.

Kata Chee Chin, ia bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan untuk membayar kos penempatan dan pengangkutan, bahkan memudahkan ahli keluarga meluangkan lebih banyak masa bersama.

CHEE CHIN memberikan oleh-oleh kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri RMH September lalu.


Salah seorang penghuni RMH ialah Siti Rafizah Zainol Abidin, 36, yang setia menemani anaknya, Adam Danial Nor Azwan, 5, seorang pesakit leukemia.

Anak kedua daripada empat beradik tersebut menerima rawatan di PPUKM sejak setahun lalu.

"Pada mulanya, saya terkejut dengan penyakit yang dialami oleh Adam dan saya mahu sentiasa berada di sampingnya setiap kali rawatan dijalankan.

"RMH dilengkapi dengan kemudahan yang membuatkan saya rasa seperti berada di rumah sendiri dan dalam masa yang sama dapat memantau keadaan kesihatan anak tanpa memikirkan masalah penempatan," katanya yang sudah setahun menjadi penghuni RMH.

Seks bukan kunci utama bahagia

Posted:

Seks bukan kunci utama bahagia


HUBUNGAN intim seharusnya menambah kemanisan rumah tangga, bukanlah kunci utama kebahagian suami isteri. - Gambar hiasan


SAYA percaya, ramai yang beranggapan seks adalah segala-galanya dalam sebuah ikatan perkahwinan. Kalau hubungan seks baik, akan bahagialah rumah tangga.

Benarkah begitu? Adakah ia punca utama kepada peningkatan kes perceraian setiap tahun?

Hakikatnya, perkahwinan bukan untuk melampiaskan nafsu seks atau keseronokan semata-mata. Perkahwinan sebenarnya satu ikatan, tugas dan amanah yang perlu dipikul serta dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Ya, saya akui, salah satu tujuan dan hikmah perkahwinan adalah bagi membenarkan satu hubungan antara lelaki dan wanita.

Dalam Islam, melalui perkahwinan hubungan tersebut bukan saja dibenarkan, malah pelakunya akan diberikan pahala sama seperti melakukan ibadat suruhan Ilahi.

Namun perlu diingat, bukan itu sahaja tujuan dan hikmah perkahwinan. Malah, kalau dilihat kepada hikmah perkahwinan yang tersenarai, kita telah diajar sejak di bangku sekolah lagi, 'keseronokan' itu adalah tujuan terakhir.

Ini petikan daripada silibus Sijil Pelajaran Malaysia, telitilah sendiri:

Menyenaraikan hikmah perkahwinan:

*Melahirkan zuriat yang bersih.

*Memupuk perasaan kasih sayang antara suami dan isteri.

*Mengelakkan perbuatan maksiat.

*Melahirkan perasaan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah Allah.

* Memenuhi tuntutan rohani dan jasmani yang menjadi fitrah manusia melalui jalan halal.

Apabila seks menjadi hikmah terakhir dalam pensyariatan, jelaslah seks bukanlah kunci utama kebahagiaan. Lantas, di manakah terletaknya kunci bahagia rumah tangga?

Dua kunci utama

Seperti sebuah rumah, tidak cukup jika dikunci menggunakan satu kunci sahaja. Keselamatannya masih diragui. Paling kurang, ia memerlukan dua kunci iaitu satu kunci biasa dan satu lagi kunci mangga, barulah keselamatan lebih terjamin.

Sama dengan sebuah perkahwinan, ada dua kunci utama yang menjadi tulang belakang dalam usaha mewujudkan bahagia iaitu:

* Peranan yang dilaksanakan oleh suami dan isteri

* Isteri yang solehah

Peranan suami dan isteri

Suami dan isteri mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri di samping tanggungjawab bersama yang perlu dilaksanakan.

Tanggungjawab suami adalah hak isteri. Tanggungjawab isteri pula adalah hak suami. Suami perlu melaksanakan segala tanggungjawabnya agar isteri mendapat hak yang sewajarnya menurut syariat.

Isteri juga perlu melaksanakan segala tanggungjawabnya agar suami mendapat hak yang sewajarnya menurut syariat.

Secara ringkasnya, tanggungjawab seorang suami adalah melayani isteri dengan baik, memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan, menyediakan rumah serta keperluan berkaitan, melayani keperluan seks isteri dan bersikap romantik terhadap isteri.

Suami juga perlu bergurau dengan isteri, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah tangga, sentiasa menunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri.

Sementara itu, tanggungjawab seorang isteri pula termasuklah taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak seks suami, menjaga harga diri, suami serta keluarga, menghormati suami dan menyenangkan hati suami.

Selain itu, tanggungjawab bersama bagi suami dan isteri pula adalah menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta menguruskan rumah tangga.

Sekiranya segala peranan dan tanggungjawab dilaksanakan dalam suasana penuh toleransi tanpa mengambil kesempatan, bahagia akan wujud walaupun hubungan intim bukan di takhta pertama.

Isteri solehah

Sukar diakui, tetapi satu hakikat yang perlu diterima adalah isteri yang solehah sebenarnya kunci utama kebahagiaan hidup berumah tangga.

Bukan niat mahu memihak kepada kaum Hawa. Tanyalah pada mana-mana kaunselor sekalipun termasuk kaunselor lelaki, pasti semuanya mengakui, isteri adalah kunci kebahagiaan rumah tangga.

Imbas semula asal usul kejadian manusia. Allah menciptakan Hawa sebagai teman hidup Adam apabila Adam mengadu dirinya keseorangan dan kesepian dalam syurga.

Sebab itulah juga, alim ulama mengatakan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.

Wanita solehah adalah wanita yang menunaikan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Malah, jika wanita itu seorang isteri, beliau isteri yang taat kepada suaminya selagi si suami tidak menyuruhnya melakukan kemaksiatan kepada Allah dan tidak melarangnya daripada melakukan suruhan Allah.

Ya sesungguhnya, isteri merupakan kunci kebahagiaan sesebuah perkahwinan. Apa sahaja ujian dan dugaan yang mendatang dalam rumah tangga, sekiranya si isteri bersabar, bukan sekadar bersabar, tetapi berdoa memohon pertolongan Yang Maha Esa, insya-Allah, akan tiba masanya kebahagiaan yang diinginkan akan menjelma di depan mata.

Tiada yang mustahil kerana memang diakui, wanita bukan insan yang lemah. Wanita sebenarnya diciptakan dengan satu kekuatan yang hebat, tetapi sukar dilihat.

Lantaran, saya menyeru kepada semua wanita bernama isteri, anda penentu kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.

Peranan anda penting! Jika sayangkan perkahwinan, lakukan peranan anda dengan sebaiknya dengan diiringi doa. Dia Maha Mendengar dan Maha Mengurniakan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved