Kosmo Online |
- 19,000 penagih dirawat di klinik 1Malaysia
- Kereta rasmi Timbalan Menteri hangus
- Harimau baham ternakan penduduk
19,000 penagih dirawat di klinik 1Malaysia Posted: 19,000 penagih dirawat di klinik 1Malaysia18/09/2012 5:42pm BUTTERWORTH - Seramai 19,000 penagih dadah telah hadir ke sembilan klinik Cure & Care 1Malaysia di seluruh negara bagi menjalani pemulihan penagihan dadah sejak tahun 2010. Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Puan Sri Zuraidah Mohamed berkata, jumlah penagih yang menerima rawatan itu membuktikan ramai penagih dadah mahu memulihkan diri di pusat rawatan yang menggunakan pendekatan baharu itu. "Kajian keberkesanan klinik berkenaan yang dilaksanakan oleh Universiti Malaya (UM) tahun ini mendapati bahawa 70 peratus klien menyatakan perkhidmatan yang diberikan secara percuma, tempoh yang singkat tetapi berkesan (1-3 bulan) nyah toksik menggunakan ubat-ubatan yang berpegang kepada prinsip kerahsiaan merupakan faktor penting yang membuatkan klien datang mendapatkan perkhidmatan. "Selain itu, kajian UM juga mendapati 38.6 peratus klien yang ditemu bual menyatakan, alasan mereka hadir ke Klinik Cure & Care 1Malaysia adalah untuk berhenti daripada dadah dan mengelakkannya berulang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek kepada balu Allahyarham Mohamad Majdi Abdul Hamid, penolong pegawai AADK yang meninggal dunia ketika cuba memberkas peragut di Sungai Petani, Kedah baru-baru ini. Dalam kejadian minggu lepas, Mohd. Majdi maut apabila terjatuh dan kepalanya terhentak di atas jalan raya ketika cuba menangkap seorang peragut di Bedong, Kedah. - BERNAMA |
Kereta rasmi Timbalan Menteri hangus Posted: Kereta rasmi Timbalan Menteri hangus18/09/2012 5:33pm KLANG - Kereta Proton Perdana Executive yang digunakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun ditemui terbakar di Jalan Akob, Bukit Kapar, dekat sini Sabtu lalu. Kereta rasmi timbalan menteri itu sebelum ini dilapor dicuri pada 2 Jun lepas di Seri Alam, Pasir Gudang, Johor. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, polis dan bomba mendapat maklumat daripada orang awam mengenai sebuah kereta yang terbakar di Jalan Akob pada pukul 7.30 malam. "Kereta itu hangus. Pemeriksaan nombor casis dan enjin mendapati ia adalah kenderaan yang digunakan oleh Datuk Joseph," katanya kepada pemberita di sini. Rangka kereta itu kini berada di Balai Polis Kapar di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu jenayah menggunakan api. - BERNAMA |
Harimau baham ternakan penduduk Posted: Harimau baham ternakan penduduk18/09/2012 4:59pm MACHANG - Lebih 500 penduduk Mukim Cherang Hangus di sini berada dalam ketakutan berikutan ancaman harimau yang membaham binatang ternakan mereka sejak seminggu lepas. Pengerusi Jawatankuasa, Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Cherang Hangus, Awang Mustapa berkata, sehingga kini tiga ekor lembu milik penduduk di mukim berkenaan dimakan binatang buas itu. "Ini menyebabkan mereka mengalami kerugian lebih RM3,000," katanya kepada pemberita di sini dan menambah bahawa kira-kira 30 penduduk menternak kira-kira 500 ekor lembu di kawasan itu. Awang tidak menolak kemungkinan ancaman itu berpunca daripada aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan di Bukit Baka berdekatan yang menyebabkan harimau keluar dari habitat asal mencari makan. Beliau berkata, sebelum ini penduduk juga berdepan ancaman gajah liar yang merosakkan tanaman seperti pokok getah, pisang dan dokong. "Kami berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat bertindak segera sebelum binatang buas itu menjadi lebih ganas lagi," katanya. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan