Selasa, 18 September 2012

Kosmo Online - Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Negara


Sukar sekat klip video asing

Posted:

Sukar sekat klip video asing

Oleh MOHD. HAFIZI AHMAD
hafizi.ahmad@kosmo.com.my

SEORANG pengguna internet di Kuala Lumpur masih dapat mengakses klip video Innocence of Muslims di YouTube semalam.


KUALA LUMPUR - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengakui sukar untuk menghalang penyebaran klip video Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. di Malaysia atas alasan Uniform Resource Locator (URL) atau alamat web klip video itu berasal dari luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar kecil) berkata, kebanyakan klip video filem berdurasi 14 minit itu telah disunting atau disalin daripada versi asal sebelum dimuat naik ke laman YouTube oleh pihak ketiga.

Katanya, klip video asal filem itu telah disekat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama enjin carian internet Google selaku pemilik YouTube.

"Namun selepas sekatan itu dibuat, muncul orang lain memuat naik banyak video yang sama dalam versi baharu dengan menggunakan alamat URL yang berbeza. Masalah ini sukar untuk kita halang kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kementerian," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Yogyakarta, Indonesia sewaktu menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan Asia dan Eropah (ASEM) Kelima semalam.

Kosmo! semalam melaporkan sekatan terhadap klip video itu tidak dilakukan secara menyeluruh memandangkan orang ramai masih boleh menontonnya di komputer peribadi atau telefon bimbit yang menggunakan pakej jalur lebar.

Rais berkata, pihaknya turut mengambil kesempatan membangkitkan isu penayangan filem itu pada mesyuarat tersebut dan berharap ia dapat membuka mata dunia untuk menghormati sistem perundangan di semua negara.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang pakar komputer, Azli Paat berkata, penyebaran klip video Innocence of Muslims masih boleh disekat sepenuhnya melalui kawalan pada peringkat penyedia perkhidmatan Internet (ISP) tempatan walaupun ia telah dimuat naik dari luar negara.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah-Alih Malaysia memberitahu, pengguna internet di negara ini yang ingin mengakses klip video berkenaan perlu melalui capaian ISP tempatan seperti Telekom Malaysia, Celcom dan Maxis terlebih dahulu sebelum boleh mengakses klip video daripada sumber asing.

Katanya, kerajaan menerusi SKMM boleh mengarahkan ISP tersebut membatalkan alamat URL klip video terbabit.

"Jika alamat URL sesebuah laman web itu dibatalkan pada peringkat ISP, carian yang dikehendaki oleh pengguna pasti tidak akan dijumpai.

"Jika ada klip video terbaharu yang keluar di YouTube, SKMM boleh minta ISP di negara ini menghalang aksesnya," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut Azli, SKMM tidak boleh terlalu bergantung terhadap Google dalam usaha menghalang penyebaran klip video itu kerana Google sebuah syarikat yang mempunyai kepentingannya tersendiri.

Katanya, Google juga ada kemampuan untuk menyekat akses kepada klip video tersebut melalui teknologi pengesanan video yang akan membaca terlebih dahulu kandungan video terbabit sebelum memberikan kebenaran untuk memuat naik.

"Sekarang saya lihat Google hanya menyekat alamat video berkenaan tetapi tiada sekatan untuk pihak lain memuat naik klip video yang sama," katanya.

Hui Yee mati di pangkuan bapa

Posted:

Hui Yee mati di pangkuan bapa

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
dan RADIAH SAORI
berita@kosmo.com.my


DINO Bato Sam bua meratapi kematian anak kesayangannya, Tee Hui Yee di kediamannya di Batu Pahat, Johor semalam.


BATU PAHAT - Selepas lima tahun menikmati kehidupan sebagai insan normal, Tee Hui Yee yang merupakan penerima organ jantung baharu menerusi satu pembedahan maraton pada 2007, meninggal dunia secara mengejut di kediaman ibu bapanya di Kampung Parit Besar di sini semalam.

Gadis berusia 19 tahun itu yang pernah menyentuh hati nurani rakyat Malaysia kerana terpaksa menyorong jantung mekanikalnya yang diletakkan di dalam beg untuk ke mana-mana, disahkan meninggal dunia di pangkuan bapanya, Tee Ah Soon pada pukul 10.02 pagi semalam.

Ibunya, Dina Bato Sam Bua, 51, berkata, anak kesayangannya itu mengadu sakit dada dan bahagian kiri tengkuknya selepas dia keluar makan bersama rakan-rakan di sebuah restoran hidangan kukus berhampiran kira-kira pukul 9 malam kelmarin.

Menurutnya, selepas anaknya muntah, dia bersama rakan baik anaknya, Thong Liew Sze Yun, 17, mengurut badannya perlahan-lahan dan dia sempat menjamah sekeping roti sebelum muntah sekali lagi.

Ketika itu, katanya, dia turut memujuk anaknya itu supaya mendapatkan rawatan di hospital malam kelmarin tapi anaknya itu enggan kerana beranggapan dia hanya diserang gastrik.

"Saya mula cemas apabila melihat anak bongsu daripada empat beradik itu menggigil dan kedua-dua tangannya kejang kira-kira 9 pagi semalam sebelum menjerit memanggil bapanya, Tee Ah Soon," katanya ketika ditemui di pusat persemadian di Jalan Fatimah di sini.

Sementara itu, Ah Soon berkata, isterinya itu cuba mengurut mendiang tetapi tidak berhasil malah situasi anaknya itu makin teruk sehingga dia terpaksa membuat bantuan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR) selama 10 minit tetapi masih tidak berjaya.

"Saya sempat mendengar nafas terakhirnya sebelum dia kelihatan kaku lalu menyebabkan saya bergegas membawanya ke Hospital Batu Pahat.

"Doktor tidak memberitahu kami punca kematiannya sama ada ia berkaitan dengan jantung atau tidak," kata pekebun sayur itu.

Kisah Hui Yee yang menderita sakit jantung sejak berusia dua tahun mendapat liputan meluas media apabila terpaksa bergantung nyawa selama setahun dengan jantung mekanikal sebelum menjalani pemindahan jantung pada Oktober 2007.

Siasatan Suara Inisiatif selesai

Posted:

Siasatan Suara Inisiatif selesai

Oleh ZULKIFLI MANZOR
zulkifli.manzor@kosmo.com.my

MOHD. NAIM di lobi Jabatan Peguam Negara selepas menyerahkan kertas hasil siasatan di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara rasmi mengemukakan kertas siasatan membabitkan Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif) kepada Jabatan Peguam Negara di sini petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Naim Daruwish berkata, kertas siasatan itu dikemuka kepada Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam pertemuan selama lebih dua jam.

"Kita tengok daripada lima sudut (kesalahan), cuma satu yang betul-betul siap sepenuhnya pada pandangan mata SSM, yang paling penting kita bentangkan salah satu kes itu, biar Jabatan Peguam negara yang buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Ditanya mengenai tindakan SSM seterusnya, Mohd. Naim berkata: "Kita akan terus tengok 'sudut-sudut' lain. Terpulang kepada keputusan Jabatan Peguam Negara. Kalau dapat lampu hijau kita akan buat pendakwaan."

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Suara Inisiatif disiasat mengikut Seksyen 364(2), Seksyen 166A(3), Seksyen 169(14), Seksyen 167(1) dan (2) serta Seksyen 132(1) di bawah Akta Syarikat 1965.

"Kita menyiasat sebanyak lima kes membabitkan Suara Inisiatif di bawah Akta Syarikat 1965. Salah satu kes berkenaan ialah kekeliruan dalam laporan akaun syarikat.

"Jika Jabatan Peguam Negara dapati ada kes, pendakwaan akan dibuat esok (hari ini) atau Khamis ini," katanya pada sidang akhbar berhubung perkembangan terkini siasatan ke atas Suara Inisiatif dan pertubuhan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan 'kekeliruan' dalam laporan akaun Suara Inisiatif yang dimaksudkan.

Sebelum ini, isu Suaram mendapat perhatian ramai apabila Ismail Sabri mendedahkan pertubuhan itu menerima sumbangan dana berjumlah kira-kira RM558,000 daripada Open Society Institute yang dikatakan mempunyai kaitan dengan spekulator mata wang terkenal George Soros.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved